Ahad, 23 Ogos 2009

Mimpi Lawatan Ke Neraka?

Semalam, tengahari Sabtu saya ke Hotel Four Points untuk melihat dan recharge ESQ Training untuk angkatan ke 5. Untuk seminar ESQ kali ini pada mulanya saya tidak bercadang untuk menjadi ATS, hal ini kerana ada commitment lain yang perlu diberi lebih perhatian selain ibadah mufarrid yang saya lebih suka khususkan sempena bulan Ramadhan yang mulia ini.

Namun ketibaan saya ke tempat training telah mengubah rasa hati saya di mana saya disambut dengan hangat dan mesra oleh ATS-ATS yang bertugas. Ramai yang bertanya kenapa saya enggan menjadi ATS kali ini. Saya jelaskan yangs saya ada commitment lain yang perlu lebih diberi perhatian. Shamimin, Elisa, Nurul, Khairil, dan ATS yang lainnya semua bertanya soalan yang sama " Kenak (kenapa) sik (tak) jadi ATS agik (lagi)?" Saya memberi jawapan yang sama, commitment lain. Nampak rupa gaya kena jadi ATS lah esok hari.

Saya masuk ke ruang dewan sebagai alumni, dan duduk di petak alumni. Kebetulan sesi kali ini tentang riwayat Rasulullah, sesi favourite saya. Seperti biasa, trainer bijak menyampaikan cerita dan bahan sehingga seluruh dewan gemuruh dengan tangisan kerana mengenangkan penderitaan dan perjuangan Rasulullah menyampai risalah kebenaran. Dan di antara ramai yang menangis itu, termasuklah saya.

Saya mudah tersentuh apabila riwayat dan kisah Rasulullah diceritakan. Entahlah, kecintaan saya kepada Rasulullah bagaikan api yang menyala. Teringat semasa saya mengerjakan haji dahulu, saya dan ayah melawat maqam Rasulullah. Kami beratur dalam barisan yang panjang bermula dari Bab Jibril (Gerbang Jibril). Perlahan-lahan kami menghampiri maqam Rasulullah lantaran ramainya orang. Dari kejauhan di belakang baris saya dapat mendengar jemaah-jemaah yang melawat menangis dengan kuat. Saya mengawal perasaan saya sebaik mungkin, kononnnya enggan menangis di depan orang ramai. Apa yang pelik, semakin dekat dengan maqam Baginda, terdapat satu perasaan pelik dan aneh menerjah ke relung jiwa saya. Aura di persekitaran maqam tersebut amat ganjil dirasakan, bukan ganjil kerana energi-energi negatif atau seumpamanya, tetapi satu perasaan yang saya sukar untuk gambarkan dengan kata-kata.

Selang 2 3 orang lagi saya nak sampai ke maqam, saya sudah nampak pintu maqam Baginda. Di atas gerbang pintu maqam Baginda tertulis perkataan "Muhammad Rasulullah SAW" pada plak hijau bertulisan kuning. Sebaik saya terpandang plak hijau dan nama Baginda tersebut, tanpa disuruh-suruh saya menangis semahu-mahunya. Air mata mengalir laju dan mulut terkumat-kamit membaca selawat tanpa putus. Sebaik tiba betul-betul tepat di depan maqam Baginda, saya mengucapkan salam dan menangis semahu-mahunya. Terasa pada jiwa saya seolah-olah Baginda masih 'hidup' dan duduk di maqamnya sambil menyahut setiap salam jemaaah yang datang menziarahi Baginda.

Kami di 'halau' polis Arab tidak lama selepas itu. Ini kami maklum kerana adalah tidak dibenarkan berlama-lama berdiri di depan maqam bagi memberi peluang kepada jemaah yang lain dan mengelakkan kesesakan lalulintas pada maqam.

Demikian sekelumit kenangan indah semasa saya melawat maqam Junjungan Mulia SAW pada tahun 2006 yang lalu...

Balik dari Four Points, saya bersiap-siap untuk berbuka puasa dengan keluarga. Ibu masak sedap untuk berbuka puasa. Kami sekeluarga dah jarang membeli juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan bagi mengelakkan pembaziran. Malah, kami sekeluarga lebih cenderung berbuka dengan nasi dan lauk-pauk berbanding kuih muih.

Seusai solat Maghrib, saya bergegas ke surau Darul Husnul Khatimah Semerah Padi. Kelihatannnya surau sudah sesak dengan jemaah. Terjumpa pula dengan Sir Habeeb yang turut sama sembahyang berjemaah di surau tersebut. Kami menamatkan solat Tarawih tepat jam 09:20 malam. Balik Tarawih saya menyambung bacaan Al-Quran dan dapat menyudahkan juzuk ke 2 untuk hari yang pertama.

Saya dibangunkan untuk makan sahur oleh ayah saya jam 04:15 pagi. Selesai makan, cadangnya nak tahajud sekejap. Jalot ada memaklumkan saya ada program qiamullail di Masjid At Taqwa Gita, namun saya tidak ikut serta kerana cenderung untuk berqiamullail seorang diri di rumah.

Sebelum nak tahajud, selepas makan saya baring di sofa. Natijahnya, saya tertidur lagi. Pada ketika itulah saya bermimpi sesuatu yang tidak pernah saya lihat sebelum ini...

Dalam mimpi tersebut, saya dibawa oleh seseorang ke sebuah rumah. 'Orang' yang membawa saya ini tidak nampak, atau dalam ertikata lainnya, ghaib. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran. Dalam rumah tersebut, saya terlihat seorang perempuan tua yang kudung kedua belah kakinya, dibalut dengan kain putih yang merah dengan darah. Kelihatan ulat-ulat memakan isi daging bahagian kaki yang kudung.

