Selasa, 26 Julai 2011

Sombong, Mazmumah Yang Memakan Diri...


Bulan ini aktiviti saya agak padat. Hampir setiap malam saya memenuhi undangan aktiviti luar, baik aktiviti jama'ah mahupun jemputan orang lain dengan tujuan untuk merawat. Namun di sebalik aktiviti yang padat itu saya sempat juga meluangkan masa untuk berjoging di Resevoir Park untuk mengeluarkan peluh. Bingung juga apabila mengenangkan berat badan yang semakin bertambah. Isteri pun dah mula 'bising', menyuruh saya diet dan mengawal tabiat pemakanan. Al-maklumlah, di Kuching ni banyak tempat makanan sedap. Kegemaran saya, laksa sarawak dan nasi ikan bakar. Waduh! Kecur air liur mengenangnya. Kena pula dengan iced lemon tea. Fuhhh!

Keletihan luar biasa tidak menghalang saya untuk terus mendedikasikan bakti kepada orang yang memerlukan khidmat saya dan Wan Sudirman jika ada permintaan untuk merawat. Rawatan ruqyah tetap dijalankan seperti biasa jika ada permintaan. Saya dan Wan telah berniat awal lagi semenjak mula dalam bidang perubatan ini untuk melakukan yang terbaik dan hanya kerana Allah semata-mata. Selain itu, dapat juga memanfaatkan bakat pemberian Allah yang ada dalam diri.

Baru-baru ini berlaku peristiwa yang menarik ke atas kawan baik saya. Sebenarnya tak lah menarik sangat, tapi cukup untuk dijadikan pengajaran dan iktibar kepada kita semua. Kalau diikutkan, cerita ni sama seperti entry saya yang dulu-dulu. Kisah bos yang angkuh dan sombong.

Sebaik mendengar luahan hatinya, saya merenung jauh. Kenapa mesti apabila sudah berada di atas, sudah jadi bos, mesti sombong dan angkuh? Dulu dia kawan kita, tapi sekarang bila dah naik pangkat, dia bercakap pun dagu naik ke atas. Mulia sangat ke jadi bos ni?

Saya berpendapat, bos terbahagi kepada 2 jenis. Pertama, bos yang dihormati dan kedua, bos yang ditakuti. Untuk yang pertama, orang akan sentiasa menyebut perkara yang baik-baik sahaja tentangnya, tak kira di depan atau di belakang bos. Tidak mengampu, jauh sekali melawan. Inilah ciri-ciri bos yang disayangi dan dihormati staf.

Bos yang ditakuti pula jauh bezanya. Apabila staf berada di hadapannya, staf akan mengiyakan saja apa yang diucapnya. Malah ada yang mengampu dan membodek. Tetapi apabila di belakang bos, staf akan mengutuk malah mencela bos. Inilah hakikat bos yang ditakuti orang. Orang mungkin cuma takut apabila berhadapan dengannya ketika di pejabat. Tetapi jika di luar, belum tentu!

Saya kasihan melihat sahabat saya ini. Iye lah, kadang-kadang saya pun pernah kena marah oleh bos. Staf dengan bos ni umpama timun dengan durian. Digelek luka, menggelek pun luka. Last-last diam je lah.

Apa yang nyata, bos yang sombong dan angkuh ni mempunyai penyakit hati dalam dirinya. Kurang berzikir, tidak menjaga solat dengan sempurna merupakan di antara faktor yang menyumbang kepada hadirnya sifat buruk ini dalam hati. Ada juga bos yang jenis sensitif. Rupa bukan main macho, tapi bila di'usik' sedikit, mulalah melenting dan kecil hati. Alahai, 'jiwa perempuan' jugak orang jenis ni.

Penat sudah saya jumpa dengan orang jenis macam ni. Saya beri'tiqad dalam hati saya, bahawa satu hari kelak Allah pasti akan 'mengajar' orang yang sombong macam ni. saya yakin, yang dizalimi dan ditindas pasti akan dibela Allah. Kalau mereka bersandarkan kepada dunia dan pangkat untuk kemuliaan mereka, biarlah kita bersandar kepada Allah untuk kemuliaan kita di dunia dan akhirat.

Menunggu pembelaan dari Allah boleh jadi cepat atau lambat. Hanya sabar yang menjadi teman. Ini adalah didikan iman. Ujian Allah hanya dapat diubati dengan sabar dan redha. Kalau jumpa dengan orang sombong, bisikkanlah dalam hati kita "Takpe, hari ni hari engkau. Satu hari kelak, engkau akan berada di bawah jika Allah berkehendak. Aku tetap mulia jika Allah memuliakan aku, walaupun seluruh alam menghinaku. Dan kau akan tetap hina jika Allah menghinamu, walaupun seluruh alam memuliakan kamu..."

