Rabu, 29 Julai 2009

Allah Mengenyangkan Kami...

Saya dan ayah makan simple sahaja malam ini, nasi putih, sardin dan ikan goreng cicah kicap cili. Ringkas tetapi mengenyangkan.

Semasa memetik cili di luar rumah, terlihat pula Wenndy dan isteri lalu di jalanraya depan. Sepertinya baru pulang dari rumah orang tuanya di perumahan RPR barangkali.

Dua minggu ibu dan adik-beradik lain tiada di rumah, saya dan ayah menjadi 'bujang'. Segala-galanya simple, dari breakfast sampai ke makan malam. Saya dan ayah tidak berkira sangat, apa yang ada itulah yang dimakan. Kalau malas nak masak, saya ajak ayah makan luar.

Makan dengan ayah memang best. Ayah pandai bercerita. Ayah selalu menceritakan pengalamannya semasa muda. Banyak pengajaran yang saya perolehi dari ayah.

Saya membesar dengan asuhan yang baik dari ayah. Semasa kecil saya lebih rapat dengan ibu berbanding ayah. Ini kerana ayah merupakan seorang yang garang dan tegas, mungkin kerana ayah juga diasuh cara tegas oleh Allahyarham Nenda Hj Basir. Nenda Hj Basir merupakan orang Minangkabau yang berasal dari Padang, Sumatera. Beliau merantau jauh dengan menjadikan menjual ubat sebagai sumber pendapatan dan rezekinya. Allahyarhamah Hjh Seniah, yang berketurunan Jawa dari Betawi juga setia dengan datuk saya walau ke mana beliau pergi.

'Kegarangan' dan ketegasan ayah bagaimanapun pd pendapat saya membuahkan hasil. Kami adik-beradik masih 'takut' dengan ayah, walaupun ayah sudah tua, namun memori 'makan' tali pinggang, batang hos dan lain-lain masih terpahat dalam minda. Ayah cukup pantang kalau anak-anaknya malas belajar dan melawan cakap, alamat berbiratlah badan dengan 'libasan' mautnya.

Seiring dengan meningkatnya umur ayah yang semakin tua, ayah tidak seperti dulu lagi. Ayah lebih suka bersembang dengan anak-anaknya secara 'man to man'. Terasa juga diri saya semakin dewasa apabila ayah mengamanahkan beberapa perkara keluarga ke atas bahu saya. Teringat saya ketika pertama kali ayah meminta nasihat saya berkenaan dengan tanah keluarga menunjukkan ayah dah mula percaya dan mendengar pendapat anak-anaknya, kerana dia telah melihat kami semua sudah dewasa dan mampu memberi pendapat seperti orang dewasa.

Semasa makan malam dengan ayah tadi, banyak juga perkara yang disembangkan. Dari hal kerja, hal kampung, hal surau dan lain-lain. Dengan hanya berlaukkan ikan dan kicap cili, saya cuma makan nasi setengah senduk dan beberapa cubit ikan sahaja, sudah mengenyangkan. Begitu juga ayah, ayah tak makan banyak. Dan ayah juga tidak cerewet bab makan. Apa yang ada itulah yang dimakan.

Allah mengenyangkan kami 2 beranak pada malam ini hanya dengan ikan dan nasi putih. Masya Allah, kenyangnya tak terhingga. Saya pun hairan, hanya dengan makan sedikit, kenyang itu menyegarkan seluruh urat saraf badan saya. Mungkin itu yang dikatakan berkat, barangkali...

Wallahu 'alam

Ahad, 26 Julai 2009

Miri...

Assalamualaikum,

Maaf kepada semua pembaca kerana lambat update blog. Keletihan dan kesibukan setelah pulang dari outstation, ditambah dengan 'mood' yang kurang untuk menulis menjadikan saya lambat untuk update cerita.

Kembara Keinsafan di Bekenu, Sibuti.

Kembara ke Miri kali ini adalah untuk buat handing over rumah kepada peserta RMR, juga site inspection bagi rumah-rumah yang masih under construction. Namun out station kali ini sebenarnya lebih kepada kerja untuk interview bagi applicant Rumah Mesra Rakyat Skim Pembesaran Kampung di Kpg Majelin dan Kpg Rancah-Rancah yang terletak jauh nun di Bekenu, kira-kira 46 km dari bandaraya Miri. Bekenu terletak dalam daerah Sibuti dan merupakan sebuah pekan kecil yang majoritinya adalah penduduk berbangsa Kedayan dengan populasi yang majoriti diikuti dengan bangsa Melayu, Iban dan Cina.

Bekenu sebuah pekan yang damai aman tenteram. Mungkin kerana kedudukan dan lokasinya yang agak jauh dari bandaraya Miri menyebabkan kurangnya pengaruh kemodenan ke atas pekan ini. Perjalanan dan kembara di Bekenu banyak memberi pengajaran dan hikmah kepada saya kerana berlakunya perkara-perkara yang tidak saya ketahui telah saya alami di sini.

Sepanjang tempoh interview, yang diurus oleh saya sendiri, Harun, Faizul dan Airwan dari SPNB manakala Abg Zaidan dan Abg Aziz pula dari Housing Development Corporation (HDC), saya telah bertemu dengan pelbagai gelagat dan karenah pemohon. Ada yang sedih merayu-rayu minta diluluskan permohonan, ada yang jenaka dan tak kurang juga ada pemohon yang 'sombong bodoh' @ ego semasa diinterview. Kami tangani semua karenah pemohon dengan hemah dan bijaksana kerana sudah sedia maklum dengan keadaan ini berdasarkan pengalaman yang lalu.

Kami juga terkejut semasa pemohon diinterview apabila kami mendapat tahu bahawa banyak kampung di area Sibuti dan Bekenu ini masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Jalanraya pun masih tanah merah dan berdebu, pengangkutan air seperti bot sangkut masih menjadi pengangkutan utama dan kebanyakan pemohon adalah bekerja sendiri seperti peladang, pekebun dan ada juga jadi kuli ladang. Purata pendapatan penduduk adalah RM 500 ke RM 1000, agak menyedihkan juga. Bagaimana mungkin ini semua masih terjadi dalam tahun 2009, ketika kita sudah ada yang mampu menjejak kaki ke bulan namun masih ada yang tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik seperti mana yang dinikmati oleh penduduk bandar?

Apa yang terjadi di Bekenu sebenarnya memang benar-benar ada. Ketiadaan air semasa hari pertama di Pejabat Daerah Sibuti benar-benar menyulitkan saya dan rakan-rakan lain untuk bersembahyang. Untuk berwudhu' sahaja saya terpaksa turun naik bukit bagi mencari air untuk berwudhu dan solat. Solat Jama'-Qasar Ta'khir saya lakukan di rumah rehat kerajaan yang terletak di bawah bukit. Apabila saya dapati di rumah rehat tersebut tiada air kerana air sungai surut, saya bertayamum bagi mengharuskan solat. Namun hati was-was kerana sumber air masih ada (yakni sungai) lalu saya batalkan solat untuk naik ke bukit yang mana terletak pejabat pos di atasnya dan memiliki tangki simpanan air hujan. Saya berwudhu' di situ dan turun bukit menuju ke rumah rehat untuk bersolat.

