Selasa, 21 Jun 2011

A Journey...

Minggu lepas saya mengembara lagi nun ke timur laut negeri Kenyalang ini. mengembara sambil menenangkan jiwa bersama rakan sepejabat, Azry. Senang sungguh hati saya kerana kembara kali ini boleh dikatakan dalam suasana bersantai atau melancong, bekerja namun dalam keadaaan tidak kelam-kabut seperti kembara yang sebelumnya.

Jadual perjalanan kerja yang disediakan Azry telah saya teliti lebih awal bagi memastikan segala kerja dan masa dapat dilaksanakan dengan baik. Kembara kerja amat saya sukai kerana saya boleh keluar dari suasana pejabat yang menyesakkan dan merehatkan minda. Azry bijak mengatur masa dengan mengoptimumkan masa kerja agar tidak terlalu 'rushing' atau tergesa-gesa.

Permulaan destinasi kami ialah menuju ke Mukah. Rasanya sudah terlalu kerap saya menceritakan tentang kembara ke Mukah ini. Gambar dan foto pun pernah saya uploadkan. Tidak banyak perubahan yang berlaku di Mukah, bandar itu masih tenang seperti biasa. Ketibaan kami di bandar tersebut pada ketika azan Maghrib dikumandangkan. Syukurlah, perjalanan ke Mukah kali ini agak selesa kerana jalan dari simpang Selangau menuju ke bandar Mukah dan Balingian telah siap dibina. Perjalanan dapat dipendekkan dari 2 jam setengah ke 1 jam sahaja. Keadaan jalanraya nampak cantik berbanding dahulu yang penuh dengan batu kerikil, lubang-lubang dan tepian gaung yang berbahaya.


Gerbang Jambatan Mukah

Hotel Kingwood Mukah adalah tempat wajib bagi staff SPNB untuk 'bermabit' jika ke Mukah. Selain selesa, hotel ini juga menyediakan perkhidmatan yang baik dan harga yang berpatutan. Hotel ini juga terletak di tengah-tengah banda dan memudahkan penginap untuk pergi ke bandar untuk makan dan sebagainya.

Setelah berehat dan mengemas diri, saya dan Azry pun pergi mencari tempat makan. Kelaparan dah mula menguasai diri. Cadangnya saya nak bawa Azry makan ikan bakar kat satu stall favourite saya, malangnya stall tersebut tutup. Bukan rezeki agaknya. kami melilau mencari kedai makan yang lain. Cuaca pada malam itu agak buruk, angin bertiup kencang dan menunjukkan hari nak hujan. Tak semena-mena, bandar Mukah menjadi gelap. Alahai, blackout rupanya. Saya dan Azry menikmati ayam penyet di sebuah restoran dengan diterangi api lilin. Rasa romantik la pulak. Hahahahaha.

Esoknya kami menuju ke Dalat, sebuah kawasan penempatan Melanau Likow, ataupun Melanau yang bukan beragama Islam. Kebanyakan penduduk di sana beragama Kristian, berbeza dengan daerah Igan, Matu-Daro dan Mukah sendiri, yang rata-ratanya Melanau Islam. Saya difahamkan oleh seorang pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) di sini, kebanyakan orang Likow (non-Muslim) ini dipindahkan ke sini bagi menjaga keharmonian kaum. Walaupun seolah-olah terpisah, namun bangsa Melanau adalah satu bangsa yang sangat harmoni. Perbezaan agama tidak menghalang mereka untuk saling tolong menolong dan mengambil berat antara satu sama lain.


Suasana tepi sungai di Dalat

Dalat terletak di tepi sungai. Bot ekspres dan perahu panjang masih merupaksan satu pengangkutan utama di sini. Saya menikmati keindahan daerah Dalat ini sepuas-puasnya kerana saya baru pertama kali tiba di sini. Azry pula sempat mengambil beberapa foto untuk dijadikan kenangan. Sambil itu, kami menemuramah seorang pemohon RMR berbangsa Cina dan bertanyakan beberapa soalan tentang daerah tersebut. Si pemohon memberi kerjasama yang baik dan sangat peramah.