Semoga bermanfaat. Wallahu'alam...

Selasa, 19 Julai 2011

Terapi Quran, terapi yang sangat menyembuhkan...


Kalau dilihat dari tajuk di atas, mungkin dah selalu sangat kita baca aatau dengar dari kuliah-kuliah di masjid. Bagi perawat Islam pula, terapi al-Quran amat sinonim dengan ruqyah dan rawatan-rawatan terhadap penyakit mistik dan ghaib seperti sihir, rasuk, saka dan sebagainya.

Namun di sini saya ingin mengajak pembaca semua untuk menyelam ke dasar yang jauh lebih dalam tentang Al-Quran. Kitab suci yang amat tersohor ini bukan sahaja terkenal di kalangan umat Islam tetapi penganut agama lain juga mengenali kitab ini, khususnya penganut dari kalangan agama langit. Kitab yang sudah menjadi pegangan, panduan, bacaan, lantunan lagu oleh setiap pembacanya semenjak beribu tahun yang lalu, namun ajaibnya tidak ada satu pun waima sepatah ayat-ayat yang terkandung dalam kitab suci tersebut berubah sama sekali.

Kalau diimbas kenangan lalu, saya mula mengenali huruf-huruf Al-Quran dengan membaca muqaddam seawal usia 6 tahun. Ketika itu saya bersama keluarga bermastautin di Limbang, dan guru pertama saya ialah jiran sebelah rumah yang saya lupa namanya. Kelancaran, kefasihan dan kepantasan saya menangkap dan mempelajari Al-Quran (sudah tentu dengan izin dan rahmat Allah, alhamdulillah) telah membolehkan saya untuk mula membaca kitab suci ini ketika berusia 7 tahun. Ketika itu, di kalangan budak mengaji, sesiapa yang sudah 'naik Quran' dikira budak pandai atau budak terer, kerana mempelajari Quran melambangkan kemuliaan bagi si pembacanya.

Tahun berganti tahun, seiring bertambahnya usia, bermakna makin bertambahlah tanggungjawab. Kesibukan kerja, kadang-kadang menculaskan saya untuk istiqamah dalam membaca Al-Quran. Kalau dulu saya sering melazimkan bacaan Quran selepas solat Subuh dan Maghrib, kini menjadi pas-pasan sahaja. Sering juga terlintas dalam hati, "Sunat je. Nanti-nanti boleh baca..." Lintasan ini yang sering hadir dalam benak fikiran saya ini seakan-akan menjadi alasan untuk saya mengabaikan bacaan Quran. Lain pula hadirnya satu suara dalam hati "...kalau baca Quran tak tau makna pun buat apa?" Kelemahan iman menjadikan saya semakin jauh dari mengistiqamahkan bacaan Quran setiap hari. Natijahnya, saya semakin jauh dalam melazimkan diri dengan amalan sunat, khususnya tilawah Al-Quran.

Kesan daripada jarang membaca Quran juga menjadikan hidup semakin hari semakin menyesakkan dada, tekanan kerja yang tidak pernah habis, masalah itu dan ini dan macam-macam lagi. Hanya yang fardhu sahaja dijaga, sedangkan amalan sunat semakin berkurangan. Ini amat menggusarkan hati saya. Sehinggalah satu hari, saya beroleh 'pencerahan' di Darussyifa Sarawak, ketika menghadiri kuliah tauhid bersama dengan sahabat saya Wan Sudirman.

Ustaz Akram yang memberi kuliah pada malam tersebut merupakan Penasihat Darussyifa negeri Sarawak. Selain mengajar tauhid, beliau turut menyelitkan sedikit nasihat untuk menjadi pegangan jemaah yang menghadiri kuliah tersebut. Pada malam itu, beliau memberi nasihat peri pentingnya membaca dan mentadabburi Al-Quran. Nasihat beliau amat memberi kesan kepada jiwa saya. Sejak itu, saya mula 'memaksa' diri saya untuk berdisiplin dalam membaca Quran setiap selepas Subuh dan Maghrib berserta maknanya sekali.

Alhamdulillah, setiap godaan yang cuba untuk melemahkan saya membaca Quran ditepis dengan doa dan memohon rahmat daripada Allah Azzawajalla. Saya berkeyakinan bahawa setiap ibadah yang kita buat bukanlah dari kudrat kita semata-mata namun hakikatnya dari izin Allah jua. Ini penting kerana kita kena tahu bahawa setiap solat, zikir dan amal ibadah kita yang lain berlaku adalah atas rahmat dan belas kasihan Allah, bukan dari kekuatan kita sendiri.

