Malam tadi saya menziarahi makcik dan pakcik saya di kampung Stapok. Sudah lama saya tidak menziarahi mereka. Kampung Stapok ini terletak kira-kira 30 minit dari bandaraya Kuching. Semenjak nenek dan datuk meninggal dunia, rumah pusaka ini menjadi sunyi. Ia hanya akan meriah ketika sambutan Aidilfitri dan raya korban sahaja.
Saya sangat suka kampung ini. Suasana kampungnya masih terpelihara dan masih terdapat hutan di depan pusaka nenek. Angin segar yang bertiup dari arah hutan ini menyegarkan segala urat nadi saya ketika berehat-rehat di luar rumah. Kalau stres dan letih bekerja, saya akan ke sini untuk merehatkan minda dan badan saya. Sangat menenangkan.
Perbualan saya dengan pakcik saya yang mesra dipanggil uncle Salleh bermula dengan cerita berkisarkan PRU 13 dan politik semasa. Uncle Salleh gemar mendengar cerita dari saya kerana saya sering membawa info terbaru mengenai parti kegemarannya. Isteri beliau auntie Nani pula menghidangkan saya secawan kopi untuk dinikmati bersama sambil bersembang. Sempat juga saya menunjukkan kepada uncle Salleh video TGNA sembahyang Jumaat di masjid Putrajaya. Perbualan semakin rancak dan panas.
Sembang punya sembang, beralih pula ke topik misteri. Auntie Nani bercerita tentang salah seorang anak sepupu saya yang dalam jagaannya. Anak sepupu saya ini berusia 3 tahun, perempuan dan dalam jagaan auntie Nani ketika ibu bapanya keluar bekerja. Keanehan bermula apabila Baby (bukan) nama sebenar sering bercakap seorang diri. Apa yang lebih pelik, Baby sering bersembunyi atau bermain di tempat-tempat yang tersorok seperti belakang pintu, bawah meja dan lain-lain. Pada ketika ini auntie Nani akan melihat Baby seperti bermain dengan 'seseorang', ketawa sendirian dan bercakap seorang diri. Pernah sekali ketika hendak pulang ketika diambil ibunya, Baby menoleh ke belakang sambil melambaikan tangan ke suatu arah sambil berkata " Bye kawan...". Padahal tiada sesiapa pun di situ.
Pada mulanya perkara ini tidak diendahkan. Sehinggalah satu hari ketika auntie Nani sedang menyediakan makan tengahari, hari mendung dan berangin kuat seperti hendak hujan. Suasana agak menyerankan kerana langit gelap. Tiba-tiba Baby menuju ke dapur.
Auntie Nani : Ada apa Baby?
Baby : Nek (panggilan mesra auntie Nani). Ada orang kat situ. (sambil menunjukkan ke arah pintu utama rumah).
Auntie Nani melihat ke pintu tersebut. Takde apa-apa pun...
Auntie Nani : Siapa cu? Takde orang pun.?
Baby : Perempuan. Kenapa muka dia buruk nek?
Berderau darah auntie Nani. Tanpa melengahkan masa, auntie Nani terus meninggalkan dapur dan membawa Baby ke rumah saudara kami sebelah rumah.
Semenjak peristiwa tersebut, ibu bapa Baby dan auntie Nani membawa Baby berubat dengan seorang ustaz di Masjid Perumahan Batu Kawa. Saya kenal dengan ustaz tersebut. Beliau ahli Ismak Rqyah. Setelah dirawat, Baby tidak lagi kelihatan bermain dan bercakap seorang diri.
Mengenangkan cerita ini agak menarik, saya memuatkan cerita ini dalam blog. Uncle Salleh juga bertanya kepada saya seputar tentang alam jin dan kaedah rawatan Islam yang benar. Saya menjawab dengan hikmah sesuai dengan pengetahuan dan pengalaman saya. Di samping itu saya juga berkongsi tips dengan mereka bagaiman untuk menjaga diri daripada gangguan jin.
Perbualan kami membawa hingga ke larut malam. Saya meminta diri untuk pulang kerana hari semakin lewat. Semasa dalam kereta, jalan kampung Stapok yang melalui hutan yang gelap agak mencabar keberanian saya. Jalanraya ini pernah menyaksikan kehadiran pontianak, hantu bangkit dan hantu tinggi, yang disaksikan hidup-hidup oleh ahli keluarga saya sendiri. Saya enggan melayan perasaan sambil mulut terus berzikir sehingga sampai ke jalanraya yang lebih terang.
Wallahu 'alam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan