Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Selasa, 28 Ogos 2012
Ramadhan yang dirindui...
Sudah lebih seminggu Syawal menjelma, dan lebih seminggu jugalah Ramadhan meninggalkan kita. Kemeriahan Aidilfitri masih lagi terasa di Kuching, walaupun sudah ramai kembali bekerja kerana cuti beraya sudah tiba di penghujungnya. Namun ini semua tidak menghalang warga Kuching khususnya untuk tetap saling menziarahi ke rumah saudara mara dan sahabat handai yang belum sempat dikunjungi setelah seminggu beraya. Maklumlah, raya kan sebulan?
Terus terang saya katakan, Ramadhan adalah bulan yang paling indah dan meriah jika dibandingkan dengan Syawal. Saya pernah menceritakan dalam entri-entri yang lepas mengenai meriahnya Ramadhan di Kuching. Ramadhan meriah dengan tarawihnya, tadarusnya dan lain-lain lagi. Kemeriahan berlangsung sepanjang hari bermula dari waktu sahur sehinggalah ke larut malam.
Ramadhan juga mendidik erti sabar dan redha. Puasa yang benar akan mendidik hati supaya tabah dan sabar dengan ujian. Tilawah dan tadarus Quran memberi kelazatan kepada jiwa, zikrullah pula memantapkan iman dan keyakinan kepada Sang Pencipta. Ramadhan adalah madrasah mendidik jiwa.
Saya seperti lazimnya berpuasa dengan keluarga tercinta. Pada minggu pertama Ramadhan saya balik ke rumah isteri di Bintulu bagi meluangkan masa untuk berpuasa bersama dengan keluarga sebelah isteri. Sempat juga saya bertarawih di surau kampung tempat kediaman isteri saya. Suasana tarawih di Bintulu tidak kurang meriahnya jika dibandingkan dengan Kuching. Surau dan masjidnya tetap penuh dikunjungi oleh semua jemaah yang datang dari segenap pelusuk Bintulu. Saya tidak berpeluang untuk mengunjungi bazaar Ramadhan di Bintulu walaupun pada peringkat awalnya saya berniat untuk ke sana bagi meninjau dan merasai sendiri kemeriahan bazaar di sana. Namun setelah dinasihati isteri yang ketika itu Bintulu di serang wabak kolera, saya membatalkan niat tersebut.
Saya hanya meluangkan masa selama 3 hari saja berpuasa di Bintulu. Kemudian saya kembali ke Kuching dan menyambung tugasan seperti biasa. Pada minggu terakhir bulan Ramadhan, saya pergi ke Miri pula untuk tugasan luar daerah. Kali ini saya menginap di Mega Hotel, sebuah hotel yang tersergam megah di tengah-tengah bandaraya Miri. Di Miri tidak kurang meriahnya. Saya berkesempatan untuk bertarawih di Masjid Kampung Dagang, terletak betul-betul di hadapan hotel tempat saya menginap. Masjid paling tua di Miri ini masih kukuh binaannya dan saya dapat merasakan 'aura' ketenangannya ketika beribadat di dalam masjid tersebut. Keberkatan masjid ini amat terasa mungkin kerana ia dibina atas dasar iman dan taqwa oleh orang tua zaman dahulu.
Masjid Kampung Dagang @ Masjid Jamek Miri
Banyak pengajaran dan hikmah yang diperolehi jika kita merenung dengan matahati mengenai Ramadhan yang berkah ini. Semoga taqwa dan iman akan tetap berkekalan dalam hati kita setelah sebulan melatih diri di bulan Ramadhan yang lalu. Insya Allah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan