Sabtu, 19 September 2009

Munajat Ustaz Hashim Man...

Syawal bakal menjelang esok hari. Saya bertaraweh di surau kampung dan cuma buat 8 rakaat sahaja, disebabkan kepenatan terkejar sana-sini beli barang untuk persiapan raya. Servis kereta, ambil kuih, beli barang last minit, beli juadah berbuka dan macam-macam lagi.

Dari solat Jumaat di Masjid Jamek hinggalah servis kereta di Yik Seng Company yang terletak di Rubber Road, menampakkan aliran trafik di jalan raya Kuching benar-benar menyesakkan. Petra Jaya tak payah ceritalah. Jem di sana-sini, ditambah lagi cuaca panas yang membakar, menguji ketahanan seorang hamba bernama Asri untuk berpuasa dan menahan marah melihat gelagat pemandu 'kurang ajar' di jalan raya yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain. Istighfar sahaja menjadi penyejuk hati.

Usai berbuka, saya bersiap untuk solat Maghrib dan seterusnya taraweh. Selesai taraweh saya terus balik dan tidur dek kerana kepenatan dan ke'mengantuk'kan yang amat sangat. Tambahan pula saya bercadang untuk berqiamullail di masjid At-Taqwa kampung Gita pada dinihari kelak.

Jam 11:00 malam, Fadly menelefon mengajak minum di Benteng, Satok. Ismaily turut serta dan baru sampai dari KL di sebelah siangnya. Ramai rakan-rakan usrah yang datang bagi meraikan Ismaily, kecuali Bahtiar. Bahtiar balik ke kampung bininya di Sungai Siput, Perak bagi meraikan Aidilfitri di sana.

Tepat 1:00 pagi, kami bersurai. Saya kembali ke rumah dan menyambung tidur. Jam 2:30 pagi saya bangun, makan ala kadar untuk mengalas perut dan membersihkan diri serta berkemas untuk ke Masjid At Taqwa. Setibanya di sana ramai jemaah sudah siap menunggu ustaz Hashim bagi memulakan acara qiamullail pada dinihari tersebut.

Qiamullail bermula jam 3:00 pagi. Lampu masjid dipadamkan kecuali bahagian beranda. Suasana begitu syahdu sekali, ditambah dengan bacaan Quran oleh ustaz Hashim yang begitu mendayu dan menusuk perasaan. Saya 'terbang' dalam kekhusyukkan solat dan 'mabuk' dalam asmara cinta Ilahi. Munajat dari para pencinta Ilahi di masjid tersebut turut mempengaruhi lingkungan jemaah yang lain. Ini jelas apabila kedengaran ada ramai jemaah menangis teresak-esak dalam solat mereka.

Seterusnya solat sunat tasbih mengambil tempat. Lantunan bacaan tasbih memenuhi ruang dewan masjid yang barokah tersebut. Gemuruh suara jemaah bagaikan dengungan lebah yang menghurung madu untuk dihisap. Hati saya benar-benar asyik dalam solat tasbih, sehinggakan 4 rakaat tasbih tersebut seolah-olah belum cukup untuk saya.

Tiba pula acara bacaan doa munajat. Ustaz Hashim bermunajat kepada Allah sambil diaminkan oleh para jemaah. Ustaz Hashim memang bijak berdoa sehinggakan bait-bait doa yang dilafazkan benar-benar menyentuh hati jemaah. Saya menangis teresak-esak sehingga tidak mempedulikan jemaah di sebelah saya. Esak tangis jemaah semakin kuat apabila ustaz Hashim menyebut bait doa memohon ampun kerana banyak dosa dan kekurangan yang banyak dalam ibadah puasa.

"... Ya Allah sekiranya Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat kami, kami mohon Ya Allah, agar Engkau menerima ibadah puasa kami supaya dapat menjadi benteng kami daripada diazab api neraka di akhirat kelak..." Doa ustaz hashim sambil teresak-esak.

Bait doa di atas menyebabkan saya semakin kuat menangis, kerana saya tidak pasti adakah ada rezeki untuk saya bertemu dengan Ramadhan di tahun yang akan datang. Saya khuatir ibadah Ramadhan saya tahun ini banyak silap dan kekurangannya. Kalimah "amin" semakin kuat, jemaah benar-benar mengharapkan agar doa-doa yang dilafazkan dimakbulkan Allah.