Kemudian datang seorang lelaki India, berbadan besar dan kelihatan bengis. Lelaki India tersebut kemudiannya merogol tubuh perempuan tua tersebut tanpa belas kasihan. Perempuan tersebut menjerit kesakitan dan minta dikasihani, namun tidak dipedulikan. Apa yang mengerikan, perempuan tua tersebut dirogol sampai termuntah-muntah oleh lelaki bengis tersebut. Muntah yang keluar pula amat banyak dan kelihatan seperti nanah.

Kemudian saya melihat seorang lagi perempuan tua seorang diri di atas katil yang lain, apa yang pelik, sebaik saya memandang wajah perempuan tua yang kedua ini, mukanya tiba-tiba mengembang seperti belon, sambil mengangakan mulutnya. Perempuan tua ini juga muntah nanah seperti perempuan tua yang pertama tadi, kali ini bercampur dengan darah. Perempuan tua ini muntah dengan banyaknya sehinggakan saya berasa geli dan jijik.

Tiba-tiba sosok ghaib itu bersuara "Mereka berdua adalah pelacur, melacur dari muda hingga ke tua, dan mereka sedang menerima pembalasannya."

Saya terpana...

Kemudian, sosok ghaib itu membawa pula saya ke satu tempat yang luas, seperti padang pasir yang putih. Langit pula kelihatan merah dan panas membahang. Tiba-tiba dari kejauhan saya melihat sesuatu sedang berjalan ke arah saya. Semakin dekat semakin jelas. Rupanya yang berjalan itu adalah seorang perempuan yang telanjang tanpa seurat benang pun di tubuhnya. Apa yang mengerikan, kemaluan dan kedua-dua payu dara perempuan tersebut memburuk dan berdarah serta bernanah. Saya juga dapat lihat ada ulat-ulat yang banyak sedang memamah dan memakan tempat-tempat sensitif tersebut.

Sekali lagi sosok ghaib itu bersuara "Dia adalah pelacur."

Perjalan dilanjutkan lagi ke satu tempat. Di sana saya melihat dua orang manusia diikat dalam keadaan tungging terbalik, di mana keadaannya seperti punggung ke atas dan kepalanya ke bawah. Dua orang manusia ini adalah seorang laki dan seorang perempuan. Dalam keadaan terbalik itu, mereka direndamkan ke dalam satu kawah yang dipenuhi dengan lava gunung berapi (cecair merah yang panas membara). Kedengaran suara lelaki itu berteriak.

"Kenapa kita diazab sebegini rupa?!!"

Si perempuan pun menjawab " Kerana kita telah BERZINA!"

Masya Allah, saya amat terkejut dan ketakutan. Dalam keadaan ketakutan itulah saya lalu tersedar dari tidur.

Saya beristighfar sebanyak-banyaknya... Saya lihat jam sudah menunjukkan masuk waktu Subuh.

Saya segera membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh.

Dalam solat, fikiran saya terganggu dengan mimpi tadi. Apa makna sebenar mimpi tersebut? Kenapa saya dipilih untuk melihat semua ini?

Nak kata saya melanggan pelacur, Na'uzubillah. Seumur hidup saya tidak pernah saya melanggan pelacur.

Mungkin ada mesej yang cuba disampaikan oleh ALlah kepada saya. Saya sedang mencungkil dan menafsir mimpi tersebut sepanjang hari ini tadi, termasuklah ketika saya menjadi ATS ESQ sebentar tadi.

Inilah kali pertama saya bermimpi dibawa melawat ke 'neraka', atau benarkah itu 'neraka'? Atau mungkin hanya mainan tidur dan khayalan saja?

Kalau benar ia neraka, mengapa saya ditunjukkan semua ini. Apa kelebihan dan keistimewaan saya sehingga diberi peluang untuk melihat azab di neraka?

Saya ceritakan mimpi saya itu kepada sahabat baik saya, Jalot. Jalot berkomentar.

"Untung kau berpeluang nangga (melihat) neraka. Mungkin ada nak disampei (disampaikan) Allah kepada kau."

Cerita di atas mungkin sukar diterima oleh orang yang berfikiran skeptic. Kedengarannya cerita tersebut seperti dongengan semata-mata. Atau mungkin ada yang menuduh saya mengada-adakan cerita. Saya berani jamin cerita di atas adalah benar kerana saya berpuasa dan tidak akan berbohong. Inilah yang saya lihat dalam mimpi saya dan saya masih keliru mengapa Allah menampakkan azab neraka tersebut kepada saya.

Mungkin ada dosa yang saya buat tanpa saya sedari. Saya bertaubat kepada Allah zahir dan batin.

Astaghfirullah...

Selasa, 18 Ogos 2009

Misteri Bukit Siol...

Malam ini staf SPNB mengadakan jamuan makan malam di Top Spot sempena meraikan kedatangan Datin Noor Haliza(isteri kepada Dato' Amin, bekas MD SPNB) yang datang ke Kuching atas urusan bisnes. Beliau datang dengan seorang staf beliau (yang saya tidak ketahui namanya). Datin sangat mesra dengan kami. Ini adalah kali pertama saya berjumpa dan beramah mesra dengan Datin.

