Selasa, 21 Jun 2011

A Journey...

Minggu lepas saya mengembara lagi nun ke timur laut negeri Kenyalang ini. mengembara sambil menenangkan jiwa bersama rakan sepejabat, Azry. Senang sungguh hati saya kerana kembara kali ini boleh dikatakan dalam suasana bersantai atau melancong, bekerja namun dalam keadaaan tidak kelam-kabut seperti kembara yang sebelumnya.

Jadual perjalanan kerja yang disediakan Azry telah saya teliti lebih awal bagi memastikan segala kerja dan masa dapat dilaksanakan dengan baik. Kembara kerja amat saya sukai kerana saya boleh keluar dari suasana pejabat yang menyesakkan dan merehatkan minda. Azry bijak mengatur masa dengan mengoptimumkan masa kerja agar tidak terlalu 'rushing' atau tergesa-gesa.

Permulaan destinasi kami ialah menuju ke Mukah. Rasanya sudah terlalu kerap saya menceritakan tentang kembara ke Mukah ini. Gambar dan foto pun pernah saya uploadkan. Tidak banyak perubahan yang berlaku di Mukah, bandar itu masih tenang seperti biasa. Ketibaan kami di bandar tersebut pada ketika azan Maghrib dikumandangkan. Syukurlah, perjalanan ke Mukah kali ini agak selesa kerana jalan dari simpang Selangau menuju ke bandar Mukah dan Balingian telah siap dibina. Perjalanan dapat dipendekkan dari 2 jam setengah ke 1 jam sahaja. Keadaan jalanraya nampak cantik berbanding dahulu yang penuh dengan batu kerikil, lubang-lubang dan tepian gaung yang berbahaya.


Gerbang Jambatan Mukah

Hotel Kingwood Mukah adalah tempat wajib bagi staff SPNB untuk 'bermabit' jika ke Mukah. Selain selesa, hotel ini juga menyediakan perkhidmatan yang baik dan harga yang berpatutan. Hotel ini juga terletak di tengah-tengah banda dan memudahkan penginap untuk pergi ke bandar untuk makan dan sebagainya.

Setelah berehat dan mengemas diri, saya dan Azry pun pergi mencari tempat makan. Kelaparan dah mula menguasai diri. Cadangnya saya nak bawa Azry makan ikan bakar kat satu stall favourite saya, malangnya stall tersebut tutup. Bukan rezeki agaknya. kami melilau mencari kedai makan yang lain. Cuaca pada malam itu agak buruk, angin bertiup kencang dan menunjukkan hari nak hujan. Tak semena-mena, bandar Mukah menjadi gelap. Alahai, blackout rupanya. Saya dan Azry menikmati ayam penyet di sebuah restoran dengan diterangi api lilin. Rasa romantik la pulak. Hahahahaha.

Esoknya kami menuju ke Dalat, sebuah kawasan penempatan Melanau Likow, ataupun Melanau yang bukan beragama Islam. Kebanyakan penduduk di sana beragama Kristian, berbeza dengan daerah Igan, Matu-Daro dan Mukah sendiri, yang rata-ratanya Melanau Islam. Saya difahamkan oleh seorang pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) di sini, kebanyakan orang Likow (non-Muslim) ini dipindahkan ke sini bagi menjaga keharmonian kaum. Walaupun seolah-olah terpisah, namun bangsa Melanau adalah satu bangsa yang sangat harmoni. Perbezaan agama tidak menghalang mereka untuk saling tolong menolong dan mengambil berat antara satu sama lain.


Suasana tepi sungai di Dalat

Dalat terletak di tepi sungai. Bot ekspres dan perahu panjang masih merupaksan satu pengangkutan utama di sini. Saya menikmati keindahan daerah Dalat ini sepuas-puasnya kerana saya baru pertama kali tiba di sini. Azry pula sempat mengambil beberapa foto untuk dijadikan kenangan. Sambil itu, kami menemuramah seorang pemohon RMR berbangsa Cina dan bertanyakan beberapa soalan tentang daerah tersebut. Si pemohon memberi kerjasama yang baik dan sangat peramah.