Nilai Seteguk Air Kosong...

Tamat qiamullail, kami bersahur. Makanan sahur telah disediakan oleh pihak jawatankuasa masjid. Terima kasih kepada jawatankuasa masjid kerana menyediakan sahur percuma kepada para jemaah dan menjadi mudah bagi para jemaah tanpa perlu terkejar-kejar pulang ke rumah atau mencari tempat makan untuk bersahur.

Kebiasaan saya selepas makan, saya mesti minum air kosong. Walaupun air manis seperti sirap, teh atau minuman lainnya disediakan, saya mesti menutup makan saya dengan air kosong. Kebtulan pada pagi tersebut, minuman yang disediakan ialah sirap sarsi. Setelah minum, saya mencari air mineral yang lazim disediakan, malangnya air mineral tersebut habis semuanya. Saya ke dapur masjid dan meminta air kosong.

"Pakcik, ada aek (air) kosong sik (tak)?" Saya bertanya.

"Sekda (tak ada) jang, aek (air) kopi ada. Ambik (ambil) jak (saja) sia (tu)." Jawab orang tua tersebut seraya memuncungkan bibirnya ke meja yang berdekatan.

Saya tuang air kopi tersebut dan meneguknya. Manis. Masya Allah, air manis menyebabkan tekak semakin haus. Saya semakin penasaran mencari air kosong.

Cari punya cari, azan pun berkumandang. Saya pasrah, tekak haus, air liur terasa pekat. Rasa tidak sempurna rasanya menutup makan sahur pagi tersebut tanpa air kosong.

Ketika beratur di saf solat, sempat saya berbisik dan bertanya dengan Jalot.

"Ada ko (kau) nemu (jumpa) aek (air) kosong tek (tadi)?"

"Neyda (mana ada). Aku minum aek (air) paet (paip) jak (saja) tek (tadi)." Jawab Jalot sambil tersenyum sumbing.

Demikianlah nilai seteguk air kosong. Amat bernilai dan berharga. Sedap manapun, semanis manapun air minuman yang diciptakan manusia, masih tidak dapat menandingi air kosong ciptaan Allah. Telah nyata air manis ciptaan manusia hanya menambahkan haus, berbeza dengan air kosong yang dianggap tiada nilai oleh manusia ternyata dapat menghilangkan haus dengan izin Allah.

Kalau kita pergi makan di luar, seperti di gerai atau kedai makan, cuba pesan air minuman seperti Tongkat Ali, air sirap dan sebagainya, masing-masing mempunyai harga tersendiri. Misalkata Tongkat Ali RM 2 secawan, teh lemon ais - RM 1.80, sirap - RM 1.20. Kalau kita pesan air kosong, takda harga,tak payah bayar, paling-paling pun RM 0.20. Menunjukkan seolah-olah air kosong tiada nilai. Sedangkan air kosonglah yang dapat menghilangkan haus, bukan air manis.

Mari buka dan lihat dengan mata hati kita. Kita terlepas pandang perkara ini. Inilah yang saya pelajari di Masjid At Taqwa pada sahur dinihari pagi tadi. Peristiwa tersebut mungkin remeh atau kecil bagi sesetengah orang, tetapi besar bagi saya. Allah mengajar saya satu lagi ilmu baru untuk saya kongsi bersama dengan anda semua.

Ternyata, tarbiah Allah kepada saya pagi tadi terkena ke batang hidung saya sendiri.

Astaghfirullah...

Jumaat, 18 September 2009

Saka Harimau?

Pesakit berumur 18 tahun, salah seorang pelajar di institut pengajian tinggi di Kuching dalam bidang IT. Lokasi ruqyah di Taman Sukma, Kuching.

Difahamkan, pesakit selalu mengalami bisikan-bisikan ghaib, yang kedengaran di hati. Kadang-kadang si pesakit berbual dan berkomunikasi dengan suara tersebut melalui hati.

Si pesakit pernah diruqyah sebelum ini, sebuah kumpulan ruqyah yang bergerak aktif sekitar Kuching. Ketua kumpulan tersebut merupakan kawan saya. Kawan saya inilah yang menjemput saya dan Wan Sudirman untuk menggunakan kaedah dan cara kami untuk merawat pesakit ini. Sebelumnya si pesakit pernah diruqyah oleh kawan saya, namun jin enggan keluar dari jasad pesakit. Walaubagaimanapun, alhamdulillah jin tersebut berjaya diIslamkan, masalahnya jin tersebut belum dapat keluar, itu sahaja.

Saya dan Wan Sudirman tiba di lokasi rawatan (rumah kawan saya) di Taman Sukma setelah taraweh di surau Flat Badruddin yang terletak di tengah-tengah bandar Kuching. Sebelumnya, kami berbuka puasa bersama dengan rakan-rakan lama yang sama belajar di Politeknik bagi meraikan kedatangan Rosfan, salah seorang sahabat kami yang bekerja di kedutaan Malaysia di Myanmar. Rosfan pulang kerana bercuti raya.

Keluarga pesakit telah tiba awal, selain itu kumpulan ruqyah yang dipimpin kawan saya juga turut sama berada di rumah tersebut. Saya bersembang sebentar dengan keluarga pesakit bagi mengetahui masalah si pesakit. Setalah mendapat info lebih kurang, saya memulakan proses rawatan.

Rawatan kali ini saya menggunkan kaedah rotan @ Teknik Rotan Objek (TRO) dari Akrine pimpinan ust Majid. Ruqyah dan muqaddimah dimulakan, dialog dengan jin pun terjadi.

Saya : Sapa (siapa) tok (ini)?
Pesakit : Iskandar Zulkarnain
Saya : Islam?
Pesakit : (mengangguk)
Wan Sudirman : Kenak (kenapa) ngaco (mengacau) nya (dia)?
Pesakit : Aku nak berkawan dengan nya (dia).
Saya : Nya (dia) sikmaok (tak mahu) nak berkawan ngan kau. Keluarlah dengan nama Allah. Maok (mahu) keluar sik (tak)?
Pesakit : Maok (mahu).
Wan Sudirman : Ok, mun (kalau) maok (mahu) keluar, keluar dengan nama ALlah. Jangan mbulak (bohong). Ingat, mun (kalau) kau mbulak (bohong), kau kenak (kena) azab Allah.
Pesakit : (mengangguk)
Saya : Kaktok (lepas ni) aku ncoba (mencuba) ngeluar (mengeluarkan) kau dengan izin Allah. Ekot (ikut) gerakan tangan aku, jangan dilawan.

Saya pergi ke belakang pesakit, setelah mengenalpasti kawasan jin bertapak. Saya tarik dan buang jin setelah membaca beberapa potong doa dan ayat ruqyah. Si pesakit bersendawa tanpa henti. Saya tarik dan niat buang ke Makkah.

Si pesakit menderam, menandakan jin masih ada dalam badan pesakit. Saya tanya kenapa tak keluar. Dia kata dia tak dapat keluar, tak ada rasa apa-apa. Mungkin maksudnya dia tak merasa tarikan saya.

Saya syak mungkin jin diikat. Saya buka ikatan dan niat potong tali yang mengikat jin pada tengkuk pesakit. Saya tarik sekali lagi dan pesakit bersendawa lagi, dan menderam. Nak muntah pun ada, tapi usaha saya masih gagal.

Saya syak dia menipu saya dan Wan Sudirman. Pada ketika itulah saya guna kaedah TRO. Setelah ayat ruqyah dibaca, saya sebat kain pelikat yang dah tersedia awal. Jin dalam badan pesakit berteriak kesakitan. Makin kuat saya sebat, makin nayring si jin berteriak.

Saya beralih kepada kaedah baling pula. Setelah potongan ayat Al-Furqan dibaca, saya baling sambil bertakbir. Pesakit tersentak-sentak dan kesakitan.

Saya guna pula kaedah sedut dalam botol, pun gagal juga. Semasa ruqyah dibacakan pada botol, jari-jemari kaki pesakit bergerak-gerak ke arah botol namun teknik sedut tersebut gagal.