Ternyata kalau hati sudah membuak-buak nak solat, walau apa kesusahan sekalipun akan tetap ditempuhi. Benarlah kata-kata orang tua kalau hati kuat semua jadi insya Allah. Semoga Allah memelihara dan menguatkan iman saya.

Pertemuan dan Dialog Dengan Bomoh Kedayan

Hari pertama tiba di Miri kami buat handing over kepada salah seorang peserta RMR iaitu En Soontak Bin Ali. En Soontak merupakan orang kampung Usaha Jaya, Batu Lapan Miri. Semasa sesi handing over dijalankan, saya dimaklumkan oleh Harun mengenai En Soontak, iaitu beliau merupakan seorang bomoh bagi bangsa Kedayan. Saya mengambil kesempatan untuk 'mencungkil' ilmu bangsa Kedayan ini dengan menemuramah en Soontak dan Alhamdulillah beliau sedia memberi kerjasama.

Kami berbual di bilik rawatan beliau. Bermacam-macam perkara saya tanyakan,termasuklah ilmu Bitas (ilmu sihir yang menyebabkan kemaluan tumbuh di dahi), ilmu Berak Rotan (si penyihir akan mengenakan orang yang dituju sehingga menyebabkan berak mengeluarkan rotan dan tidak putus-putus, jika rotan ini ditarik akan menyebabkan maut dengan izin Allah kerana usus akan terikut tertarik keluar sama)ilmu Pengasih Kedayan dan lain-lain.

Tidak ketinggalan Harun juga bertanyakan banyak soalan seperti Pengait (penyamun potong kepala dengan tujuan menyemah bangunan yang sedang dibina), hantu Gegalas (sejenis hantu laut), dan lain-lain.

En Soontak turut memperlihatkan kepada saya dan Harun koleksi minyak pengasih beliau yang beliau perolehi dari bomoh-bomoh yang lain. Selain itu, kami juga melihat beberapa keping gambar lelaki dan perempuan yang beliau gunakan untuk dipuja sebagai pengasih. Beliau menerangkan kepada kami, ramai orang datang berhajat kepadanya jika ingin berkahwin atau jatuh hati kepada seseorang, mereka dikehendaki memberi gambar untuk dipuja dan dikemenyankan. Orang yang dipuja itu akan jatuh hati dalam tempoh seminggu paling lama. Saya dan Harun memerhatikan setiap keping gambar tersebut. Memang banyak orang yang 'dikenakan' oleh en Soontak, dan beliau mendakwa boleh kata semua gambar yang dipuja beliau 'menjadi'.

Sempat juga En. Soontak memperlihatkan kepada saya dan Harun minyak pengasih yang 'hidup'. Minyak ini digantung di jari dengan menggunakan benang dan apabila dipuja dan dibaca mantera, ia boleh berpusing sendiri. Saya sendiri melihat dengan mata kepala saya bagaimana botol berisi minyak pengasih itu berpusing dan berputar sendiri walau pada ketika itu tiada tiupan angin atau anasir lainnya yang boleh mempengaruhi pergerakan botol tersebut.
Kemudian En. Soontak menunjukkan kami sekeping gambar, yang menyebabkan saya dan Harun terkejut...

"Aku baru pulang dari KL, ada artis sorang ya (itu) minat ngan (dengan) Datuk. Tok (ini) aku nulong(tolong) nya(dia)."

Kami melihat gambar tersebut dengan terkejut. Ternyata artis yang ditunjukkan memang artis terkenal. Kalau saya sebut nama memang anda semua terkejut. Kemudian ada pula gambar seseorang yang didakwa sebagai Datuk. Saya dan Harun memang benar-benar terkejut, seolah-olah sukar untuk percaya.

En. Soontak hanya tersengih dan tersenyum...

Kami meninggalkan rumah En. Soontak selepas itu. Ternyata En. Soontak memang baik orangnya. Beliau sudi memberi kerjasama dan beliau juga mengizinkan cerita dan namanya disebut dalam artikel blog ini. Sempat juga En. Soontak mengajar saya beberapa ilmu penawar bagi yang terkena sihir Bitas dan beberapa penyakit lainnya. Saya dapati jampi yang diajar untuk penawar sihir Bitas itu adalah ayat suci Al-Quran yang asli, tiada campuran jampi mantera. Dan medium yang digunakan pun cuma air biasa.

Boleh saya simpulkan di sini bahawa penawar Bitas yang diajar oleh En. Soontak itu lebih kurang sama dengan Ruqyah Syar'iyyah, iaitu ayat Quran dibacakan pada air dan diberi minum.

Ketika perbualan itu, ada juga saya cuba mencungkil ilmu-ilmu lain (yg saya kira 'terkeluar' dari syariat Islam) namun En. Soontak bijak dan licik mengelak dari menjawab soalan saya. Saya biarkan sahaja kerana menghormati hak privasi beliau.

Wallahu'alam...

Sabtu, 18 Julai 2009

Isra' di Tabuan, Mi'raj di Gita...

Perjalanan Isra' dimulakan. Sahabat saya Jalot dan Wan Sudirman menjemput saya selepas Maghrib malam tadi untuk menghadiri ceramah di kampung Tabuan Cemerlang, Tabuan yang disampaikan oleh Ustaz Azmi. Ustaz Azmi adalah di antara ustaz yang paling rapat dengan kami. Beliau orang Melaka, tetapi telah lama menetap dan berumahtangga di Kuching.

Kami sampai kira-kira jam 7:40 mlm. Parking sukar dicari, kerana untuk ke surau tersebut kami terpaksa melalui jalan titi. Rumah-rumah di kampung ini dihubungkan dengan titi kerana boleh dikatakan bahawa kampung Tabuan Cemerlang ini terletak di kawasan berair atau lebih tepatnya di sungai. Jalot meletak keretanya di tepi jalan besar,dengan hati yang agak gusar kerana Tabuan memang kawasan 'hitam', dengan gengsternya,pecah rumahnya,masalah sosialnya dan lain-lain. Namun hati kami dilegakan oleh seorang pemuda kampung yang kebetulan ada di tepi jalan tersebut meyakinkan kami bahawa tempat Jalot parking kereta itu selamat. Kami berserah kepada Allah dan mengucapkan terima kasih kepada pemuda bernama Ady tersebut.

Kedengaran suara ust Azmi berceramah dengan lantang di corong surau. Beliau berceramah sempena Isra' Mi'raj, program tahunan yang dianjurkan oleh surau Tabuan Cemerlang. Kami disambut dengan mesra oleh penduduk kampung, senyuman dan salam mereka menyejukkan hati kami yang datang bertandang di surau tersebut.

Jemaah mendengar dengan khusyuk apa yang disampaikan oleh ust Azmi. Beliau memang bijak menyampaikan ceramah. Banyak cerita menarik disampaikan hingga ada request dari jemaah surau minta diextendkan lagi ceramah walaupun azan Isyak telah berkumandang. Demikianlah yang saya lihat, walau kampung ini daif dan terpencil, namun semangat dahagakan ilmu dan Islam jelas terpancar di wajah mereka. Kanak-kanak pun terpukau mendengar ceramah ust Azmi, sehingga boleh dikatakan tidak ada yang berganjak dari tempat duduk semata-mata menanti apa cerita yang seterusnya akan disampaikan oleh ustaz. Saya amat berharap agar generasi baru dan muda penduduk kampung ini akan subur semangat Islamiahnya dan akan berusaha untuk memajukan diri dan kampung mereka di masa hadapan.

Selesai ceramah dan solat Isyak, kebetulan terjumpa pula dengan Ust Ijan dan Ust Yasir. Mereka merupakan rakan usrah saya juga namun dari murabbi yg berlainan. Ust Ijan dan Ust Yasir juga aktif dalam bidang perubatan ruqyah syar'iyyah, dan kami sempat bertukar pendapat dan idea mengenai rawatan Islam. Ust Ijan memaklumkan saya sekarang begitu ramai orang minta dirawat untuk kes seperti sihir, rasuk dan sebagainya sampaikan beliau tak menang tangan. Beliau minta no handphone saya agar memudahkan perhubungan jika ada kes emergency seperti kerasukan. Beliau akan beri kes kepada saya jika beliau tidak banyak masa untuk merawat. Saya bersetuju untuk menolong beliau.

Timbul pula isu kaedah tangkap jin dan simpan dalam botol. Kami berbincang mengenai teknik tersebut namun saya tidak dapat nyatakan di sini apa ulasan dan hasil perbincangan kami pada malam tersebut khuatir timbul fitnah.

Selesai majlis, kami bergerak meninggalkan surau dan menuju ke Bimmers, untuk makan berat dan minum dengan ust Azmi. Di surau tadi cuma makan kuih, saya perlu makan nasi kerana lapar yang teramat sangat.

Mi'raj di Gita pula berlaku pada jam 2:30 pagi. Saya, Jalot dan Wan Sudirman pergi ke Masjid At Taqwa untuk mengikuti program qiamullail yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid. Qiamullail ini diimami oleh ust Hashim Man al Hafiz, imam besar masjid At Taqwa Gita. Alunan bacaan Quran dalam solat Tahajud dan taubat benar-benar mengusik relung hati saya, terasa haru dan sayu apabila diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk berqiamullail. Sungguh, nikmat qiamullail sangat indah dan lazatnya hanya dapat dirasa oleh hati dan jiwa. Gemuruh bacaan tasbih oleh jemaah ketika solat sunat Tasbih juga menyebabkan saya 'melayang ke alam malakut' buat seketika walaupun dalam masa yang sama kantuk turut menyerang kerana tidak cukup tidur. Saya gagahkan jua kerana tidak mahu 'miss' peluang keemasan untuk 'munajat cinta dengan bening hati' bersama Ilahi pada ketika itu. Memang indah qiamullail di saat itu di mana semua orang melantunkan doa dan zikir dengan harapan semoga Allah mendengar (dan sesungguhnya memang Allah Maha Mendengar) doa-doa mereka untuk dikabulkan. Saya juga tidak ketinggalan untuk berdoa sama seperti mana yang dihajatkan.

Usai solat Subuh, kami mendengar ceramah dari ust Kipli Yassin pula. Beliau mempunyai syarikat perunding rumahtangga sendiri, dan sangat bergerak aktif dalam menyampaikan ceramah motivasi dan rumahtangga. Tajuk ceramah juga berkenaan dengan Isra' Mi'raj.

Terbit matahari pagi, selesai ceramah kami memecut MyVi Jalot ke Bismi Cafe, destinasi wajib dan menjadi tempat 'mabit' yang 'rukun' untuk jemaah masjid dan surau yang berdekatan. Kami pekena teh halia, teh tarik, roti tosai, roti canai dan rojak India. Perghh, memang sodap bak kata org Nogori. Heheheehe...

Sesampainya saya di rumah, kelihatan bonda kesayangan, Hjh Fatimah sedang berkebun dan menyiram bunga. Ayah mungkin tidur sekejap selepas solat Subuh tadi. Selepas saya mandi, ibu menunjukkan saya sebiji tembikai lalu berkata,

"Rezeki Allah, alhamdulillah njadi (menjadi) juak (juga) nok (yang) ditanam mak..."

Saya tersenyum dan mengucap syukur. Ibu memang gemar berkebun, mungkin ibu mewarisi dari nenek, Allahyrham Hjh Menah yang hidup dan menyara dua anaknya dengan berkebun. Ibu banyak mengisi masanya dengan berkebun semenjak bersara tahun lepas. Walaupun dulu ibu seorang pegawai kerajaan yang tinggi dan berpangkat besar (beliau pernah menjadi Pengarah Hospital Lundu), namun sifat 'kekampungan' masih ada dan utuh di dalam jiwanya. Ibu tidak pernah melupakan asal-usulnya, Kampung Boyan yang terletak di tebing sungai Sarawak.

Hari ini, ibu saya, mak saudara, abang dan 2 adik saya akan berangkat untuk mengerjakan umrah. Mereka bakal berangkat pada malam ini bersama dengan jemaah yang lain, dan dipimpin oleh ust Azmi. Doa saya sentiasa mengiringi meraka agar selamat pergi, selamat mengerjakan umrah, dipermudahkan segala urusan, dan selamat kembali ke tanah air.

Esok pula saya akan ke Miri, out station. Flight pukul 7:00 pagi. Tinggal lah ayah seorang di rumah. Dan yang peningnya, saya belum packing barang lagi...

Aiseh men...

Jumaat, 17 Julai 2009

Penjelasan Mengenai Posting Datuk Kong

Saya sudah mengagak, memang ada yang tidak bersetuju dan mengkritik posting saya berkenaan Datuk Kong. Mereka mengatakan saya promote agama lain, menulis sesuatu yang tidak berfaedah, tidak menambah iman dan lain-lain. Saya tersenyum sahaja.

Sebelum menulis, saya telah terangkan dan jelaskan awal-awal mengenai artikel ini, iaitu saya bukan mempromote agama lain, mengajak jauh sekali. Tulisan ini lebih kepada menceritakan apa yang saya temui semasa saya berjalan, bersiar-siar, membaca, melihat, mendengar dan lain-lainnya lalu saya ceritakan dan tafsirkan mengikut ilmu saya yg sedikit dan hemat diri saya dalam blog ini.

Saya juga telah jelaskan dalam posting yang lepas, saya suka mengkaji dan membuat perbandingan agama. Tujuan mempelajari agama lain bukanlah untuk mengimani, atau mempercayai aqidah mereka, tetapi hasil kajian saya itu ialah aqidah Islam itulah yang lebih cantik, lebih jelas, lebih indah dan lebih sempurna jika dibandingkan agama lain.

