Isnin, 25 Mei 2009

Menyingkap Misteri Keramat Orang Melayu...


Seperti yang pernah dijanjikan pada posting blog yang lepas, kali ini saya akan menceritakan tentang Datuk Keramat di kalangan orang Melayu, manakala di kalangan orang Cina pula ia dikenali sebagai Datuk Kong.

Mistik dan misteri tidak pernah mengenal bangsa, agama dan ras. Bagi menghurai misteri alam ghaib, memang tidak akan pernah habis malah selepas satu, akan datang satu lagi ilmu tentang keghaiban yang manusia akan ketahui. Islam mensahihkan alam ghaib namun ini perlu dipandu dengan akal yang sihat dan hati yang beriman.

Kalau sebelum ini saya sering menulis tentang pengalaman peribadi seharian dan juga pengalaman ruqyah, kali ini saya ingin membuat sedikit kelainan mengenai alam misteri. Mungkin ada sesetengah orang akan mencemikkan muka kerana apa yang bakal saya ceritakan ini lebih kepada info kepercayaan atau 'keimanan' agama Tao, iaitu bangsa Cina. Apa yang nyata, ini hanyalah sekadar info dan ilmu yang saya berpendapat wajar untuk kita ketahui bagi menjadi khazanah ilmu di dada kita.

Datuk Kong, menurut sebutan orang Cina adalah merupakan 'Local Deity' atau 'Dewa Kawasan' bagi sesuatu tempat. Boleh juga ia dipanggil 'Earth Deity' atau 'Dewa Bumi'. Apa yang nyata, ia merujuk kepada personaliti yang sama, iaitu Datuk Kong @ Datuk Keramat.


Datuk Kong merupakan dewa pangkat @ peringkat rendah dalam hirierki dewa-dewi masyarakat Cina.Info yang saya dapat dari dokumentari National Geographic di Astro, dewa-dewi terbahagi kepada Yin dan Yang (panas dan sejuk). Bagi pangkat Yang, para dewa-dewi ini diam di alam atas @ langit, dan Datuk Kong merupakan dewa pangkat Yang terendah kerana dewa ini diam di bumi. Berbeza pula dengan pangkat Yin, dewa-dewi ini lebih kepada alam rendah @ dingin, iaitu kegelapan dan kengerian alam neraka di dasar bumi. Ini merujuk kepada dewa neraka bernama Yuen Lo @ Raja Yama, dan ada 2 pengawal neraka yang terkenal dalam agama Tao yang dipanggil 'Good Brothers' atau The White and Black Guards.Dalam bahasa Cina pengawal ini dipanggil Tua Di Ya Pek, pengawal ini berpakaian hitam dan putih, dan berlidah terjelir panjang.

Hasil pergaulan saya dengan masyarakat Cina, saya dimaklumkan bahawa Datuk Kong merupakan seorang dewa yang baik hati, penjaga bagi sesuatu tempat seperti kampung, hutan, sungai, gunung, kawasan lapang dan lain-lain.Datuk Kong juga dikatakan merupakan tokoh masyarakat setempat yang mungkin terdiri dari alim ulama, kiyai, panglima, tok bomoh, dukun dan lain-lain. Apabila mereka meninggal dunia maka kuburan mereka ini menjadi 'tokong' dan berhala mereka pun dibina untuk disembah. Dewa ini juga dikatakan akan melindungi penduduk kampung jika sentiasa disembah dan diberi sajian. Datuk Kong ini juga dikatakan dapat memberi kekayaan kepada sesiapa yang rajin membaca zikir atau mantranya berulang kali (seperti bertasbih) dan sesiapa yang rajin memuji-muji Datuk Kong akan diluaskan rezekinya, dilepaskan dari segala bentuk kesulitan dan lain-lainnya. Datuk Kong juga akan menunaikan hajat kepada sesiapa sahaja yang berdoa kepadanya. Dalam sesetengah upacara Datuk Kong akan dipanggil oleh bomoh Cina dengan cara menurun untuk berkomunikasi dengan penganut-penganutnya.