Selesai kerja, kami meninggalkan daerah Dalat dan menuju ke daerah Oya pula. Pekan Oya adalah sebuah pekan kecil. Kebanyakan penduduk di sini beragama Islam dan bekerja sebagai nelayan dan petani. Sepanjang jalan menuju ke daerah ini juga, saya dan Azry perasan banyak bangunan burung walit didirikan. Menarik juga. Agak-agaknya ramai jutawan bakal dilahirkan di Oya, insya Allah. Selain itu, ada sebuah kampung yang bernama Kampung Judan, tidak jauh sebelum masuk ke pekan Oya terkenal dengan kuih sepitnya. Dahulu kalau ke sini memang saya dan Faizul akan singgah untuk beli sebagai buah tangan keluarga di Kuching. Tapi trip kali ini saya tidak sempat singgah kerana kesuntukan masa. Kepada sesiapa yang datang ke Mukah, saya sangat recommend kepada anda untuk membeli kuih sepit kampung Judan ini. Sangat sedap dan menyelerakan.

Sibu...

Selesai kerja di Mukah, keesokan harinya kami menuju ke Sibu. Sebelumnya kami makan tengahari di Bandar Mukah, stall tepi sungai. Menunya ikan bakar, ayam goreng, umai segar, sayur lemak dan macam-macam lagi. Saya dan Azry 'melantak' puas-puas sebelum menuju ke Sibu. Dengan menu lauk kira-kira 4-5 jenis, harganya cuma rm 17 untuk dua orang. Murahkan?

Kami berangkat ke Sibu selepas itu. Perjalanan selama 2 jam itu saya dan Azry lebih banyak bersembang dan berkongsi pendapat tentang kehidupan masing-masing. Driving sambil bersembang menjadikan perjalanan jauh tidak membosankan. Kami tiba di Sibu kira-kira jam 6 petang.


Azry, teman pengembaraan saya kali ini. On the way ke Sibu.

Tidak banyak yang hendak saya kongsikan tentang Sibu, bahagian paling ramai bangsa Cina Foochow dalam negeri Sarawak. Malah ada antara penduduknya yang tidak pandai berbahasa Melayu, kerana ada yang datang direct terus dari negeri China, sama ada secara 'halal' atau 'haram'. Jalanraya di bandar Sibu agak berserabut. Walaupun sering berulang-alik ke bandar ini, saya masih gagal untuk menghafal jalan-jalan utama di bandar tersebut. Keadaan bangunan yang rapat dan tidak teratur, warung tepi jalan berterabur di sana-sini menjadikan Sibu sebuah bandar yang bising dan hiruk-pikuk. Saya lebih banyak menghabiskan masa di hotel sepanjang berada di bandar tersebut. Malam itu saya tidak makan kerana masih kenyang. Azry dah makan awal petang tersebut, dan dia juga ada appointment dengan kawannya seorang peniaga yang datang dari Kuching pada malam tersebut. Tinggallah saya berseorangan di bilik hotel sambil melayari internet.

Betong, bandar Zombie...

Di hujung kembara, destinasi terakhir saya dan Azry ialah Betong, kira-kira 2 jam setengah dari bandar Sri Aman. Kami check-in di Betong Plaza. Rasanya inilah hotel yang paling 'standard' di pekan Betong. Terletak di tengah-tengah pekan, dan ini memudahkan kami untuk mencari tempat makan kelak.

Suasana malam di Betong teramatlah sunyi. Seumpama pekan zombie, kata Azry. Kedai banyak yang tutup awal. Saya dan Azry mati akal nak jalan-jalan di pekan tersebut. Kami hanya ke kedai berhampiran untuk makan malam dan kemudiannya balik berehat. Keesokkannya saya sempat mengambil gambar sekitar pekan Betong.

Mercu tanda Pekan Betong

Betong Plaza, tempat kami menginap

Deretan kedai di Pekan Betong

Suasana pasar basah. Sibuk dengan penjual dan pembeli.

Kami pulang ke Kuching setelah selesai menemuduga seorang pemohon RMR di Spaoh, tidak jauh dari pekan Betong. Sempat pula singgah di ekpala simpang untuk membeli jagung sebagai buah tangan untuk keluarga di Kuching.

Perjalanan seperti ini membuahkan banyak idea kepada kita tentang masyarakat setempat. Ini yang menyebabkan saya suka untuk mengembara kerana dengan mengembara, kita akan melihat pelbagai perkara yang tidak ada di tempat kita. Perjalanan dengan Azry juga menyeronokkan kerana Azry juga bijak memberi idea dan pendapat kepada saya apabila singgah ke sesuatu tempat. Dengan idea tersebut bolehlah saya muatkan dalam entri blog yang akan datang insya Allah.

Benarlah kata orang tua, jauh perjalanan luas pandangan. Minda pun terbuka dan jiwa menjadi rehat apabila kita mengembara kerana banyak mempelajari ilmu dan pengalaman baru. Semoga Allah mempermudahkan lagi pengembaraan saya yang akan datang, mungkin kali ini di luar Sarawak. Insya Allah.