Sambil makan, pelbagai perkara disembangkan. Gurau dan usik-mengusik jangan ceritalah, staf SPNB memang kaki usik. Dalam istilah bahasa Sarawaknya 'Pengepak @ Penyelak'. Kehadiran Wenndy (Senior Executive) kami yang memang pakar dalam 'pak-mengepak' juga menggamatkan suasana. Sir Habeeb, orang nombor 2 SPNB juga sama. Saya, Harun, Azry dan Saiful memang tidak kering gusi ketawa dengan cerita lawak yang disembangkan. Di meja sebelah, Radzi, Shimani, Amy dan suami, Nisa dan Eva pula dengan topik mereka tersendiri. Kelihatan Radzi pula melayan dan bersembang dengan Datin. Entah topik apa yang mereka sembangkan. Nisa, Shimani dan Eva pula sibuk menggambar diri sendiri dengan telefon bimbit. Perempuan... susah nak cakap...

Suasana dinner di Top Spot sangat meriah dan kami 'kemengahan' menghabiskan makanan yang dipesan oleh Shimani dan Nisa, 'pakar makanan' dalam ofis. Dalam masa yang sama, 'mengah' kerana banyak ketawa. Harun dan Wenndy buka cerita tentang bagaimana virus H1N1 merebak. Kemudian topik beralih pula ke kisah Istana Al-Hambra, Andalusia, kegemilangan ilmuan Islam dan lain-lain. Dalam pada gelak ketawa, sempat juga bersembang tentang perkara yang ilmiah.

Selesai makan, kami pulang dengan hati yang puas. Saya, Saiful, Sir Habeeb, Harun dan Azry pulang dengan menggunakan Hilux ofis. Wenndy dan Eva dengan kereta sendiri. Radzi menghantar Datin dan yang lain-lain. Kami mengucapkan terima kasih kepada Datin kerana sudi makan malam bersama kami.

Setelah sampai di Petra Jaya, Radzi menelefon saya. Rupa-rupanya Datin nak minum kopi, lalu mengajak kami sekali. Saya serahkan HP kepada Sir Habeeb, dan dia mengatakan kami semua hendak pulang, dan menolak pelawaan tersebut dengan baik.

Kami melalui sebuah bukit di Petra Jaya, yang dipanggil Bukit Siol. Bukit ini terletak tidak jauh dari Masjid Jamek Negeri Sarawak. Bukit ini ada kisahnya sendiri...

Sir Habeeb membuka cerita, yang dia selalu berjoging seorang diri di bawah bukit tersebut. Kadang-kadang Sir Habeeb mendaki bukit tersebut untuk melihat pemandangan dari atas. Sir Habeeb mengatakan semasa dia berada di atas, terasa satu perasaan pelik apabila dia melihat ke bawah. Suasana juga menjadi pelik, oleh kerana tidak sedap hati, Sir Habeeb pun turun dari bukit tersebut.

Di masa yang lain, Sir Habeeb pernah terjumpa ular dan biawak yang bersaiz besar. Saya agak, mungkin ada ular sebenar, tidak mustahil juga ular jelmaan jin.

Saya sendiri pernah mengalami peristiwa misteri di Bukit Siol. Suatu petang saya dan kawan-kawan mendaki bukit tersebut. Semasa di atas bukit, saya melontar batu sambil bersembang dengan kawan-kawan saya. Dalam masa yang sama, hari dah senja. Kelihatan langit berwarna kuning merah. Saya pun pulang dan apabila sampai di rumah, saya berasa kurang selesa dan kepanasan.

Pada sebelah malamnya, saya bermimpi (atau sedar?) melihat makhluk berbulu dan berbadan besar masuk ke dalam bilik saya. Makhluk tersebut memeluk saya dengan kuat sehingga saya tidak dapat bernafas. Saya bertakbir sekuat hati dan makhluk tersebut hilang dengan sendirinya.

Gangguan berterusan selama beberapa hari dan saya meminta nasihat daripada kawan saya yang belajar di Univerisiti Madinah yang kebetulan cuti pada ketika itu.

Beliau menasihatkan saya supaya mengamalkan Wirid Al-Ma'thurat untuk beberapa hari. Alhamdulillah gangguan tersebut hilang setelah saya mengamalkan wirid tersebut.


Di bawah bukit ini ada sebuah tasik. Anak buah kepada pemilik blog SIMAAS, Wan Sudirman lemas dan meninggal dunia di tasik tersebut. Kami (saya dan Wan Sudirman) amati tasik dan taman tersebut 'tidak berapa elok' untuk dibuat sebagai tempat rekreasi. Kerana masih banyak cerita misteri menyelubungi tasik dan taman tersebut.

Wallahu 'alam...

Isnin, 17 Ogos 2009

Doa Ruqyah Jibril...

Kaedah Inzar @ Muqaddimah Ruqyah. Dimulakan dengan Istighfar, Ismul Azhom, Tasbih Nabi Yunus dan Doa Abu Darda'.Doa Ruqyah Jibril.

Di atas adalah kaedah ruqyah yang biasa saya gunakan ketika merawat. Memandangkan begitu ramai yang request ingin tahu apa itu Ruqyah Jibril, maka di sini saya paste dan tunaikan permintaan anda.

Ruqyah Jibril juga dikenali sebagai Kalimah Tammah. Doa ini diperolehi ketika Baginda Rasulullah SAW mi'raj ke langit sambil ditemani Jibril.

Tiba-tiba Baginda ternampak Ifrit terbang laju ke arah Baginda sambil membawa obor api di tangannya dengan niat hendak membakar Baginda. Malaikat Jibril lalu mengajar Baginda doa ini dan natijahnya Ifrit itu terpelanting dan terbakar oleh api yang dibawanya sendiri kesan daripada doa Ruqyah jibril tersebut.