Di Kuching, ada satu 'shrine' yang menempatkan Datuk Kong dan patung berhala Datuk Kong ini sama tinggi dan besarnya dengan manusia biasa. Pada asalnya 'shrine ini terletak di bawah 'fly over' menuju ke airport, dan ia dibina oleh sebuah syarikat kontraktor mega, Hock Peng Realty, semasa pembinaan Berhala ini berpakaian Melayu, bersamping, berkopiah haji putih, memegang tongkat dan tasbih. Hidangan sajiannya juga merupakan kuih apam Cina, sirih pinang, rokok daun, buah limau, kain pelikat, songkok dan lain-lain. Setanggi yang digunakan berwarna hitam, dan 'rumah' nya pula senibina Melayu dan berwarna hijau. (???)

Lokasi 'shrine' ini terletak di Jalan Keretapi, Batu 3, Kuching. Paling mudah untuk locate 'shrine' ini ialah ia terletak di Pasar Sungai Maong, berhadapan dengan Sunny Hill College. Usrah kami pernah mengambil gambar patung tersebut, malangnya gambar tersebut telah hilang entah ke mana. Insya Allah, kalau ada kesempatan saya akan ke sana untuk mengambil gambar patung tersebut dan pastekan ke blog ini.

Ada di sesetengah tempat, Datuk Kong Melayu ini berjubah putih dan berserban. Kadang-kadang berhala ini juga akan digandingkan dengan dewa-dewi orang Cina yang lain. Ini pernah saya lihat di sebuah Wat Siam yang terletak di Stephen Yong Road, Batu Kawa, Kuching.

Saya pernah bertanya kepada rakan saya yang berbangsa Cina, mengapa mereka menyembah Datuk Kong berbangsa Melayu? Kawan saya menjawab bahawa Datuk Kong merupakan orang tempatan, yakni orang Melayu, sebab itulah mereka membuat berhala Datuk Kong berbangsa Melayu. Kalau di India, maka berbangsa Indialah Datuk Kongnya, dan jika di Mexico, Datuk Kong Mexicolah yang disembah mereka.

Setelah melakukan penelitian, bacaan dan pemerhatian, saya mendapat kesimpulan bahawa Datuk Kong merupakan PENUNGGU bagi sesuatu kawasan dan merupakan golongan jin yang disebut dalam Al-Quran. Ini jelas apabila Allah berfirman dalam kitabNya bahawa dahulu ada satu kaum yang memberi penghormatan kepada jin atau ketua jin di sesuatu kawasan (gunung, lembah dll) seperti 'tabik datuk anak cucu tumpang lalu' sehingga menyebabkan kaum jin kawasan tersebut 'naik lemak'. Perkara yang sama berlaku kepada Datuk Kong kerana mereka dipuja dan disembah bagi mengelakkan bencana berlaku ke atas mereka. Saya teringat semasa zaman kecil-kecil dahulu apabila hujan panas saya disuruh melafazkan 'Tabik datuk anak cucu tumpang lalu' bagi mengelakkan terkena 'limpasan' atau 'keteguran' oleh makhluk halus oleh orang-orang tua di kampung. Selain itu, menyelitkan rumput di cuping telinga juga dikatakan boleh mengelakkan terkena gangguan semasa hujan panas.

Alhamdulillah, saya perhatikan budak-budak zaman sekarang tidak lagi mempraktikkan perkara tersebut. Mungkin kerana kefahaman terhadap aqidah Islam yang murni sudah mula tumbuh subur di hati masyarakat hari ini.

Tulisan ini hanyalah merupakan info yang saya dapat hasil dari penyelidikan, pemerhatian dan kajian saya terhadap kepercayaan agama lain.Saya tidak bertujuan untuk mengamalkan, jauh sekali menyebarkan agama lain melalui tulisan saya ini. Saya gemar membuat perbandingan agama seperti Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain bagi menambahkan lagi pengetahuan saya mengenai agama-agama yang wujud di dunia ini. Tidak ada yang lebih mulia dari agama Islam yang suci dan murni ini. Kajian terhadap agama juga telah memantapkan iman dan aqidah saya terhadap Islam yang tercinta ini.

Insya Allah, jika ada info dan idea lagi tentang kepercayaan kaum lain, akan saya muatkan dalam blog ini. Saya mengalu-alukan sebarang komen dan kritikan mengenai tulisan ini.

Kepada Allah saya berserah diri. Wallahu 'alam.

