Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Jumaat, 14 Ogos 2009
Kedondong Pontianak
Ayah saya berasal dari sebuah kampung nun terletak di Batu Kawa, Kuching. Kampung Melayu ini saya rasa di antara kampung yang terpencil di antara kampung-kampung lain. Tidak ramai komuniti Melayu di sana kerana kebanyakan orang yang tinggal di Batu Kawa ialah orang Cina.
Perkampungan orang Melayu yang ada di Batu Kawa ialah Kampung Segedup, Stapok, Rantau Panjang, Rimba, Sinar Budi dan lain-lain. Saya dapati tidak ramai orang Melayu ada di kawasan perkampungan ini mungkin kerana ramai yang telah berhijrah ke tempat lain dan sebagainya.
Kalau di Kuching, kawasan majoriti orang Melayu ialah Petra Jaya dan kawasan Ajibah Abol, Mataim, Patingan, Kampung Masjid, Bandarsah dan lain-lain. Petra Jaya pula boleh dikatakan semua Melayu dan merupakan kawasan elit orang Melayu.
Saya ingin berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang saya tinggal di kampung ayah saya. Ayah saya datang dari sebuah keluarga yang besar, datuk dan nenek saya berasal dari Indonesia. Datuk mendapat tanah di kampung semasa zaman Jepun lagi. Datuk saya, Hj Basir yang merantau dari Padang, Sulawesi merupakan seorang penjual ubat. Nenek pula, Hjh Seniah merupakan keturunan Jawa yang lahir di Kuching manakala bapanya, Tok Atu pula orang yang asli dari Jawa, Indonesia. Tok Atu datang ke Malaya pada ketika itu kerana diambil oleh sebuah syarikat untuk bekerja sebagai penoreh getah dengan orang Jawa yang lain. Sebab itulah di kawasan Stapok dan Batu 11 ramai orang Jawa menetap di sana.
Rumah tempat nenek saya tinggal merupakan kawasan hutan tebal. Tempat tersebut agak sunyi, dan sehingga sekarang kalau malam menjelma pun masih sunyi. Semasa saya masih kecil, kami sekeluarga tinggal di sebelah rumah nenek. Saya jarang bermain dengan kanak-kanak kampung yang lain kerana rumah di kampung tersebut terletak jauh antara satu sama lain. Jadi saya lebih banyak meluangkan masa dan bermain dengan sepupu dan saudara-saudara saya yang lain.
Saya tidak nafikan, kami dibesarkan dengan cerita-cerita misteri dan mistik oleh orang tua kami. Datuk saya Hj Basir pernah menerima sebilah parang Ilang (parang bangsa Iban) semasa mengubat di rumah panjang kaum Iban. Parang ini dikatakan berpuaka, kerana pernah memenggal dan memancung kepala orang. Diceritakan bahawa selain parang tersebut digunakan semasa peperangan, parang itu juga digunakan untuk memenggal kepala pesalah di rumah panjang. Datuk menerima parang itu dari tuai (ketua) rumah panjang kerana berjaya merawat salah seorang penhuni rumah panjang ketika itu. Difahamkan parang tersebut jika disimpan di rumah, jika ada pencuri hendak menceroboh, parang tersebut akan 'mengejar' pencuri tersebut.
Namun kini parang tersebut telah hilang entah ke mana.
Banyak cerita mistik di rumah datuk, tapi kali ini saya ingin menceritakan tentang sepohon pokok kedondong di tepi rumah datuk yang dikatakan berpontianak.
Pohon kedondong ini ditanam oleh datuk semasa mula-mula mendiami rumah tersebut. Saya dan sepupu pada ketika itu masih kecil gemar memanjat dan bermain di pokok tersebut. Apabila pokok itu berbuah, kami menjolok buah tersebut dan makan bersama-sama di bawah pokok.
Setelah sekian lama, saya mendapat tahu dari makcik saya bahawa pokok kedondong tersebut mempunyai misterinya tersendiri. Dikatakan bahawa jika ada kematian berlaku di kampung kami ataupun kampung sebelah, pontianak akan menangis dan ketawa di atas pokok tersebut.
Dikatakan juga, pak su saya yang pulang dari kerja lewat malam pernah terlihat perempuan berbaju putih dan berambut panjang duduk di atas dahan pokok tersebut, merenung ke arah pak su saya dengan matanya yang merah dan bergigi taring, sambil tersenyum.
Saya tidak percaya dengan cerita tersebut dan menganggapnya mengarut, sehinggalah ke satu malam...
Pada ketika itu, saya berada dalam tingkatan 2 di SMK Batu Kawa. Hujan turun dengan lebatnya dan angin bertiup dengan kencang. Saya agak pada ketika itu jam antara 2-3 pagi. Semua orang sudah tidur.
Saya terkejut dari tidur apabila mendengar guruh berdentum. Saya melihat kilat sabung menyabung di langit, hujan pula turun dengan derasnya. Saya menyambung tidur dalam keadaan payah kerana terganggu dengan pancaran kilat dan bunyi dentuman guruh.
Dalam usaha nak tidur itu, saya terdengar suara perempuan mengilai di pokok kedondong yang terletak di sebelah rumah kami.
"Kikikikikiiiiii uuuuuuuuuuu...Kikikikiki uuuuuuuu..."
Saya dapat mendengar suara tersebut dengan jelas dan terang. Saya yakin saya tidak bermimpi. Peluh mula keluar dan badan terasa sejuk dan membeku. Rasa nak menangis pun ada. Saya cuba membaca Fatihah dan Ayatul Kursi namun gagal kerana lidah terasa kelu.
Suara tersebut semakin jelas, "Kikikiki uuuuuuuu... Kikikikiki uuuuuuuuuu..."
Saya pasrah, saya mengucap di dalam hati sebanyak-banyaknya dan akhirnya tertidur.
Keesokkan paginya, makcik saya menerima berita kematian seorang penduduk kampung yang kami kenali. Saya ada di situ dan mendengar perbualan makcik saya dengan orang yang memaklumkan berita kematian itu tadi. Orang yang meninggal dunia itu tinggal di kampung Sinar Budi, bersebelahan dengan kampung kami.
Saya terdiam, adakah benar suara mengilai yang saya dengar malam tadi adalah suara pontianak? Atau mungkin hanya siulan angin?
Saya yakin itu bukan siulan angin kerana siulan angin hanya berlaku pada bangunan tinggi sahaja. Saya dapat dengar dengan jelas suara mengilai itu datang dari pokok kedondong tersebut...
Benarkah ada pontianak di pokok kedondong yang saya ceritakan tadi? Wallahu 'alam. Itu hanya secebis pengalaman yang saya alami ketika saya masih di bangku sekolah, yang masih segar dalam ingatan saya...
Wallahu 'alam
kmk takut...
BalasPadamngan kmk blt umah lok...
tepi jeraya ya da pokok besa..
umah nenek kmk ng ngutik..
BalasPadamtp bkn setegal kedondong pontianak ka apa..
tp kerena perangey kazen2 kmk semua nk ngutik2..hehehe
bena x bang e?hehe
salam, maklumat mengenai perkampungan melayu jawa sangat menarik perhatian saya. Saya telah selitkan maklumat tersebut dalam artikel saya dan terima kasih di atas info yang anda kongsi.
BalasPadamLink
http://themaidensgiedd.blogspot.com/2012/06/masyarakat-jawa-di-sarawak-adakah-itu.html