Khamis, 26 Mei 2011

Penipuan Perbankan Internet


Bersembang dengan Airwan di pejabat pagi ini agak mengejutkan saya. Ada laporan di MHI mengatakan tentang penipuan internet banking melalui email. Agak 'menggerunkan' juga bila mengetahui ada mangsa yang hilang duit gaji beribu-ribu ringgit jumlahnya. Parah jugak ni... Kalau dah wang gaji lesap, nak makan apa bulan tu. Kalau bujang ok lah juga, tapi kalau dah ada anak bini? Nak bagi makan apa?

Saya hairan dengan penyangak-penyangak ni. Tergamak juga mereka ni merompak wang orang lain. Mereka tak tahu ke kesan daripada perbuatan mereka ni, insan-insan ni akan menderita? Nak tunggu sebulan lagi gaji keluar bukan senang, dada sesak macam dada kena timpa batu!

Penjenayah zaman ni dah semakin canggih. Kalau dulu terpaksa tunggu malam baru pergi merompak, sekarang merompak dah boleh buat dari ofis atau rumah, dengan hujung jari je. Dah la tu, boleh dapat ribu-ribu ringgit dengan sekali klik, duduk bawah aircond, tak payah pakai topeng.

Astaghfirullah, zaman huru-hara sudah semakin hampir. Petanda kiamat semakin nampak. Islam semakin dipinggirkan, ummat seolah-olah hilang ketenangan. Masalah harga barang naik, perbelanjaan yang semakin ketat, sistem pendidikan yang lemah, hiburan dan arak merata-rata, zina, homoseksual dan lesbian dah boleh nampak di skrin komputer terang-terangan, bunuh diri, merompak dan pembunuhan kejam, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan pemerintah, fitnah dan seribu macam penyakit ummat kini semakin membarah di negara kita. Apa sikap kita? Adakah hanya dengan menunggu dan melihat ummat ini hancur tak bersisa?

Pemerintah wajib menangani kesemua masalah ini serentak dengan sokongan dari rakyat. Al-Quran dan As Sunnah wajib menjadi panduan bagi merawat penyakit barah ummat ini. Membelakangkan Islam bererti membelakangkan Allah. Apabila kita mengabaikan Allah, maka Allah akan mengabaikan kita. Cukuplah dengan conference, persidangan, seminar, pembentangan kertas kerja dan entah apa-apa lagi yang hanya sekadar di atas kertas dan slide-slide PowerPoint. Kita mahukan tindakan, ACTION! Bukan hanya sekadar omong kosong sahaja.

Iman hendaklah disuburkan. Di sinilah peranan da'i'. Menyedarkan ummat agar memperbaharui iman dan menimbulakn kesedaran masing-masing. Tiada ubat yang lebih ampuh bagi menyelesaikan masalah ini selain kembali kepada fitrah Islam yang sebenar.

Berikut merupakan artikel yang diperolehi dari sebuah blog mengenai penipuan perbankan internet. Sumber dari : http://mrbelia.pun.bz

KUALA LUMPUR – Pelanggan perbankan Internet dinasihatkan supaya berhati-hati kerana penipuan melibatkan perkhidmatan tersebut terutama Maybank2u meningkat lima kali ganda pada tahun lalu.

Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din berkata, sepanjang tahun lalu, polis telah menerima sebanyak 353 kes penipuan dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta membabitkan perbankan Internet.

Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat mendadak berbanding tahun 2009 iaitu polis hanya menerima sebanyak 75 kes membabitkan kerugian sebanyak RM215,131.

“Penjenayah perbankan Internet akan menggunakan teknik phishing iaitu dengan mewujudkan satu laman web palsu sesebuah bank dan menghantar e-mel kononnya mengenai keselamatan akaun (Security Alert).

“E-mel itu meminta pengguna mengemaskini akaun mereka kononnya untuk mengelakkan sebarang penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” kata beliau di sini semalam.

Kamarudin memberitahu, ketika membuat proses kemaskini itu, pengguna akan diminta supaya memasukkan beberapa data peribadi seperti nama, kata laluan dan nombor TAC (nombor empat digit pengesahan transaksi).

Rabu, 25 Mei 2011

Bukan Hawa Yang Memujuk Adam Untuk Makan Buah Khuldi!

Fakta yang amat menarik untuk dikongsi bersama dengan pembaca sekalian. Renung-renungkan...

Benarkah Hawa Memujuk Adam Memakan Buah Khuldi ?