Saya pernah mengkaji agama Kristian, Buddha dan Hindu. Saya pernah berbual dan bertukar pendapat dengan seorang sami Buddha berkenaan agama. Hasil perbualan saya dengan sami tersebut saya dapati Buddhism bukanlah agama, ia adalah falsafah yang telah dicemari unsur-unsur 'bida'ah' hingga menuhankan si Buddha tersebut. Si sami juga tidak menafikan bahawa ajaran Islam berkenaan akhlak hampir sama dan mirip dengan ajaran Buddha. Sebab itulah saya tidak terkejut apabila satu seminar di UKM (kalau tidak silap saya) yang mengatakan bahawa Buddha mungkin tergolong dalam 124,000 orang nabi seperti yang pernah kita dengar dalam ceramah agama.

Sami tersebut juga menerangkan kepada saya bahawa Buddha tidak pernah claim dirinya tuhan. Generasi yang kemudian (kira-kira ratusan tahun selepas kematian Buddha) yang telah bertukar 'aqidah' mereka di mana mereka lalu menuhankan si Buddha tersebut. Perkara yang sama pernah berlaku kepada penduduk Makkah selepas zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Isa iaitu penduduk Arab membina patung-patung orang alim yang mereka sanjungi dan sayangi. Generasi yang kemudiannya lalu menjadikan dan menganggap patung orang alim itu sebagai 'tuhan' lalu timbullah agama berhala di Makkah.

Jika dikaitkan dengan zaman moden ini, ada juga perkara jahiliah zaman sebelum kedatangan Islam di Makkah itu berlaku dalam masyarakat kita. Ketaksuban kepada ketua, baik dia seorang alim, ustaz, guru silat, pemimpin jamaah dan lain-lain, boleh juga mendorong kepada 'pendewaan' melampau yang berlaku secara tidak kita sedari. Contoh jelas yang berlaku ialah Ayah Pin, iaitu Ayah Pin didewa-dewakan sehingga sampai ke satu peringkat dia digelar tuhan. Ada juga sesetengah orang yang belajar agama (walaupun bukan dari kumpulan ajaran sesat)terlalu taksub kepada ajaran gurunya, sehingga dia menafikan dan menolak ajaran atau buah fikiran dari guru-guru yang lain. Lantaran ketaksuban itulah, dia lalu mendakwa jemaahnya sahajalah yang betul, ajaran gurunya sahajalah yang betul, yang lain-lainnya semua salah. Walaupun gurunya mengajar salah, dia tetap mengatakan gurunya betul.

Sedarkah kita, ini juga merupakan 'pendewaan figure ulama' yang berlaku secara halus dan tanpa kita sedari?

Fikirkanlah, adakah tidak mustahil jika ketaksuban ini boleh menjurus kepada penyembahan berhala jika tidak dibendung? Sepertimana yang pernah berlaku di zaman jahiliah Makkah dahulu?

Siapa yang salah? Guru atau anak murid?

Berbalik kepada isu Datuk Kong, sekali lagi saya tegaskan, itu hanyalah kajian dan pengamatan saya terhadap agama lain. Demi Allah, bukanlah saya nak berdakwah agama Datuk Kong, ia sekadar cerita dan ulasan mengikut ilmu saya yang kebetulan ketika bersiar-siar di bandar Kuching, terjumpa pula dengan keramat Datuk Kong ini. Saya adalah seorang Islam yang masih waras dan saya tidak akan buat 'kerja gila' untuk menyebarkan agama Datuk Kong ini..

Blog ini adalah blog peribadi, yang boleh dibaca untuk tatapan umum dengan tujuan untuk berkongsi rasa, pengalaman, ilmu dan pendapat. Blog ini bukanlah blog keagamaan, kerana saya bukanlah seorang ustaz, dari itu tidaklah layak bagi saya untuk menulis atau berceramah agama dalam blog ini. Latarbelakang pendidikan saya ialah Civil Engineering, dan dalam masa yang sama saya juga seorang aktivis usrah yang aktif, Alhamdulillah.

Jika nak bercerita tentang para sahabat, tabiin, para wali dan lain-lain, saya berpendapat blog ini bukanlah tempatnya. Saya berpendapat lebih beratus malah beribu-ribu blog di luar sana yang telah pun bercerita tentang perkara yang sama iaitu cerita para sahabat dan orang alim. Ada lagi yang lebih layak untuk bercerita tentang agama jika dibandingkan dengan saya yang cetek ilmu ini.

Walau bagaimnapun, terima kasih atas saranan, cadangan dan kritikan kepada semua pembaca blog. Adapun tujuan posting ini bukan nak condemn siapa-siapa, tetapi lebih kepada untuk mengulas dan menjelaskan perkara ini supaya tidak timbul fitnah dan sebagainya. Saya adalah seorang berfikiran terbuka, dan saya amat gemar bertukar pendapat dan mendengar kritikan kerana ia boleh membuka minda saya dengan lebih luas dan jelas serta saya boleh tahu apa kehendak orang ramai. Terima kasih sekali lagi.

May Peace Prevail On Earth! Amin...

Dewa Melayu?

Datuk Kong dengan 'pengiring-pengiringnya'.
Datuk Kong suka makan nasi lemak? Ayam Penyet boleh ke?
Kopi O, minuman kegemaran Datuk Kong
Sesajian Datuk Kong
Penganut Cina dari Indonesia sedang menyembah Datuk Kong
Datuk Kong
Seperti yang dijanjikan dalam posting blog saya yang lepas berkenaan dengan artikel Datuk Kong, di sini saya pastekan gambar Datuk Kong yang terdapat di depan Kolej Sunny Hill, Pasar Sungai Maong. Gambar ini diambil pagi tadi, Jumaat 17hb Julai 2009 sebelum solat Jumaat.

Hmmm... musykil... musykil...

Rabu, 15 Julai 2009

Hotel Berhantu?

Sibu

Sarikei

Lama dah tak merawat, belum ada lagi kes sihir atau kerasukan yang saya dan sahabat saya Wan Sudirman terima dalam semenjak dua ini. Alhamdulillah, at least dapat juga rehat sekejap dari bertempur dengan jin. Yang ada cuma kes ringan seperti bayi menangis malam, buang azimat dan sebagainya. Ini saya selesaikan dengan cara menyediakan air penawar dan lain-lain.

Cerita hotel berhantu kerap kerap kali kita dengar dari cerita atau borak-borak dengan kawan-kawan kita. Sejauh mana kesahihan cerita, wallahu 'alam, Allah lebih tahu. Boleh jadi cerita hanya sekadar hiburan, dan tidak mustahil juga da kebenarannya.

Saya ada pengalaman tinggal di hotel yang dikatakan berhantu. Peristiwa ini berlaku semasa saya bekerja sebagai Pembantu Teknik di JHL Consultant, sebuah syarikat kejuruteraan yang mempunyai projek di Sungai Sian, Bintangor.

