Selasa, 22 Februari 2011

Kisah Di Pusat Rawatan Ruqyah Syar'iyyah Kuching part 2.


sambungan dari entry lepas...

Jin yang merasuk budak ni memang cukup degil. Letih juga meruqyah kerana jin enggan keluar dan tidak memberi kerjasama. Cuaca malam yang panas dan pengaliran udara yang kurang baik di pusat rawatan menyebabkan saya cepat letih dan kehilangan tenaga semasa meruqyah. Saya dan Wan Sudirman belum makan malam sejak pulang dari scanning di Sri Wangi pada malam tersebut. Suasana di pusat rawatan tersebut juga menjadi hingar-bingar dengan suara teriakan dan pekikan pesakit yang semakin ramai kerasukan kesan lantunan bacaan ruqyah oleh rakan saya yang merupakan pemilik pusat rawatan tersebut. Pening juga kepala saya dibuatnya.

Saya sabarkan hati. Saya kuatkan tekad dan membulatkan niat untuk menyerang habis-habisan jin yang mendiami tubuh budak perempuan tersebut. Saya enggan menyerah kalah. Ayat demi ayat dibaca, dengan fikiran yang bercelaru kesan daripada badan letih, saya tumpukan hati saya kepada Allah semata-mata. Wan Sudirman pula, saya lihat beliau sedang 'menawar' barangan yang menjadi 'pegangan' atau azimat budak tersebut, iaitu tasbih dan gelang batu. Orang tua pesakit mengatakan itu adalah tangkal pemberian bomoh yang pernah merawat pesakit.

Setengah jam berlalu, jin masih enggan keluar, walaupun ia terseksa mendengar ayat-ayat azab yang dibacakan oleh saya. Jin masih bertahan dalam tubuh pesakit. Akhirnya, saya mengambil kaedah pukul menggunakan sejadah. Saya minta sejadah dari pembantu rakan saya, kemudian saya baca ruqyah dan kemudian hembus kat sejadah. Saya pukul belakang pesakit dengan sekadarnya sambil membentak jin dan bertakbir.

Pada ketika inilah si jin menyerah kalah.

Pesakit : Aku keluar! Aku keluar! Cukup, tolonglah!

Saya : Keluar dan jangan datang lagi. Berjanji!

Pesakit : Baik, aku janji...

Jin enggan masuk Islam, namun berjanji tidak akan menggangu budak perempuan itu lagi. Saya guna kaedah tarik dan buang jin tersebut ke tempat lain.

Rupa-rupanya cerita belum habis lagi, ada lagi jin lain yang masuk. Kali ini jin yang menggelar dirinya Puteri, beragama Islam. Singkat cerita, selain Puteri, ada 2 lagi jin yang merasuk pesakit kemudiannya iaitu Tok Janggut dan Nenek Putih. Melalui lidah pesakit, Nenek Putihlah ketua mereka. Menurutnya (jin), Nenek Putih memerintahkan Tok Janggut dan Puteri menjaga budak tersebut, kerana disebabkan jin kafir yang datang merasuk sebelumnya.

Untuk jin-jin ini, yang saya berpendapat mungkin jin saka, saya serahkan kepada Wan Sudirman dan perawat lain. Keletihan benar-benar menyebabkan saya lemah seluruh badan, mungkin disebabkan kerja yang banyak pada siangnya. Saya kemudiannya lebih banyak memerhati dan menolong mana yang patut sahaja.

Benar seperti yang dikatakan oleh ustaz Syakir dari RIDAM, sebelum merawat, kena rehat secukupnya. Kalau boleh, mandi dulu, perut jangan lapar, dan memakai wangi-wangian. Barulah badan segar dan mental bersedia.

Wallahu 'alam...

Jumaat, 11 Februari 2011

Kisah Di Pusat Rawatan Ruqyah Syar'iyyah Kuching part 1..