[GAMBAR-GAMBAR DI ATAS ADALAH GAMBAR YANG SAYA PEROLEHI DI INTERNET,TIADA KAITAN DENGAN 'SHRINE' DATUK KONG DI KUCHING, SARAWAK. KERAMAT DATUK KONG INI TERLETAK DI PULAU KUSU, SINGAPURA]

Selasa, 19 Mei 2009

Histeria...



Malam tadi usrah berjalan seperti biasa, tadabbur Quran, perbincangan dan lain-lain. Hujan turun dengan lebatnya di bumi Kuching, yang hadir usrah cuma saya, Hairi, Razak, Pejai dan Rahimi. Belum habis tadabbur, murabbi kami, Ust Soleh Hamden menerima panggilan dari rumah kebajikan tempat beliau bekerja sebagai penguasa. Rupa-rupanya ada kejadian histeria menimpa penghuni rumah kebajikan tersebut.

Usrah terpaksa ditangguhkan lebih awal, namun sempat juga menghabiskan tafsir surah al-Insan on time. Ust Soleh mengajak saya untuk menemani beliau ke rumah kebajikan tersebut, Razak juga ikut sama. Yang lain semuanya pulang ke rumah masing-masing.

Setibanya di sana, penghuni yang terkena histeria dikumpulkan di surau. Dua orang telah settle awal oleh warden yang bertugas, tinggal 3 orang yang agak 'degil' jinnya. Saya merawat seorang perempuan, seperti biasa menggunakan teknik hiris dan pukul belakang. Ust Soleh yang merupakan anak murid Dato Haron Din semasa beliau belajar di UKM menggunakan teknik Darussyifa untuk merawat seorang perempuan lagi. Kedengaran suara ust Soleh menggertak jin tersebut agar meninggalkan badan si pesakit.

Saya membaca ruqyah dan alhamdulillah, jin dapat dikeluarkan dengan kaedah tarik. Saya menyambung ruqyah untuk pesakit yang seterusnya. Pada mulanya si pesakit tidak bertindak ganas, tetapi setelah dibacakan ruqyah, si pesakit mula meronta-ronta dan menjerit. Penghuni-penghuni lain ketakutan mendengar si pesakit menjerit. Walaupun bacaan ruqyah telah saya lafazkan dengan cermat, namun jin yang merasuk enggan bekerjasama malahan melawan saya. Tempat saya diambil oleh ust Soleh kemudiannya (setelah pesakit yang beliau rawat sebelumnya pulih sepenuhnya), beliau menggunakan beberapa kaedah rawatan dari Darussyifa untuk memulihkan si pesakit. Ibu jari pesakit dipicit, dan beliau membaca Lau anzalna sampai akhir. Si pesakit meronta dan mula mencarut. Saya cadangkan kepada ust Soleh agar guna kaedah pukul, ust Soleh pun izinkan dan saya menggulung sejadah lalu memukul belakang pesakit diiringi dengan bacaan ruqyah. Saya dan ust Soleh bergiliran mebaca ayat-ayat ruqyah, namun jin tersebut masih degil untuk keluar.Teknik hiris sudah, pukul dengan sejadah pun sudah, namun pesakit masih belum pulih. Masya Allahu kana...

Tidak lama kemudian, ust Umar Fathullah Harun pula datang. Beliau merupakan anak Kiyai Fathullah Harun dan merupakan guru ruqyah kepada graduan pelajar Indonesia di IAIN Sunan Ampel. Ust Umar juga merupakan rakan baik ust Soleh. Saya dan ust Soleh memberi laluan kepada ust Umar untuk merawat.

Kaedah ust Umar lebih banyak ke diplomasi dan rundingan. Selain ayat-ayat ruqyah, beliau bacakan ayat-ayat azab untuk memberi peringatan kepada jin. Kelihatan si pesakit mengalirkan air mata, seolah-olah faham dan takut dengan apa yang dikhutbahkan oleh ust Umar.

Namun, dasar jin degil. Jin tersebut masih berdegil enggan keluar. Ust Umar menggunakan teknik yang terakhir (rasanya, mungkin ust Umar ada teknik lain yang hanya digunakan ketika kes berat berlaku...). Beliau membaca Hizib Bahar dan cuba menarik dari dahi si pesakit, kelihatan si pesakit menggeliat, tapi jin masih tetap tidak mahu keluar dari jasad si pesakit.