Saya dan Faizul (rakan sekerja saya di SPNB, dulu Faizul bekerja di Ecoplan Sdn Bhd, main contractor bagi JHL Consultant)kerap ulang alik ke Bintangor bagi menyelia projek tersebut. Kami menginap di hotel W**** Inn, yang terletak di pinggiran bandar Sarikei. Hotel ini juga terletak tidak jauh dari sebuah perkampungan Melayu, dan di belakang hotel tersebut ada sebuah tanah perkuburan Islam.

Kalau ada site visit di Bintangor, hotel inilah yang menjadi tempat penginapan kami. Saya dan Faizul kalau ke Sarikei, pasti tidak melepaskan peluang untuk ke Sibu, dengan menggunakan feri Lanang. Pada ketika itu sungai Rajang yang memisahkan Sarikei dan Sibu belum ada jambatan, maka ferilah yang menjadi pengangkutan utama untuk ke seberang. Perjalanan dari Sarikei ke Sibu hanya memakan masa kira-kira 45 minit sahaja.

Di Sibu saya dan Faizul mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dan membeli belah. Barangan yang sering menjadi sasaran kami ialah VCD dan DVD cerita yang belum atau sedang dimainkan di wayang. Untuk makluman, di Sibu memang banyak VCD dan DVD 'lanun'. Selain itu di Sibu juga terkenal dengan pulut panggangnya yang enak dan lemak rasanya.Buah dabai juga banyak di Sibu, tapi ikut musim. Harga buah dabai di Sibu lebih murah jika dibandingkan dengan Kuching, kalau di Sibu sekilo hanrganya RM 6 atau RM 7, di Kuching pula boleh mencecah sehingga RM 10 atau RM 15 sekilo! Ini boleh didapati di Pasar Tamu Sibu, terletak di tengah-tengah hiruk pikuk bandar dan tidak pula jauh dari sungai Rajang. Di pasar tamu ii pelbagai bangsa yang menjadi peniaga di antaranya ialah Melayu, Cina, Melanau, Iban dan lain-lain.

Wisma Sanyan juga menjadi destinasi utama kami, manakala untuk makan-makan kami lebih suka menjamu selera di Taman Harmoni. Di situ banyak gerai makanan dan kita boleh memilih pelbagai jenis makanan yang disediakan.

Lazimya kami ke Sibu pada sebelah malam, maka bila pulang hotel di Sarikei, malam semakin lewat. Oleh kerana keletihan, Faizul tidur lebih awal manakala saya pula masih menonton televisyen. Kira-kira jam 1:30 pagi, saya pun memadamkan lampu dan tv untuk tidur. Belum lama saya melelapkan mata, telinga saya terdengar sesuatu.

"Eekkkkk....eeeeeeeekkk"

Suara seperti orang tua yang menangis (atau ???) di tingkap sebelah katil saya. Saya cuba mengamati suara tersebut. Nak kata suara orang tua bukan, suara budak pun bukan, suara binatang jauh sekali. Apa yang peliknya, suara tersebut berpindah-pindah, sekejap di tingkap, sekejap di hujung katil saya, kemudian di pintu bilik, akhir sekali di luar pintu bilik. Bulu roma meremang, tetapi saya kawal diri saya dari perasaan panik. Saya fokuskan fikiran saya kepada Allah dan zikir sirr di dalam hati.

Setelah yakin suara tersebut hilang, saya membangunkan Faizul. Saya tanya dia sama ada dia mendengar atau tidak suara itu tadi. Faizul mengatakan dia tidak mendengar apa-apa kerana dah nyenyak tidur.

Saya yakin saya tidak bermimpi kerana saya masih lagi bangun ketika mendengar suara tersebut. Oleh kerana malam semakin larut, saya membaca Ratib Imam Abdullah al Haddad dengan niat untuk menenteramkan hati dan 'perisai perlindungan diri' dari gangguan yang tidak dikehendaki sebelum saya tidur.

Difahamkan pada ketika itu, di Sarikei sedang popular dengan cerita hantu Tenggalan @ Bebalan @ Penanggal. Seperti yang kita sedia maklum, hantu jenis ini adalah hasil dari individu yang mempraktikkan ilmu sihir untuk kepentingannya sendiri.

Atau... memang hotel tersebut berhantu?

Saya enggan terlalu memikirkan peristiwa tersebut pada keesokan harinya, khuatir menjadi fitnah kepada hotel tersebut. Namun apa yang nyata, ada sesuatu yang 'kurang beres' pada malam tersebut, sama ada hotel tersebut keras dan berpenunggu ataupun sesuatu mengiringi saya dan Faizul dalam perjalanan pulang dari Sibu pada malam tersebut.

Pada ketika saya menulis cerita ini, saya sedang berseorangan di rumah. Sepanjang menulis, dada terasa berdebar, seolah ada 'sesuatu' yang memerhati.

Ada jin kah?

Sebagai langkah keselamatan, saya menyembur rumah dengan Penyembur Musoffa yang telah diruqyah untuk mengelak dan menghapuskan gangguan, dengan izin Allah.

Wallahu 'alam.

Tips Berguna Untuk Yang Tinggal Bersendirian di Hotel.

1. Sebelum masuk, baca Bismillah di muka pintu dengan suara yang keras (jangan menjerit).

2. Lihat keadaan dalam bilik, jika bilik nampak 'menyeramkan', sila tukar bilik dengan segera.

3. Jika anda malas nak tukar bilik, ikut kaedah yang dinyatakan di bawah:

- Buka tingkap bilik
- Ambil air segelas, letak tepi sejadah
-Buat sembahyang hajat yang ringkas, berdoa dan mohon kepada Allah untuk perlindungan.
-Selesai doa, sentuh air dengan jari, dekatkan dengan bibir dan baca Al-Fatihah sekali, Ayatul Kursi sekali, dan 4 Qul masing-masing sekali.
- Hembus pada air, kemudian renjis ke seluruh bilik ikut lawan jam
- Jika ada botol penyembur, boleh gunakan botol penyembur tersebut bagi menyembur air penawar ke seluruh bilik. Ini memudahkan lagi kerja.
- Setelah selesai, tutup tingkap setelah 10-15 minit.
- Jangan sembur dalam tandas.
- Sebelum tidur, kibas tempat tidur dengan kain 3 kali sambil baca Bismillah
- Baca doa atau mana-mana ayat suci sebelum tidur. Tidurlah dalam keadaaan berwudhu'.
- Tawakkal lah sepenuh hati kepada Allah.

Mudahan bermanfaat.

Sabtu, 11 Julai 2009

Pagi Yang Gelap, Kini Sudah Terang...

Pagi tadi saya solat Subuh di Surau Darul Husnul Khatimah, cadangan sebelumnya saya nak ke Masjid At-Taqwa Kpg Gita kerana ada kuliah Subuh di sana. Tapi oleh kerana saya terbangun ketika azan tengah dikumandangkan, tak sempat pula nak ke Gita, lalu saya sembahyang di surau kampung sahaja.