Muhammad Hanief Awang Yahaya

Allah s.w.t. menempatkan Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sebelum mereka berdua dihantar ke dunia ini. Di tempat yang indah itu, Allah s.w.t. menghalalkan kepada mereka berdua makanan-makanan kecuali buah dari satu pohon. Tipu daya Iblis menyebabkan mereka berdua memakannya lalu bermulalah kehidupan manusia di dunia ini.

Umum tersebar bahawa Hawa telah memujuk Adam memakan buah tersebut. Hal ini disebutkan oleh Ibn Hajar al-`Asqalani ketika menghuraikan hadis berikut:



عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم : ولولا حواء لم تخن أنثى زوج



Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w.: “Dan kalaulah tidak kerana Hawa, perempuan tidak akan mengkhianati suaminya.”

Kata Hafiz Ibn Hajar: “Di dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa peristiwa yang berlaku kerana Hawa memberi gambaran yang indah tentang pokok itu kepada Adam lalu berlakulah apa yang telah berlaku. Makna khianat Hawa ialah dia telah menerima bujukan Iblis lalu memujuk Adam pula. Oleh kerana Hawa ibu kepada sekalian wanita dan paling serupa dengan Hawa dari segi melahirkan anak, maka hampir tidak seorang wanitapun yang terselamat dari menderhaka kepada suaminya sama ada dengan ucapan atau perbuatan. (Fath al-Bari, jil. 6 hal. 515)

Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Hafiz ibn Hajar tidak merujuk kepada mana-mana riwayat hadis atau pendapat sahabat. Penjelasan beliau bukanlah sesuatu yang dapat difikirkan dengan aqal semata-semata. Dengan kata lain, penjelasan ini bukan berdasarkan kepada ijtihad tetapi pasti bersumberkan mana-mana riwayat. Tentu sekali beliau mempunyai sumbernya yang tersendiri. Apabila beliau tidak menunjukkan mana-mana riwayat hadis, tentu sekali sumbernya ialah riwayat Israiliyyat. Kalau diandaikan adanya riwayat maka riwayat itu tidak sahih kerana bercanggah dengan fakta-fakta al-Quran.

Dengan merujuk kepada al-Quran segala kepalsuan dan kepalsuan riwayat tersebut akan terdedah. Allah s.w.t. berfirman:



فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ



Lalu syaitan menghasut mereka berdua (memakan buah pokok larangan) dengan tujuan untuk mendedahkan aurat mereka yang selama ini terlindung dari mereka, lalu ia berkata: Tuhan kamu tidak melarang kamu mendekati pokok ini melainkan supaya kamu tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi dari kalangan mereka yang hidup kekal abadi. (al-A`raf: 20)

Dalam ayat ini jelas bahawa syaitan yang menghasut Adam dan Hawa bukan syaitan menghasut Hawa kemudian Hawa menghasut Adam pula. Dalam surah Taha, ayat 120, penafian bahawa Hawa tidak memujuk Adam lebih jelas lagi:



فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آَدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى



Lalu syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dengan katanya: Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok hidup kekal dan kerajaan yang tidak akan musnah? (Taha: 120)

Isnin, 23 Mei 2011

Pagi nan Indah...

Sebaik azan Subuh dari masjid Husnul Khatimah Kpg Semerah Padi dilantunkan, saya terjaga dari tidur. Rasanya kurang nyenyak menikmati tidur kerana saya tidur lewat malam tadi setelah pulang dari merawat sebuah keluarga yang diganggu saka keturunan. Letih juga merawat kerana msalah yang dihadapi agak rumit. Ada 2 pesakit dari keluarga berkenaan yang kerasukan teruk sehingga memaksa saya dan Wan Sudirman menggunakan kaedah hiris dan tekan titik lemah jin pada badan pesakit.

Walaupun masih dalam keadaan mamai, saya gagahkan juga untuk bangun dan membersihkan diri. Solat Subuh didirikan dengan penuh pasrah dan berserah diri kepada Allah. Pagi ini saya dan Saiful akan menghantar Azry dan Faizul ke airport untuk ke Limbang.

Selepas itu, saya dan Saiful pergi sarapan pagi di Satok. Suasana pasar sayur di Satok kelihatan amat meriah. Cina dan Melayu saling bergandingan berdagang dan menarik perhatian pelanggan untuk menjual hasil tani mereka. Seronok pula kami melihatnya.

Harga hasil tani di pasar tersebut dijual dengan cara borong. Kesemuanya dijual dengan harga yang murah belaka. Seronok pula saya melihat. Terlintas dalam benak fikiran saya satu hari kelak saya akan menceburkan diri dalam bisnes, tak kiralah apa jenis bisnes sekalipun. Asalkan dengan berniaga, saya dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup saya di samping mengikuti sunnah Rasul.