Rawatan berlarutan hampir sejam lamanya, namun masih menemui jalan buntu. Jin masih tidak dapat (atau enggan?) keluar. Saya menamatkan sesi rawatan dengan mencadangkan kaedah bakar batu-bata dan mandian serta minum air ruqyah. Pesakit disuruh mendapatkan rawatan susulan selepas raya kelak.

Walaupun kaedah yang saya guna dengan izin ustaz Majid itu menjadi, namun jin gagal dikeluarkan. Saya pasrah dan redha kerana faham itu hanya sekadar teknik, kesembuhan adalah mutlak milik Allah. Pada ketika inilah saya belajar dan mendapati bahawa perawat dididik supaya menjaga hati dan aqidah agar tidak terpesong dari landasan iman yang betul. Sembuh atau tidak, itu urusan Allah. Semuanya di luar batas kemampuan kita.

Video rawatan TRO ini ada dirakam oleh salah seorang dari ahli kumpulan ruqyah tersebut dengan menggunakan handphone kamera. Saya berusaha untuk transfer video tersebut ke handphone saya menggunakan bluetooth, namun gagal kerana handphone saya gagal menampung ukuran byte video tersebut yang terlalu besar. Wan Sudirman akan menggunakan USB beliau untuk transfer video tersebut kelak.

Insya Allah jika tiada aral melintang akan saya upload video tersebut dalam blog saya ini kelak.

Wallahu 'alam...

Ahad, 13 September 2009

Ramadhan Akan Pergi...

Tergenang air mata saya semasa mendengar alunan bacaan Quran oleh Ustaz Hashim semasa taraweh sebentar tadi. Tidak terasa yang air mata mengalir membasahi pipi. Sayu rasa hati kerana Ramadhan bakal pergi meninggalkan kita. Masih terasa kurang lengkap persembahan ibadah saya kepada Allah pada Ramadhan tahun ini. Masih banyak kekurangan dan cacat cela. Dosa masih banyak ditanggung di pundak bahu saya, entah bila dosa ini akan 'habis' untuk diampunkan oleh Allah. Namun saya tetap yakin keampunan Allah lebih luas dari dosa-dosa saya.

Saya dapat 'menangkap' getar sayu ustaz Hashim mengalunkan bacaan Quran dalam solat. Saya yakin beliau juga sedih yang Ramadhan akan berakhir tidak lama lagi.

Setiap kali sebelum taraweh dimulakan, ustaz Hashim kerap mengingatkan para jemaah setiap malam agar memanfaatkan waktu yang ada dengan ibadat dan amalan-amalan lainnya. Beliau paling concern bila masuk 10 malam terakhir, berkali-kali beliau mengingatkan agar para jemaah berusaha mencari Lailatul Qadar. Beliau sempat meng'condemn' dengan cara 'halus' berkenaan sesetengah orang yang bila masuk penghujung Ramadhan, mula sibuk dengan persiapan hari raya. Sepatutnya 10 malam terakhir inilah masjid semakin penuh bagi mengejar pahala dan ganjaran Lailatul Qadar.

Sedih bila melihat masjid dan surau mula surut jemaahnya pabila tiba hujung Ramadhan. Hilang meriah dan keindahannya. Suara gemuruh tasbih semakin sedikit, tapi lebih nyaring bunyi dentuman mercun dan bunga api di luar masjid.

Bunyi letupan mercun lebih nyaring dari lantunan selawat di dalam masjid.

Masya Allah...

Budak Main Mercun...

Semalam saya bertaraweh di kampung sahaja, iaitu di Surau Darul Husnul Khatimah. Entah kenapa, malam terasa begitu panas hingga menimbulkan kurang selesa kepada saya. Saya bercadang nak buat 8 rakaat sahaja, kerana nak menghabiskan lagi bacaan Quran yang tertinggal jauh dek kerana kesibukan dunia yang tak pernah habis. Penduduk kampung Semerah Padi dan dari taman yang terdekat bersama-sama berjemaah di surau tersebut. Surau kelihatan berseri dan meriah walaupun sudah hampir ke penghujung Ramadhan. Hj Sondong, imam kampung kami hanya menjadi makmum pada malam tersebut. Tempat imam diganti oleh seorang ustaz yang juga penduduk di taman perumahan tempat saya tinggal. Mungkin Hj Sondong keletihan agaknya. Maklumlah, dah berusia.

