Ahad, 6 November 2011

Azimat... Mudharat Lebih Besar Dari Manfaat

Isu azimat bukanlah isu baru dalam dunia mistik. Orang Melayu sangat sinonim dengan azimat. Kebanyakan azimat bukan hanya melalui menulis rajah-rajah atau wafaq, penggunaan bahan alami juga boleh dijadikan azimat jika pandai membuatnya.

Semasa kecil, saya sendiri pernah mengalungkan azimat di leher sebagai usaha 'mengelakkan' gangguan jin dan hantu. Saya masih ingat, tok nenek di kampung saya memang pandai membuat azimat (semoga Allah mengampunkan dosa mereka). Saya pernah melihat proses pembuatan azimat ini depan mata saya sendiri. Ketika itu, heboh diceritakan ada gangguan pontianak di tempat kami tinggal. Saya yang masih budak ketika itu sangat takut apabila mendengar cerita-cerita ini, hinggakan ada yang terjumpa dengan pontianak ini di tepi jalan kampung ketika pulang lewat malam. Ada pula yang terjumpa pontianak bergayut di pokok kedondong, berdiri bawah pokok nyiur, terbang melintas pokok rambutan dan macam-macam lagi. Cerita-cerita ini menimbulkan ketakutan dalam diri saya dan sepupu yang lain sehingga menyebabkan kami sukar tidur malam. Kami hanya akan dapat tidur jika Al-Quran atau Surah Yasin diletakkan di bawah bantal ketika tidur.

Pada ketika itulah saya diberi azimat berupa bungkusan hitam yang digunakan sebagai pendinding. Saya masih ingat, ketika proses membuat azimat dijalankan, saya juga ada menyaksikan cara azimat tersebut dibuat. Salah satu bahan yang masih saya ingat ialah bawang merah tunggal, dan beberapa kayu lain yang dibungkus bersama, lalu dibacakan beberapa doa (atau mantera?). Sudahnya, saya diberi azimat itu untuk dikalungkan di leher dan dipakai sepanjang masa.

Anehnya, azimat itu tidak lama dalam simpanan saya. Kira-kira 2 bulan selepas itu, azimat tersebut hilang dari leher saya. Mungkin saya menanggalkannya ketika hendak ke bilik air, lalu ia hilang begitu saja. Atau ayah saya membuangnya. Wallahu'alam.

Melalui pemerhatian saya, azimat dalam bangsa Melayu ini ada bermacam jenis. Bermula dari penggunaan batu dan kayu, hinggalah ke senjata seperti keris dan lembing. Namun setelah kedatangan Islam, ayat-ayat Quran pula digunakan dan muncul istilah baru seperti wafaq, isim dan rajah. Azimat dan tangkal terus berkembang dan diwarisi oleh orang Melayu sehingga ke zaman moden ini. Pelbagai jenis azimat boleh diperolehi, seperti pelaris, pendinding, pemanis sehinggalah kepada azimat untuk anak lulus exam, menang loteri dan 1001 macam lagi.

Saya tidak akan mengulas panjang lebar tentang keharaman azimat dan tangkal di sini. Saya yakin pembaca semua sudah maklum akan kesyirikan menggantung tangkal dan azimat dalam agama Islam. Saya hanya ingin mengenegahkan isu ini sebagai tatapan dan pengajaran untuk semua.

Secara peribadi, saya berasa amat sedih kerana masih ramai ummat Islam yang berpegang kepada tangkal dan azimat. Walaupun kita sudah hidup dalam zaman moden, namun masih ramai yang masih berpegang dengan azimat, berbanding dengan berusaha dan berdoa. Nak anak lulus exam, minta tangkal dengan tok bomoh. Buka kedai makan, gantung azimat kat pintu kedai, kononnya untuk pelaris dan pendinding. Kenapa mereka menafikan doa, usaha dan tawakkal? Tidak cukup yakinkah mereka dengan kaedah yang diajarkan agama? Adakah agama ini masih tidak sempurna?

Pernah satu ketika, seorang kawan seofis menceritakan kepada saya kisah dia berubat dengan bomoh cina untuk merawat sakit kayap yang dihidapi oleh anaknya. Sudah puas berubat di merata tempat, akhirnya dia berubat dengan tokong cina. Sami cina tersebut membekalkan kawan tadi beberapa keping azimat kuning yang dichop dengan 'mohor' berwarna merah dan diletakkan di bawah bantal ketika tidur.

Satu lagi kisah yang benar-benar mengejutkan saya ialah salah seorang ahli keluarga kawan saya yang berubat juga dengan tokong cina. Sami tersebut menyuruh si peakit untuk membeli beberapa peralatan sembahyang tokong, dan melakukan penyembahan di tepi sebuah jeti (kalau tidak silap saya). Kerana inginkan kesembuhan, mereka lakukan juga walaupun mereka sedar perbuatan tersebut menyalahi aqidah.

Kita sebagai perawat Islam, wajib memberi kesedaran kepada pesakit-pesakit yang masih kurang ilmu aqidahnya. Katakan kepada mereka, Allah adalah penyembuh mutlak. Kaedah rawatan juga janganlah menyalahi syariat. Terangkan kepada mereka kenapa kesembuhan lambat datang. Penyakit tidak sembuh bukanlah bermaksud Allah tidak mendengar doa si pesakit, tetapi itu lebih kepada kaffarah dan peningkatan maqam di sisi Allah jika si pesakit tersebut bersabar.

Di sini saya lampirkan beberapa contoh azimat yang diserahkan oleh pesakit ketika datang berubat di Klinik Ruqyah Syar'iyyah Bintulu di bawah pimpinan Ustaz Malik Faisal.


Ustaz Malik Faisal sedang meruqyah @ 'menawarkan' tajau Dayak yang disyaki berpenunggu


Ustaz Malik meruqyah minyak azimat yang sering digunakan sebagai pendinding rumah dans sebagainya. Minyak ini diragui kerana kaedahnya membuatnya mungkin menyimpang dari ajaran Islam.



Pelbagai jenis azimat.