Isnin, 29 Mac 2010

Antara Dai'e dan Mu'alij...

Saya terpanggil untuk membuat entry ini setelah mendengar nasihat dari ust Soleh semasa usrah sebentar tadi. Ini saya khususkan untuk diri saya dan juga untuk dikongsikan kepada para mu'alij dan dai' di luar sana. Maaf jika ada yang tersinggung, ini hanyalah lontaran pendapat, nasihat dan kritikan berguna untuk saya dan anda semua.

Selalunya selepas sesi tadabbur dan perbincangan risalah usrah, ust Soleh akan membuka perbincangan umum mengenai isu-isu semasa. Isu yang dikupas pada malam ini lebih menjurus kepada perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat sekitar Kuching, seperti ajaran sesat, program kesedaran aqidah kepada remaja dan masyarakat kampun dan lain-lain. Namun ada isu menarik yang jarang dibincangkan dalam usrah pada malam ini iaitu mengenai rawatan Islam.

Seperti yang pernah saya ceritakan dalam entry yang lepas, ust Soleh juga merupakan seorang mua'lij dan mendapat ijazah perubatan dari Darussyifa. Namun ust tidak terlalu mengkhususkan dirinya dalam bidang perubatan Islam kerana beliau lebih cenderung kepada da'wah dan tarbiah seperti mengajar dan memberi kuliah di kampung-kampung, pembentukan halaqah di kalangan remaja dan lain-lain. Tetapi jika ada permintaan untuk merawat, beliau sudi menolong dan merawat orang yang berkenaan.

Ustaz menceritakan aduan mengenai sebuah group @ kumpulan ruqyah yang sedang aktif bergerak di area Kuching (bukan saya dan Wan Sudirman). Kumpulan ini sudah lama wujud, namun pada akhir-akhir ini ia semakin aktif dan mula mendapat tempat di kalangan warga Kuching, sehinggakan pernah ditemuramah di radio tempatan. Saya kenal dengan ahli kumpulan ruqyah ini, terutama sekali ketua kumpulan tersebut. Bukan orang lain juga, kawan saya semenjak dari zaman sekolah dulu. Kawan saya ini pernah mengajak saya bergabung dengan kumpulan ruqyah mereka, namun saya menolak dengan baik kerana lebih selesa bergerak sendiri bersama sahabat saya Wan Sudirman. Bukan nak menolak gerak kerja secara berjemaah, tetapi saya lebih rasa selesa bergerak sendiri dan masa lebih fleksibel.

Ust melontarkan pendapat beliau mengenai kumpulan ini yang membuat sesuatu yang tidak sedap di dengar oleh telinga. Ada orang mengadu yang kumpulan ini memperalatkan agama untuk 'menaikkan' nama mereka sendiri, sehinggakan menggelarkan diri mereka 'al-Hafiz', sedangkan mereka ini belum ada tauliah dan tidak pernah belajar pun menjadi al-Hafiz. Ahli kumpulan ini pun masih muda-muda belaka, yang hairannya, bagaimana mereka boleh mendakwa yang mereka adalah al-Hafiz, dalam masa yang sama, boleh kata kebanyakan dari ahli kumpulan ini tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yang mantap, malah tidak punya kelulusan pun dari mana-mana universiti. Tetapi mereka bercakap tentang agama mengikut acuan mereka sendiri, bukan bersandarkan Al-Quran dan hadis yang sebenar. Tidak melampau jika dikatakan, kumpulan ini seolah-olah memperalatkan agama atas nama rawatan Islam.

Saya berasa kesal dengan perbuatan kumpulan tersebut, kerana sedikit sebanyak, mungkin saya sendiri akan terkena tempiasnya. Ustaz tidak menentang ruqyah, namun ustaz lebih mementingkan tarbiah dan mahukan anak didik beliau menjadi dai'e, bukan mualij sepenuh masa sehingga mengabaikan kerja-kerja da'wah. Berbeza dengan ahli kumpulan ini, yang lebih mementingkan ruqyah daripada da'wah pembinaan aqidah di kalangan orang Islam di Kuching. Mereka suka jika mereka dapat merawat dan berjaya 'menyembuhkan' si pesakit, dapat tunjuk 'power' dan sebagainya. Ustaz berpendapat, jika aqidah terjaga dan dibina dengan kukuh dalam jiwa setiap muslim, amalan sihir dan khurafat serta masalah makhluk halus mungkin dapat dikurangkan, kalau tidak dapat dihapuskan semua.

Ustaz kesal kerana anak-anak muda lepasan agama lebih suka jadi mua'lij daripada menjadi dai'e, sedangkan pada ketika usia muda ini, ketika badan masih cergas, akal masih waras dan sihat, lebih baik digunakan untuk aktif di lapangan da'wah dan tarbiah, bukan menjadi mua'lij semata-mata yang hanya sibuk merawat tetapi lupa berda'wah. Usrah malas datang, tak nak buat halaqah untuk orang muda dan remaja, tidak menyampaikan kebenaran dengan berceramah dan program, inilah penyakit yang menimpa mu'alij-mu'alij muda ketika ini, mereka tidak sedar bahawa da'wah itu lebih aula (penting) untuk masyarakat.