Selesai 8 rakaat, saya ke saf belakang untuk solat witir. Jalot juga bersama saya, dia turut buat 8 rakaat untuk taraweh. Demikian juga Man Tabligh, saya ingatkan dia buat full, rupanya dia juga buat 8 rakaat. Ada urusan lain agaknya.

Sedang saya dan Jalot khusyuk solat Witir, tiba-tiba terdengar letupan mercun yang kuat dekat dengan surau. Saya terkejut dari solat saya namun saya teruskan sampai habis. Saya yakin jemaah lain juga terkejut dengan bunyi mercun tersebut. Letupan tersebut kedengaran dekat benar dengan dewan solat, mungkin budak-budak nakal melontar mercun ke beranda surau.

Usai solat, saya segera ke belakang surau mencari budak-budak yang buat hal tadi. Saya sangkakan budak tadarus yang main mercun, kelihatan sekumpulan budak berkumpul di beranda surau. Saya menghampiri mereka.

"Sapa (siapa) nikam (lontar) mercun tek (tadi)?". Saya menyoal sambil menahan marah.

"Bukan kamek (kami) bang. Sidak (mereka) nemiak (budak) luar nikam (melontar) tek (tadi). Sidak (mereka) alu (lalu) berekot (lari@melarikan diri) ke luar suro (surau)". Jawab salah seorang daripada mereka.

Saya memberi amaran dan nasihat kepada budak-budak tadarus tadi agar jangan bermain mercun di surau. Saya khuatir jika ada jemaah yang sudah tua dan berpenyakit jantung, apa jadi agaknya jika mereka terkejut ketika tengah khusyuk solat akibat terdengar bunyi letupan mercun yang kuat seperti tadi.

Saya beredar dengan perasaan marah dengan budak-budak nakal yang melontar mercun itu tadi. Dah lah tak teraweh, tadarus pun tidak. Datang ke surau buat kacau pulak. Kalau ikutkan hati, memang saya rotan sorang-sorang bebudak nakal tersebut. Kalau selama ni rotan saya digunakan untuk menyebat jin, sekarang ni nak jugak saya guna untuk menyebat budak-budak nakal. Saya peduli apa mereka anak siapa, anak penghulu ke, anak ketua kaum ke, anak pemanca ke, anak temenggung ke, janji hati saya puas. Nakal tak bertempat.

Saya pergi mendapatkan Jalot. Jalot bertanya siapa punya angkara. Saya menggeleng kepala tanda tidak tahu. Kami kemudiannya bersembang sebentar di beranda surau. Jalot mengajak saya qiamullail di Masjid At Taqwa Gita. Saya setuju namun tidak berjanji akan hadir. Paling-paling saya akan solat Subuh di masjid tersebut kerana saya cenderung berqiamullail seorang diri.

Dalam perjalanan pulang, saya masih memikirkan tentang budak-budak nakal yang main mercun tadi. Beberapa malam ini memang saya perasan ramai budak bermain mercun di halaman surau, tapi kali ini yang paling kuat kerana dilontar ke beranda surau dan mengejutkan banyak jemaah.

Terkenang ketika saya budak dahulu, saya turut sama jadi budak nakal bermain mercun di halaman surau. Sementara menunggu solat taraweh habis, kami budak-budak tadarus bermain di halaman surau Kampung Stapok. Saya di antara budak paling nakal pada ketika membuat tindakan ekstrem. Saya ambil mercun long (mercun bersaiz sederhana, besar sedikit dari mercun padi), mencucuhnya dengan api pelita kemudian lontar dalam beduk surau yang tergantung di beranda. Natijahnya, satu letupan yang 'cantik' dan kuat berlaku sehingga ada jemaah wanita yang melatah dalam solat. Kami bersorak sorai namun tidak lama kemudian lintang-pukang melarikan diri sehingga ada yang melompat dari beranda surau kerana dikejar oleh salah seorang jemaah lelaki. Marah benar pakcik tersebut kepada kami kerana melontar mercun dalam beduk surau. Nasib baik beduk tak pecah.