Saya menemui kelazatan dalam membaca Al-Quran. Kini saya kembali menemui apa yang pernah hilang daripada diri saya satu ketika dahulu, iaitu nikmat membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran. Hati menjadi semakin tenang, malah dengan mentadabburi Quran saya menemui beberapa formula dan jawapan bagi segala macam permasalahan hidup.

Al-Quran, bukan sekadar ruqyah untuk mengubati penyakit kerasukan, sihir dan penyakit-penyakit lain, tetapi Quran adalah Huda (petunjuk) bagi yang hilang sesat dalam perjalanan hidup. Al-Quran adalah As-Syifa (penyembuh) bagi segala bentuk penyakit rohani dan jasmani, khususnya penyakit hati. Hidup dengan Al-Quran menjadikan hati lebih tenang, dan kita akan semakin memaknai hidup. Insya Allah. Dengan Al-Quran juga kita akan menjadi 'keluarga Allah' di kalangan manusia. Setiap patah dan ayat suci yang kita baca menjadikan kita sentiasa berkomunikasi dengan Tuhan Yang Maha Tinggi. Aduhai, indahnya perasaan ini. Ingin sekali saya berkongsi rasa hati ini dengan pembaca sekalian, bagaimana indah dan nikmatnya rasa hati setelah menjiwai Al-Quran. Namun apakan daya, hanya yang empunya diri sahaja akan tahu indahnya nikmat tadabbur Quran jika mengamalkannya.

Bulan Ramadhan hampir tiba. Bulan ini juga dikenali dengan nama bulan Al-Quran. Sempena bulan suci ini, bersamalah kita meraikan 'pesta ibadah' ini dengan tadarus dan tadabbur Quran. Bermulalah dari sekarang. Jangan menyesal di kemudian hari. Semoga dirahmati Allah.

Tips untuk mula membaca Al-Quran.

1. Baca Quran pada ketika waktu tenang, disarankan membaca pada ketika selesai solat Subuh atau Maghrib.

2. Semasa membaca Quran, bacalah dengan tenang. Buang jauh-jauh fikiran yang mengganggu jiwa.

3. Untuk pemula, bacalah dalam 5 ke 10 ayat dahulu. Kalau baca panjang-panjang dikhuatiri akan cepat bosan.

4. Baca makna Quran dengan penuh penghayatan. Kitab tafsir dan terjemahan Quran amat membantu anda untuk menghayati apa yang anda baca.

5. Jangan khuatir dan bingung jika anda mendapati terjemahan ayat Quran yang anda baca kadang-kadang mengelirukan anda. Bersabarlah dan bawa bertenang. Bertanyalah dengan orang yang ahli dalam Al-Quran jika anda kurang jelas dengan maksud ayat yang anda baca.

6. Digalakkan membaca Al-Quran dalam suasana yang berwangi-wangian. Maksudnya, ketika membaca Quran hendaklah anda memakai minyak wangi atau membakar gaharu yang wangi (bukan kemenyan busuk) untuk membangkitkan suasana.

7. Ajak keluarga atau kawan-kawan untuk membaca Quran secara bersama. Suami isteri juga boleh saling memeriksa bacaan masing-masing. Tips ini sering saya lakukan bersama dengan isteri saya. Membaca Quran secara berjemaah sangat membantu dalam membangkitkan motivasi seseorang.

Semoga bermanfaat!

P/S: Tips dan artikel di atas, saya IZINKAN untuk anda 'copy and paste' ke blog atau sebarkan kepada rakan-rakan yang lain. Cuma saya mohon agar dilinkkan blog saya ini sekali ketika anda berbuat demikian. Syukran.

Khamis, 14 Julai 2011

Saka Sekeluarga...


Assalamualaikum, lama dah tak buat entri tentang rawatan. Maklumlah, bila cerita bab rawatan, tidak lain mesti banyak kes seperti kerasukan, histeria, sihir, santau dan sebagainya. Namun untuk tidak menghampakan peminta-peminat cerita mistik atau perubatan, pada entry kali ini saya akan menyajikan satu kisah rawatan yang berlaku 2 3 bulan yang lepas. Sahabat saya, Wan Sudirman selalu juga mengingatkan saya supaya memuatkan kisah ini dalam blog saya. Baru sekarang saya dapat menulis kisah ini kerana kesibukan tugas.