Selesai wirid dan doa, saya memecut Kancil buruk saya membelah sejuk pagi di Petra Jaya untuk ke Masjid At-Taqwa Kpg Gita. Sesampainya saya di sana, ceramah baru dimulakan, Alhamdulillah! Saya sempat dan tidak miss banyak poin untuk ceramah tersebut.

Saya ikuti ceramah dengan hati tenang dan khusyuk, walaupun ada juga seorang dua jemaah yang tersandar berdengkur di dinding masjid dek kerana mengantuk yang amat sangat. Tidur akhir agaknya, atau mereka berqiamullail malam tadi, sebab itulah mengantuk ketika mendengar ceramah, hati saya berbisik. Kasihan, letih benar orang tua ni.

Ustaz Hassan Basri menyampaikan ceramah tentang azab dan gambaran neraka, dengan menggunakan kitab yang tidak sempat saya 'curi tengok' pada kulit kitab tersebut.
Terasa juga kengerian dan kedahsyatan neraka sepanjang saya mendengar ceramah tersebut, ust Hassan memang bijak menyampaikan isi kandungan kitab. Diterangkan tentang tingkatan neraka, jenis-jenis azab dan lain-lainnya. Meremang bulu roma bila membayangkan neraka seperti yang diceritakan.

Ada satu part ust Hassan menitiskan air mata, di mana diceritakan ahli neraka melihat Jibril melawat neraka. Mereka ahli neraka berkirim salam kepada Rasulullah melalui Jibril dengan harapan Rasulullah berkenan untuk memberi syafaat kepada mereka, lantaran tidak tertanggung azab neraka yang dialami oleh mereka. Saya turut merasa sebak apabila mendengar bahagian cerita tersebut.

Selesai ceramah jam 7:00 pagi, saya bergegas ke kereta. Cadangnya nak beli minyak kereta dan 'reload' telefon. Tiba-tiba handphone saya berdering. Jalot rupanya, dia mengajak saya untuk minum pagi bersama di Bismi Cafe, Matang. Kami turut terserempak dengan ust Sarbini dan ust Azman Zen, sempat pula kami berbual seketika.

Selepas membeli minyak dan 'top-up' handphone, saya dan Jalot menuju ke Matang Jaya. Kami minum pagi bersama, teh halia, roti kosong dan roti telur. Sedap dan menyelerakan, Bismi Cafe memang tempat makan yang terkenal di Matang Jaya. Ramai jemaah dari surau berdekatan akan singgah breakfast sambil bersembang di situ selepas solat Subuh. Kedai makan ini akan bertambah ramai terutama sekali hari minggu.

Banyak perkara yang saya dan Jalot bincangkan, termasuklah tentang kursus ESQ yang bakal diadakan di Four Points Sheraton Hotel pada hujung bulan ini. Saya dan Jalot akan menghadiri kursus ATS (Alumni Technical Support) bagi melicinkan dan membantu perjalanan kursus tersebut kelak.

Selepas breakfast, saya dan Jalot berpisah. Saya memperoleh banyak hikmah pagi ini, yang saya rasa amat baik untuk dijadikan pengajaran dalam hidup.

Demikianlah kitabkehidupan, banyak yang kita pelajari jika kita melihat dengan mata hati yang suci dan terbuka.

Wahai Naunganku Yang Maha Tinggi, kasihanilah aku yang menumpang teduh di dataran dunia yang luas ini. Luruskanlah hatiku ke arah kebaikan, dan Kau palingkanlah hatiku dari kejahatan. Amin...

Jumaat, 10 Julai 2009

Kuliah Subuh...

Pagi ini, usai solat Subuh jemaah di Surau Darul Husnul Khatimah, seperti biasa ada kuliah subuh yang disampaikan oleh Ust Soleh Hamden. Ust Soleh selalu menyampaikan kuliah Subuh setiap pagi Sabtu, manakala kuliah Maghrib pula disampaikan oleh ustaz-ustaz yang lain yang tinggal di kawasan perumahan Tmn Anib dan Tmn Selasih yang berdekatan.

Ust Soleh menyampaikan isi kitab Tanbihul Ghafilin, sebuah kitab tasauf yang menarik. Penyampaian ust Soleh memang ringkas, simple namun padat. Beliau lebih gemar memberi ceramah atau kuliah dalam suasana santai dan bersahaja, namun memberi impak kepada pendengar. Tidak seperti sesetengah ustaz (tidak semua) yang kadang-kadang emosional dalam berceramah, sehingga sampai satu peringkat mencaci dan menghina orang lain, malahan ada juga yang membuat fitnah dan menyampaikan fakta yang tidak betul dalam ceramah.

Tajuk hari ini ialah tentang sifat sombong. Apa yang dimaksudkan sombong menurut Abul Laits As-Samarqandi dalam kitab tersebut ialah merasa lebih atau besar diri dari orang lain, merendah-rendahkan orang lain dan sifat ini biasanya nampak dari segi percakapan dan tingkah laku individu. Banyak poin-poin yang menarik dan berguna serta mudah difahami dalam kitab tersebut disampaikan oleh ust Soleh dengan baik dan berkesan.

Allah paling benci kepada orang miskin yang sombong. Menurut huraian ust Soleh, kalau orang kaya bersikap sombong, itu biasa kita lihat. Tapi kalau orang miskin yang sombong, maka itu luar biasa. Ini kerana amat tidak mengena kalau orang yang miskin bersikap sombong. Sepatutnya kerana dia miskin, dia kena tawadhu' dan jangan bersikap dalam bahasa kasarnya, 'bodoh sombong'.

Teringat saya dengan seorang kawan yang sama menuntut di Politeknik dulu. Aziz Sanusi namanya, merupakan di antara kawan saya yg paling rapat semasa belajar. Aziz berasal dari Kampung Mang, Samarahan. Aziz bukanlah orang senang, bapanya cuma seorang tukang di JKR (kalau tidak silap saya) dan ibunya seorang suri rumah. Aziz adalah orang kampung yang tipikal dan biasa, tapi pandai menyesuaikan diri dengan semua orang termasuklah dengan orang bandar yang lain. Dia sangat peramah dan sangat suka berkawan. Saya sangat senang berkawan dengan Aziz.

Ada satu peristiwa yang masih terpahat di ingatan saya, semasa saya dan Norman (kawan sama Politekniknik juga) berziarah Raya di rumah Aziz. On the way ke rumah tersebut, saya call handphone Aziz, memaklumkan kedatangan kami berdua yang nak berziarah. Kebetulan pula Aziz baru pulang dari kebun menolong bapanya, dia bergegas membersihkan diri untuk menyambut kami.

Di rumah Aziz, kami disambut mesra oleh keluarganya. Kami berbual mesra sambil makan kuih raya. Apa yang menarik, kami juga dihidang makan tengahari di rumahnya. Kami dihidangkan dengan nasi, ikan masak gulai, ulam-ulaman dan bermacam jenis masakan kampung. Saya dan Norman makan dengan berselera sekali.