Saya dan Saiful sering juga bersembang tentang bisnes. Angan-angan kata orang. Tapi tak salah rasanya kalau kami berimpian seperti itu. Pelbagai perancangan yang kami buat. Namun hambatan paling utama dalam berniaga ini ialah modal permulaan. Walaupun demikian, kami enggan menjadikan modal ini sebagai penghalang untuk berjaya.

Doakan kejayaan kami, insya Allah...

Sabtu, 21 Mei 2011

"Apa tu, Mak Cu?...."


Sarapan pagi hari minggu sebentar tadi amatlah menceriakan. Abang saya membawa 3 anak-anaknya datang sekali ke rumah kali ini untuk menikmati bersarapan bersama. Kakak ipar saya pula tinggal di rumah untuk mengambil kesempatan mengemas sementara budak-budak tiada di rumah. Maklumlah, kalau budak-budak ada, memang susah nak mengemas. Dah dikemas, bersepah balik.

Adik bongsu saya juga baru sahaja balik dari KL. Seusai solat Subuh, adik dan mak keluar berjoging di Waterfront Kuching. Balik dari joging, mereka membeli makanan untuk sarapan. Kami sekeluarga bersarapan bersama dalam suasana yang sungguh ceria dan riuh gembira. Ayah dan mak cukup seronok kerana keempat-empat anaknya ada bersarapan sama, dihiasi lagi dengan gelak ketawa cucu-cucu mereka yang lincah dan aktif.

Semasa sarapan itu, macam-macam yang disembangkan. Sampailah abang saya menceritakan satu kisah benar yang saya fikir agar menarik untuk dikongsikan dengan pembaca sekalian. Kisah yang misteri ini berlaku kepada sepupu kepada kakak ipar saya, tidak berapa lama dulu.

Keluarga sepupu kakak ipar saya ini pergi ke Kota Samarahan. Pada ketika itu hari sudah malam, kira-kira jam 9:00 malam. Oleh kerana ayah kepada si sepupu kakak saya ini, berbangsa Iban masuk Islam, maka mereka pun singgahlah di sebuah rumah panjang terletak dalam daerah Kota Samarahan untuk menziarahi saudara mereka. Kedua orang tuanya memarkirkan kereta di sebatang jalan masuk ke rumah panjang tersebut, manakala di kiri kanannya hutan tebal belaka. Kedua orang tuanya meninggalkan sepupu kakak ipar saya ini (yang mesra dipanggil Ucu) menunggu di dalam kereta bersama dengan 2 orang anak buahnya, seorang lelaki dan seorang perempuan yang masing-masing berusia 6 dan 5 tahun. Mereka terpaksa tinggal di dalam kereta kerana untuk ke rumah panjang tersebut mereka terpaksa berjalan kaki masuk ke dalam.

Ketika sedang menunggu, kedua-dua budak ni tadi bermain-mainlah di dalam kereta, manakala si Ucu ni hanya duduk sambil mengelamun. Sekali-sekala dia melayan juga karenah mereka berdua bagi menghilangkan kebosanan. Tiba-tiba...

Si adik perempuan : Eeee, apa ya (tu) mak Ucu? (sambil menunjuk ke arah pokok-pokok hutan yang gelap gelita).

Si abang lelaki (menyampuk) : Ney? (mana). Sikda (takde) apa-apa pun.

Ucu tersentak. Dia melihat-lihat keluar. Takde apa-apa pun...

Si adik perempuan : Rami (ramai) sidak (mereka) Mak Ucu. Bergantung-gantung jak sidak (mereka) di rah (kat) pokok sia (tu).

Si abang lelaki tadi masih melilau-lilau matanya mencari apa yang dikatakan oleh adiknya. Namun masih gagal nampak apa yang ditunjuk oleh adik perempuannya. Si adik perempuan masih mengatakan "Kat situ.. kat situ... ramainyaaa. Diaorang bergantung-gantung kat pokok tu. Banyaknya!"

Si abang lelaki : Hantu kali nak? Suruh Mak Ucu baca Yassin.

Si adik perempuan : Mak Ucu sik (tak) pandei (pandai) baca Yassin. Giney (macam mana) lah?

Si abang lelaki : Baca jak Subhanallah kah, apa jak (saja) lah.

Ucu ni tadi yang dah mula menggigil sejak mula tadi, dah rasa macam nak menangis. Last-last dia pun baca tasbih Subhanallah berulangkali dengan suara nyaring.