Saya, Sapiee dan Wan Sudirman tiba di pusat rawatan seusai solat Isyak,dengan tujuan untuk berziarah dan menyaksikan sesi ruqyah masal yang dilakukan oeh kawan saya yang juga seorang perawat Islam. Sebelumnya kami bertiga pergi ke sebuah sekolah tadika bagi sesi 'scanning', kerana difahamkan budak-budak sekolah di situ melihat ada makhluk tidak diundang datang bertandang ke sekolah tersebut. Ada satu kes, seorang budak kena pelempang jin kerana nakal sangat. Parah jugak tu.

Ketika sampai ke pusat rawatan, sesi merawat sudah pun bermula. Dah ada 2 3 orang yang tumbang dan meracau. Teriakan histeria boleh didengar sampai bawah bangunan kedai tersebut. Saya dan Wan Sudirman sudah bersedia awal, namun tidak bercadang untuk merawat kerana menghormati tempat orang, melainkan dijemput.

Dalam ramai-ramai pesakit, ada seorang remaja perempuan yang berteriak keras dan kerasukan teruk. Rakan saya (pemilik tempat rawatan) tersenyum apabila melihat kedatangan saya dengan Wan Sudirman dan Sapiee. Sambil menggamit saya, dia meminta supaya saya turut membantu merawat kerana pesakit pada malam tersebut agak ramai. Staf ruqyah pun sedikit sahaja yang datang membantu. Oleh kerana dah dijemput, saya pun menerima pelawaan tersebut.

Saya : Siapa ni?

Pesakit : (Diam)

Saya : Awak bisu ke? Saya tanya siapa awak. Awak laki ke perempuan?

Pesakit : (berteriak) Lelaki!!!

Saya : Islam ke kafir?

Pesakit : Kafir!!!

Saya : Apasal awak masuk badan budak ni?

Pesakit : Aku dendam kat kakak dia. Priscillllaaaa!!!

Saya tanya kat orang tua budak tu. Difahamkan, jin yang merasuk budak perempuan ni adalah jin sihir yang cuba nak merasuk kakak dia. Kakak dia berkawan dengan seorang berbangsa bumiputera Sarawak yang non-Muslim. Tapi oleh kerana kakak budak ni rajin ibadat, jin ni tak dapat rasuk. Last-last adik dia yang jadi mangsa. Priscilla tu mungkin nama kawan kakak dia atau nama jin. Semua ni diketahui hasil dialog dengan jin tersebut dalam sesi rawatan yang lalu. Masuk ni dah kali kedua atau ketiga budak ni diruqyah.

Bersambung...

Ahad, 6 Februari 2011

Rasukan Jin Asyik...


Tajuk cerita di atas sudah banyak kali dibaca malah diceritakan oleh perawat-perawat Islam selain saya dan Wan Sudirman. Malah Yang Dikasihi Ust Majid pun selalu juga menerangkan dan berkongsi pengalaman beliau dalam menangani masalah kerasukan jin asyik. Seperti yang kita sedia maklum, jin asyik adalah disebabkan jin sama ada jantan atau betina jatuh cinta kepada manusia yang berlainan jantina. Belum pernah pula saya dengar kisah jin gay atau lesbian.

Beberapa minggu lepas, saya merawat seorang pelajar tingkatan 3 yang terkena rasukan jin asyik. Bertempat di perumahan Surabaya Indah, dalam hujan lebat itu saya dan anak buah saya, Fikri pergi ke rumah pesakit dengan dipandu oleh sepupu kepada pesakit. Wan Sudirman tidak dapat join sama kerana ada appointment lain.

Setibanya di rumah, saya interview si pesakit. Melalui kedua orang tuanya, pelajar ini mula berubah sikap ketika pulang dari berkelah di sebuah pantai tidak jauh dari Santubong. Sejak hari itu, si pelajar sering mengalami sakit pinggang ke bawah bahagian belakang (ini merupakan salah satu simptom wajib yang dihidapi oleh pesakit jin asyik), kemurungan, sering menangis tengah malam, enggan solat, tidak terurus dan sering bermimpi. Ketika saya bertanya tentang apa yang dimimpi, si pesakit tiba-tiba menangis tersedu-sedu. Saya tutup sesi interview dan menyuruh pesakit berwudhu' dan menyiapkan diri dengan menutup aurat.

