Sabtu, 17 Oktober 2009

Pergi Tak Kembali...

"Pakcik Razali Yaman engkau meninggal, pagi tadi.." Panggilan dari ayah tengahari semalam menyentap tangkai jantung saya. Meninggal? Innalillah...

Jumaat semalam tidak banyak task yang hendak dibuat. Kebanyakan tugasan telah saya siapkan lebih awal pada hari sebelumnya. Pagi itu saya lebih kepada mengemaskini mana-mana kerja yang saya fikir perlu disiapkan, tetapi tidaklah terlalu urgent.

Saya segera meminta izin Tuan Wenndy untuk keluar awal tengahari tersebut. Kereta saya parking di seberang, saya melangkah laju ke waterfront dan menunggu penambang di bawah terik matahari. Saya menyeringai menahan panas namun saya sabarkan hati kerana mengenang hendak menziarahi jenazah allahyarham.

Pakcik Razali adalah ayah kepada kawan saya, Abdul Aziz yang juga merupakan jiran sekampung. Aziz rakan seperguruan saya semasa menuntut ilmu persilatan Helang Putih Perkasa semasa zaman persekolahan dulu. Kami sangat minat bersilat dan sering berlatih bersama. Namun umur Aziz tidak panjang apabila dia meninggal dunia akibat lemas kira-kira 6 tahun yang lepas.

Saya difahamkan Pakcik Razali meninggal akibat kanser yang dideritainya. Saya sudah maklum dengan berita tersebut, dan ayah saya sering juga mengingatkan saya untuk menziarahi pakcik Razali semasa beliau sedang sakit. Namun saya tidak berkesempatan kerana kesibukan tugas yang tak pernah habis. Saya menyesal kerana tidak menziarahi beliau semasa beliau hidup. Tetapi semuanya sudah terlambat..

Setelah sampai ke seberang dengan menggunakan penambang, saya balik ke rumah terlebih dahulu untuk bersiap solat Jumaat dan menjamah sedikit makanan. Ayah memaklumkan kepada saya yang jenazah telah dihantar ke Masjid Darul Ibadah Semariang Batu untuk disolatkan selepas solat Jumaat.

Usai solat Jumaat, sembahyang jenazah dimulakan. Rupanya ada satu lagi jenazah yang disolatkan di samping pakcik Razali. Difahamkan jenazah yang satu lagi adalah orang dari Tanah Merah, Kota Samarahan. Seluruh jemaah berkumpul dan menyolatkan kedua-dua jenazah tersebut.

Saya ikut sama mengaminkan bacaan doa oleh imam masjid. Kami sama-sama mengangkat keranda jenazah dan meletakkannya di beranda masjid sementara menunggu lubang kubur selesai digali. Jalot turut serta sama mengiringi jenazah pakcik Razali dan kami sama-sama menaiki kereta pergi ke kubur Semariang untuk upacara pengebumian.

Di kubur sudah ramai yang menunggu, termasuklah ayah saya. Crew television juga ada sama untuk ambil video kerana pakcik Razali merupakan Pengarah Filem Negara bagi negeri Sarawak. Ramai staf dari Filem Negara datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau.

Langit mendung dengan hitam pekat awan menyelubungi Petra Jaya tengahari tersebut, menandakan hari hendak hujan. Angin pula bertiup dengan kencangnya membawa awan dari laut menuju ke daratan. Puncak Santubong dan Serapi hilang dilitupi awan hitam. Semasa jenazah diturunkan ke liang lahad, serentak dengan itu guntur berdentum dan hujan pun turun dengan lebatnya. Mujurlah kanopi telah disediakan lebih awal dan kami sempat berteduh di bawah kanopi tersebut.

Talkin dibacakan, pengunjung mendengar dengan khusyuk dan tenang. Kemudian bacaan tahlil dilantunkan bersama-sama oleh semua pengunjung. Gemuruh bacaaan ayat suci dan doa bergema di tanah perkuburan tersebut. Kelihatan keluarga Allahyarham mengesat air mata meredhai pemergian pakcik Razali ke alam baqa.

Pakcik Razali berkahwin dengan Makcik Lucy, seorang yang berketurunan Cina memeluk Islam. Kelihatan keluarga makcik Lucy yang berbangsa Cina turut ada di tanah perkuburan tersebut untuk memberi penghormatan terakhir. Mereka juga turut bersedih kerana ada di antara mereka mengesat air mata tanda menangis.

Usai talkin, masing-masing meletakkan kepalan kecil tanah di atas kuburan sebagai penghormatan. Saya memberi sedikit kepalan tanah kepada keluarga Cina tersebut, dan mereka melakukannya. Malangnya, ada seorang perempuan tua melarang ibu mertua pakcik Razali melakukan perkara sedemikian,kononnya mungkin kerana mereka non-Muslim, mereka tidak boleh berbuat demikian.

Namun orang tau tersebut berkeras nak buat juga, dan dia dapat melakukannya diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Saya kesal dengan tindakan perempuan tua Melayu tersebut kerana perbuatan melarang tersebut akan memberi kesan dan anggapan negatif terhadap orang kita.

Meletakkan kepalan tanah atas kubur bukannya ada kaitan dengan aqidah, apa yang menjadi salah jika perempuan Cina tersebut melakukannya?

Satu lagi yang saya kesalkan, dan dalam masa yang sama menimbulkan kemarahan saya ialah semasa menyiram air mawar. Mereka (orang kampung, yang tiada kaitan kekeluargaan pun dengan pakcik Razali) pula yang melebih-lebih menyiram air mawar, sedangkan keluarga Cina tersebut tidak diberi peluang melakukannya. Saya marah benar dengan mereka namun saya pendamkan sahaja di dalam hati. Apa yang saya lihat, kaum perempuan yang melebih-lebih (saya yakin mereka tiada kaitan kekeluargaan dengan pakcik Razali kerana mereka semua boleh jadi staf di pejabat sahaja) semasa menyiram air mawar tersebut. Apa yang buat saya makin marah (dan lucu dalam masa yang sama) sempat pula seorang perempuan posing dan 'control ayu' semasa menyiram air mawar apabila video diambil. Masya Allah, atas kubur pun sempat nak posing lagi!

Saya dan Jalot berkomentar berkenaan perkara ini semasa di dalam kereta.

"Apa salah mun (kalau) sidak (mereka) nyuruh (suruh) dak Cina ya (itu) nyiram (menyiram) sekali. Ney (mana) lah tauk (tahu) dengan sebab ya (itu) daknya (mereka) mok (mahu) masuk Islam." Jalot bersuara.

Saya hanya mengeluh dan enggan mengulas lanjut. Orang Melayu, mentaliti masih di takuk lama. Masih berfikiran jumud, jahil hukum dan enggan belajar. Bila ditegur oleh orang muda, marah. Kononnya dia dulu makan asam garam dari kita. Tidak hairanlah bangsa dan agama lain mudah memberi 'bad impression' kepada kita.

Kami meninggalkan tanah perkuburan Semariang dengan hati yang insaf...

3 ulasan:

  1. asslamualaikum...salam takziah pada kamu....

    sy amat tertarik pda blog kmu

    salam perjuangan sesama islam pada kamu

    BalasPadam
  2. salam, takziah for the loss. skadar nk berkongsi cerita yang hampir sama, ramai orang nk menyiram air mawar skdar nk berposing, kemudia dgn bangga tayang kat facebook, sakit ati tengok diorang buat kawasan kubur mcm bilik studio.

    BalasPadam
  3. Gitulah manusia, tak ambik pengajaran kat kubur, sebaloknya buat kubur tu mcm tempat nak buat glamer.
    Mudahan kita bukan tergolong dlm orang macm tu.

    BalasPadam