Pesakit ini pernah mendapatkan rawatan daripada kami berdua sebelum ini. Kali ini si pesakit membawa kami merawat keluarganya juga kerana kebanyakan ahli keluarganya sering sakit-sakit, malah pernah juga kerasukan tanpa sebab. Setelah mendengar serba sedikit cerita latar belakang keluarga pesakit, kami mendapati bahawa mungkin ada gangguan saka kerana si pesakit ada menceritakan ibunya pernah pergi ke laut pukul 1 pagi untuk menangkap ikan seorang diri. Dikatakan juga semasa sakaratul maut, si ibu sering berteriak dan melolong, menyumpah dan mencarut ketika ditenangkan oleh anaknya. Paling dahsyat, apabila disuruh mengucap, si ibu menyumpah dan mencarut sehingga tidak sanggup untuk didengar.

Setelah bahan disedia, saya dan Wan berbahagi tugas. Mendoakan bahan dilakukan oleh Wan. Hampir 2 kotak air mineral jenis botol besar disediakan, dan juga beberapa botol air yang lain. Berbungkus-bungkus limau nipis juga disediakan kerana hampir 13 ke 15 orang ahli keluarga terlibat dalam sesi rawatan pada malam tersebut. Jenuh juga sahabat saya meniup bahan-bahan tersebut. Saya sendiri meruqyah kesemua keluarga pesakit tersebut dengan bacaan jahar.

Setelah beberapa potong ayat suci dan doa dibacakan, seorang demi seorang mula tumbang dan kerasukan. Keadaan dalam rumah menjadi gawat seketika. Dari yang dewasa sehingga ke anak kecil, hampir kesemuanya kerasukan. Wan segera menghulurkan bantuan dengan melakukan ruqyah khusus selepas beliau mendoakan bahan.

Saya sendiri mula melakukan dialog dengan salah seorang daripada keluarga pesakit.

Saya : Awak siapa?

Pesakit : (geleng kepala, mungkin enggan bercakap).

Saya kelar bahagian belakang pesakit dan membaca 'Bismillahi mutakabbirin 'anid...' berulangkali.

Pesakit menjerit kesakitan.

Pesakit : Sakit! Sakit! Tolong jangan buat lagi. Tolong ustaz.

Saya : Kalau taknak sakit, bagi kerjasama. Awak siapa? Kenapa masuk dalam badan dia?

Pesakit : Aku suka kat dia. Aku dah lama nak kat dia.

Saya : Sekarang awak keluar. Dia dah taknak kat awak. Awak Islam ke kafir?

Pesakit : Saya Islam...

Saya : Seorang Muslim tidak boleh menzalimi saudaranya yang lain. Awak mesti keluar sekarang. Pesakit ni sendiri tak redha awak duduk dalam badan dia.

Jin tersebut terdiam, kemudian menangis teresak-esak. Jin setuju untuk keluar dengan menganggukkan kepalanya.

Saya membaca ayat tarik jin dan mengeluarkan jin tersebut dari badan pesakit. Semuanya dengan izin Allah.

Wan masih meneruskan rawatan. Beliau menggunakan beberapa kaedah yang beliau pelajari dari Darussyifa. Alhamdulillah, pesakit sedar dari kerasukan dengan izin Allah.

Kami memberi penerangan dan sedikit tazkirah kepada keluarga pesakit agar menjaga adab-adab Islam, dan juga mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga solat dan mengamalkan zikir serta bacaan Quran.

Kami pulang setelah selesai. Segala Puji Bagi Allah, semuanya atas izin dan rahmat Dia Yang Maha Besar....

TAHNIAH KEPADA SAHABAT SAYA, WAN SUDIRMAN BIN WAN SU, ATAS KEJAYAAN BELIAU MENAMATKAN PENGAJIAN PERUBATAN ISLAM DARUSSYIFA. BELIAU TELAH DIIJAZAHKAN ILMU PERUBATAN ISLAM DARUSSYIFA OLEH TUAN GURU DATO HARON DIN BARU-BARU INI. SEMOGA BELIAU TERUS KOMITED DALAM BERDA'WAH DAN MEMBANTU MASYARAKAT KHUSUSNYA DI KUCHING YANG TERCINTA INI. KEPADA SESIAPA YANG INGIN MENDAPATKAN RAWATAN DARIPADA BELIAU, BOLEHLAH MENGHUBUNGI BELIAU DI TALIAN 013-5533433 ATAU LAYARI BLOG BELIAU DI www.simaas.blogspot.com.