Saya dan ayah makan simple sahaja malam ini, nasi putih, sardin dan ikan goreng cicah kicap cili. Ringkas tetapi mengenyangkan.
Semasa memetik cili di luar rumah, terlihat pula Wenndy dan isteri lalu di jalanraya depan. Sepertinya baru pulang dari rumah orang tuanya di perumahan RPR barangkali.
Dua minggu ibu dan adik-beradik lain tiada di rumah, saya dan ayah menjadi 'bujang'. Segala-galanya simple, dari breakfast sampai ke makan malam. Saya dan ayah tidak berkira sangat, apa yang ada itulah yang dimakan. Kalau malas nak masak, saya ajak ayah makan luar.
Makan dengan ayah memang best. Ayah pandai bercerita. Ayah selalu menceritakan pengalamannya semasa muda. Banyak pengajaran yang saya perolehi dari ayah.
Saya membesar dengan asuhan yang baik dari ayah. Semasa kecil saya lebih rapat dengan ibu berbanding ayah. Ini kerana ayah merupakan seorang yang garang dan tegas, mungkin kerana ayah juga diasuh cara tegas oleh Allahyarham Nenda Hj Basir. Nenda Hj Basir merupakan orang Minangkabau yang berasal dari Padang, Sumatera. Beliau merantau jauh dengan menjadikan menjual ubat sebagai sumber pendapatan dan rezekinya. Allahyarhamah Hjh Seniah, yang berketurunan Jawa dari Betawi juga setia dengan datuk saya walau ke mana beliau pergi.
'Kegarangan' dan ketegasan ayah bagaimanapun pd pendapat saya membuahkan hasil. Kami adik-beradik masih 'takut' dengan ayah, walaupun ayah sudah tua, namun memori 'makan' tali pinggang, batang hos dan lain-lain masih terpahat dalam minda. Ayah cukup pantang kalau anak-anaknya malas belajar dan melawan cakap, alamat berbiratlah badan dengan 'libasan' mautnya.
Seiring dengan meningkatnya umur ayah yang semakin tua, ayah tidak seperti dulu lagi. Ayah lebih suka bersembang dengan anak-anaknya secara 'man to man'. Terasa juga diri saya semakin dewasa apabila ayah mengamanahkan beberapa perkara keluarga ke atas bahu saya. Teringat saya ketika pertama kali ayah meminta nasihat saya berkenaan dengan tanah keluarga menunjukkan ayah dah mula percaya dan mendengar pendapat anak-anaknya, kerana dia telah melihat kami semua sudah dewasa dan mampu memberi pendapat seperti orang dewasa.
Semasa makan malam dengan ayah tadi, banyak juga perkara yang disembangkan. Dari hal kerja, hal kampung, hal surau dan lain-lain. Dengan hanya berlaukkan ikan dan kicap cili, saya cuma makan nasi setengah senduk dan beberapa cubit ikan sahaja, sudah mengenyangkan. Begitu juga ayah, ayah tak makan banyak. Dan ayah juga tidak cerewet bab makan. Apa yang ada itulah yang dimakan.
Allah mengenyangkan kami 2 beranak pada malam ini hanya dengan ikan dan nasi putih. Masya Allah, kenyangnya tak terhingga. Saya pun hairan, hanya dengan makan sedikit, kenyang itu menyegarkan seluruh urat saraf badan saya. Mungkin itu yang dikatakan berkat, barangkali...
Wallahu 'alam
assalamualaikom......best jugak cerita awak ni...saya pun dah lama tak rase ape yang awak rase.....
BalasPadam