Saya tersenyum seorang diri mengenangkan peristiwa lama tersebut. Hmmm, apa jadi agaknya jika pakcik tersebut berjaya menangkap saya, agak-agaknya memang dah seliang dua penampar singgah di pipi saya.

Subuh jemaah di Gita

Jalot menjemput saya di rumah tepat saya selesai melaksanakan sahur dan qiamullail. Jalot berqiamullail di Gita, namun balik semula ke rumah kerana bersahur bersama keluarganya. Alang-alang balik, dia terus mengajak saya turun sama untuk solat Subuh di Gita.

Saya melihat jemaah di Gita bertambah ramai dari biasa. Dianggarkan 800 jemaah ikut serta program qiamullail jame'i di masjid tersebut. Seperti biasa, qiamullail diimami oleh Ustaz Hashim Man. Suasana subuh di Gita memang meriah. Seronok benar bersolat di masjid tersebut. Perasaan ini saya kongsi dengan Jalot dan dia juga bersetuju dengan saya.

Kelihatan ramai jemaah berjubah putih, berketayap putih malah anak muda turut memakai serban memenuhi ruang masjid. Saya berpendapat ini pemandangan yang jarang dilihat di mana-mana masjid di sekitar Kuching malah mungkin di seluruh Sarawak. Saya terasa seolah-olah berada di madrasah @ pondok di Kelantan seperti mana yang biasa saya lihat di kaca televisyen dan internet. Anak muda sudah tidak janggal memakai serban malah berbangga dengan pakaian sunnah tersebut. Satu perkembangan yang baik di kalangan remaja Kuching.

Seperti biasa, kuliah Subuh juga menarik perhatian saya. Ia disampaikan oleh seorang jurutera Shell yang juga seorang dae'i dalam haraki. Beliau menyampaikan kuliah mengenai tanggungjawab setiap Muslim yang wajib berjuang dan menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia. Saya meneliti isi kuliah tersebut dan saya meyakini bahawa beliau memang seorang ahli usrah yang aktif dan ini dapat dilihat apabila beliau tahu dan menyebut nama beberapa pertubuhan dakwah yang terkenal di Kuching dan peringkat antarabangsa. Isi kuliah beliau memberi kesan yang mendalam kepada diri saya dan ini menyemarakkan lagi untuk sentiasa bersemangat menyampaikan dakwah dan kebaikan kepada seluruh lingkungan masyarakat. Saya juga berazam untuk mengatur strategi dalam dakwah supaya lebih ampuh dan berkesan khususnya untuk anak-anak usrah saya dan remaja kawasan Kuching khususnya.

Saya pulang dengan hati yang tenang, puas dan tenteram. Banyak pengajaran yang saya perolehi pada hari ini.

Alhamdulillah... hari minggu saya tidak berlalu dengan sia-sia.

Jumaat, 11 September 2009

Ruqyah Ramadhan Part 2...

Semalam saya Taraweh di Masjid Taman Sukma. Saya ada temujanji dengan keluarga pesakit di taman perumahan tersebut. Seronok juga taraweh di sana, imamnya juga haffiz dan bacaan imam tersebut mendayu dan lancar.

Selesai solat taraweh, saya menunggu Shamsul untuk menemani saya meruqyah. Wan Sudirman tidak dapat ikut serta seperti biasa kerana ada urusan peribadi. Shamsul merupakan kawan saya semasa sama menuntut di Politeknik. Shamsul bekerja di Sarawak Energy dan dia juga mempunyai minat yang sama dalam bidang rawatan Islam. Malahan Shamsul pernah juga merawat pesakit kerasukan sebelum ini.
Saya jarang bersama Shamsul kerana kami terputus hubungan kerana dia berpindah dan bekerja di Mukah dan Oya selepas tamat pengajian di Politeknik. Sekaran dia telah dipindah ke Kuching dan tinggal bersama isterinya di sini.

