Jumaat, 22 Januari 2010

ESQ, Allah dan Semenanjung vs Sarawak...

Pelbagai isu yang pelik,menarik, ganjil dan tak kurang juga yang tidak berfaedah berlaku sejak akhir-akhir ini. Sebenarnya banyak juga yang hendak saya tuliskan dalam entry pada kali ini, namun memandangkan masa yang terhad dan 'mood' yang kurang memberangsangkan untuk menulis, saya ingin mengulas isu provokasi agama dan kenegerian yang berlaku dengan hebatnya ketika ini.

Sebelumnya, mohon maaf kerana lama tak update. Kesibukan dan keterhadan masa yang menghambat saya membuatkan saya tidak betah untuk menulis, malah faktor 'mood' juga mempengaruhi kerana saya berpendapat tanpa 'mood' sukar untuk saya mencurahkan idea dan buah fikiran dalam tulisan saya walaupun banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama.

Pertama, saya hendak menjawab isu ESQ seperti yang disembangkan oleh salah seorang pengunjung dalam blog saya. Apa yang saya dapat jawab, saya enggan menjebakkan diri dalam perdebatan yang panjang kerana saya bukanlah ahli debat. Masing-masing mempunyai ilmu dan pengetahuan agama, nilailah sendiri dengan matahati yang bersih dan iman yang mantap.

Individu yang mengajak saya untuk menyertai ESQ adalah murabbi @ naqib usrah saya sendiri, yang terkenal dengan ketegasannya dalam ilmu tauhid dan tiada kompromi mengenai bab-bab bid'ah, sehinggakan beliau dituduh Wahabi. Malahan naqib kepada naqib saya itu sendiri juga merupakan alumni ESQ, anak kepada salah seorang Kiyai terkenal di Indonesia dan beliau juga berpendapat ESQ adalah perkara asas dalam Islam yang wajib dipelajari oleh semua masyarakat namun dengan kaedah penyampaian dan method yang berbeza. Kalaulah ESQ itu sesat, saya yakin naqib saya tidak akan recommend ESQ kepada saya.

Kalau Mufti Wilayah Persekutuan kata ESQ itu liberal, mengapa pula Mufti Perak komen ESQ itu baik dan bermanfaat? Soalan saya, mana satu mufti yang patut kita ikut? Nak kata Mufti Perak salah dan Mufti Wilayah Persekutuan itu betul, mereka sama-sama belajar agama. Jadi, mana titik pertemuannya? Siapa yang salah dan siapa betul?

Balik-balik, jawapannya cuma satu... tepuk dada tanya iman.

Satu lagi isu yang timbul ialah penggunaan kalimah Allah. Pelbagai reaksi dan komen mengenai isu ini. Ada yang menentang, tidak kurang juga berpendapat "Alah, takpelah. Biar diaorang guna nama Allah tu. Kan sama je? Orang Kristian pun agama samawi jugak. Diaorang pun sembah Allah jugak. Yang bezanya cuma Rasul dan konsep ketuhanan. Kita orang Islam menafikan Allah tu beranak, yang Kristian pulak beriman yang ALlah tu beranak. Itu je bezanya..." Ini yang saya dengar dari mulut seorang ustaz. Berasal dari Semenanjung. Saya agak terkejut mendengar komen ini kerana pada mulanya saya berpendapat yang orang semenanjunglah yang paling kuat menentang penggunaan kalimah Allah dalam agam Kristian berbanding orang Borneo (Sabah dan Sarawak).

Penggunaan kalimah Allah dalam Bible ini telah lama sebenarnya. Saya sendiri pernah membaca Bible yang mengandungi nama Allah di dalamnya semasa saya bersekolah di St Edmund Limbang dahulu. Bible ini diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dan digunakan secara meluas di Sarawak. Boleh kata semua orang Sarawak (dan mungkin juga orang Sabah) dah tahu perkara ini sejak dulu lagi. Ini kerana hasil pergaulan orang Islam dengan orang Kristian di Sarawak amat luas, dan tidaklah dinafikan bahawa faktor orang Kristian lebih ramai berbanding Muslim di negeri ini berbanding dengan Semenanjung Malaysia menyebabkan pendedahan mengenai agama Kristian di kalangan orang Islam di Sarawak tersebar luas. Syukurnya, penanaman ilmu tauhid yang mantap oleh ibu bapa dan para guru agama menjadikan umat Muslim di Sarawak dapat membezakan 'Allah' orang Islam dan 'Allah' mengikut pemahaman orang Kristian. Saya sendiri pernah membuat assignment mengenai aqidah Kristian semasa saya mengikuti halaqah usrah ustaz Sarbini dan perbandingannya dengan aqidah murni agama Islam.