Semoga bermanfaat...

Ahad, 16 Ogos 2009

Mereka Yang Berdosa...

Tengah buat preparation untuk program anak-anak usrah.

Pagi tadi saya online dekat nak 3 jam, meneliti satu demi satu setiap website dan blog yang saya temui melalui surfing dan link sahabat-sahabat saya. Pelbagai blog yang ditemui, ada yang berfaedah, tak kurang juga yang tak berapa berfaedah.

Tiada apa yang menarik berlaku hari ini, kecuali ada majlis tahlil di rumah nenek sempena 'Arwah Bulan'. Saya pun tak tahu apa benda 'Arwah Bulan' tu melainkan apa yang saya faham majlis ini diadakan sempena menyambut ketibaan Ramadhan. Itu sahaja.

Ingin saya kongsi satu kisah yang berlaku kepada saya tentang salah seorang anak usrah saya. Nama terpaksa dirahsiakan. Begini kisahnya.

Satu hari, saya duduk minum dengan beberapa orang anak usrah saya. Sekali-sekala keluar minum dengan mereka boleh juga merehatkan minda, selain itu boleh juga menyelami jiwa mereka lebih dalam dan berkongsi rasa. Kami berbincang pelbagai perkara, tak kurang juga ada yang menceritakan masalah peribadi mereka dan saya memberi nasihat dan panduan kepada mereka agar mereka tidak larut dalam masalah yang kadang-kadang membawa mereka hanyut dari realiti iman dan taqwa kepada Allah.

Tiba-tiba, lalu seorang kurang siuman di meja kami. Kelihatannya orang gila itu bercakap seorang diri, dan berpakaian comot dan selekeh.

Saya memberi sedikit tazkirah kepada anak usrah saya mengenai orang kurang siuman tersebut. Saya katakan bahawa orang kurang siuman terlepas dari beban syarak dan apa sahaja perbuatannya tidak dikira berdosa, kerana dia hilang akal.

Tiba-tiba salah seorang anak usrah saya melontarkan soalan.

"Bang Asri, mun (kalau) kamek (saya) jadi gila, kitak (awak) masih ngakuk (mengaku) sik (tak) kamek (saya) tok (ni) anak usrah kitak (awak)?"

Saya terkedu. Tak tahu nak jawab apa. Agak lama juga saya terdiam.

"Insya Allah, kitak (awak) masih tetap anak usrah kamek (saya) walaupun kitak (awak) sik (tidak) siuman." Ujar saya dengan lembut dan berhati-hati.

Nampak rupa gayanya anak usrah saya itu berpuas hati dengan jawapan saya.

Saya tidak menjangka bahawa soalan seperti ini boleh keluar dari mulut anak usrah saya. Saya tidak pernah terfikir jika benar anak usrah saya itu gila, masihkah saya mahu mengaku dia anak usrah saya? Namun saya melihat ini adalah hikmah yang perlu saya pelajari yakni berkawanlah walau apa pun orang tersebut kerana Allah, bukan kerana yang lainnya.
Bersama dengan salah seorang daripada anak usrah.

Sepanjang saya aktif dalam usrah, pelabagai karakter, watak dan personaliti manusia yang saya temui. Saya bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya dengan usrah kerana melalui usrah saya berpeluang untuk bergaul dengan pelbagai peringkat manusia. Mentaliti yang menganggap bahawa orang usrah hanya bergaul dengan ustaz dan orang alim sahaja adalah salah pada pandangan saya. Orang usrah adalah dae'i @ pendakwah. Sebagai dae'i hendaklah kita terjun di tengah masyarakat bagi menyampaikan kebaikan dan kebenaran agama Islam yang kita anuti.

Kalau tidak silap saya, saya sudah mempunyai 3 kumpulan usrah dibawah seliaan saya. Namun kesemua anak usrah saya ini telah berpindah ke luar Kuching. Ada yang sambung belajar dan ada yang bekerja. Saya tidak nafikan, ada juga di antara anak usrah saya yang 'tak menjadi', maksudnya oleh kerana ada antara mereka ini jauh dari usrah, mereka mengalami kejutan budaya lalu meninggalkan nilai-nilai Islami yang pernah mereka pelajari semasa aktif dalam usrah dahulu.

Saya tidak menyalahkan mereka dalam hal ini. Kekuatan rohani adalah berbeza mengikut diri masing-masing. Ada yang maintain imannya, ada yang kalah dalam perjuangan menentang bujukan nafsu dunia. Saya pernah berasa sedih dan kecewa apabila mendapat tahu ada segelintir anak usrah saya menjauhkan diri dari usrah kerana terikut dengan pujukan kawan mereka di luar usrah. Mereka sudah pandai ke disko dan pub, berkepit dengan perempuan dan sebagainya. Yang lebih menyedihkan, ada pula yang berani berciuman dengan perempuan di dalam pub. Info ini saya dapat dari kawan saya yang 'sama nakal' satu ketika dahulu namun masih belum menemui 'jalan pulang' dan masih aktif di disko-disko.

Boleh dikatakan setiap disko di Kuching, saya mempunyai informer yang terdiri daripada kawan-kawan saya. Mereka inilah yang sering mengkhabarkan berita kepada saya jika ada di antara orang yang saya kenali masuk disko dan sebagainya.

Saya tidak pernah menyuruh mereka menjadi informer saya, tetapi mereka sendiri yang mahu memberitahu kepada saya walaupun saya tidak bertanya kepada mereka mengenai perkara itu. Mereka sendiri yang mahu bercerita.