Selesai kerja, kami meninggalkan daerah Dalat dan menuju ke daerah Oya pula. Pekan Oya adalah sebuah pekan kecil. Kebanyakan penduduk di sini beragama Islam dan bekerja sebagai nelayan dan petani. Sepanjang jalan menuju ke daerah ini juga, saya dan Azry perasan banyak bangunan burung walit didirikan. Menarik juga. Agak-agaknya ramai jutawan bakal dilahirkan di Oya, insya Allah. Selain itu, ada sebuah kampung yang bernama Kampung Judan, tidak jauh sebelum masuk ke pekan Oya terkenal dengan kuih sepitnya. Dahulu kalau ke sini memang saya dan Faizul akan singgah untuk beli sebagai buah tangan keluarga di Kuching. Tapi trip kali ini saya tidak sempat singgah kerana kesuntukan masa. Kepada sesiapa yang datang ke Mukah, saya sangat recommend kepada anda untuk membeli kuih sepit kampung Judan ini. Sangat sedap dan menyelerakan.

Sibu...

Selesai kerja di Mukah, keesokan harinya kami menuju ke Sibu. Sebelumnya kami makan tengahari di Bandar Mukah, stall tepi sungai. Menunya ikan bakar, ayam goreng, umai segar, sayur lemak dan macam-macam lagi. Saya dan Azry 'melantak' puas-puas sebelum menuju ke Sibu. Dengan menu lauk kira-kira 4-5 jenis, harganya cuma rm 17 untuk dua orang. Murahkan?

Kami berangkat ke Sibu selepas itu. Perjalanan selama 2 jam itu saya dan Azry lebih banyak bersembang dan berkongsi pendapat tentang kehidupan masing-masing. Driving sambil bersembang menjadikan perjalanan jauh tidak membosankan. Kami tiba di Sibu kira-kira jam 6 petang.


Azry, teman pengembaraan saya kali ini. On the way ke Sibu.

Tidak banyak yang hendak saya kongsikan tentang Sibu, bahagian paling ramai bangsa Cina Foochow dalam negeri Sarawak. Malah ada antara penduduknya yang tidak pandai berbahasa Melayu, kerana ada yang datang direct terus dari negeri China, sama ada secara 'halal' atau 'haram'. Jalanraya di bandar Sibu agak berserabut. Walaupun sering berulang-alik ke bandar ini, saya masih gagal untuk menghafal jalan-jalan utama di bandar tersebut. Keadaan bangunan yang rapat dan tidak teratur, warung tepi jalan berterabur di sana-sini menjadikan Sibu sebuah bandar yang bising dan hiruk-pikuk. Saya lebih banyak menghabiskan masa di hotel sepanjang berada di bandar tersebut. Malam itu saya tidak makan kerana masih kenyang. Azry dah makan awal petang tersebut, dan dia juga ada appointment dengan kawannya seorang peniaga yang datang dari Kuching pada malam tersebut. Tinggallah saya berseorangan di bilik hotel sambil melayari internet.

Betong, bandar Zombie...

Di hujung kembara, destinasi terakhir saya dan Azry ialah Betong, kira-kira 2 jam setengah dari bandar Sri Aman. Kami check-in di Betong Plaza. Rasanya inilah hotel yang paling 'standard' di pekan Betong. Terletak di tengah-tengah pekan, dan ini memudahkan kami untuk mencari tempat makan kelak.

Suasana malam di Betong teramatlah sunyi. Seumpama pekan zombie, kata Azry. Kedai banyak yang tutup awal. Saya dan Azry mati akal nak jalan-jalan di pekan tersebut. Kami hanya ke kedai berhampiran untuk makan malam dan kemudiannya balik berehat. Keesokkannya saya sempat mengambil gambar sekitar pekan Betong.

Mercu tanda Pekan Betong

Betong Plaza, tempat kami menginap

Deretan kedai di Pekan Betong

Suasana pasar basah. Sibuk dengan penjual dan pembeli.

Kami pulang ke Kuching setelah selesai menemuduga seorang pemohon RMR di Spaoh, tidak jauh dari pekan Betong. Sempat pula singgah di ekpala simpang untuk membeli jagung sebagai buah tangan untuk keluarga di Kuching.

Perjalanan seperti ini membuahkan banyak idea kepada kita tentang masyarakat setempat. Ini yang menyebabkan saya suka untuk mengembara kerana dengan mengembara, kita akan melihat pelbagai perkara yang tidak ada di tempat kita. Perjalanan dengan Azry juga menyeronokkan kerana Azry juga bijak memberi idea dan pendapat kepada saya apabila singgah ke sesuatu tempat. Dengan idea tersebut bolehlah saya muatkan dalam entri blog yang akan datang insya Allah.

Benarlah kata orang tua, jauh perjalanan luas pandangan. Minda pun terbuka dan jiwa menjadi rehat apabila kita mengembara kerana banyak mempelajari ilmu dan pengalaman baru. Semoga Allah mempermudahkan lagi pengembaraan saya yang akan datang, mungkin kali ini di luar Sarawak. Insya Allah.