Apa-apa pun, perkara ini eloklah diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti ulama, pemerintah dan lain-lain. Tidak layak rasanya hendak mengulas lebih panjang mengenai isu ini. Saya bukanlah seorang ustaz atau ulama, hanya sekadar melontarkan buah fikiran dan idea sahaja.

Satu lagi isu hangat ketika ini yang marak di sebuah laman sosial ialah mengenai isu orang Semenanjung menghina orang Sarawak. Ada 2 orang individu yang telah dikenalpasti menimbulkan provokasi tersebut dengan mengatakan orang Sarawak mundur, tinggal atas pokok, banyak hutan, tidak membangun, masih memakai cawat dan sebagainya. Saya hanya ketawa seorang diri apabila membaca komen 2 orang individu ini kerana saya yakin yang menimbulkan isu ini adalah budak hingusan yang tidak tahu apa-apa. Jadi, nasihat saya janganlah terpancing emosi dengan perkara-perkara seperti ini kerana dikhuatiri akan mengeruhkan hubungan antara orang Semenanjung dengan orang Sarawak.

Kalaulah benar orang Sarawak tinggal di atas pokok, sudah tentu saya tak dapat online dan post entry ke blog saya ini. ;-)

Teringat pula saya dengan cerita salah seorang ikhwah kami dari semenanjung. Beliau bercerita,

"Pertama kali ana dapat surat disuruh posting ke Kuching, Sarawak, ana berasa sedih. Ana sedih kerana terpaksa berjauhan dengan kampung halaman dan famili. Ana berfikir negatif tentang negeri Sarawak. Ana buntu macam mana hendak menyesuaikan diri dengan suasana asing bagi diri ana bila ana sampai ke Sarawak kelak.

Ana pergi melapor diri di Kuching dengan meninggalkan keluarga ana sementara di Semenanjung. Tidak lama selepas itu, ana balik semula ke semenanjung untuk menjemput dan membawa famili ana tinggal sekali di Kuching. Anak ana bertanya kepada ana,

Anak : Abah, rumah kita kat atas pokok ke?

Ana : (dengan tersenyum) tak, rumah kita rumah batu, siap ada air-cond lagi.

Ana bawa keluarga ana round-round sekitar Kuching, malah sampai ke Miri. Ternyata Sarawak adalah sebuah negeri yang maju, banyak bangunan tinggi dan jaringan jalanraya yang pesat membangun dan moden, bukannnya mundur seperti yang difikirkan oleh kebanyakan orang di Semenanjung..."

Demikianlah, tak kenal maka tak cinta. Saya sendiri secara peribadi tidak menyalahkan dan menghukum semua orang semenajung berfikiran negatif terhadap orang Sarawak. Kadang-kadang, kaedah pengiklanan dan promosi negeri Sarawak yang hanya menonjolkan hutan belantara seperti yang dilihat dalam kaca televisyen menyebabkan ramai yang menyangka Sarawak adalah sebuah negeri yang penuh dengan hutan, tiada pembangunan, pakai cawat dan lain-lain. Itu yang menyebabkan orang semenanjung salah interpretasi terhadap negeri Sarawak.

Apa-apa pun, sebagai Muslim, janganlah kita bertelagah dan berkelahi kerana berbeza negeri dan tempat. Kita semua adalah sama. Ramai orang Sarawak berkahwin dengan orang semenanjung, demikian juga orang semenanjung. Ramai yang dah berkahwin dengan orang Sarawak sampai beranak-pinak. Merka hidup rukun dan damai, harmoni dalam semangat kekeluargaan.