Selesai makan, dihidang lagi dengan kuih raya. Perut dah senak dengan barang makan, tapi saya makan juga kerana nak menghormati tuan rumah. Norman pun dah nampak termengah-mengah nak habiskan kuih tersebut.

Sebelum pulang, sempat juga Aziz dan ayahnya memberi buah tangan yang merupakan limau yang mereka tanam sendiri. Saya berasa terharu dengan keluhuran hati budi Aziz dan keluarganya yang melayan kami dengan baik sekali.

Saya mendapat banyak pengajaran dari kunjungan ke rumah Aziz. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, ia tidak menghalang Aziz dan keluraganya untuk melayan tetamu dengan baik dan cemerlang. Mereka berusaha untuk membuat yang terbaik agar tetamu merasa selesa semasa berkunjung ke rumah. Saya juga mendapat tahu dari ust Soleh (yang merupakan anak jati Muara Tuang, Kota Samarahan) bahawa memang perangai orang kampung yang gemar menjamu dan bersedekah walaupun dalam keadaan yang kekurangan. Mereka (orang kampung) percaya bahawa dengan bersedekah atau memuliakan tetamu akan menyebabkan rezeki menjadi berkah dan Allah akan melipatgandakan nikmat ke atas mereka yang gemar bersedekah. Bakhil dan tamak adalah aib bagi orang Samarahan, ini yang saya dapat tahu dari ust Soleh.

Saya berusaha untuk 'implement' perkara baik dari orang kampung ini dalam hidup saya...

Mudahan hidayah Allah melimpah ke dalam hati kita semua. Amin...

Sabtu, 4 Julai 2009

Barang Sihir?

Pagi semalam sebelum saya pergi kenduri di Dewan HIKMAH Petra Jaya bagi menghadiri majlis perkahwinan kawan saya, ayah saya menunjukkan sesuatu barang yang aneh yang beliau jumpa di depan pintu pagar rumah. Ayah menyuruh saya melihat dan memeriksa barang tersebut.

Barang tersebut ialah sepotong kayu yang dililit dengan benang merah dan ada rambut pada kayu tersebut. Hmmm, apa agak nya ye?

Oleh kerana masa terlalu suntuk, saya tidak melakukkan 'scanning' sebaliknya saya menyuruh adik saya mengambil cuka dan semburan air musoffa untuk 'melemah' dan 'menawarkan' barang tersebut dari unsur negatif sama ada jin atau lain-lainnya.

Jumaat, 3 Julai 2009

"Takkan orang lain makan taik, you pun nak makan taik?"


Ungkapan kata di atas saya terima dari seorang yang bergelar boss. Hmmm, menggelegak juga darah saya dibuatnya. Istighfar sahaja yang dapat saya lafazkan di samping bersabar dan berlapang dada.

Saya sedar saya tersilap dalam membuat memo semalam, dan saya tidak kisah jika ditegur kerana membuat kesilapan. Malahan menegur amat perlu bagi memperbaiki kesilapan yang dilakukan agar tidak lagi berlaku kesilapan yang sama di masa hadapan. Tidak semua orang perfect atau sempurna. Orang yang bekerja berpuluh tahun pun boleh buat silap, apatah lagi saya yang belum sampai 10 thn pengalaman bekerja.

Tapi adakah wajar seseorang yang dikatakan berpelajaran tinggi, bijak dalam segala hal, mendakwa dirinya banyak pengalaman dan profesional boleh bercakap sedemikian? Inikah cara orang yang profesional? Saya berpendapat ini ungkapan kata-kata orang kedai kopi! Bukan profesionalisma!

Profesional bukan hanya berbaju kot, pakai smart ke ofis, duduk dalam ofis ada penghawa dingin, ada computer mahal dan lain-lain. Profesionalisma adalah sikap, tabiat atau attitude seseorang dalam etika bekerja, baik terhadap diri sendiri mahupun terhadap orang lain! Sebagai muslim, lebih-lebih lah lagi kena profesional, kerana beradab dan berakhlak amat dituntut dalam bekerja, tidak kira dengan orang atasan mahupun orang bawahan.

Saya hairan dengan sikap individu berkenaan, apa boleh dia bersikap demikian terhadap orang lain? Benar pun dia seorang boss, ketua jabatan, CEO, MD, Dato', Tan Sri hatta sultan sekalipun, bolehkah dia bercakap sesuka hati? Mana akhlak Islami nya? Kalau benar dia seorang Islam?

Sepanjang saya bekerja, inilah kali pertama saya melihat seorang boss yang bersikap tidak profesional. Sudah banyak boss di atas saya sebelum ini, tidak ada yang mengeluarkan ungkapan kata-kata 'bodoh dan tidak bertamadun' tersebut. Memang, kena marah oleh boss itu biasa, sebelum ini pun saya pernah kena marah oleh boss, tapi semuanya dengan cara profesional dan beretika. Mereka menegur dengan berhikmah. Ironinya, boss saya yang sebelum ini bukan Islam, tetapi menegur dengan baik dan profesional, tidak sampai merendah-rendahkan staff, memaki dan mencerca.

Saya termangu, kenapa akhlak non-muslim lebih baik dari yang muslim itu sendiri? Bukankah Islam itu indah? Di mana salah umat Islam berkenaan perkara sebegini?

Saya tidak berkecil hati dengan sikap "individu yang kurang kasih sayang" tersebut. Saya cuma hairan, mengapa jadi begitu? Berpelajaran tinggi, tapi akhlaknya kurang. Sebab itu saya kata dia "kurang kasih sayang".

Dia tidak sedar yang kelakuannya itu akan menyebabkan orang bawahannya hilang hormat terhadap dirinya. Jangan ingat orang hormat kita kerana pangkat atau harta, orang hormat kita kerana akhlak dan sikap kita. Inilah pesan Nabi SAW.

Biar miskin harta, jangan miskin akhlak. Merendah dirilah sesama makhluk, nescaya darjat kita akan diangkat dan dijulang setinggi langit oleh Allah. Penghuni langit akan menyanyangi dan menyanjungi orang yang tawadhu' dan merendah diri.

Selesai sembahyang Jumaat semalam, saya berdoa semoga boss diberi taufik dan hidayah, serta kesedaran. Mungkin dia jahil, siapa tahu?

Saya berlapang dada dengan peristiwa yang berlaku semalam, walaupun ada memberi sedikit kesan terhadap mood bekerja. Sebelah malamnya saya berziarah ke rumah Ust Soleh, untuk menghantar ikan lumek salai yang dipesan beliau sebelum itu. Sempat juga saya bercerita perkara ini kepada beliau, sekadar untuk meluah rasa hati. Beliau berpesan supaya berlapang dada, dan banyakkan bersabar. Boleh kata ramai boss yang bersikap demikian. Lebih teruk lagi jika boss perempuan.