Fikri yang duduk di sebelah saya hanya hadir sebagai pemerhati, namun saya nampak dari riak mukanya yang dia juga agak gelisah melihat situasi si pesakit. Fikri amat berminat mempelajari ilmu rawatan Islam, namun saya berpesan kepadannya agar bersabar dahulu, elok lebih tumpukan perhatian kepada sekolah dan pelajaran. Ilmu rawatan Islam boleh belajar kemudian. Namun saya juga ada mengajarnya sedikit ayat daripada rawatan Islam untuk bekalan dirinya, dan saya juga mengajarkannya Ratib Al Attas untuk amalan harian.

Setelah pesakit bersedia dengan duduk melunjur, saya beri dia minum air ruqyah. Fikri sudah bersedia untuk membantu jika pesakit menggelepar. Saya mula dengan istighfar. Baru sahaja saya meletakkan tapak tangan pada dahi pesakit untuk memulakan ruqyah, si pesakit sudah menjerit kepanasan dan menangis meraung-raung. Laaa, belum mula ruqyah lagi dah sakit? Saya meneruskan dengan sesi dialog.

Si pesakit meraung dengan raungan panjang yang membingitkan telinga. Jin enggan memberi kerjasama. Pesakit meronta-ronta sehingga 3 lelaki bertubuh besar diperlukan untuk menahannya.Setelah diseksa dengan beberapa ayat azab, barulah jin mengaku bahawa dia sukakan si pesakit. Kemudian, jin tersebut diam kembali apabila saya menanyakan tentang agamanya. Di sini saya bertanya dengan menggunakan isyarat jari tangan. Alhamdulillah berhasil. Jin yang merasuk adalah kafir dan jenis jantan.

Hampir pukul 11 malam, hujan sudah pun reda, namun si pesakit belum reda. Ikhtiar terakhir, saya guna pula kaedah pukul pakai sejadah. Jin tersebut kesakitan walaupun saya hanya memukul dengan lembut sahaja, hanya cukup syarat memukul. Setelah angkat sumpah dibuat, jin tersebut keluar setelah azan dilaungkan. Apa yang saya agak terkilan, jin tersebut enggan masuk Islam setelah saya menawarkan syahadah kepadanya. Takpelah, tiada paksaan dalam agama.

Alhamdulillah, pesakit tersebut pulih dan sedar dari pengsannya setelah dibacakan beberapa potong ayat suci Quran dan doa. Seperti biasa, saya sediakan limau nipis dan air penawar untuk mandian dan minuman si pesakit. Saya juga menasihatkan si pesakit agar menjaga adab sebagai muslimah, menjaga solat, menutup aurat dan melazimi bacaan Quran.

Kami pulang setelah membuat pemagaran rumah seperti yang dipinta oleh tuan rumah. Kaedah pemagaran rumah pun saya hanya menggunakan air yang diruqyah untuk direnjis dalam rumah dan isyarat tangan dan doa untuk luar rumah kerana ketiadaan bahan. Alhamdulillah, terima kasih atas bantuan Mu, Ya Allah.

Wallahu'alam bissawab...

Khamis, 3 Februari 2011

Tips Merawat Senjata

Assalamaualaikum,

Kali ini saya nak berkongsi dengan sesiapa yang berminat untuk merawt senjata pusaka yang mungkin ada dalam simpanan anda, atau menolong kawan, jiran atau saudra-mara yang ada menyimpan senjata pusaka 'berisi' khadam, jin dan sebagainya.

Tidak dinafikan, dalam masyarakat timur, khususnya orang Melayu, majoritinya menyimpan barang pusaka peninggalan nenek moyang dahulukala. Adakalanya barang pusaka ini berbentuk senjata, azimat, minyak, tajau (tempayan), seterika lama, buntat atau geliga, wafaq dan lain-lain. Selalunya fungsi barang-barang pusaka ini adalah untuk menjaga rumah, pelaris, pemanis, merawat, membidan dan lain-lainnya.