Wallahu 'alam...

Jumaat, 1 Januari 2010

Silat, 'Penampar' Ustaz Hashim Man --->All Out...

Seminggu ini memang penuh dengan aktiviti, hingga menyebabkan saya tidak punya masa untuk stay di rumah seperti orang bercuti. Namun saya berpuas hati kerana kesemua aktiviti saya berjalan dengan lancar dan berbaloi, walaupun keletihan dan kurang tidur.

Grand ESQ training yang berlangsung di Borneo Convention Centre (BCCK) kali ini benar-benar istimewa bagi saya, kerana ibu dan ayah saya ikut serta sebagai peserta. Dan lebih mengejutkan lagi, sepupu saya, Bro Benny Zaidi serta isteri turut serta dalam training tersebut. Udak Mat, sepupu kepada ibu saya juga turut serta namun dia datang pada hari kedua training kerana menghadiri mesyuarat di Bintulu pada hari pertama. Ramai juga ahli keluarga saya dah menjadi alumni ESQ. Alhamdulillah.

Peserta training kali ini mencecah 200 orang, dan salah seorang daripada mereka ialah partner ruqyah saya, Wan Sudirman yang turut serta diberi peluang untuk mengikuti training ini dengan sokongan dan pertolongan daripada sahabat baik saya, Hairi a.k.a Jalot. Ainol dari HIKMAH Kuching juga turut serta dalam training ini.

Tiga hari training dan bertugas sebagai ATS memang memenatkan. Mesyuarat sebelum training diadakan pada hari Isnin, kemudian training bermula pada hari Selasa hingga Khamis. Setiap hari kena bergegas ke BCCK dengan segera bagi mengatur tempat training, mesyuarat dan briefing, menyediakan tempat dan lain-lain. Bilangan ATS tidak ramai, cuma 20 orang sahaja yang dibenarkan dan dipilih oleh pihak pengurusan ESQ Sarawak. Segala-galanya kena berjalan dengan lancar dan cepat, seboleh-bolehnya jangan ada cacat cela sepanjang training dijalankan kerana kebanyakan peserta adalah VIP seperti Pengarah DBKU, STIDC, Imam Besar Negeri Sarawak dan lain-lain.

Menyediakan blok tempat duduk peserta, persediaan untuk games, tempat solat dan sebagainya nampak mudah namun sebenarnya memenatkan. Namun kesemua ATS termasuk saya membuat kerja-kerja tersebut dengan senang hati dan senyum di wajah. Kami amat enjoy membuat kerja kerana kerjasama yang sangat erat antara ATS yang terlibat. Balik dekat nak tengah malam, lepas mandi, solat, tidur terus. Esok pagi, rutin yang sama dibuat. Demikianlah aktiviti saya sepanjang 3 hari tersebut.

Gangguan Jin @ Kesilapan Teknikal?


Kisah ini berlaku pada hari kedua training. Dewan yang sengaja digelapkan untuk salah satu slot dalam training tiba-tiba menyala. Trainer dan ATS dah mula panik sekejap kerana lampu memainkan peranan penting dalam training. ATS bertugas bergegas ke bilik kawalan dan bertanya kepada juruteknik BCCK yang bertugas kenapa lampu 'dimainkan' ketika aktiviti sedang berjalan. Juruteknik tersebut tidak dapat menjawab kerana suis automatik lampu tiba-tiba tidak dapat dikawal dan suis-suis tersebut 'bermain' sendiri.

Saya segera keluar dewan untuk memeriksa apa yang terjadi. Setelah dimaklumkan oleh ATS lain mengenai kejadian tersebut, saya menyuruh Nazmi memanggil Abg Kelana untuk sama-sama memeriksa bilik kawalan. Abg Kelana merupakan staf Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak dan beliau juga mahir dalam ilmu rawatan Islam dan Ruqyah Syar'iyyah.

Sampai di bilik kawalan, juruteknik berusaha untuk membetulkan sistem suis dan lampu dewan. Izwan hanya terpaku di sebelah, tidak tahu nak buat apa. Kasihan juga saya melihatnya, mungkin stress dengan keadaan yang berlaku kerana Izwanlah yang bertanggungkawab bab-bab teknikal dewan seminar.