Saya bersetuju dengan pendapat ustaz. Bukanlah kerana dia guru saya, saya kena follow semua pendapat beliau. Namun inilah hakikat yang berlaku dalam gelanggang da'wah. Ada sesetengah individu yang lebih cenderung menjadi mu'alij sahaja, dan enggan mengerjakan da'wah. Sedangkan Rasulullah mengajar kita supaya menjadi dai'e, menyampaikan risalah kebenaran dan tauhid yang sebenar kepada seluruh alam, bukan hanya menghalau, menyembelih, mengurung dan membuang jin semata-mata!

Namun, tidak semua mu'alij bersikap demikian. Ada mu'alij yang berda'wah semasa proses rawatan dijalankan. Ini juga tarbiah dan da'wah. Menjadikan ruqyah sebagai salah satu medium da'wah juga mudah diterima di kalangan masyarakat kita. Namun bukan ruqyah sahaja satu-satunya jalan da'wah, ada seribu satu jalan da'wah yang boleh digunakan untuk menyampaikan risalah kebenaran. Apa yang nyata, da'wah adalah prioriti utama bagi setiap Muslim.

Kita ambil contoh peruqyah tersohor di Malaysia, Dato Haron Din dan Dato Ismail Kamus. Kedua-dua tokoh ini bukan hanya terkenal dalam bidang rawatan Islam, tetapi hebat dan tangkas di gelanggang da'wah. Mereka turun ke tengah masyarakat dan menyampaikan kebenaran Islam sehinggakan di'gam' dari televisyen untuk beberapa tahun. Mereka turut difitnah, malah pernah juga tidak dibenarkan menginap di sebuah hotel terkemuka di salah sebuah negeri di Malaysia hanya kerana hendak menyampaikan da'wah. Walaupun demikian, mereka tetap gigih berda'wah walaupun semakin hari mereka dimamah usia. Berbeza dengan orang muda kita yang hanya sibuk menjadi mu'alij tetapi lupa dan enggan mengerjakan da'wah sedangkan tenaga mereka yang kuat lebih baik dimanfaatkan untuk berda'wah dan menyampaikan kebenaran. Inilah 'penyakit' yang perlu 'diruqyah' kerana tidak pandai mengutamakan apa yang patut diutamakan!

Kadang-kadang, terlintas dalam fikiran saya, jiwa siapa yang 'sakit'dan perlu diruqyah? Si mua'lij atau...?

Wallahu 'alam.

Selasa, 23 Mac 2010

Khasiat Minyak Morhabshi...


Petang tadi, sebaik pulang dari pejabat, saya melihat ibu terbaring di sofa, manakala ayah mengurut telapak kaki ibu dengan minyak angin.

Saya : Kenak ngan mak, pak?
(kenapa dengan mak, ayah?)

Ayah : Mak kau tang tiba-tiba jak muntah tek, angin kali...
(mak engkau ni, tiba-tiba je muntah, masuk angin barangkali)

Saya melihat mak yang dah tertidur di sofa sambil ayah mengurut telapak kakinya. "Salah makan agaknya..." saya bergumam.

Saya : Dah makan pil?

Ayah : Belum. Kaktok (lepas ni) bapak beli pil ubat pakei (buat) mak kau.

Saya segera membersihkan diri. Azan Maghrib berkumandang tidak lama selepas itu. Usai solat, saya mengisi air filter dalam gelen besar yang pernah digunakan untuk membawa pulang air zam-zam sejak pulang haji dahulu. Setelah penuh, saya bawa ke bilik dan letak atas sejadah. Bacaan hizib dan Al-Ma'thurat saya tangguhkan untuk petang ini. Saya berniat hendak membuat air ruqyah.

Solat Hajat dilaksanakan. Saya berdoa dan memohon kepada Allah agar Dia memberkahi air tersebut agar dapat menjadi penawar bagi segala jenis penyakit, baik zahir mahupun batin.

Selesai berdoa, maka bacaan ruqyah pun dimulakan. Setiap ayat-ayat ruqyah saya hanya baca satu kali sahaja, sehingga pada penghujungnya, saya baca selawat Syifa dan Tafrijiah masing-masing 3 kali. Kemudian saya hembus air tersebut sehingga habis nafas sebanyak 3 kali, dengan niat air tersebut menjadi air penawar.

Saya tuang air ke dalam gelas, dan membawa bersama Minyak Morhabshi yang saya beli melalui online tidak lama dahulu ke dalam bilik ibu saya. Ibu yang masih terbaring di atas katil, saya beri dia minum air ruqyah dan menyapukan minyak Morhabshi tersebut ke perut, leher dan kepala. Sambil menyapu dan mengurut, saya baca doa-doa penyembuh yang pernah diajar oleh Rasulullah dengan harapan Allah akan sembuhkan ibu saya.

Selesai semua itu, ibu tertidur kembali. Tampak sedikit kelegaan pada wajahnya. Alhamdulillah, hilang kebimbangan di hati saya apabila melihat ibu tidur dengan nyenyak selepas disapukan minyak Morhabshi dan minum air ruqyah.

Kisah kemujaraban minyak yang saya beli melalui online ini bukan hanya berlaku kepada ibu saya. Malah anak buah saya, Adam yang terkena demam panas minggu lepas turut merasa kemujaraban minyak tersebut.

Kisahnya bermula apabila kami sekeluarga membuat kenduri arwah untuk nenek sebelah ibu, Allahyarhamah Hjh Menah pada Jumaat lepas. Setelah azan Maghrib, saya mula mengimamkan solat tersebut yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga kami sahaja, kecuali Wan Sudirman yang dijemput khas untuk kenduri malam tersebut. Adam mula meragam dan menangis tanpa henti. Saya ingat mungkin Adam menangis sekejap sahaja, rupanya berlarutan sehingga habis majlis tahlil tersebut. Kakak ipar dan abang saya dah mula susah hati. Ayah berusaha memujuk Adam supaya berhenti menangis, namun tak berjaya. Akhirnya, saya juga yang jadi last action hero ;-). Saya sapukan minyak Morhabshi ke badan Adam sambil membaca Al-Fatihah dan doa menurunkan suhu badan. Tidak lama selepas itu, si kecik tu pun diam dan berhenti menangis.

Esoknya saya ziarah ke rumah abang saya, nak tengok si Adam. Eh! Elok pulak budak Adam tu saya tengok. Siap main kejar-kejar lagi dengan kakak-kakak dia. Dalam semalam je, suhu badan Adam turun dan terus sembuh dari demam, dengan izin Allah. Alhamdulillah.

Itu adalah 2 peristiwa yang berlaku mengenai kemujaraban minyak Morhabshi yang saya beli. Minyak serbaguna ini banyak khasiatnya, saya tidak bercadang untuk list down kesemua khasiat minyak tersebut dalam entry kali ini, cuma jika anda ingin tahu apa itu minyak Morhabshi dan khasiat-khasiatnya, sila klik pada link yang terletak pada bahagian atas sebelah kanan blog ini.

Difahamkan, minyak ini juga sesuai digunakan untuk merawat masalah histeria, kerasukan dan sihir. Saya berpendapat, para perawat Islam boleh menggunakan dan memanfaatkan minyak ini dalam sesi rawatan mereka. Insya Allah.

Dan, minyak ini boleh jadi alternatif kepada minyak dhab yang sukar diperolehi di negara kita. Bagi yang dah berumah tangga tu, ehem, boleh cubalah. Confirm bini senyum lebar... ;-)

Ahad, 21 Mac 2010

Tips Menenangkan Minda...


Kali ini saya ingin berkongsi tips bagaimana untuk menenangkan minda dengan kaedah saya sendiri. Kaedah ini telah lama saya lakukan dan salah satu bahan RnD saya untuk kes kekusutan fikiran.

Fikiran kusut lazim terjadi kepada semua orang. Kekusutan fikiran terjadi apabila berlaku 2 atau lebih masalah dalam satu masa, sehingga individu menjadi bingung dan tidak tahu hendak memulakan dari mana untuk menyelesaikan masalah. Pelbagai kaedah dan terapi yang telah digunakan oleh pengamal perubatan alternatif, dan ia tertakluk mengikut kesesuaian yang empunya badan. Kaedah saya ini mungkin sesuai untuk sesetengah orang, dan mungkin juga tidak serasi dengan sesetengah orang yang lain. Namun, tidak salah untuk mencuba mana tahu ia sesuai untuk anda.

Kita tidak boleh lari dari masalah, namun kita dikehendaki menyikapi masalah tersebut. Jika kita lari, masalah tidak akan selesai. Oleh itu, kita kena selesaikan masalah. Namun bila berlaku kekusutan fikiran, kita akan jadi bingung dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sementara mencari jalan penyelesaian untuk masalah, eloklah kita menenangkan minda supaya kekusutan fikiran akan terlerai dan menjadi mudah bagi kita mengenalpasti dan menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Berikut merupakn tips-tips yang boleh anda aplikasikan untuk meleraikan kekusutan fikiran sekaligus menenangkan minda:

1. Berjalan di tepi pantai tanpa menggunakan alas kaki (selipar atau kasut). Apabila anggota badan kita,khususnya kaki bertemu dengan pasir pantai (atau bumi), ia akan menyahkan cas-cas elektrik yang tidak dikehendaki dalam badan kita dengan cara mengalirkan arus cas tersebut ke bumi, sekaligus meneutralkan cas positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh.

2. Sambil berjalan, tariklah nafas dalam-dalam selama 10 hitungan, kemudian kunci (tahan) dalam perut selama 10 hitungan, dan hembus dengan perlahan juga dengan 10 hitungan. Semasa menarik nafas, bayangkan cahaya putih masuk ke dalam badan dan menyebar ke seluruh saraf dan menghapuskan semua aura hitam dalam badan, kemudian hembus dengan perlahan sambil membayangkan kesemua aura hitam (dan kekusutan fikiran) tadi ikut keluar sama dengan hembusan nafas tersebut. Ulang sehingga terasa puas.

3. Mencium bau wangian kasturi. Kaedah ini paling sesuai dibuat sebelum solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Ini disebabkan kerana pada waktu solat tersebut adalah waktu sejuk (pagi dan malam). Sifat kasturi adalah panas, maka jika dicium pada waktu sejuk, ia menjadi harmoni (kerana sifat panas dan sejuk bertemu) dan boleh menenangkan minda. Caranya, selesai membersihkan diri dan berwudhu', calitkan sedikit wangian kasturi pada tapak tangan, gosok dengan kuat kemudian hidu tapak tangan tersebut dalam-dalam sehingga nafas memenuhi paru-paru. Kemudian lepaskan nafas dengan perasaan lega.

4. Bakar gaharu dari jenis oud atau cendana (sandalwood). Dikatakan bahawa ahli sufi amat menggemari haruman oud dan sandalwood kerana ia membantu menenangkan minda ketika berzikir dan menurunkan egoism.