Dalam entry yang lepas saya telah ceritakan pengalaman saya dan Wan Sudirman merawat senjata pusaka. Sebenarnya ada banyak kaedah untuk merawat senjata pusaka. Di sini saya ingin kongsika kaedah atau tips merawat senjata pusaka tersebut.

Bahan-bahan yang diperlukan

1. Limau purut @ limau nipis 3 biji
2. Air
3. Minyak Kasturi

Bahan-bahan tersebut hendaklah diruqyah terlebih dahulu dengan bacaan yang berikut.

a. Al-Fatihah sekali
b. Al-Baqarah 1-5 sekali
c. Ayatul Kursi sekali. Pada ayat terakhir ulang sebanyak 3 atau 7 kali.
d. Ayat "afahasibtum...'" sekali
e. As-Soffat 1-10 sekali
f. Al-Mu'awwizat sekali
g. Bismillah 5
h. Selawat Tafrijiah sekali

Kemudian, hembuslah bahan-bahan tadi dengan hembusan tajam. Potong 3 biji limau dan masukkan ke dalam air yag telah diruqyah. Minyak kasturi juga dicampurkan sekali dalam air tersebut.

Rendam semua senjata dan barang pusaka yang berkenaan. Gosok hampas limau ke badan senjata sambil membaca ayatul Kursi dan surah Al-Fil. Surah al-Zalzalah juga boleh dibaca ketika proses menggosok ini dijalankan.

*Dalam kes kami, saya menambah garam kasar dan lada hitam yang telah diruqyah ke dalam air tersebut. Ini juga boleh dilakukan jika anda mahu.

Kemudian, rendam kesemua barang pusaka tersebut ke dalam air ruqyah untuk tempoh 1 hingga 3 hari. Letak di tempat yang tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak atau orang lain seperti di stor dan sebagainya. Selepas tempoh tersebut, bolehlah dialih barang-barang pusaka berkenaan. Buang lebihan air ruqyah tadi ke dalam sungai, jangan buang di bilik air atau longkang.

Jika barang pusaka tersebut merupakan senjata atau barang hiasan seperti gong, tempayan, kendi dan lain-lain, ia masih boleh disimpan dengan tujuan hiasan sahaja jika sayang untuk dibuang. Namun diingatkan dengan keras, janganlah barang-barang tersebut dipuja kembali kerana dikhuatiri akan memanggil jin kembali ke barangan tersebut.

Namun, wafaq, minyak, azimat dan seumpamanya hendaklah dimusnahkan dan dibuang ke sungai. Menyimpan azimat adalah jelas haram kerana Rasulullah jelas mengharamkannya.

Semoga bermanfaat.

Kesemua gambar dan foto yang saya sertakan adalah contoh barangan pusaka yang ada dalam simpanan pesakit yang dirawat oleh sahabat saya, ustaz Malik Faisal, Pengasas Ruqyah Syar'iyyah Bintulu, Sarawak. Beliau juga penulis buku JAMPI JELMAAN AL-QURAN DAN HADIS, terbitan PTS.


Terima kasih, syeikh!

Kenali lebih dekat dengan ustaz Malik Faisal di sini ---> http://www.facebook.com/album.php?id=100000967127188&aid=6909#!/profile.php?id=100000967127188

Ahad, 9 Januari 2011

Rawat Senjata Pusaka...

Lama dah tak menulis blog. Rindu juga nak menulis. Maklumlah, cuti kahwin. Oh ya, lupa nak maklumkan kepada semua pembaca. Alhamdulillah, saya Asri bin Hj Sapiee telah selamat diijab kabulkan dengan pasangan saya Fariza bt Hj Sarkawi dengan selamatnya pada 11 Disember 2010 yang lepas bertempat di Bintulu. Sekadar makluman ye. Teringat pula saya kisah seorang pembaca blog saya yang baik hati pernah cuba untuk 'offer' seorang kawannya yang masih single. ;-)

Setelah sekian lama bercuti kahwin, saya kembali memulakan tugas seperti biasa. Isteri pun dah mula masuk kerja, tapi dia jauh nun di Bintulu yang aman permai. Berjauhan dengan isteri memang menyeksakan 'batin' saya. Namun apakan daya, oleh kerana kewajiban untuk memikul amanah dan tugas, keperitan menanggung rindu dengan isteri terpaksa ditelan juga. Walaupun demikian, syukurlah ada internet dan telefon, at least saya masih boleh berhubung dengan isteri tercinta.

