Jumaat, 2 Disember 2011

Jin dari Sematan

"Awak siapa? Agama apa? Kenapa ganggu budak ni?." Saya menyoal keras.

"Hahaha, aku kafir! Aku nakkan budak ni!!!" Pesakit menjerit sambil meronta-ronta. Hampir-hampir 2 3 orang kawan saya melayang dilibasnya. Kekuatan pesakit pada ketika itu menyamai dengan tenaga 10 orang lelaki. Sangat luar biasa.

"Dengan nama Allah Yang Maha Gagah Perkasa, keluar engkau! Perbuatan engkau ini satu kezaliman. Allah dan RasulNya melaknat kamu!" Saya membentak keras.

Pesakit masih lagi meracau dan mengamuk. Sebelumnya, si pesakit telah diruqyah oleh ustaz Wan Yunus, rakan sesurah saya di markaz usrah. Namun setelah sampai di rumah, pesakit kerasukan kembali ketika kami membacakan wirid Al-Ma'thurat secara beramai-ramai dengan niat untuk memagar rumah.

"Aku taknak keluar! Aku takkan keluar! Aku nakkan dia!!!" Jin yang merasuk berteriak sekuat hati.

Saya meneruskan bacaan ruqyah dan beberapa potong ayat Quran dari Al-Ma'thurat. Wirid yang saya pelajari dari ustaz Soleh itu sajalah pegangan saya pada ketika itu. Hanya wirid itu sajalah yang saya kenal dan tahu sepanjang penglibatan saya dalam gerakan dakwah. Ketika itu, saya belum hafal lagi ayat-ayat ruqyah yang lain.

Sebelumnya, pesakit sudah tenang ketika sampai di rumah. Namun, ketika bacaan Al-Ma'thurat dibaca secara berjemaah, pesakit berlari ke tingkat atas rumah dan kerasukan di dalam biliknya. Segala kitab Quran, surah Yasin dan kaset-kaset Quran dilempar ke dinding. Pesakit perempuan berbangsa Melanau ini kemudiannya meracau dan berteriak-teriak di dalam biliknya. Kami berhenti berwirid lalu cuba menenangkannya.

Hampir pukul 4 pagi, barulah jin tersebut keluar dan pesakit pun rebah tidak sedarkan diri. Setelah disedarkan dari pengsannya, saya menyuruh pesakit berwudhu dan solat 2 rakaat.

Kejadian kerasukan yang dialami oleh perempuan Melanau ini berlarutan hampir seminggu. Setiap malam si pesakit akan kerasukan, pelbagai jenis jin yang datang merasuk pesakit. Ada di antaranya ialah jin yang menjaga minyak tangkal pemberian keluarganya yang masih belum beragama Islam. Si jin mengatakan bahawa dia amat marah kerana 'tuan'nya diserang oleh jin dari Sematan, dan jin tersebut mahu menjaga tuannya daripada diserang oleh jin tersebut dan juga jin-jin yang lain. Saya menasihatkan jin tersebut supaya memeluk agama Islam dan meninggalkan jasad tuannya. Setelah puas dipujuk, barulah jin tersebut mahu keluar dan menganut agama Islam.

Peristiwa ini berlaku tahun 2005 yang lalu. Inilah kes pertama saya terlibat dalam rawatan Islam, dan sekaligus menjadi sebab kepada saya untuk bergelumang dengan alam mistik. Alhamdulillah, pelbagai ilmu yang saya timba dari ustaz-ustaz yang saya temui. Malah ada juga Kiyai dari Indonesia mengajar saya beberapa ilmu dan zikir untuk diamalkan.

Perempuan tersebut pun sudah sembuh sepenuhnya sekarang. Alhamdulillah, setelah bertemu jodoh, beliau dianugerahkan seorang cahayamata lelaki, dan seorang lagi cahayamata bakal menyusul kemudian. Beliau ada menghubungi saya baru-baru ini, minta tolong untuk dipagarkan rumah.

Wallahu 'alam...

1 ulasan:

  1. salam...baguslah ada juga ilmu yg dapat dicurahkan di kawasan sematan..mudah2an ia berterusan kerana kita sedia maklum akan kawasan itu dahulunya mmg keras dgn ilmu2 ini...kini insya-Allah di kawasan sematan sudah ada perubatan islam yang diuruskan oleh Al-Fadhil Ustaz Firdaus(Pengamal Perubatan Islam)

    BalasPadam