Pendek cerita, datang pula ust Hasim Man al Hafiz, perawat tersohor untuk umat Islam di Kuching. Ust Hashim Man memang terkenal kerana selain menjadi Imam Besar di Masjid At Taqwa Kpg Gita, beliau juga selalu merawat orang yang terkena gangguan makhluk halus. Saya juga pernah menerima rawatan dari beliau. Ust Hashim Man juga rakan baik kepada ust Soleh dan Ust Umar.

Ust Hashim Man menggunakan kaedah dari jarak jauh, diiringi dengan bacaan ayat Quran dan gerak nafas. Beliau juga merenjis air ruqyah kepada si pesakit. Pada ketika ini, si pesakit mula kelihatan lemah walaupun jin belum keluar sepenuhnya dari jasad si pesakit.

Si pesakit masih menjerit dan mencarut kepada orang di sekelilingnya, termasuklah saya. Sampaikan janggut ust Hashim Man pun dikutuk dan dihina oleh jin tersebut dengan mengatakan janggut ust Hashim Man buruk! Masya Allah.

Malam semakin larut, hujan masih rintik-rintik di luar surau. Si pesakit mula lemah. Ust Hashim Man menamatkan rawatan dengan menyuruh si pesakit dihantar ke bilik dengan bantuan kawan-kawannya. Walaupun pesakit masih belum pulih, namun sudah ada tanda-tanda yang pesakit akan sembuh, insya Allah.

Apa yang menarik malam tadi ialah, saya berpeluang melihat dengan mata saya sendiri, tiga guru utama dalam rawatan Islam bergabung tenaga untuk merawat penghuni yang histeria tersebut. Pelbagai kaedah dan teknik yang saya lihat. Ust Soleh dengan kaedah Darussyifa, Ust Umar dengan kaedah Ruqyah Syar'iyyah nya, dan ust Hashim Man pula dengan kaedah yang beliau pelajari semasa belajar di sekolah pondok dahulu. Saya berasa bertuah kerana jarang-jarang saya berpeluang untuk melihat tiga guru yang mahir dalam hal ehwal gangguan makhluk halus ini bergabung tenaga dan doa melakukan rawatan secara bersama. Secara tidak langsung saya telah belajar pelbagai teknik dari 3 guru yang berlainan.

Ironinya juga, ini kes saya yang pertama membabitkan histeria. Sebelum ini saya tidak pernah merawat orang yang terkena histeria. Semasa menghantar ust Soleh pulang ke rumah, sempat juga saya 'merisik ilmu' dengan ust Soleh mengenai kaedah-kaedah Darussyifa. Beliau mengajar kaedah menggunakan bawang putih atau lada hitam bagi mengesan gangguan pada badan pesakit. Alhamdulillah, bertambah lagi satu ilmu baru.

Wallahu 'alam

Ahad, 17 Mei 2009

Doa Selamat dan Hari Ahad Yang Membosankan...


Assalamualaikum semua,

Hari ni tiada yang special berlaku. Saya cuma duduk di rumah dan online sahaja sejak dari pagi sampai ke malam.

Malam tadi saya diajak rakan seusrah untuk mengazankan sebuah premis pejabat yang baru. Pejabat tersebut terletak di Jalan Petanak, Padungan. Pemilik pejabat merupakan seorang businessman yang berjaya, dan terlibat dalam kerja-kerja kejuruteraan awam dan mekanikal. Beliau juga merupakan founder bagi Perunding Malca, di antara perunding mekanikal yang terkenal di Kuching. Sekarang beliau membuka syarikat sendiri dan mempunyai banyak projek, malahan ada di antara projek beliau sampai ke Kapit.

Rakan usrah saya, Razak memaklumkan saya pagi semalam mengenai hajat tuan punya syarikat yang memerlukan 6 orang untuk mengazan di pejabat empat tingkat tersebut. Di antara yang terlibat ialah Hairi, Ainol, Razak, Shafiq dan saya. Pada mulanya saya agak reluctant untuk pergi, tapi bila mengenangkan orang berhajat, maka saya pergi juga ke pejabat tersebut pada sebelah petangnya.

Sampai di sana, telah masuk waktu Maghrib. Kami berbahagi kumpulan untuk azan di setiap tingkat pejabat. Saya, Hairi, Razak dan Shafiq memilih di tingkat atas sekali. Semasa saya berdiri di kaki tangga untuk ke atas, saya memandang ke tingkat atas yang agak gelap tersebut dan merasakan ada sesuatu yang 'tidak kena'. Saya memilih untuk mendiamkan diri walaupun badan terasa tidak selesa.

Selesai azan, kami ke tingkat tiga untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah dan disusuli dengan bacaan Yassin dan doa selamat. Selepas rehat seketika sambil berbual, kami azan sekali lagi dan solat Isyak berjemaah.

Tiba acara makan, kami dihidangkan dengan nasi bryani Bombay Masala. Sambil makan kami berbual mesra dengan staf dan juga bos kepada company tersebut. Pada ketika itulah si pemilik syarikat menceritakan kepada kami bahawa pekerja di pejabat tersebut telah mengalami gangguan ketika buat kerja overtime. Ironinya, gangguan paling keras berlaku di tingkat atas sekali, iaitu tempat di mana saya dan beberapa rakan lain azan sebelumnya. Gangguan yang selalu dialami ialah ada lembaga hitam yang sering mengganggu staf-staf ofis tersebut.

Sepanjang cerita tersebut dituturkan oleh si pencerita, saya masih memilih untuk mendiamkan diri. Saya berpegang kepada prinsip harimau sembunyi kuku. Saya tidak akan menyambung atau ikut serta dalam cerita mengenai mistik kecuali jika ada orang yang bertanya kepada saya mengenai perkara tersebut.

Saya berdoa mudahan masalah pejabat tersebut dapat diselesaikan dengan baik, insya Allah. Mudahan Allah merahmati syarikat tersebut.

Ahad, 10 Mei 2009

Iklan...

Untuk pengunjung blog di area Kuching, kalau ada sesiapa yang nak beli kereta 2nd hand, boleh maklumkan kpd saya di chatbox blog ini atau hubungi saudar Zul Hatta di talian 019 8170501.

Model : Gen 2 (1.3)
Plate No : QAD 90xx
Balance Loan : RM 35,047.56 (sambung loan).

Harap maklum...

Kenangan Terindah Dengan Tuan Guru Haron Din...

Berikut merupakan foto yang saya ambil ketika menghadiri Seminar Pengubatan Islam yang berlangsung di Rajah Court Disember tahun lepas. Dah lama saya nak upload foto ni ke dalam blog saya namun ada saja halangan untuk saya berbuat demikian.

Sahabat yang sama menghadiri seminar tersebut bersama saya ialah Wan Sudirman, Hairi, Ainol dan Team Ruqyah Syar'iyyah bahagian Kuching, yang dipimpin oleh Ust Wan Yunus.

Penglibatan awal saya dalam ilmu rawatan Islam ini ialah apabila saya mula bergaul dengan Ust Wan Yunus. Beliau merupakan bekas pelajar Institut Agama Islam Negeri (IAIN)Sunan Ampel yang terletak di Surabaya, Indonesia. Ust Wan Yunus mempelajari Ruqyah Syar'iyyah ini bersama-sama dengan rakan seangkatannya di Indonesia dan apabila pulang ke tanah air beliau mempraktikkan dan menyebarluaskan ilmu rawatan Islam ini di kalangan ahli usrah bahagian Kuching.Bagi bahagian Bintulu, saya difahamkan Team Ruqyah Syar'iyyah dipimpin oleh Ust Al-Malik Faisal yang juga amat aktif merawat dengan menggunakan kaedah perubatan Islam ini. Ust Malik Faisal juga merupakan rakan seangkatan yang sama belajar dengan Ust Wan Yunus di IAIN Sunan Ampel, Indonesia. Saya juga sempat belajar kaedah-kaedah meruqyah dengan Ust Malik Faisal dan selalu juga berhubung dengan beliau jika ada kemusykilan tentang alam ghaib.


Bersama dengan TG Haron Din


Kelihatan Wan Sudirman dan Hairi sedang khusyuk mendengar penerangan dari Tuan Guru.


Saya dan Wan Sudirman


Rehat, Team Ruqyah Syar'iyyah Kuching.Ust Wan Yunus berada 2 dari kiri.


Tunggu turn untuk dirawat.Sebelum jadi perawat, kena 'dirawat' dulu.Ainol duduk di sebelah saya.

Jumaat, 8 Mei 2009

Sihir Pengasih?

Selasa lepas, saya dan Wan Sudirman merawat seorang perempuan yang dipercayai terkena sihir pengasih oleh bekas kekasihnya sendiri. Kami ke lokasi tempat tinggal perempuan ini yang terletak di Flat Batu 5, Matang.

Semasa sesi interview dijalankan, si pesakit mengatakan badannya terasa panas dan kurang selesa. Sebelum ini pesakit pernah menerima rawatan dari banyak tempat, termasuklah dukun bangsa Kedayan. Bangsa Kedayan memang dikenali keampuhan ilmu sihir dan batinnya. Lazimnya bangsa Kedayan tinggal di area Miri dan ke atas (Limbang, Brunei dan Lawas).

Difahamkan sihir dihantar melalui bauan minyak rambut yang dipakai oleh bekas teman lelaki perempuan tadi. Si pesakit tercium bau minyak rambut tersebut, dan secara tiba-tiba pening kepala. Semenjak itu, si pesakit mengalami banyak peristiwa ganjil dan sering sakit-sakit seperti tidak dapat tidur malam, mimpi perempuan tua sedang menyihir, sakit bahagian punggung dan lain-lain.

Sesi ruqyah dimulakan selepas solat Maghrib. Oleh kerana selepas Isyak saya ada temujanji lain, saya bercadang untuk melakukan 'ruqyah express'. Muqaddimah dimulakan, pesakit sudah mula menggeletar.

Azan Isyak berkumandang, saya hentikan sesi ruqyah tersebut bagi memberi laluan azan dan seterusnya solat Isyak berjemaah bersama dengan pesakit dengan diimami oleh Wan Sudirman. Sesi ruqyah disambung selepas solat Isyak.

Si pesakit menangis, kedua-dua belah tangan terangkat dengan sendirinya. Saya ajak berdialog dengan diplomasi. Semasa kerasukan, si pesakit tidak terlalu agresif, hanya menangis dan minta dikasihani. Pada mulanya jin dalam tubuh pesakit enggan bercakap, setelah diugut dan dibacakan ayat 'Tahriqul Jin' (Pembakar Jin), jin tersebut mula bercakap.

Jin ini mendakwa yang dia dihantar oleh seseorang, tidak beragama, tidak ingat umur sendiri dan tidak tahu asal-usulnya sendiri. Pada sangkaan saya mungkin jin ini diambil oleh tukang sihir dari kawasan hutan atau gunung secara rawak dan dipelihara seperti anak yatim. Saya teruskan dengan ayat-ayat ruqyah yang lain dan pesakit semakin kuat tangisannnya dan merasa kesakitan.

Oleh kerana masa semakin suntuk, saya bercadang untuk menamatkan sesi rawatan dengan segera. Tambahan pula Azry dah mula call saya, mungkin dia menanyakan di mana saya berada. Saya tawarkan Islam kepada jin tersebut dan diberi nama Khadijah. Wan Sudirman memimpin bacaan syahadah dan Angkat Sumpah terhadap jin tersebut.

Jin dihantar ke Masjid At Taqwa Kpg Gita, Petra Jaya dengan kaedah tarik.Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah.

Isnin, 4 Mei 2009

Munajat

Ya Allah, Kau sabarkanlah aku terhadap orang yang suka bermuka-muka,
Yang suka mengadu-domba,
Yang suka berpura-pura,
Yang suka merendah-rendahkan orang lain,
Yang suka melihat kelemahan dan kekurangan orang lain...

Ya Allah,
Singkirkanlah sifat mazmumah dari hatiku,
Sebaliknya kau hiasilah diriku dengan sifat mahmudah,
Kau tumbuhkanlah rasa kasih dan sayang di dalam hatiku terhadap orang lain,
Dan Kau tumbuhkanlah juga rasa kasih sayang di dalam hati orang lain terhadap diriku.

Demi Kekuasaan dan KeagunganMu, Ya Allah, perkenankalah doaku.
Sujud dan rafak sembah hanya untukMu, Wahai Dzat Yang Maha Mulia...

Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Allah Ar Rafiqul A'la, Allah Ar Rafiqul A'la...
Dialah Naunganku Yang Maha Tinggi...