Kami mencari rumah pesakit. Lorong ke rumah pesakit agak jauh ke dalam taman tersebut. Saya berdoa di dalam hati agar seboleh-bolehnya tidak ramai orang di rumah tersebut. Satu perangai saya ialah saya agak janggal apabila merawat pesakit dalam keadaan diperhatikan oleh orang yang terlalu ramai. Ini kerana orang memerhatikan saya seolah-olah ingin tahu dan mengharap sesuatu di luar jangkaan daripada saya, sedangkan kudrat dan keupayaan saya terbatas.

Saya bersembang dengan keluarga pesakit, menanyakan apa simptom-simptomnya dan petanda yang lain. Si suami mengatakan isterinya jatuh sakit pada hari ke dua Ramadhan, terbaring di katil dan menatap dengan pandangan yang kosong. Kadang-kadang si pesakit merapu dan bercakap yang bukan-bukan. Keluarga pesakit juga telah membawa ke hospital, dan doktor mengatakan darah tinggi. Selain itu mereka juga menggunkan khidmat seorang bomoh di Batu 12 yang dikenali sebagai Mbah, hmmm, saya kenal dengan Mbah tersebut. Mbah menggunakan kaedah menurun dalam perubatannya. Mbah mengatakan si pesakit terkena gangguan jin @ hantu.

Saya memulakan ruqyah seperti biasa. Saya tidak menggunakan kaedah rotan kerana saya terlupa membawa rotan tersebut semasa turun dari rumah tadi. Semasa proses ruqyah, pesakit hanya melihat siling dengan pandangan yang 'sejuk' dan kosong, seolah-olah tiada perasaan. Saya sambung dengan azan, kaedah hiris di perut dan sendi lutut, tepuk belakang dan tarik. Masih tiada respon. Saya bacakan juga Hizib Bahar ke ubun-ubun pesakit dan tarik, tiada respon juga.

Saya tutup sesi rawatan. Saya ruqyah pula limau dan air yang disediakan lebih awal. Tiba-tiba ayah pesakit memanggil saya (semasa itu saya di ruang tamu, manakala pesakit pula di dalam bilik) dan mengatakan sebelah kiri mata anaknya tidak dapat dibuka. Seolah-olah melekat. Saya guna kaedah tarik dan alhamdulillah mata pesakit kembali normal dengan izin Allah.

Setalah menerangkan kepada keluarga pesakit tentang penggunaan limau dan air penawar, kami bersembang lagi dengan keluarga pesakit tersebut. Banyak soalan ditanyakan kepada saya, lebih kepada hukum penggunaan azimat dan tangkal. Mujurlah dan segala puji bagi Allah saya sudah bersedia awal dengan soalan-soalan tersebut.Salah seorang anak pesakit menanyakan apa hukum menggunakan minyak pendiding rumah yang diberikan bomoh. Saya menerangkan dan menjawab soalah tersebut dengan berhati-hati dan alhamdulillah mereka menerimanya dengan lapang dada. Saya menasihati mereka supaya membuang minyak tersebut kerana khuatir jatuh syirik kepada Allah.

Saya dan Shamsul pulang setelah itu dan keluarga pesakit mengucapkn terima kasih kepada kami. Kami beredar meninggalkan Taman Sukma kira-kira jam 11:15 malam.

I'tikaf di Masjid...

Saya menerima sms dari Bahtiar tidak lama selepas itu, mengajak saya i'tikaf di Masjid Bahagian Kuching. Saya segera berkemas dan menyediakan apa yang patut. Aied dan Afdhal turut bersama kami. Bahtiar menjemput saya di rumah dengan keretanya dan kami bergerak menuju ke masjid. Sopet dan Pejai pula menelefon dan mengajak kami minum dan makan dahulu di Jalan Haji Taha. Setelah tiba di tempat makan, kami memesan nasi ayam penyet dan minuman. Sopet baru tiba dari Mukah petang tersebut dan pelbagai perkara dibincangkan, lebih kepada aktiviti dakwah dan usrah.

Jam 1:30 pagi, kami meninggalkan tempat makan dan pergi ke masjid. Sopet dan Pejai tidak dapat join sama kerana ada urusan peribadi. Kami bertiga terus ke masjid dan menyiapkan diri untuk i'tikaf. Setelah berwudhu', kami solat sunat terlebih dahulu dan kemudiannya tidur.