Bang Kelana segera bertindak. Beliau membacakan beberapa ayat Ruqyah sambil jarinya menekan suis. Saya hanya memerhatikan sahaja kerana saya berpendapat cukuplah bang Kelana yang memberi tangan. Setelah beberapa ketika, barulah masalah tersebut selesai. Lampu dapat dipadamkan dan slot alfa berjalan dengan lancar.

Saya menarik nafas lega. Jelas nampak kelegaan di wajah ATS yang lain. Bimbang sungguh kami dengan keadaan ini kerana kesilapan seperti ini 'agak sukar untuk dimaafkan' kerana lampu memainkan peranan penting sepanjang training dijalankan. Kami meninggalkan bilik kawalan dan menyambung tugas-tugas lain.

Ustaz Hashim Man 'tampar' jin...

Pada hari ketiga, Ustaz Hashim Man datang ke dewan training sebagai alumni, untuk memberi sokongan kepada training yang sedang dijalankan. Dua hari sebelumnya ustaz tidak dapat hadir kerana masih berada di kampungnya di Pulau Pinang. Mungkin kerana kehadiran 'mahaguru' dan imam hafiz ini di dewan training, gangguan berlaku sekali lagi. Lampu 'dimainkan' oleh 'sesuatu' dan tabir bahagian atas dewan bergerak sendiri. Ada yang mengatakan aircond, ada yang mengatakan bukan sebab aircond. Entahlah. Tapi agak pelik juga bagaimana tabir tersebut boleh bergerak sendiri sedangkan tiada angin bertiup, tambahan pula dewan ditutup rapat dan ini tidak memungkinkan angin dapat masuk ke dalam dewan.

Dalam keadaan kalut itu, ustaz Hashim yang sedang duduk dengan para alumni yang lain berada di belakang dewan. Secara tiba-tiba saya terlihat ustaz Hashim membuat gerak dan isyarat tangan, dan serentak dengan itu lampu dewan pun menyala kembali. Dan gangguan tersebut berakhir di situ sahaja sehingga akhir seminar.

Terdapat cerita di kalangan staf BCCK yang mengatakan kawasan tersebut masih baru dan terletak di tepi sungai menjadi punca kenapa berlaku gangguan-gangguan sedemikian. Mungkin terdapat penunggu sungai ataupun tapak tanah yang tidak berapa 'bersih' menjadi punca kenapa kerap berlaku gangguan di kawasan tersebut.

Wallahu 'alam...

International Standard?

Suatu pagi, sebelum training bermula...

Khairil : Kenak kopi tok pekat gilak o? Sik dikuar kah?
(Apasal kopi ni pekat sangat? Tak dikacau ke?)

Fattah : Aok o, nang pekat gilak kopi tok.
(Ya lah, pekat sangat kopi ni)

Saya dimaklumkan perkara ini dan mula memeriksa coffee machine tersebut. Mustahil kopi tak dikacau atau dibancuh dengan betul. Takkan chef salah buat kot?

Saya berjumpa dengan salah seorang staf @ waiter BCCk yang bertugas, dan memintanya untuk memeriksa mesin kopi tersebut.

Dengan wajah yang berkerut, si waiter mula memeriksa kopi tersebut. Dia menuangkan kopi ke dalam cawan dan menunjukkan kopi tersebut kepada saya.

Waiter : Ok jak kopi tok. Sikda papa pun.
(Ok je kopi ni. Takde apa-apa pun)

Saya : Sidak komplen kopi tok pait, kenak nya pandey pait oh?
(Mereka komplen kopi ni pahit, macam mana boleh pahit?)

Saya menunjukkan penanda aras kopi pada mesin, yang menunjukkan warna air kopi tersebut nampak 'muda'. Saya fikir mungkin pati kopi tersebut tidak dikacau dengan sempurna.

Secara tiba-tiba si waiter tersebut menjawab dengan kasar

Waiter : Nang nya kedak ya. Sik pernah nangga kah?
(Memang macam tu pun. Tak pernah tengok ke?)