Si adik perempuan : Eh... ehh... daknya (mereka) nutup (tutup) telinga semua, Mak Cu. Kenak (kenapa) daknya (mereka) nutup (menutup) telinga owh?

Ucu masih terus membaca tasbih tanpa putus, tiba-tiba...

Si adik perempuan : Mak Cu, daknya (mereka) turun dari pokok! Daknya nak ngagak (datang) sitok (ke sini).

Ucu dah seram sangat-sangat. Dengan tak semena-semena budak perempuan ni menjerit. Bila melihat budak perempuan ni menjerit, si abang dan si mak Ucu ni pun menjerit jugak.

Si adik perempuan : Buruk muka daknya (mereka), Mak Ucu. Daknya ada depan kereta...

Ucu dah tak mampu nak buat apa-apa. Pasrah habis. Tak lama kemudian, mak ayah si Ucu ni pun datang. Alhamdulillah, selamat. Mereka terus balik ke Kuching kemudiannya.

Setibanya di rumah, budak perempuan ni tadi terus keluar dari kereta dan berlari ke arah sepohon pokok asam yang terletak di hujung rumah, sambil mendongak ke atas.

Si nenek : Apa carik kitak (kamu) ya (tu), cu?

Si adik perempuan : Ncarik (mencari) urang (orang) muka buruk nok (yang) kamek (saya) jumpa tadik (tadi).

Ucu terdiam...

Pengajaran :JANGAN TINGGAL BUDAK-BUDAK DALAM KERETA MALAM-MALAM!

Isnin, 16 Mei 2011

Malaysia Perlu 'Diruqyah'!


Malam tadi, saya membeli makanan untuk saya dan adik saya, Adie. Ketika ini hanya kami berdua yang berada di rumah. Orang tua kami pula pergi ke Kedah untuk makan angin dan menziarahi saudara di sana, sekaligus turun ke KL untuk menjemput adik bongsu saya yang baru selesai pengajian ijazahnya di sebuah universiti tempatan.

Saya singgah di Koperkasa Jalan Astana. Di sana terdapat deretan warung yang menjual pelbagai makanan tempatan yang lazat-lazat belaka. Nasi ayam penyet, mi kolok, mi rebus, satay Rex (jenama sate terkenal semenjak 80an di Kuching), laksa Sarawak, ABC, laici susu, tongkat Ali kaw dan lain-lainnya. Kalau nak diikutkan hati, nak juga melahap dan mencuba semua makanan di situ. Sedap-sedap belaka. Tapi sekarang ni saya terpaksa control makan, tengah dalam usaha nak men-dietkan diri. Maklumlah, selepas kahwin ni, berat badan cepat naik, perut pun macam nampak boroi.

Saya memesan kuehtiaw goreng dan nasi goreng special di gerai Pak Amit. Antara banyak-banyak gerai, gerai yang inilah paling famous dengan nasi ayamnya. Nasi ayam kat gerai Pak Amit ni memang famous dan sedap. Mungkin rahsia resepinya yang menyebabkan nasi ayam kat sini lebih special berbanding dengan tempat lain. Setelah order siap, saya pun beredar dan berniat hendak direct pulang ke rumah. Namun niat saya terbantut kerana azan Isyak berkumandang. Saya pun memutar stereng Persona menuju ke masjid Al-Firdaus yang terletak di kampung Tunku, Petra Jaya, tidak jauh dari Koperkasa.

Ketika memasuki masjid, saya melihat ada majlis ilmu sedang berlangsung. Kitab Tanbihul Ghafilin, yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hassan Basri. Wahh! Ustaz favourite saya ni! Kitab Tanbihul Ghafilin pun best jugak. Lalu saya memilih tempat duduk yang selesa dan menghadap ke arah ustaz untuk mendengar pengajian beliau.

Sambil mendengar kuliah, mata saya melilau melihat para jemaah di dalam masjid tersebut. Kebanyakannya orang tua yang hadir, sambil khusyuk menadah kitab. Saya cuba mencari, kalau-kalau ada orang muda atau syabab yang ikut serta dalam majlis ilmu ni. Hmmm, yang ada cuma 2 orang sahaja, kemudian 3 budak sekolah rendah. Terdetik jauh di lubuk hati saya, mana dia pemuda-pemuda kita? Mana dia remaja-remaja kita yang menagku dirinya Islam? Solatkah mereka? Jika solat, kenapa tak buat di masjid? Kenapa solat sendiri-sendiri di rumah? Malas nak berjalan ke masjidkah? Atau dah tak mampu nak menghayun langkah ke masjid kerana masjid terletak jauh dari rumah? Kalau nak dikirakan penat berjalan kaki ke masjid, kenapa ayah-ayah kita yang dah pencen, atuk-atuk dan nenek-nenek kita yang dah lanjut usia masih gagah berdiri qiam dalam solat walaupun mereka juga penat berjalan kaki ke masjid?