Bersembang dengan Ust Soleh sedikit sebanyak melegakan hati saya. Belaiu banyak memberi nasihat kepada saya malam tadi. Alhamdulillah.

Mudahan Allah melimpahkan cahaya taufik dan hidayah ke dalam hati semua boss yang ada di dunia ini. Amin.

Khamis, 2 Julai 2009

Islam Yang Ditindas...








Melihat gambar-gambar yang di email oleh kawan saya yang berada di Bintulu, benar-benar menimbulkan keinsafan di hati saya. Peristiwa jemaah solat Isyak yang mati ditembak di dalam masjid yang berlaku di Selatan Thailand yang baru-baru berlaku mengusik relung jiwa saya. Sebak rasa hati melihat saudara seIslam mati ditembak ketika sedang menyembah Tuhan. Apalah dosa mereka?

Umat Islam di Selatan Thai hidup dalam ketakutan. Pergi ke masjid pun dah tak aman, perasaan takut ditembak ketika solat menghantui jiwa mereka. Namun apa yang mengagumkan saya ialah mereka pasrah dengan takdir yang tersurat, malahan mereka istiqomah turun untuk solat berjemaah di masjid walaupun mereka sedar akan risikonya. Mati dalam menyembah Tuhan adalah lebih baik dari takut kerana enggan solat berjemaah.

Saya hampir menangis apabila melihat gambar-gambar ini, namun saya tersentak dari lamunan setelah terdengar azan Isyak berkumandang dari corong surah Darul husnul Khatimah, Kpg Semerah Padi yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan kami. Saya pun bergegas ke surau.

Ketika imam mengangkat takbir dan diikuti makmum pada permulaan solat, hati saya terdetik...

Tidakkah kita insaf kerana dapat solat dengan aman di masjid tanpa risau dengan tembakan melulu dari 'orang gila' seperti mana yang berlaku dengan saudara kita di Selatan Thailand?

Renunglah dengan mata hati anda...

Rabu, 1 Julai 2009

Kembara Kabong Nan Permai...

Hari ini alhamdulillah saya selamat sampai ke Kuching setelah beberapa hari berada di Kabong. Seperti biasa, trip kali ini adalah untuk menemuramah bagi applicant Rumah Mesra Rakyat Skim Pembesaran Kampung Sungai Muroh, Kabong.

Pertama kali sampai di Kabong Isnin lepas dari Saratok, saya terasa seperti berada di negeri lain. Kabong terletak jauh nun hampir sampai ke tepi laut. Perkampungan nelayan ini adalah yang terhujung sekali, dengan melalui beberapa buah kampung seperti Sungai Alit, Sessang, Nyabor dan lain-lain. Untuk ke Kabong, kita terpaksa menggunakan jalan darat dengan masuk ke jalan Roban Baru (bukan Roban Lama). Dan kerana tersesat jalan itulah saya dan Zulhatta lambat sampai ke tempat tujuan.

Interview berjalan seperti biasa pada mulanya, namun keadaan menjadi agak kelam-kabut apabila semakin ramai pemohon datang mengerumuni saya dan Zulhatta untuk ditemuramah. Borang dan tag nama yang telah saya susun pun berterabur oleh pemohon. Masya Allah, geram di hati Allah saja yang tahu. Saya terpaksa bersabar dengan karenah orang kampung kerana tidak mengikut peraturan. Apa salahnya jika mereka duduk dan menunggu nama mereka dipanggil? Mengapa mesti mengerumuni meja kami dan bertanya itu ini sedangkan giliran mereka belum sampai? Tidak sabarkah nak dapat rumah?

Ketika dalam perjalanan pulang ke hotel petang tersebut, Zulhatta meluahkan kekecewaannya mengenai peristiwa yang kami alami sepanjang hari tersebut. Apa yang dapat kami lakukan hanyalah mampu bersabar dengan karenah orang kampung tersbut. Kami berpendapat kami tidak boleh menyalahkan mereka berkelakuan sedemikian kerana mentaliti orang kampung tidaklah sama dengan orang bandar.

Selasa malam Rabu, Faizul dan 2 staf SPNB Sabah datang ke Saratok, dan check in di Victoria Inn. Kami makan malam bersama, dan saya berpeluang beramah mesra dengan kawan baru dari Sabah bernama Hussein dan Asrol. Sambil makan, kami bercerita tentang hari yang dilalui dan pengalaman temuramah orang kampung. Banyak cerita lucu yang dikongsi hingga kami ketawa sepanjang sesi makan malam tersebut. Rupa-rupanya cerita Faizul lebih teruk lagi dari kami. Faizul dan 2 staf SPNB tersebut menemuramah penduduk kampung di Lingga, Sri Aman. Ramai pemohon yang datang, sehinggakan Faizul dan kawan-kawan teruja untuk menemuramah berikutan ramainya yang berminat nak apply Rumah Mesra Rakyat. Setelah sedia untuk diinterview, yang melucukan ialah boleh kata seluruh penduduk kampung yang datang tidak membawa dokumen dan I.D. Kalau dah takde dokumen, macam mana nak isi borang? Pening-pening. Ini nak beli rumah, bukan beli ayam kat pasar. Faizul hanya mampu mengurut dada melihat perangai orang kampung tersebut.

Lain pula Hussein dan Asrol, dua-dua orang Sabah. Penduduk kampung pula bercakap dengan loghat tempatan dengan mereka berdua. Natijahnya, mereka tidak faham apa yang dituturkan, samalah seperti ayam bercakap dengan itik.

Kalau nak diceritakan memang macam-macam perkara yang berlaku sepanjang sesi traveling kali ini. Ini cuma sebahagiannya sahaja, kadang-kadang tersenyum seorang diri saya apabila mengenangkan peristiwa tersebut.

Walaubagaimanapun, banyak juga tempat-tempat menarik di Kabong. Sempat juga saya singgah membeli ikan lumek salai seperti yang dipesan oleh Ust Soleh pada hari sebelumnya. Kabong memang indah, jauh dari pencemaran. Di seberang muaranya terdapat satu tempat yang bernama Paloh. Yang mengejutkan saya, ada 30 buah rumah sahaja di situ, dan mereka masih menggunakan generator dan air hujan sebagai keperluan harian. Masya Allah, di zaman sekarang masih ada lagi yang hidup dalam keadaan dhaif dan jauh dari arus kemodenan. Untuk ke Paloh terpaksa menggunakan bot kerana di sana tidak ada jalan darat.

Saya berasa insaf juga apabila melihat keadaan orang di pedalaman. Saya bersyukur kepada Allah kerana hidup dalam kecukupan dan serba lengkap. Allah telah memberi banyak nikmat kepada saya. Alhamdulillah. Segala Puji untukMu Ya Allah.

Renung-renungkanlah nikmat di sekeliling kita. Kita hidup jauh lebih mewah dari mereka yang berada di pedalaman. Semoga keinsafan menerpa di hati kita. Insya Allah.