5. Berzikir kalimah Tauhid iaitu Laila ha illallah. Kaedah berzikir ini saya sarankan gunakanlah tasbih yang diperbuat daripada kayu (semua jenis kayu boleh digunakan). Ketika menghitung tasbih, pejam mata, lafazkan zikir dengan perlahan, tancapkan maksud zikir dalam hati, hilangkan semua ingatan, sebaliknya fokuslah kepada Allah sahaja. Maksud fokus kepada Allah bukanlah membayangkan Allah, tapi 'rasakan' kehadiran Allah ada di hadapan kita. Atur nafas agar senada dan selari dengan ucapan zikir kita.

6. Semasa berzikir, tarik buah tasbih dengan menggunakan ibu jari, elak menggunakan jari telunjuk.

7. Leburkan perasaan anda dalam menghayati maksud zikir, yakni hanya Allah ada bersama anda ketika anda berzikir. Katakan dalam hati anda "Aku berserah diri kepada Dia Yang Maha Indah, Maha Mulia, Maha Tinggi, Allah Azzawajalla. Dia memegang hati dan jiwaku. Aku berserah diri kepadaNya..." Hilangkan wujud makhluk dari hati anda. Anggaplah semuanya tiada.Yang ada cuma Allah.

8. Untuk peringkat pertama, disarankan hitungan zikir adalah 100 hitungan. Setelah biasa, boleh tambah mengikut kemampuan.

Demikian tips untuk kali ini. Selamat Mencuba!

Sabtu, 13 Mac 2010

Miri Part 2... and Journey To Bintulu...

sambungan..

Saya dan Zulhatta selamat tiba di Bintulu kira-kira jam 4:30 petang. Hujan telah teduh dan langit kembali terang, namun hawa bumi Bintulu menjadi sejuk dan nyaman selepas hujan. Destinasi pertama sekali ialah Kampung Jepak. Kata orang, zaman dulu Kampung Jepak terkenal dengan permainan polongnya. Orang tua dan muda, boleh dikatakan majoritinya pandai bermain polong. Istilah polong bagi orang Sarawak berbeza dengan orang semenanjung. Kalau polong bagi semenanjung ialah hantu atau jin peliharaan yang digunakan untuk memudaratkan orang lain. Namun istilah 'polong' bagi orang Sarawak ialah ilmu sihir yang menggunakan telur dihantar dari jarak jauh(atau lebih dikenali dengan 'tuju-tuju' di semenanjung). Saya kurang pasti sama ada amalan sihir ini masih dipraktikkan di kampung tersebut pada zaman ini. Harapan dan doa saya, mudahan tidak ada lagi yang bermain polong atau mempraktikkan amalan sihir ini di kampung tersebut.

Di Kampung Jepak, pemohon RMR dan kontraktor telah lama menunggu. Kami mengadakan pemeriksaan rumah dan menyerah kunci rumah setelah inspection selesai. Ini kami lakukan dengan ringkas kerana ada sebuah lagi rumah di Kampung Jabai yang hendak diserahkunci.

Sebelum ke Kampung Jabai, saya dan Zulhatta singgah di Masjid Daerah Bintulu, yang terletak di tepi sungai Kemena (orang Bintulu, betulkan saya jika saya silap). Saya sendiri tidak tahu nama sungai tersebut. Kami menunaikan solat jama'-qasar untuk Zohor dan Asar. Kemudian kami bergegas ke Kampung Jabai untuk menyiapkan tugasan seterusnya.

Mentari petang di Bintulu hampir masuk beradu, menandakan tabir malam mula melabuhkan tirainya. Terserlah cahaya matahari berwarna keemasan terpantul di permukaan air laut semasa saya dan Zulhatta menuju ke Park City Everly Hotel untuk check-in. Hotel ini terletak betul-betul di tepi laut, sekaligus memberi peluang kepada kami untuk menyaksikan keindahan pantai dan menghirup udara segar dari laut.

Bintulu terkenal dengan minyak dan gas aslinya. Keindahan dan ketenangan bandar Bintulu tidaklah dapat dinafikan kerana bandar ini tidak hiruk-pikuk seperti di Kuching, Sibu dan Miri. Tiada kesesakan jalan raya, tiada bangunan pencakar langit, tiada kebisingan, yang ada cuma kehidupan yang perlahan dan monotonous sahaja (kalau boleh dikatakan begitu). Ketenteraman inilah menjadi kelebihan bandar Bintulu jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain di negeri Sarawak.

Malam di Bintulu, tidak banyak aktiviti yang dilakukan. Zulhatta berjumpa dengan keluarga mertuanya, saya pula pergi berjumpa dengan kawan baik saya. Kawan baik saya ini, atau boleh saya panggil dia sahabat baik saya, seorang yang sangat baik hati. Dia seorang yang sederhana. Walaupun datang dari keluarga yang berada, namun mempunyai sifat rendah hati dan humble. Sahabat saya ini tidak suka jika orang memandang harta kekayaan keluarganya. Seringkali sahabat saya ini mengingatkan saya supaya berkawan dengannya bukan kerana harta dan kedudukan keluarganya, tetapi berkawanlah kerana ikhlas dan niat yang baik. Ini yang saya pelajari dari sahabat baik saya ini. Keluarganya juga baik-baik belaka. Saya pernah duduk bersembang dengan ibu bapanya. Ibunya seorang yang peramah dan lemah lembut. Ayahnya walaupun tidak banyak bercakap, tapi masih mesra dengan saya. Alhamdulillah, saya beruntung dan bertuah kerana mempunyai sahabat yang baik seperti dia.