Tak malukah kita sebagai orang muda, mengatakan penat sebagai alasan enggan melaksanakan solat jemaah di masjid? Kenapa berjaga malam menonton bola sepak kita tak rasa penat? Kenapa bila terkinja-kinja menonton Akademi Fantasia dan Mentor di studio boleh tak penat?

Saya hairan melihat pemuda-pemudi zaman sekarang. Mereka penat nak mengerjakan solat yang mengambil masa hanya 5 minit, tapi sanggup melompat, berjoget atas pentas, ber'shuffle' dan berhip-hop selama berjam-jam tanpa rasa penat. Pelik bukan?

Saya cukup meluat dan menyampah melihat anak-anak Melayu kita yang beragama Islam masuk rancangan realiti televisyen seperti Akademi Fantasia, Mentor dan entah apa-apa lagi dengan cita-cita nak jadi artis. Terkinja-kinja, melompat-lompat dengan fesyen yang apa-apa entah. Dengan rambut berceracak, kemudian diwarnakan dengan warna terang, ala-ala Stacy katanya, sakit mata melihat. Buruk benar rupa. Apa yang nak dibanggakan dengan fesyen sebegitu? Dah tu bila tersingkir keluar, menangis berpeluk-pelukkan. Lain lagi cerita cintan-cintun dalam akademi tu. Seorang tu suka perempuan nilah, perempuan ni ada hati dengan orang laki tu lah. Adoi, sakit kepala, berbulu telinga mendengarnya. Cerita bodoh macam tu pun nak dijual ke?

Rancangan Mentor lain pula ceritanya. Pernah pada suatu malam, selepas pulang merawat, saya dan Wan Sudirman singgah makan di Kubah Ria. Ketika sedang menunggu makanan, kami menonton tv yang dipasang oleh tuan kedai makan tersebut. Kebetulan, rancangan Mentor sedang ditayangkan. Setelah menonton kira-kira 10 minit, saya menjadi geram, meluat dan sedih bila melihat anak Melayu merengek-rengek menangis depan kamera kerana disingkirkan daripada ujibakat Mentor tersebut. Malah merayu-rayu pula kepada Rahim Maarof yang menjadi hakim ujibakat tersebut, sambil bercerita dia adalah anak kampung yang kerjanya membela lembu, hidup susah, nak tolong mak ayah. Si peserta ini merayu supaya diterima masuk dalam Mentor.

Kalau nak tolong mak ayah, cari kerja la, bukan jadi penyanyi! Kalau tak pun sambung belajar ke, buat bisnes kecil-kecilan ke. Ada ka patut nak jadi penyanyi, lepas tu menangis merengek macam budak kecik. Tak malu ke satu Malaysia tengok?

Ada seorang lagi peserta yang menangis jugak, dia kata dia datang ke Kuala Lumpur tak bawak duit. Tido tepi jalan. Duit yang ada pun cukup-cukup je. Merempat... (sanggup merempat semata-mata nak jadi penyanyi? Orang dulu-dulu merempat kat Makkah kerana nak tadah ilmu, balik ke Tanah Melayu dapat jadi ulama, dapat buka madrasah lagi. Awak merempat dapat jadi apa? Awak ingat Rahim Maarof tu nak ke bagi awak duit suruh tido kat hotel?).

Marah sungguh saya...

Marah, kecewa, sedih. Itulah gambaran perasaan saya bila melihat keadaan seperti ini. Mereka sanggup menjatuhkan maruah dan harga diri dengan cara menangis dan merengek semata-mata nak jadi penyanyi. Saya malu melihat anak Melayu begini. Mungkin pada ketika ini bangsa lain sedang mentertawakan anak bangsa kita yang nampak bodoh di kaca televisyen.

Kenapa mereka enggan bekerja? Kenapa mereka tak mohon masuk universiti, atau Politeknik, atau IKM, atau CIDB? Di CIDB, pelajar-pelajarnya mendapat elaun setiap bulan. Tak payah bayar yuran. Dengan duit elaun tersebut boleh jugak meneruskan kehidupan dan dapat jugak makan minum, at least mak ayah kat kampung tak payah hantar duit poket setiap bulan kat anak yang sedang belajar. Tamat pengajian, dijamin dapat kerja. Bukankah itu lebih baik daripada jadi penyanyi?