Pada pandangan saya, setiap manusia pernah melalui zaman 'gelap'. Begitu juga saya. Saya pernah 'nakal' namun segala puji bagi Allah kerana menemukan saya ke 'jalan pulang'. Masih ada lagi di antara kawan saya yang masih tertinggal di belakang walaupun saya pernah berusaha untuk mengajak mereka untuk 'pulang' tetapi mereka sendiri yang tidak mahu.

Saya melihat orang yang berdosa dengan perasaan kasihan, bukan dengan perasaan benci dan jelek. Kasihan kerana mereka terjerumus ke lembah kejahilan tanpa mereka sedari, kasihan kerana mereka tertipu dengan nikmat duniawi yang bersifat sementara, kasihan kerana mereka tidak punya kekuatan untuk kembali kepada fitrah yang suci.

Walaupun saya aktif dalam usrah, saya masih anggap 'mereka yang tertinggal' itu kawan saya. Kami masih berkawan baik. Kami masih keluar minum sama di Benteng Satok, port yang biasa tempat kami singgah untuk melepak dan mengisi perut yang kelaparan. Ada masanya kami keluar main futsal bersama. Selepas pulang main futsal, kami akan singgah di Benteng Satok untuk makan mi kolok dan ice lemon tea, menu kegemaran saya.

Sekarang saya dah jarang main futsal, berlatih silat pun dah tak datang. Perut pun dah naik.
Dari Kiri: Ustaz Sophian, Ustaz Tarmigi dan saya.

Teringat saya satu peristiwa, salah seorang daripada kawn saya menelefon saya dari Niah, Miri. Dia mengadu fikirannya berkecamuk, dan apa yang memeranjatkan saya, pada ketika itu dia hendak bunuh diri. Kawan saya ni ada skandal dengan seorang perempuan di Niah, dan dalam masa yang sama dia sering bertengkar dengan kekasihnya di Kuching, sehingga membawa kepada putus hubungan. Saya pujuk dia supaya jangan ambil tindakan bodoh itu. Agak lama juga saya online dengan dia, memujuk dan memberi nasihat kepada dia supaya jangan bunuh diri. Alhamdulillah akhirnya dia berubah fikiran. Dia kembali tenang dan saya nasihatkan dia supaya banyak-banyak bersabar.

Lain pula dengan kisah seorang lagi kawan saya yang ada skandal dengan bini orang. Saya marah dia kerana mengacau rumah tangga orang. Dia kata bukan salah dia, tapi bini orang tu yang nak kat dia. Saya nasihati kawan saya itu agar tinggalkan perempuan tersebut kerana khuatir keadaan akan menjadi susah jika suami perempuan itu tahu. Kawan saya akur dengan nasihat saya dan kini dia dah bertunang dengan kekasihnya yang baru.

Selain dari cerita di atas, ada banyak lagi dan 1001 macam kisah dan masalah orang yang saya temui. Saya pernah handle kes budak berzina, mengandung anak luar nikah, kes mabuk cinta sampai buang keluarga, kes masalah dalam sekolah dan pelajaran, kes pondan dan tomboy, arak, disko, dadah, kes lesbian dan gay, kes murtad dan lain-lain. Kalau nak cerita dalam blog ni memang tak muat. Apa yang nyata, saya melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan mata hati saya. Saya mengambil pengajaran dari setiap kejadian yang berlaku dan saya anggap ia sebagai 'guru dalam hidup' saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya dengan peristiwa-peristiwa ini, walaupun ia tidak berlaku ke atas diri saya, namun saya dapat ambil pengajaran dari kisah orang lain.

Allah mengajar saya melalui orang-orang yang merasakan diri mereka berdosa.

Dan saya juga orang yang berdosa... Astaghfirullah...

Jumaat, 14 Ogos 2009

Kedondong Pontianak



Ayah saya berasal dari sebuah kampung nun terletak di Batu Kawa, Kuching. Kampung Melayu ini saya rasa di antara kampung yang terpencil di antara kampung-kampung lain. Tidak ramai komuniti Melayu di sana kerana kebanyakan orang yang tinggal di Batu Kawa ialah orang Cina.

Perkampungan orang Melayu yang ada di Batu Kawa ialah Kampung Segedup, Stapok, Rantau Panjang, Rimba, Sinar Budi dan lain-lain. Saya dapati tidak ramai orang Melayu ada di kawasan perkampungan ini mungkin kerana ramai yang telah berhijrah ke tempat lain dan sebagainya.

Kalau di Kuching, kawasan majoriti orang Melayu ialah Petra Jaya dan kawasan Ajibah Abol, Mataim, Patingan, Kampung Masjid, Bandarsah dan lain-lain. Petra Jaya pula boleh dikatakan semua Melayu dan merupakan kawasan elit orang Melayu.

Saya ingin berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang saya tinggal di kampung ayah saya. Ayah saya datang dari sebuah keluarga yang besar, datuk dan nenek saya berasal dari Indonesia. Datuk mendapat tanah di kampung semasa zaman Jepun lagi. Datuk saya, Hj Basir yang merantau dari Padang, Sulawesi merupakan seorang penjual ubat. Nenek pula, Hjh Seniah merupakan keturunan Jawa yang lahir di Kuching manakala bapanya, Tok Atu pula orang yang asli dari Jawa, Indonesia. Tok Atu datang ke Malaya pada ketika itu kerana diambil oleh sebuah syarikat untuk bekerja sebagai penoreh getah dengan orang Jawa yang lain. Sebab itulah di kawasan Stapok dan Batu 11 ramai orang Jawa menetap di sana.