Keesokannya, saya dan Zulhatta balik semula ke Miri dengan Kembara syarikat. Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam dengan menggunakan jalan pesisir. Sekali lagi kami singgah ke Bekenu untuk serahkunci sebuah lagi rumah. Kami sampai ke Miri kira-kira jam 5:30 petang, dan menginap di Mega Hotel.

Saya berjumpa dengan usu Wet, iaitu adik bongsu kepada ayah saya usai solat Isyak. Pelbagai perkara disembangkan, lebih kepada hal keluarga. Usu Wet sangat rapat dengan ayah. Ayah selalu berpesan kepada saya supaya menziarahi Usu Wet setiap kali pergi ke Miri. Ini saya lakukan jika saya mempunyai masa panjang jika berada di Miri.

Tidak banyak yang hendak saya kongsikan tentang Miri. Apa yang dapat saya katakan ialah, kedatangan dan kunjungan saya ke Miri pada kali ini lebih kepada menggamit memori silam. Saya pernah menetap malah bersekolah di Miri sekitar tahun 1989-1991. Kesempatan ke Miri pada kali ini saya gunakan untuk melihat sekolah lama saya, iaitu SMB St. Columba. Sempat juga saya mengambil gambar sekolah tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.


SMB St Columba Miri.


Blok kelas semasa di Tingkatan 2.


Blok kelas semasa di Tingkatan 1.


Bandar Miri

Jumaat, 12 Mac 2010

Miri...

Tugasan luar Kuching saya terima sejak 2 minggu yang lalu. Kali ini saya dan Zulhatta akan pergi ke Bintulu dan Miri dengan menaiki pesawat jam 7:00 pagi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Tugasan kali ini adalah untuk serah kunci Rumah Mesra Rakyat untuk pemohon sekitar Miri dan Bintulu, di samping membuat lawatan tapak ke sesetengah tapak projek yang telah habis tempoh Defect Liabilty Period (DLP) atau dalam bahasa mudahnya, Tempoh Tanggungan.

Seawal jam 4:45 pagi, saya sudah bangun dan membersihkan diri. Azan Subuh belum berkumandang, cadangnya hendak solat Tahajud 2 rakaat. Namun oleh kerana ayah dah bersedia di car porch rumah, saya batalkan niat saya kerana saya tahu ayah tidak suka menunggu dan terburu-buru ke airport. Ayah lebih senang memandu dalam keadaan tenang ke airport dan tidak suka jika saya memecut laju kerana takut kesuntukan masa. Sebab itulah ayah lebih suka turun lebih awal dari masa yang ditetapkan. Saya memandu Vios 1.5 kepunyaan ayah meredah udara dingin pagi bandaraya Kuching yang indah, bersembang pelbagai perkara dengan ayah sambil mendengar radio yang mengalunkan zikir pagi dan bacaan Quran di Radio RTM Sarawak bagi menandakan azan Subuh bakal berkumandang sebentar lagi.

Setibanya di airport, azan Subuh pun berkumandang. Saya memarkir kereta di tempat parkir, manakala ayah bergegas ke surau airport untuk menunaikan solat Subuh. Dalam keadaan terkial-kial, tangan kanan mengheret beg baju, manakala tangan kiri pula membawa laptop dan kamera ofis, saya menuju ke kaunter check-in. Kebetulan, staf perempuan di kaunter check-in itu saya kenal, Siti Sa'arah namanya. Budak sama kampung Boyan, kampung nenek sebelah emak.

Siti Sa'arah sebaya dengan adik bongsu saya, Amirudean. Lama juga tak jumpa dia. Semenjak sebahagian rumah orang kampung Boyan dipindahkan ke Demak, jarang sekali kami berjumpa dengan jiran sekampung. Di kampung, rumah Siti terletak di belakang rumah nenek saya, Hjh Menah. Dulu saya lihat budak Siti ni masih kebudak-budakan, hingusan lagi. Sekarang dah angkat dara kata orang tua, jauh benar bezanya. Sempat juga saya berbual sebentar dengan Siti, bertanyakan khabar keluarganya. Boleh dikatakan keluarga Siti amat baik dengan keluarga kami. Sering juga mereka tolong tengokkan nenek saya semasa kami sekeluarga tinggal di Miri dulu. Nenek tinggal berseorangan di rumah kampung, Mak Ros, ibu kepada Siti Sa'arah inilah yang kadang-kadang ada datang tolong menengokkan nenek di rumah.

Setelah mendaftar, saya mengucapkan terima kasih dan berpamitan dengan Siti. Saya segera ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Berpapasan dengan ayah di luar surau yang baru sahaja selesai solat, saya mencium tanggannya dan ayah pulang terus sambil berpesan supaya menjaga diri dan berhati-hati. Memandangkan masa masih panjang, saya sempat membaca Hizib Bahar dan ditutup dengan doa pagi tersebut.

Miri nan Indah...

Touch down di Miri tepat jam 8:00 pagi. Saya dan Zulhatta menggunakan kereta syarikat untuk bergerak ke tapak projek. Sebelumnya, kami bersarapan dahulu di bandar Miri. Kemudian temujanji dengan kontraktor di Kampung Batu Lapan, Miri.

Kami ke Bekenu pada sebelah tengaharinya. Di sana saya berpeluang menjelajah ke perkampungan yang ada dalam daerah Bekenu. Banyak juga kampung-kampung kecil di sini. Kebanyakan masyarakat di Bekenu berbangsa Kedayan. Seperti Melanau, bangsa Kedayan juga ada yang beragama Islam dan Kristian. Namun tak kurang juga yang masih berfahaman pagan, iaitu fahaman nenek moyang dan animisme.

Selesai urusan di Bekenu, kami memecut ke Bintulu dengan menggunakan jalan pesisir. Di pertengahan jalan, hujan turun dengan lebatnya sehingga membataskan jarak penglihatan. Ini menyebabkan saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana keterbatasan jarak penglihatan. Berdearu juga darah saya apabila Kembara yang saya pandu melanggar lopak air hingga bergegar stereng, namun semuanya masih dalam kawalan, alhamdulillah.

Bersambung...

Ahad, 7 Mac 2010

"Kembalikan Kepala Aku!..."


Petang tadi, selesai usrah untuk remaja di Surau Kampung Surabaya Hulu, saya bergegas menghantar kereta ke rumah ust Soleh. Sempat saya berbual seketika dengan beliau di halaman rumah sebelum berpisah. Ust Soleh baru sahaja pulang dari KL kerana menghadiri mesyuarat jemaah di sana.

Saya berjalan kaki pulang ke rumah kerana rumah ust Soleh terletak tidak jauh dari rumah saya. Seronok juga berjalan kaki di taman perumahan tempat saya tinggal ini. Udaranya masih segar dan bersih, suasana kampung pun masih terpelihara. Saya menyapa beberapa orang pemuda yang melepak di tepi jalan, khuatir pula dikata sombong kalau tidak memberi salam kepada mereka.

Suasana senja di kawasan perumahan agak aman dan damai. Cuaca pun redup, langit dilitupi awan dan angin sepoi-sepoi bahasa menyegarkan urat nadi saya. Taman Selasih terletak di antara Taman Sepawi dan Taman Anib, Petra Jaya. Atas Taman Selasih, terletak pula Taman Wangsa yang didiami oleh golongan kaya dan profesional (jika boleh saya katakan demikian). Udara nyaman dan suasana yang redup amat menggembirakan saya, jika dibandingkan dengan tengahari tadi, panas terik matahari membantutkan niat saya untuk ke Hotel 4 Points untuk menghadiri alumni ESQ dan seterusnya ke The Spring bagi menyaksikan pameran Permata Hijrah, satu produk kesihatan mata keluaran Islam Bumiputera. Saya dapat tahu mengenai pameran ini melalui ayah saya yang mendengar dari informasi kawan-kawannya.

Handphone berdering, ust Ijan rupanya.

Ust Ijan : Assalamualaikum, syeikh. Pakabar? Sehat?

Saya : Ana sehat. Apa cerita?

Ust Ijan : Minta tolong anta, ada satu kes kat Kpg Empila, Samarahan. Budak perempuan ni kena sihir. Ana dah ruqyah dah, jin dah keluar tapi datang balik. Tadi bapa budak tu call ana, minta tolong ruqyah lagi. Ana tak sehat ni, nak minta tolong anta pulak, try guna kaedah anta.

KPG. EMPILA? Jauh tu...

Saya : Errr, insya Allah. Ana cuba lah.

Ust Ijan : Alhamdulillah, ana bagi no. telefon anta dengan bapa budak tu. Nanti suruh dia call anta balik.

Saya : Boleh, no problem.

Tidak lama kemudian, bapa budak tersebut menelefon saya.

Bapa Pesakit : Assalamualaikum ust. Ada tak ust Ijan bagitau ustaz hajat saya tadi?

Saya : Ada. Apa sakitnya?

Bapa Pesakit : Dia kena sihir oleh bekas tunang dia, ustaz. Minta tolong benar-benar dengan ustaz. Kesian tengok dia. Dah 6 hari tak makan. Asal nak makan je, muntah balik. Tolong ye, ust?

Saya bersetuju dengan permintaan bapa pesakit itu. Kasihan pula saya mendengar rayuannya. Ye lah, hati ayah mana tak sedih tengok ana terlantar sakit, tak dapat makan sampai 6 hari. Parah jugak kes ni, saya berfikir.

Saya call Wan Sudirman, namun Wan menyatakan yang dia tak dapat join ruqyah malam ini kerana sibuk menjadi ATS Training ESQ di 4 Points. Saya pasrah.

Saya ajak Radzi dan Harun. Radzi tak dapat join, kerana ada hal katanya. Akhirnya Harunlah yang menemani saya ke Kpg Empila untuk merawat.

Kami berangkat selesai solat Isyak, dengan menggunakan Hilux syarikat. Hujan lebat mula membasahi bumi Kuching, bermula dari bandar Kuching sehingga ke bulatan UITM Samarahan. Hujan lebat agak menggusarkan saya,kerana perjalanan ke Kpg Empila agak jauh dan tiada lampu jalan raya untuk ke kampung tersebut. Syukurlah Harun ada untuk menemani saya. Kalau pergi seorang diri memang kena fikir 2 kali agaknya.

Kami disambut oleh keluarga pesakit, dengan wajah penuh harapan. Kasihan, mereka tinggal di rumah kecil, dibina dari bata yang biasa dipakai oleh orang kampung. Rumahnya kecil, tapi ahli keluarga ramai.