Kembali bertugas, bermakna saya kembali lagi dengan tugas sampingan saya iaitu merawat. Semasa tempoh berkahwin, saya dilarang oleh rakan mua'llij saya daripada pergi merawat. Ini berikutan kerana pengantin dikatakan 'berdarah manis', agak fragile dengan serangan jin. Saya akur dengan nasihat beliau dan hampir sebulan lebih saya tidak merawat. Tugas merawat diambil alih rakan baik saya iaitu Wan Sudirman.

Beberapa hari lepas, dan juga malam tadi, kami mendapat kes untuk merawat senjata pusaka. Bermula dengan kes pertama di Gita, seorang rakan baik saya semasa sama belajar di Politeknik dulu meminta saya untuk merawat sebilah pedang lama dan parang ilang yang pernah digunakan untuk membunuh orang. Saya teliti senjata tersebut dan saya nasihatkan supaya merendam senjata tersebut dalam air bacaan al-Ma'thurat.

Kes kedua pula malam tadi, iaitu hampir berbelas-belas senjata milik seorang rakan yang terpaksa kami tawarkan. Agak terkejut juga kerana ada di antara senjata tersebut berusia ratusan tahun. Hasil cerapan kami mendapati ada sesetengah senjata tersebut berisi. Selain merawat senjata pusaka, kami juga merawat rumah si pesakit dan memagar rumah tersebut.

Saya sempat merakam beberapa gambar semasa sesi rawatan tersebut, namun masih disimpan dalam Blackberry saya. Insya Allah mungkin saya akan postkan gambar tersebut dalam entry yang akan datang berserta dengan tips merawat senjata lama, insya Allah.

Wallahu 'alam...

Rabu, 1 Disember 2010

Morhabshi

Agaknya semua tahu yang sekarang saya menjalankan bisnes minyak Morhabshi keluaran cikgu Azman. Alhamdulillah, bisnes saya berjalan dengan baik dan lancar. Tidak dinafikan kadang-kadang dalam dunia perniagaan ada pasang surutnya, kadang-kadang ada sale, kadang-kadang sunyi sepi, tiada permintaan. Itu memang biasa dalam dunia perniagaan.

Walauapapun, saya tetap menguatkan semangat untuk meneruskan bisnes Morhabshi ini. Masih ada permintaan dari pelanggan di sekitar Kuching dan Bintulu terhadap produk terbaik bumiputera ini. Dengan harga yang berpatutan, semua golongan boleh memiliki minyak Morhabshi untuk kegunaan keluarga sehari-hari.
Malas rasanya hendak menulis testimoni minyak Morhabshi dalam entry kali ini. Banyak sangat maklumbalas positif dari pelanggan yang pernah menggunakan minyak ini. Dari penyakit bisul, kudis, luka, melecur, sakit perut, cirit birit sehinggalah ke sakit anak menangis malam dan tenaga batin. Wah! Tenaga batin pun Morhabshi boleh rawat. Ini bukan saya punya cerita, ini pelanggan yang pernah gunakan punya cerita.

Mungkin bagi sesetengah orang akan beranggapan bahawa bisnes produk ini lambat mendatangkan keuntungan. Ini disebabkan profit marginnya agak kecil, tambahan pula penjualannya bergantung kepada jumlah volume. Saya berpendapat, biarlah bermula dari kecil, agar risiko yang ditanggung kelak pun tidak terlalu tinggi. Dan dari kecillah ia akan menjadi besar jika kita gigih dan bersungguh-sungguh. Ingat! Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Dan untuk pengetahuan anda semua, sedar tak sedar saya sudah mampu menjana pendapatan sehingga rm 1000 hasil jualan minyak Morhabshi. Itupun secara 'main-main'.