Saya terkejut. Bagaimana boleh dia jawab soalan saya dengan kasar demikian? Saya fikir sepatutnya kesemua staf di tempat sebegini sepatutnya melayan dan menjawab dengan sopan dan tertib. Bukankah tempat tersebut dikatakan International Standard?

Saya menahan marah di dada dengan sikap biadab dan kurang ajar waiter tersebut. Saya lihat tag namanya dan ingat nama tersebut sampai bila-bila. Saya enggan meluahkan marah saya di depan waiter tersebut kerana mengenangkan ramai juga peserta training berada di situ dan saya terpaksa mengawal perasaan khuatir memberi anggapan negatif di kalangan peserta terhadap staf ESQ.

Saya segera meminta Sumie untuk komplen mengenai kebiadaban waiter tersebut kepada pihak pengurusan BCCK. Sumie segera bertindak dan saya mendapat tahu bahawa staf tersebut memang kurang ajar dan ini sudah maklum di kalangan pengurusan BCCK.

Hilang rasa kagum dan respect saya terhadap BCCK.

International standard, KONON...

Silat.

Hari terakhir training merupakan malam tahun baru 2010. Kesemua ATS bergembira kerana telah menjalankan tugas dengan cemerlang. Selesai berpisah, saya bergegas ke Kampung Siol Kandis bagi menghadiri Pesta Silat Betawi. Ada 10 perguruan yang terlibat dalam persembahan pada malam tersebut.

Hujan pada malam tersebut sedikit sebanyak menganggu perjalanan pesta. Saya membantu di belakang pentas sahaja untuk pesta kali ini. Sebelum ini saya pernah mengambil bahagian bagi menjayakan pesta ini iaitu pada thun 2001, di mana saya dan Pyan mempersembahkan tempur tangan kosong dan juga bunga perguruan secara massal. Saya berpendapat pesta Silat Betawi 2001 lebih meriah kerana YB Sharifah Mordiah sendiri yang datang untuk merasmikan program tersebut. Untuk malam yang lepas pesta Silat Betawi dirasmikan oleh Setiausaha Agung Rumpun Silat Sarawak (RSS) iaitu Tuan Guru Hj Muhd Haneef Ali a.k.a Hj Luis. Beliau juga merupakan guru utama bagi Perguruan Seni Silat Helang Putih Perkasa negeri Sarawak.

Pada malam tersebut juga Hj Luis menerima ijazah naskhah amalan kebatinan Ilmu Selendang Merah, Tekpi Pusaka dan kitab Doa dan Amalan Kebatinan yang diturunkan khas kepada beliau oleh Tuan Guru Imam Hj Zainuddin bin Hj Adenan, Guru Tua dan Pengasas Seni Silat Betawi Sarawak. Ini sangat jarang berlaku kerana dimaklumkan bahawa Tuan Imam Hj Zainuddin hanya menurunkan ilmu tersebut kepada yang terpilih dan layak sahaja. Saya sendiri pun baru tahu dan terkejut apabila mendapat tahu yang Imam Zainuddin ada menyimpan amalan Selendang Merah yang terkenal itu. Kalau tidak silap saya, ilmu Selendang Merah merupakan ilmu kebatinan yang amat langka amalan Kiai Salleh yang terkenal satu ketika dulu.

Persembahan diteruskan selepas upacara penyerahan sijil kenaikan bengkung kepada pesilat Betawi. Ramai kanak-kanak malam tersebut yang ambil bahagian dalam persembahan dan mereka telah mempersembahkan silat dengan cemerlang dan menakjubkan saya. Saya sangat berbangga kerana masih ada yang berminat untuk belajar sekaligus meneruskan budaya dan adat Melayu yang kian terhakis ini.

Pesta tamat kira-kira jam 11:30 malam. Saya pulang dalam keadaan basah ditimpa hujan dan amat berharap untuk cepat sampai ke rumah kerana dah terlalu penat, kotor dan mengantuk.

Selesai mandi dan solat, saya tidur dengan lena pada malam tersebut, di balik bisingnya dentuman mercun dan bunga api tahun baru...