Rumah tempat nenek saya tinggal merupakan kawasan hutan tebal. Tempat tersebut agak sunyi, dan sehingga sekarang kalau malam menjelma pun masih sunyi. Semasa saya masih kecil, kami sekeluarga tinggal di sebelah rumah nenek. Saya jarang bermain dengan kanak-kanak kampung yang lain kerana rumah di kampung tersebut terletak jauh antara satu sama lain. Jadi saya lebih banyak meluangkan masa dan bermain dengan sepupu dan saudara-saudara saya yang lain.

Saya tidak nafikan, kami dibesarkan dengan cerita-cerita misteri dan mistik oleh orang tua kami. Datuk saya Hj Basir pernah menerima sebilah parang Ilang (parang bangsa Iban) semasa mengubat di rumah panjang kaum Iban. Parang ini dikatakan berpuaka, kerana pernah memenggal dan memancung kepala orang. Diceritakan bahawa selain parang tersebut digunakan semasa peperangan, parang itu juga digunakan untuk memenggal kepala pesalah di rumah panjang. Datuk menerima parang itu dari tuai (ketua) rumah panjang kerana berjaya merawat salah seorang penhuni rumah panjang ketika itu. Difahamkan parang tersebut jika disimpan di rumah, jika ada pencuri hendak menceroboh, parang tersebut akan 'mengejar' pencuri tersebut.

Namun kini parang tersebut telah hilang entah ke mana.

Banyak cerita mistik di rumah datuk, tapi kali ini saya ingin menceritakan tentang sepohon pokok kedondong di tepi rumah datuk yang dikatakan berpontianak.

Pohon kedondong ini ditanam oleh datuk semasa mula-mula mendiami rumah tersebut. Saya dan sepupu pada ketika itu masih kecil gemar memanjat dan bermain di pokok tersebut. Apabila pokok itu berbuah, kami menjolok buah tersebut dan makan bersama-sama di bawah pokok.

Setelah sekian lama, saya mendapat tahu dari makcik saya bahawa pokok kedondong tersebut mempunyai misterinya tersendiri. Dikatakan bahawa jika ada kematian berlaku di kampung kami ataupun kampung sebelah, pontianak akan menangis dan ketawa di atas pokok tersebut.

Dikatakan juga, pak su saya yang pulang dari kerja lewat malam pernah terlihat perempuan berbaju putih dan berambut panjang duduk di atas dahan pokok tersebut, merenung ke arah pak su saya dengan matanya yang merah dan bergigi taring, sambil tersenyum.

Saya tidak percaya dengan cerita tersebut dan menganggapnya mengarut, sehinggalah ke satu malam...

Pada ketika itu, saya berada dalam tingkatan 2 di SMK Batu Kawa. Hujan turun dengan lebatnya dan angin bertiup dengan kencang. Saya agak pada ketika itu jam antara 2-3 pagi. Semua orang sudah tidur.

Saya terkejut dari tidur apabila mendengar guruh berdentum. Saya melihat kilat sabung menyabung di langit, hujan pula turun dengan derasnya. Saya menyambung tidur dalam keadaan payah kerana terganggu dengan pancaran kilat dan bunyi dentuman guruh.

Dalam usaha nak tidur itu, saya terdengar suara perempuan mengilai di pokok kedondong yang terletak di sebelah rumah kami.

"Kikikikikiiiiii uuuuuuuuuuu...Kikikikiki uuuuuuuu..."

Saya dapat mendengar suara tersebut dengan jelas dan terang. Saya yakin saya tidak bermimpi. Peluh mula keluar dan badan terasa sejuk dan membeku. Rasa nak menangis pun ada. Saya cuba membaca Fatihah dan Ayatul Kursi namun gagal kerana lidah terasa kelu.

Suara tersebut semakin jelas, "Kikikiki uuuuuuuu... Kikikikiki uuuuuuuuuu..."

Saya pasrah, saya mengucap di dalam hati sebanyak-banyaknya dan akhirnya tertidur.

Keesokkan paginya, makcik saya menerima berita kematian seorang penduduk kampung yang kami kenali. Saya ada di situ dan mendengar perbualan makcik saya dengan orang yang memaklumkan berita kematian itu tadi. Orang yang meninggal dunia itu tinggal di kampung Sinar Budi, bersebelahan dengan kampung kami.

Saya terdiam, adakah benar suara mengilai yang saya dengar malam tadi adalah suara pontianak? Atau mungkin hanya siulan angin?

Saya yakin itu bukan siulan angin kerana siulan angin hanya berlaku pada bangunan tinggi sahaja. Saya dapat dengar dengan jelas suara mengilai itu datang dari pokok kedondong tersebut...

Benarkah ada pontianak di pokok kedondong yang saya ceritakan tadi? Wallahu 'alam. Itu hanya secebis pengalaman yang saya alami ketika saya masih di bangku sekolah, yang masih segar dalam ingatan saya...

Wallahu 'alam

Khamis, 13 Ogos 2009

Silat Batin Panglima Jawa...

Kisah kali ini mengenai anak buah saya, iaitu anak kepada sepupu saya yang masih belajar di sekolah menengah. Anak buah saya ini minat kepada ilmu kebatinan dan persilatan, kerana ayahnya juga seorang pesilat yang handal dan mahir. Silat, tidak sah kalau kita pisahkan ia dengan ilmu kebatinan. Nak dijadikan cerita, oleh kerana anak buah saya ini terlalu minat dengan silat dan ilmu kebatinan, dia belajar silat seru @ kebatinan dengan seorang guru silat di Bandar Kuching ini.

