Seminggu lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2013. Seperti biasa, ramai yang akan cuba memasang azam baru untuk tahun depan. Ada yang berazam nak berhenti merokok, ada yang nak berdiet, ada yang nak sambung belajar, berkahwin, buka bisnes baru dan seribu satu macam azam. Saya sendiri tidak terlepas dari niat berazam tersebut.
Bandar Kuching agak meriah malam ini. Maklumlah, esokkan Krismas. Penduduk Sarawak yang majoritinya berbangsa Iban beragama Kristian telah pun membuat persiapan awal untuk menyambut perayaan ini. Lagu Krismas dah berkumandang di shopping complex seluruh Kuching, tidak ketinggalan The Spring dan Boulevard. Saya sendiri pun dah hafal lagu Krismas dek kerana tiap-tiap hari dengar lagu yang sama. Mana tidaknya, kat lobi ofis saya pun pasang lagu Krismas. Sementara menunggu lif, nak tak nak kena dengar jugak lagu alah tu.
Setahun berlalu kadang-kadang tidak terasa. Apabila dikenang kembali dan melihat ke belakang, kita akan dapati bahawa mungkin kita telah menjalankan tugasan dan tanggungjawab dengan baik sepanjang tahun tersebut. Jika benar, alhamdulillah. Namun jika kita menyedari bahawa kita telah mensia-siakan nikmat umur dan masa yang Allah anugerahkan kepada kita, nescaya kita akan tertunduk sambil menggelengkan kepala. Kita akan merasakan betapa ruginya kita nikmat masa yang Allah berikan kepada kita. Saya sendiri tidak terkecuali merasakan perasaan ini.
Pergi kerja, balik kerja adalah rutin harian saya. Hujung minggu ada mesyuarat dengan Ikram. Kalau tidak pun ada pengisian program untuk ahli jemaah. Kehidupan saya pada ketika ini agak berbeza dengan orang lain. Atas beberapa sebab, saya terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri tercinta atas faktor pekerjaan. Kadang-kadang saya merasakan diri saya berbeza dengan orang lain kerana di kala orang lain berseronok dan bersiar-siar dengan anak isteri di pusat membeli belah atau berkelah di hujung minggu, saya pula hanya duduk di rumah. Kadang-kadang saya online, adakalanya juga saya membaca buku. Kalau bosan sangat saya akan menziarahi saudara-mara di kampung Stapok.
Adakalanya saya akan bersiar-siar seorang diri. Pergi ke kedai buku sambil meninjau-ninjau buku baru, atau ke shopping kompleks untuk membeli pakaian. Kadang-kadang saya duduk makan dan minum seorang diri, sambil memerhatikan gelagat orang di jalanan. Terasa juga sunyi di hati sebab anak isteri tiada di sisi. Alangkah indahnya anak dan isteri ada bersama ketika bersiar-siar di bandar. Walaupun demikian, hati saya kembali tenang dan syukur ketika mengingatkan bahawa ibu dan ayah saya, serta adik beradik saya sentiasa ada bersama saya. Mereka inilah tempat saya bersembang dan bertukar pendapat, sekaligus menghilangkan kesunyian di hati.
Kuching adalah sebuah bandar yang sibuk dan padat. Kemunculan bangunan-bangunan baru merancakkan lagi kegiatan ekonomi di bumi bertuah ini. Kuching bukanlah 'hutan' seperti yang disangka oleh sesetengah orang yang tidak mengenali tempat ini. Ia adalah sebuah tempat yang maju dan makmur setanding dengan Kuala Lumpur. Orang ramai dari luar ramai yang berpindah ke Kuching untuk mencari peluang dan membina kehidupan. Pelbagai bangsa, agama dan lapisan masyarakat yang ada di Kuching ini aman dan bersatu padu. Walaupun sedemikan sesak dan padat, Kuching tetap sebuah bandar yang indah, terutama sekali di waktu malam. Saya sangat suka bersiar di bandar Kuching pada waktu malam. Keindahannya memukau penglihatan dan mendamaikan hati, sekaligus menenteramkan resah di jiwa. Kadang kenangan lama tergamit sama dalam fikiran. Bermula dari kisah di sekolah, aktif dalam usrah di Hikmah, sekaligus melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma ketika di Politeknik sehinggalah masuk ke alam pekerjaan. Semua itu memori indah yang terpahat kukuh dalam fikiran saya.
Saya sangat bersyukur kepada Allah atas nikmat hidup yang diberi. Semoga Allah mengekalkan nikmat ini kepada saya dan anda semua. Amin.
tahniah...
BalasPadam