Pesakit terbaring lemah, dah 6 hari tak makan. Si ayah mengangkat si pesakit dan membawa ke ruang tamu yang luas untuk dirawat. Saya memulakan rawatan. Pesakit tidak dapat bercakap, tetapi tubuhnya terhenjut-henjut, seolah-olah ada sesuatu yang bergerak dan menyentak perutnya. Saya meletakkan tapak tangan pada bahagian perutnya, kemudian memulakan ruqyah. Kemudian saya tekan dengan perlahan bahagian perut dengan niat menikam dan Bismillah 6 dibacakan.

Pesakit mula kesakitan, jin sudah menunjukkan reaksi. Saya memulakan dialog...

Saya : Siapa ni? Datang sendiri ke, atau dihantar?

Pesakit : (menyeringai, tidak menjawab)

Saya : Awak nak kena azab ke? Kalau awak degil tak nak kerjasama, saya azab awak dengan ayat-ayat Allah, bi iznillah.

Saya menggunakan Kaedah Merotan. Jin dalam tubuh pesakit meronta-ronta kesakitan walaupun hakikatnya saya merotan sejadah, bukan merotan jasad pesakit.

Seterusnya, saya seksa lagi jin tersebut dengan kaedah tikam. Saya tekan dengan jari telunjuk pada bahagian perut dengan lembut, dan membaca doa "Bismillahi Mutakabbirin 'anid". Tubuh pesakit mengejang dan menjerit kesakitan.

Pesakit : (menjelir-jelir lidah, seperti ular)

Saya : Awak jin ular kah? Dapat bercakap atau tidak?

Pesakit :(menunjukkan halkumnya, memberi isyarat tidak dapat bercakap)

Saya memegang leher pesakit, doa dibacakan, kemudian berniat menarik penghalang yang ada pada leher si pesakit.

Saya : Dapat bercakap dah?

Pesakit : Dapat.

Saya : Awak siapa? Awak Islam atau kafir?

Pesakit : Kafir. Aku sakit. Aku nak keluar! Tuan aku dah nyawa-nyawa ikan. Aku nak balik balas dendam dengan tuan aku!

Saya : Tak payah! Biar Allah balas balik perbuatan tuan awak. Kenapa awak nak balas dendam dengan tuan awak?

Pesakit : Aku tak tahan! Aku nak keluar!

Saya : Baik. Saya tawarkan awak agama Islam, awak akan selamat jika masuk Islam. Mahu?

Pesakit : Aku akan masuk Islam, aku berjanji dengan kau! Tapi kembalikan kepala aku!

Saya : Kepala awak? Awak simpan kat mana?

Pesakit : Disimpan. Ditanam dalam tanah!

Saya : Siapa tanam?

Pesakit : Bapak budak ini!

Saya kehairanan. Saya bertanya dengan bapa pesakit, apa maksud kata-kata jin tersebut. Bapa pesakit menceritakan, anaknya diberi sejenis azimat yang berbungkus dengan kain hitam oleh bekas tunangnya, yang diletak di bawah bantal.Tunangnnya orang Sabah, berbangsa Kadazan dan bekerja sebagai Operator Mesin Excavator. Setelah putus tunang, anaknya memberi azimat tersebut kepada bapanya. Bapanya membawa azimat tersebut berjumpa dengan seorang bomoh untuk dilupuskan. Bila azimat tersebut dibuka, kelihatan kepala ular kering, beberapa serpihan tulang dan benda-banda lain yang ganjil dan pelik rupanya. Bomoh tersebut menyuruh bapa si pesakit menanam azimat tersebut di dalam tanah, lebih tepatnya, tanah di bawah longkang. Kalau dalam bahasa Sarawak, ia dipanggil "Dipendam Debah Juruk".

Bapa pesakit juga menceritakan, beliau pernah diugut tunang anaknya dengan meminta sebanyak RM 5000, jika tidak nyawa anaknya akan melayang. "Nyawa dia dalam tangan aku.." demikianlah kata bekas tunang si pesakit.

Jin tersebut mengatakan, dia akan masuk Islam jika kepalanya dikembalikan. Saya berfikir agak mustahil untuk menggali kembali tempat azimat tersebut ditanam kerana telah dilimpahi dengan air longkang dan najis dari tangki najis rumah tersebut. Saya katakan kepada jin tersebut, saya akan berdoa kepada Allah untuk memberinya kepala yang baru, yang lebih elok dan cantik, dengan izin Allah.

Jin tersebut bersetuju. Saya berdoa dan diaminkan oleh seluruh keluarga yang hadir menyaksikan peristiwa tersebut.

Saya memimpin jin tersebut melafaz syahadah. Syahadah dapat dilafazkan walaupun tersekat-sekat. Namun alhamdulillah jin tersebut telah Islam dan diberi nama Ibrahim.

Sebelum keluar, seperti biasa saya menyuruh Ibrahim bersumpah atas nama Allah tidak akan mengganggu lagi. Ibrahim bersetuju dan melafazkan sumpah tersebut dengan rela hati.

Dengan potongan doa dan ayat Quran, saya menarik jin dari bahagian kepala hingga ke kaki sepertimana yang saya pelajari dari buku ust Majid (AKRINE) dan menghantarnya ke Makkah, dengan izin Allah.

Pesakit sedar selepas itu dan alhamdulillah dapat minum dan bercakap seperti biasa, walaupun kondisinya masih lemah.

Wallahu 'alam.

Jumaat, 5 Mac 2010

Kerasukan Jin Cina

Sudah lama saya tidak menulis. Saya mohon maaf kepada semua pembaca blog kerana kesibukan masa yang menyebabkan saya kurang memberi perhatian untuk mengupdate blog ini.

Lebih kurang 2 minggu yang lepas, saya menerima satu panggilan telefon dari seorang guru silat tenaga dalam, memaklumkan ada kejadian rasuk di kampung Sungai Bedil, Petra Jaya, Kuching.

Pada ketika itu, saya dan ayah baru sahaja selesai makan malam dan sedang duduk bersembang di luar rumah sambil mengambil angin malam. Lama juga tak bersembang dengan ayah, pelbagai perkara yang disembangkan dengan ayah malam tersebut.

Ayah : E, ko nulong ngambik kopi bapak atas meja dapur nun lok.
(E, engkau tolong ambikkan kopi ayah kat atas meja dapur tu)

Saya : Aok, jap.
(Ya, sekejap).

Saya menuju ke dapur dan mengambil air kopi ayah yang terletak atas meja dapur. Ibu pula sedang menonton televisyen. Saya melihat ibu asyik benar menonton movie di televisyen itu sejak selesai solat Isyak. Sebelum ke dapur, saya ke bilik tidur untuk memeriksa handphone kot-kot ada incoming call.

Sah, ada 2 missed call dari Cikgu Wan Hussein.

Cikgu Wan Hussein merupakan guru silat Tenaga Dalam An-Nur bagi kawasan Kuching. Saya mengenali beliau melalui seorang kawan. Sempat juga saya bertukar-tukar fikrian dengan beliau mengenai rawatan Islam dan sebagainya.

Saya segera call kembali Cikgu Wan Hussein dan menanyakan apa hajatnya. Beliau meminta tolong saya untuk merawat isteri kepada kenalannya yang dikatakan kerasukan jin Cina, kerana pesakit tiba-tiba boleh bertutur dalam bahasa Cina.

Saya membuat panggilan kepada Wan Sudirman dan memaklumkan bahawa kes ini dikira sebagai kecemasan kerana tiada temujanji dibuat. Wan Sudirman bersetuju dan kami bergegas ke rumah pesakit.

Kami tiba kira-kira jam 9:30 mlm. Ramai orang memenuhi rumah tersebut, kelihatan juga beberapa anak muda duduk melepak di luar rumah. Kami ke bilik si pesakit, kedengaran bunyi bacaan ayat suci Quran dibacakan oleh saudara pesakit dan juga dari handphone bimbit yang diletakkan ke telinga pesakit.

Saya meminta anak lelaki si pesakit duduk di sebelah ibunya, dan saya segera memulakan bacaan ruqyah dan doa-doa yang lain. Ketika masuk ke ayat 'afahasibtum...', si pesakit mula menggeletar dengan kuatnya, sehingga tasbih yang dipegangnya digoncang dengan kuat. Serentak dengan itu pesakit mula meracau dan berlagu seperti opera Cina. Saya memulakan dialog.

Saya : Awak siapa?

Pesakit : (senyap)

Saya : Awak Cina dari mana?Awak ada nama?

Pesakit : (geleng)

Saya : (Blur...)

Wan Sudirman meruqyah segelas air dan kemudian menyerahkan air tersebut kepada pesakit untuk diminum. Setelah minum, saya menyambung pertanyaan kepada pesakit.

Saya : Baik, sekarang saya tanya awak soalan 'Ya' dan 'Tidak', kalau 'Ya', angguk, kalau 'Tidak', geleng. Boleh?

Pesakit : (angguk)

Saya mula menanyakan beberapa soalan kepada si pesakit. Saya berdoa di dalam hati agar dipermudahkan segala sesi soal jawab ini, dan alhamdulillah singkat cerita jin tersebut setuju untuk masuk Islam dengan diberi nama Khadijah.

Setelah melafaz syahadah, saya menawarkan kepada jin tersebut untuk pergi ke Makkah. Dia bersetuju dan saya berdoa kepada Allah agar dipermudahkan untuk jin tersebut pergi ke Makkah dengan dihantar oleh angin.

Setelah kaedah tarik digunakan dari arah kepala digunakan, pesakit mulai sedar. Saya menyuruh pesakit mengucap dan pesakit dapat mengucap dengan fasih.

Saya tamatkan sesi rawatan dan kami berbual pula dengan ahli keluarga pesakit. Pelbagai soalan ditanya kepada kami dan saya dan Wan Sudirman menjawab dengan tenang sesuai ilmu pengetahuan yang kami miliki. Sempat juga saya menasihatkan kepada anak-anak muda yang melepak di luar rumah tersebut yang merupakan kumpulan lumba perahu bagi daerah Kuching. Menariknya, mereka menggunakan sejenis azimat untuk memenangi setiap perlumban yang mereka sertai. Saya dan Wan Sudirman menasihatkan mereka agar membuang azimat tersebut kerana ia syirik dan menjejaskan tauhid. Alhamdulillah, mereka mendengar nasihat kami dan meminta kami untuk menawar dan memusnahkan azimat tersebut pada malam itu juga.

Semoga aqidah umat Islam sentiasa terpelihara dari kesyirikan dalam kehidupan sehari-harian.