Anak buah saya ini, teramat minat dengan alam mistik. Dia tahu saya selalu pergi merawat orang yang kerasukan atau penyakit misteri. Oleh itu, setiap kali dia melihat atau berjumpa saya di rumah, dia pasti duduk di sebelah saya sambil 'mengorek' rahsia dan ilmu perubatan yang saya pelajari. Saya hanya tersenyum dan hanya berkata "Umur kamu masih muda, nanti bila dah sampai masa nanti anjang akan ajarkan". Namun, ada juga saya mengajar dia beberapa ayat pendinding diri dan ayat yang boleh digunakan ketika 'emergency'.

Singkat cerita, satu hari saya berziarah ke rumah sepupu saya (ayah kepada anak buah saya) di Matang. Sepupu saya ini suka juga bercerita tentang alam mistik, dan ada juga bertanya kepada saya hukum ilmu kebatinan dan penggunaan tangkal azimat. Saya menerangkan dengan berhati-hati dan berhikmah dengan mengatakan bahawa ilmu kebatinan seperti silat seru dan azimat adalah syirik.

"Mun (kalau) camya (begitu), salah lah nok (yang) dibelajar Fikri ya (itu)". Sepupu saya merujuk kepada anak buah saya.

Saya diam dan mengangguk.

"Boleh kau nulong (tolong) nangga (tengokkan)?" Tanya sepupu saya.

"Insya Allah, kamek (saya) tok (ni) sik (tak) lah pandei (pandai) gilak (sangat), tapi boleh diusahakan". Ujar saya.

Saya menyuruh Fikri duduk dan melunjur kaki. Ruqyah dimulakan, bila sampai ke pertengahan ayat Ruqyah Jibril, Fikri kelihatan menggeliat dan mula gelisah. Saya syak jin sudah menunjukkan reaksinya.

"Siney (di mana) ada rasa sakit?" Saya bertanya.

"Dada rasa semput" Jawab Fikri.

Saya menghiris bahagian dada Fikri dengan jari sambil membaca ayat-ayat ruqyah. Fikri mula menggeliat dan muntah. Saya lihat ada setompok darah dalam muntah tersebut.

Saya tepuk belakang Fikri dan dia mula muntah beberapa kali.

Saya tamatkan sesi ruqyah pada malam tersebut kerana ada usrah. Saya minta ibu bapa Fikri agar menyediakan limau nipis dan air untuk dibuat minuman dan mandian penawar. Mereka berjanji akan menyediakan barang tersebut dalam masa terdekat. Saya menasihati Fikri dan yang lain-lain agar meninggalkan amalan silat seru tersebut kerana telah jelas silat ini menggunakan jin untuk membolehkan orang bersilat.

Selang beberapa minggu kemudian, Fikri menceritakan kepada saya semasa ruqyah dijalankan, tiba-tiba dia terasa marah dan benci yang amat sangat terhadap saya. Ini adalah pelik kerana saya kenal Fikri sebagai seorang anak yang baik dan amat menghormati orang tua. Fikri juga mengatakan ketika saya membaca ayat-ayat suci Al-Quran, dia terasa hendak menyerang dan menumbuk saya, namun dia terasa tidak dapat bergerak kerana tangan dan kakinya terasa seperti 'diikat'.

Saya dah ready awal dengan ayat pendinding diri semasa meruqyah, itulah agaknya mengapa Fikri tidak dapat menyerang saya. Semuanya dengan izin Allah.

Ketika berbual dengan Fikri, dia mengatakan dia bermimpi berjumpa dengan seseorang yang berpakaian seperti panglima Jawa.

"Kenak (kenapa) kau muang (membuang) aku?" Tanya panglima tersebut.

Fikri tidak sempat menjawab kerana dia terkejut dari tidur sejurus selepas itu.

Saya sempat menyelidik mengenai amalan kebatinan ini. Dikatakan jika nak buat silat seru ini, kemenyan dibakar dan Al-Fatihah dibaca beserta dengan ayat-ayat lain dengan niat untuk menghadirkan panglima supaya meresap ke dalam diri.

Kesimpulannya, inilah yang dikatakan syirik yang jarang diketahui orang. Ada sesetengah orang menyangka bila menyeru semangat pendekar dengan ayat Quran, amalan itu tidak menjadi salah. Sedangkan memanggil jin dengan tujuan duniawi tersebut adalah syirik yang nyata.

Kadang-kadang saya agak sedih juga bila ramai orang Melayu terlibat dalam amalan syirik ini. Asal ada bunyi ayat Quran sedikit dlam jampi, mereka menyangka amalan tersebut bersih dan betul. Mereka tidak memeriksa boleh jadi ayat yang seterusnya merupakan bacaan jampi syirik yang dicampur adukkan dengan ayat Quran.

Inilah tugas saya yang saya rasa berat juga untuk dipikul. Menyedarkan masyarakat mengenai bahaya syirik bukan calang-calang kerja. Hal ini demikian kerana Rasulullah juga berhadapan dengan perkara yang sama ketika menyampaikan dakwah kepada penduduk Makkah yang telah sebati dengan syirik ribuan tahun sebelum itu. Namun saya pasrah dan amat berharap kepada Allah agar kerja saya ini dinilai ibadah di sisi Allah.

Wallahu 'alam...