Generasi muda kita dah tak dapat nak bezakan mana intan, mana kaca. Mereka lebih mengejar glamour daripada ilmu. Kononnya, bila dah jadi penyanyi, hidup akan mewah, pakai kereta besar, rumah besar, bergaya dengan baju mahal, orang tengok dan kejar nak mintak autograf sana-sini, masuk majalah dan lain-lain. Apa faedah semua ini? Adakah ia menyumbang kepada pembanguna negara? Dengan jadi penyanyi, dapat ubat orang macam doktor ke? Dapat bina sekolah macam engineer ke? Cuba tengok seorang penyanyi perempuan yang 'tersohor' tu, dah kaya, harta juta-juta, kahwin lagi dengan seorang Dato(itupun bekas suami orang), dapat title dato lagi (tapi SPM dia lulus biasa je, bukan cemerlang. Tak pernah masuk universiti pun...), ada ke kita dengar dia bina hospital, bina sekolah dan madrasah, buat rumah untuk orang miskin, bagi kerja kepada orang yang tiada pekerjaan? Pernah ke? Yang saya tahu, setiap kali dia dijemput untuk menyanyi, 2 lagu dia charge sampai RM 10 ribu. Hirup darah ke apa dia ni?

Tidakkah kita terfikir, para engineer, doktor, akauntan, para pegawai tadbir kerajaan yang berkelulusan tinggi seperti ijazah dan diploma, gajinya paling tinggi pun RM 3-10 ribu SEBULAN atau lebih sedikit. Berbeza dengan si penyanyi yang hanya sekali nyanyi dapat ribu-ribu ringgit. Golongan profesional inilah yang membangunkan negara, mengubati orang, membina jalanraya dan sekolah, dan lain-lain lagi. Tapi para artis dan penyanyi yang berkelulusan setakat SPM tu pulak boleh kaya raya. Mana dia keadilan?

Dek kerana mengejar impian nak jadi kaya inilah, anak-anak muda kita 'kejeron' nak jadi artis. Natijahnya, mereka tidak mempelajari ilmu, kalau adapun di antara mereka yang berpendidikan tinggi, tapi oleh kerana mereka tidak mengamalkan ilmu, maka ilmu tersebut berkubur dan hilang begitu sahaja daripada dada dan hati mereka. Ini amat menyedihkan.

Inilah Ghazwul Fikri, peperangan fikran yang disemai oleh Barat ke dalam minda generasi kita. Mungkin kesannya kita belum nampak pada ketika ini. Namun lihatlah kelak, dalam 10 ke 20 tahun yang akan datang, apa akan jadi kepada negara dan anak bangsa kita, jika keadaan ini tidak ditangani segera.

Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah. Kembalilah kepada syariat Islam yang sebenar. 'Ruqyah'lah fikiran generasi kita yang sedang 'dirasuk' oleh 'jin-jin' hiburan, materialisme, glamour, arak, zina dan seribu satu macam maksiat. Kalau para mu'allij biasa menyembelih jin ketika merawat pesakit kerasukan, maka mu'allij yang sama harus 'menyembelih' 'jin kebodohan' yang 'merasuk' masyarakat ketika pada ketika ini. Tanamkan aqidah yang benar ke dalam hati mereka.

Negara Kita Perlu 'Diruqyah'...!

Selasa, 10 Mei 2011

Senarai Hotel di Malaysia Yang Dikatakan Berhantu... Betul ker?


Senarai Hotel yang Dikatakan Berhantu (Betul ke??). Satu ada kat Kuching. ;-p
1 - Legend Resort, Cherating
2 - Gurney Hotel Penang
3 - Hyatt, Kuantan
4 - Regent, Bukit Bintang
5 - Federal Hotel KL
6 - Park Royal KL
7 - Hilton PJ
8 - Crowne Plaza KL
9 - Rafflesia Hotel
10 - Cameron hotel depan padang golf :Smiley
11 - Sutra Inn, KB
12 - Marina PD
13 - Renaissance Subang
14 - Apartmen Dahlia Cameron
15 - Mandarin Hotel KL
16 - Santubong Resort
17 - Strawberry Park Cameron
18 - Tune Hotel KL

Jeng..jeng.. Kalau rajin bolehlah siasat untuk mengesahkan kesahihannya...
Sumber http://tempoyakasampedas.blogspot.com/. Terima kasih byk2...

Banyak2 berdoa je. Saya rasa mungkin ini hanya cerita orang sahaja. Atau kalau benarlah ada kesahihan mengenai cerita tersebut, sebagai manusia, kita tak boleh takut dengan makhluk halus. Hati kena kuat bergantung kepada Allah Taala. Wallahu 'alam.