Jumaat, 19 Ogos 2011

Kisah Ramadhan dan Solat Berjemaah...

Banyak sungguh kisah menarik sepanjang Ramadhan ni. Saya sendiri sebenarnya banyak cerita yang nak dikongsikan. Namun, keterbatasan masa menyebabkan saya kurang aktif untuk meng'update'kan blog ini. Terima kasih dan mohon maaf kepada semua peminat dan pembaca blog ini. Insya Allah, banyak cerita yang ingin saya kongsikan kepada anda semua sekaligus membuka relung hati kita bagi melihat hikmah yang tertuang dalam senario hidup kita.

Rutin bulan Ramadhan agak berbeza pada diri saya berbanding dengan bulan-bulan lain. Tarawih setiap malam, tilawah Al-Quran dan qiamullail, adalah di antara beberapa ibadah sunnah yang menjadi 'tambahan' riadah rohani bagi diri saya dalam bulan yang berkat dan mulia ini. Keseronokan ibadah menyebabkan kita semakin asyik dengan Allah, sehinggakan ketika berdoa pun kita dapat merasakan kehadiran Allah betul-betul di hadapan kita.

Bermula dengan sahur, saya lazimnya hanya makan sedikit sahaja. Cukup untuk mengalas perut dan mengambil berkah sahur. Kemudiannya saya solat tahajjud dan membuat beberapa solat lain sebagai tambahan amalan. Saya yakin, anda juga ada melakukan amalan sunat ini bagi mengejar ganjaran bulan mulia ini, kan? Kalau yang belum itu, eloklah bermula sekarang. Rugi kalau tak buat. Ramadahan datang setahun sekali je. Ambillah peluang yang ada untuk meraih keampunan dan kasih sayang Allah.

Kemudiannya, solat Subuh seperti biasa di masjid Darul Husnul Khatimah. Sejak kebelakangan ini, masjid ini semakin meriah dengan jemaah. Aktiviti dan program masjid pun semakin banyak. Pelbagai tazkirah dan ceramah telah mengisi ruang kosong antara solat, seperti kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh. Ustaz pun ramai kat area sini. MAsing-masing menyumbangkan ilmu kepada penduduk tempatan.

Bercerita tentang masjid, mari kita merenung sejenak diri kita. Adakah kita di antara penduduk atau ahli kariah masjid yang aktif? Bagaimana pandangan kita tentang masjid? Adakah ia sekadar bangunan tempat untuk beribadah sahaja atau lebih dari itu?

Fungsi masjid sebenarnya amat luas. Selain menjadi tempat sembahyang, masjid juga berperanan sebagai tempat setiap ahli komuniti untuk saling bersilaturrahim. Melalui masjid masyarakat dapat berkomunikasi, antaranya jika ada kenduri berkahwin mahupun kematian. Justeru, peranan masjid amat penting dalam masyarakat Melayu, khususnya orang Islam.

Saya amat berbangga dengan masjid di kediaman saya. Ahli-ahlinya sangat baik dan mesra antara satu sama lain. Orang tua menyayangi yang muda, manakala yang muda pula menghormati yang tua. Suasana ini menjadikan masjid kami selesa untuk didatangi. Tok imam kami, Hj Sondong, amat peramah dan mesra dengan semua orang. Tutur katanya yang lembut dapat menarik orang untuk terus menjalin ukhuwwah dengan beliau. Ketika memimpin solat jemaah, beliau tidak terlalu lambat, tidak pula terlalu cepat. Segalanya sederhana.

Kehadiran jemaah yang ramai dalam masjid ketika solat jemaah sebenarnya mampu menjana motivasi jiwa dan menenangkan hati. Boleh dikatakan, aura ketika solat berjemaah jauh bezanya dengan bersolat sendirian. Anda semua akan merasakan perbezaaan ini jika anda melakukannya. Malah, hampir setiap permasalahan hidup yang pernah saya alami, saya temui ketika bersolat jemaah di masjid. Tak percaya? Anda boleh cuba dulu. Kemudian cerita balik dengan saya. ;-)

Kalau ada jenis sukar nak ke masjid untuk bersolat jemaah, sekurang-kurangnya usahakanlah untuk bersolat jemaah bersama-sama keluarga, seperti isteri atau suami. Anda juga boleh mengajak rakan-rakan di tempat kerja anda untuk solat berjemaah bersama. Faedahnya, berkah akan turun dan suasana kasih sayang akan terbina, insya Allah.

Semoga Ramadhan ini menjadi batu loncatan untuk transformasi kita kepada insan yang lebih soleh dan sempurna.

Amin...