Khusus untuk negeri Sarawak terutama sekali di kawasan Kuching dan Samarahan, berminat untuk menjadi pengedar Morhabshi di kawasan anda? Hubungi saya di talian 016-8576778. Insya Alah, saya akan membekal produk dan menawarkan harga terbaik untuk anda. Saya tunggu panggilan dari anda. :-)

Ahad, 14 November 2010

Naruto?

Beberapa minggu yang lepas saya pergi merawat sebuah keluarga yang mengalami gangguan di rumah. Gangguan berbentuk kedatangan lembaga hitam di luar rumah, anak-anak tak dapat tidur di rumah sehingga memaksa mereka tidur di rumah saudara. Selain itu, ibu kepada anak-anak rumah tersebut adalah seorang janda yang kematian suami tragedi helikopter terhempas di Sadong Jaya, Samarahan beberapa tahun lepas. Pesakit ini juga mengalami sakit-sakt fizikal seperti terasa tajam dalam tubuh dan lain-lain.

Sesi pertama ruqyah, saya dan Wan Sudirman hanya melakukan 'pembersihan' dan pemagaran rumah kerana mengesyaki mungkin rumah tersebut dihuni oleh jin dari luar. Namun setelah mendengar cerita yang lebih detail dari pesakit, si pesakit mendakwa bahawa dirinya dishir oleh jiran sebelah rumah yang merupakan guru silat (yang bermasalah...) kerana difahamkan guru silat tersebut sering membawa anak dara untuk tidur sama di rumah).

Selain itu, pesakit sering ternampak perempuan berambut panjang paras betis di luar rumah guru silat tersebut, dengan berpakaian putih tetapi kotor dan kekuningan (ala-ala hantu dalam cerita 'Jangan Pandang Belakang', yang dipercayai 'belaan' kepada guru silat tersebut). Banyak juga cerita yang kami dengar namun saya kurang berminat dengan kisah-kisah tersebut dan meneruskan dengan ruqyah.

Sesi ruqyah kedua lebih menarik. Ini dibuat seminggu selepas sesi yang pertama. Saya bertanya kepada pesakit perkembangan mereka. Gangguan masih ada cuma berkurangan. Setelah diselidik, rupanya 3 beranak ini, iaitu si ibu, seorang anak lelaki dan perempuan mempunyai keupayaan untuk melakukan 'terawangan', iaitu roh keluar dari badan. Si anak lelaki yang baru sekolah rendah pula mendakwa sering melihat jin-jin berkeliaran di sekeliling mereka, hingga menyukarkan dia tidur. Saya tutup pandangan matanya dengan doa dan ayat penutup pandangan alam ghaib. Kemudian saya guna pula Kaedah Rotan, budak tu kata jin-jin semua menangis dan meraung minta dihentikan kerana sakit kena sebat.

"Bagitau jin-jin tu, kalau taknak sakit, balik ke tempat masing-masing dan jangan kacau lagi. Kalau tak, ustaz sebat lagi teruk" Saya suruh budak tu sampaikan mesej saya kepada jin-jin tersebut.

Budak tu diam... sekejap...

Tiba-tiba...

"Diorang tunggu ustaz kat luar. Ramai..."

Saya terkedu. Saya pandang Wan Sudirman, Wan Sudirman pandang saya.

Saya control macho "Cakap kat diorang, ustaz suruh balik. Kalau taknak balik, ustaz doa mintak Allah hantarkan Tentera Langit berperang dengan diorang!"

Budak tu sampaikan mesej kat jin-jin kat luar. "Diorang tak takut, diorang nak perang..."

Saya buntu sekejap. Last-last saya fikir, baik buat solat Hajat berjemaah. Saya suruh ahli rumah ambil wudhu' dan siapkan tempat sembahyang.