Rabu, 5 Ogos 2009

Pengalaman Pertama Menjadi ATS ESQ

Minggu lepas saya mencuba untuk menjadi ATS (Alumni Technical Support) bagi ESQ Workshop angkatan ke 4. Ini adalah pengalaman pertama saya menjadi ATS dan saya juga mendapat galakan yang kuat dari sahabat baik saya, Hairi a.k.a Jalot. Beliau menjadi koordinator bagi kursus kali ini.

Briefing setiap malam, yang lazimnya berakhir sampai pukul 2 pagi, kemudian bangun seawal 5 pagi dan memecut ke tempat kursus seusai solat Subuh menjadi agenda utama saya pada 3 hari tersebut. Jam 6:30 pagi mesti dah ada di Riverside Majestic Hotel, ini adalah untuk memastikan semua persediaan telah disiapkan sebaik mungkin. Letih mengantuk jangan kira, namun saya gagahkan jua kerana saya dah niatkan untuk ibadah dan cinta kasih saya kepada Allah Taala.

Sepanjang kursus, banyak perkara yang saya pelajari. Saya belajar bagaimana untuk mengaplikasikan "Zero Mind Process", iaitu pengosongan minda dari sebarang bentuk persepsi negatif yang dipengaruhi oleh lingkungan, prinsip hidup mahupun pengaruh orang lain semenjak kecil. "Zero Mind Process" atau ZMP ini penting bagi setiap individu Muslim khususnya yang pernah attend ESQ kerana ia mempengaruhi watak dan mengubah sudut pandang kita terhadap orang lain. Kita seringkali memandang negatif dan membuat justifikasi negatif terhadap orang lain walaupun orang itu baru kita kenali. Maka ZMP ini merupakan salah satu kaedah untuk membuang sifat-sifat negatif tersebut agar kita berlapang dada dan sentiasa berbaik sangka dengan semua orang di sekeliling kita.

Sepanjang kursus, saya belajar juga bagaimana untuk memberi, iaitu berkongsi perasaan bahagia dengan semua peserta kursus. Ternyata benarlah kata bijak pandai, kebahagiaan hakiki ialah apabila kita memberi, bukannya menerima. Pelbagai perkara saya kongsikan dengan pesrta kursus, malah dengan para alumni dan ATS yang lain pun saya sempat berkongsi rasa. Saya juga mendapat rakan baru di kalangan ATS seperti Muazzam @ Makhluk Cahaya, Azam @ Nasi Kerabu Man (Budok Kelate), Kairil @ AjinomotoSan, Shamimin @ Mat Bunga Romantik, Encik Iskandar, Encik Rahim dan lain-lain. Bekerja dengan mereka memang menyeronokkan dan menggembirakan.

Peserta kursus nampak bersemangat sepanjang hari. Alunan nasyid, presentation dan lain-lainnya diberi penumpuan sepenuhnya. Namun, ada juga 2 3 orang peserta yang agak 'keras' kepalanya. Peserta ini menjadi buah mulut dan kami di kalangan ATS hanya menahan hati dan mengurut dada agar bersabar dengan karenah peserta yang sombong angkuh ini. Maklumlah, anak orang berada. Mereka datang ikut suka hati dan balik pun ikut suka hati mereka. Mereka tidak mempedulikan tentatif program kursus dan saya difahamkan yang mereka mengikuti kursus ini kerana dipaksa oleh ibu mereka.

Saya dan Jalot memerah akal bagaimana nak tackle peserta ini, namun tak makan ajar juga. Last-last kami biarkan saja dan berdoa semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada mereka.

Kisah Seram Dalam ESQ

Dalam pada itu, semasa makan tengahari, kami di kalangan ATS terdengar pula berlaku kisah menyeramkan yang berlaku di belakang pentas. Pada ketika itu, seorang kakak ATS sedang berada di belakang pentas untuk menyusun barang. Pada ketika itu dewan telah digelapkan bagi membawa peserta ke alam alfa. Sedang asyik menyusun barang, kakak tersebut terdengar ada orang memanggilnya di belakang, namun apabila dia menoleh, tiada sesiapa di situ. Tiba-tiba kakak tersebut melihat kelibat putih melayang keluar dari belakang dewan, menyebabkan kakak tersebut meremang bulu roma dan lalu beliau melarikan diri ke luar dewan. Kakak tersebut hampir menangis dan pengsan dengan apa yang dia alami dan sangat terkejut. Difahamkan juga kejadian mistik semasa ESQ berlangsung pernah juga berlaku di Sabah di mana lampu chandelier bergoyang sendiri sedangkan tiada angin yang meniupnya. Lampu itu hanya berhenti bergoyang apabila nyanyian Asmaul Husna dilantunkan oleh peserta kursus dan gangguan tersebut berhenti setakat itu sahaja.

Saya berkongsi cerita tersebut dengan seorang lagi rakan ATS saya cikgu Azam, yang juga merupakan seorang ahli dalam bidang paranormal. Kami berpendapat mungkin gangguan datang dari bangunan hotel itu sendiri, atau ada anasir-anasir negatif yang ikut masuk campur dalam kursus tersebut.

Ada hati nak 'scan' tempat tersebut, tapi biarlah... asal jangan ada orang yang kena kacau, itu pun dah kira bagus.

Complete 3 hari kursus, saya kena demam panas. High temperature sampai menggigil-gigil badan. Tidur pun tak lena, kepala terasa berat. Doktor bagi MC 3 hari. Alhamdulillah hari ni ada ok sikit.

Esok turun kerja, rindu pulak nak ke ofis...

Wallahu 'alam