Sabtu, 18 Februari 2012

Harian Metro... Apa relevannya?

Assalamualaikum semua. Maaf kerana lama tak post entry. Banyak kerja, dan kekurangan idea nak menulis. Tambahan pula saya dan isteri dah menerima orang baru, bayi perempuan pada November tahun lepas. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Apa cerita tajuk di atas? Takde cerita tentang rawatan lagikah? Haaa... buat masa ni saya nak cerita tentang kehidupan di sekeliling kita dulu. Cerita tentang merawat tu, kita tangguh. Nanti insya Allah akan diceritakan kemudian.

Siapa tak kenal Harian Metro? Sebuah akhbar tabloid yang tersohor seluruh Malaysia. Dulu tabloid ini hanya ada di Semenanjung. Kalau saya ke KL, confirm saya beli akhbar ni. Bukan apa, banyak juga cerita sensasi, misteri, pelik dan menarik dimuatkan dalam akhbar kompak ini. Sekarang ni Harian Metro dah masuk Sarawak, warga Kuching khususnya pun ramai yang dah mula membeli dan melanggan akhbar ni, laris macam pisang goreng panas. Saya sendiri pun boleh kata tiap hari baca Metro, tapi itu dulu. Sekarang ni tak lagi.

Teringat saya ketika masih sekolah dulu, ada satu lagi akhbar kompak yang bernama Bacaria. Anda tentu ingat kan? Bacaria ni pun lebih kurang macam Metro jugak, banyak cerita sensasi. Tapi saya rasa Bacaria ni banyak cerita mistik dan karut. Cerita tentang bomoh, hantu, rumah seram dan lain-lain. Dulu minat cerita hantu memang sukalah bila baca tabloid ni. Sekarang ni bila dah cerdik sikit, dah tak baca lagi akhbar tu.

Ingin saya utarakan persoalan di sini, apa relevannya Harian Metro sebagai sumber maklumat masyarakat kita? Adakah ia sebuah akhbar yang berilmiah atau sebaliknya? Adakah ia menyalurkan maklumat yang berguna, atau sekadar menghidangkan cerita-cerita sensasi untuk melariskan jualan akhbarnya? Saya yakin setiap jawapan memiliki pro dan kontranya.

Semenjak Sarawak menerima arus kemasukan Harian Metro beberapa tahun yang lalu, warga negeri ini seolah-olah menerima kejutan budaya apabila dihidangkan berita-berita sensasi (dan mengarut?) dalam Harian Metro. Berita rompak, bunuh, cerai dalam facebook, ilmu hitam, cerita rasuk dan hantu, seks, sihir artis dan seribu macam berita yang memualkan ada dalam akhbar kompak tersebut. Cerita-cerita ini tidak ada dalam akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian hatta Harakah sekalipun. Harian Metro gemar mensensasikan cerita agar jualannya laris, sehinggakan masyarakat tidak sedar, mereka telah 'ditipu' oleh akhbar berkenaan.

Akhbar Harian Metro ni, kalau diperhatikan, sebenarnya lebih kuah daripada isinya. Banyak unsur-unsur yang samar dalam akhbar tersebut. Setelah beberapa lama saya memperhatikan dan menyelidik akhbar ini, saya mengambil keputusan untuk tidak membeli lagi akhbar tersebut.

Pernah saya mendengar, Harian Metro telah menjadi 'saingan hebat' bagi akhbar-akhbar tempatan. Berebut berita untuk menemuramah individu yang terlibat dalam kejadian tertentu. Ini dinyatakan sendiri oleh keluarga mangsa yang merupakan kawan saya sendiri.

Saya melihat tidak banyak, malah boleh dikatakan tidak ada manfaatnya membaca Harian Metro. Tidak banyak sumber berita yang berguna untuk mencambahkan dan meningkatkan pemikiran rakyat. Lihat saja berita muka depan akhbar tersebut setiap hari, ada saja cerita sensasinya yang 'memikat' dan menarik orang untuk membeli dan membacanya.

Contohnya, berita muka depan hari ini tentang RITUAL SETAN. Saya ingatkan ada kes orang puja setan atau ajaran sesat baru di Malaysia, rupa-rupanya kisah seorang suami yang gemar kencing muka isteri setelah berjimak. Dahsyatnya, si suami menjimak si isteri dengan cara luar tabii. Logiknya, inikah yang digelar ritual? Bagi pendapat saya, itu bukan ritual, tetapi perlakuan luar tabii.

Kalaulah benar Harian Metro sebuah akhbar yang telus, jangan gunakan perkataan RITUAL, tetapi gunakanlah perkataan yang sepatutnya. Ini sama macam menipu namanya!

Tambahan lagi, apa relevannya menceritakan aib rumah tangga orang sampai begitu sekali? Walaupun tidak disebut nama, namun saya rasa sedikit sebanyak akan mengganggu emosi mangsa jika membaca kisahnya dipaparkan dalam akhbar.

Saya menyeru kepada anda semua, agar berfikir apabila memilih bahan bacaan. Jangan hanya berfikir untuk membaca bahan sensasi sahaja. Tapi bacalah bahan yang berilmiah dan berguna.

Terus-terang saya katakan, baca buku cerita budak sekolah rendah lebih baik daripada baca Harian Metro. Sekurang-kurangnya kita tahu, buku cerita budak tu cerita dongeng, jika dibandingkan dengan Harian Metro, yang kita sangka cerita benar, tapi rupa-rupanya palsu.

Wallahu 'alam.

2 ulasan:

  1. tell this to my parents. HM is may Abah's favourite paper since bersara. zaman kerja dulu BH.

    BalasPadam
  2. Cerita palsu satu hal...skrg pulak punya banyak result-keputusan Sports Toto & Magnum...

    Ni la semua hasil sumbangan utk duit gaji staff Metro bagi makan anak isteri

    BalasPadam