Usai saya wudhu', datanglah ilham untuk buat ala-ala TKR ustaz Majid. Walaupun saya tak pernah belajar TKR direct dari ust Majid, malah saya tak tau pun kaedah TKR yang sebenar, saya cuba jugak.

Saya tanya kat budak tu "Awak nak jadi Naruto?".

Budak tu berkerut, kemudian senyum "Dapat ke ustaz?"

Saya kata "Dapattt, insya Allah. Bagi tangan awak".

Budak tu hulurkan tangan, saya baca Fatihah dengan niat jadi pedang cahaya. "Awak bawak pedang ni, cantas dan bunuh semua jin-jin tu. Nampak tak pedang cahaya ni?"

"Nampak ustaz! Saya pergi sekarang." Budak tu jawab dengan yakin.

Budak tu pun pergi la terawangan dan berperang dengan jin-jin tersebut. Saya tunggu dan pantau je dari luar badan.

Kemudian budak tu bersuara "Ramai sangat ustaz, diorang ada perisai jugak"

Saya baca afahasibtum dan hembus kat tapak tangan budak tu "Pegi bom perisai tu, tengok apa jadi." Budak tu pun pergi bom.

"Pecah ustaz, tapi makin ramai ni. Macam mana?"

Saya bagi lagi Ayatul Kursi "Ni Angin Samudera Api, lempar kat diorang sambil bertakbir"

Budak tu pun kejar jin-jin yang masih ada. Tiba-tiba dia gelak.

"Apasal gelak?" saya bertanya. "Jin-jin ni lari keliling kampung, dia bawa saya jauh ustaz. Lawak pulak tengok diorang lari."

"Lempar je, jangan buang masa. Takbir kuat-kuat" saya arahkan budak tu buat secepat mungkin agar dapat selesai awal.

"Hangus dah ustaz. Habis dah. Err, tapi ada seekor tunggu kat luar. Ini jin lain. Dia marah pasal terkena api yang saya bawa tadi".

Bila saya selidik, rupanya ini jin lain, bukan jin yang mengganggu keluarga pesakit. Jin ni marah pasal terkena tempias api yang dibawa oleh budak tu.

"Suruh dia balik. Cakap kat dia kita tak sengaja." Saya suruh budak tu pujuk jin tu suruh balik.

"Dia taknak. Dia marah" Sayu je bunyi budak tu. Takut kot.

"Hah, kalau gitu. Habiskan terus. Bakar je jin tu kalau degil" Saya dah bagi last warning, jin tu taknak balik. Last-last terbakarlah jin tu dengan izin Allah setelah dibekalkan satu lagi senjata dari ayat-ayat ruqyah.

Selain saya, Wan Sudirman pun ada 'beri tangan' untuk budak tu. Senjata yang diberi oleh Wan Sudirman pun macam-macam. Ada bom racun, angin taufan, guntur kilat dan lain-lain.

Budak tu pun sedar dari terawangannya. Letih je budak tu, macam lepas lari pecut 200 meter. Muka pun macam nak pucat. Kesian, saya berdoa dan bekalkan dia dengan pedang cahaya sebagai bekalan untuk dia berlawan dengan jin jika ada jin lain yang mengganggunya.

Dalam perjalanan pulang, saya berbincang dengan Wan Sudirman tentang perkara yang telah dilalui kami tadi. Ini le pertama kali kami buat kaedah macam ni. Tak sangka pulak menjadi. Kata Wan Sudirman, takde yang mustahil kalau Allah berkehendak. Kita tak dapat tengok apa yang jin nampak apabila kita membaca ayat Quran dengan niat nak jadikan senjata dan sebagainya. Ini semua dalam alam ghaib yang kita tak nampak, dan Allah jualah yang makbulkan sama ada jadi atau tidak. Saya setuju dengan pendapat beliau.

Apa-apa pun, kami kena belajar lagi dengan ustaz Majid AKRINE, dengan kaedah yang betul dan lebih sempurna, insya Allah.

Bila le agaknya ada rezeki nak jumpa ustaz Majid? Alahai...