Ada juga ikhwah lain i'tikaf sama di masjid tersebut seperti Akhie Naza, Akhie Delek, Akhie Abd Rahman dan lain-lain.

Saya terbangun jam 3:30 pagi, lalu bersiap untuk qiamullail. Saya, Aied dan Bahtiar qiamullail berasingan, manakala Afdhal pula masih enak hanyut dibuai mimpi. Afdhal adalah anak usrah kami. Tak sampai hati pula nak bangunkan dia, mungkin keletihan agaknya.

Usai qiamullail, kami ke Planet Sambal, restoran 24 jam untuk bersahur. Bihun goreng dan teh lemon ais menjadi menu sahur saya pagi tadi.

Tepat jam 5:15 pagi, kami ke Masjid At-Taqwa Gita untuk solat Subuh. Selepas itu kami pulang terus kerana Bahtiar bekerja pada hari ini.

Saya menyambung 'perjuangan' setelah tiba di rumah, kerana kurang tidur. Setelah bangun saya bersiap untuk pergi ke Boulevard dengan Aied selepas ini, nak beli barang sikit.

Wallahu 'alam.

Selasa, 8 September 2009

Hati Yang Sedih, Cukuplah Allah Bagiku...

Seperti yang telah dirancangkan sejak minggu lepas, staf SPNB akan berbuka puasa di Hotel Four Points, sekaligus menyambut harijadi Shekeen dan Eva, staf yang menyambut harijadi untuk bulan September. Segala persiapan telah diatur dengan dibantu oleh Shimani dan Aziza, Alhamdulillah. Syukurlah mereka membantu, kalau tidak memang kelam kabut saya dibuatnya.

Saya memecut Kancil ke Four Points sebaik saja bersiap di rumah. Kelihatan Azam suami Amy dan Sabariah suami isteri sudah tiba dan menanti di ruang legar hotel. Airwan serta isteri pula sudah duduk di meja makan dan bersedia untuk berbuka puasa.

Kami semua mengambil tempat masing-masing. Boss datang kemudian, diikuti dengan staf-staf yang lain. Tidak lama kemudian, azan Maghrib pun berkumadang menandakan sudah masuk waktu berbuka.

Kami menikmati juadah yang dihidangkan secara buffet. Pelbagai jenis hidangan yang ada, dari makanan Arab sampailah ke Cina. Tak larat nak makan semua.

Saya berjemaah Maghrib di surau hotel bersama dengan Faizul, Wenndy, Harun dan Sir Habeeb.

Kemudian, tibalah saat untuk meniup lilin dan memotong untuk birthday girl. Eva dan Shekeen nampak gembira kerana mereka diraikan dengan meriah pada malam ini.Gembira kerana menyambut harijadi dengan staf SPNB, dan rasa dihargai. Semoga sihat dan panjang umur sentiasa hendaknya.

Kalau ikut falsafah sufi yang saya pelajari, menyambut harijadi bererti menyambut hari kematian yang semakin hampir. Maknanya, sepatutnya kita sambut dengan tangisan dan keinsafan, kerana umur semakin pendek dan kubur semakin dekat...

Usai majlis harijadi, kami menyambung makan. Saya dah tersandar kekenyangan. Saya lihat bayang Airwan dah hilang. Mungkin dia sudah ke masjid untuk solat Isyak dan terawih berjemaah.

Saya lihat masih ramai staf menyambung makan. Saya mengambil keputusan untuk meminta diri dan bergegas ke surau hotel untuk solat Isyak. Seterusnya saya memecut ke Surau Darul Barokah BDC untuk solat Teraweh. Syukurlah saya sempat mengikuti jemaah dan saya terjumpa Airwan suami isteri yang turut solat Teraweh di masjid tersebut.

Selesai teraweh, saya pulang ke rumah. Radzi call mengajak saya minum di Kiosk Waterfront dengan rakan-rakan yang lain. Saya menolak dengan baik. Sampai-sampai Eva pun call memujuk saya untuk join sama. sekali lagi saya menolak dengan baik. Kalau ikutkan hati memang nak join, tapi kerana faktor-faktor tertentu, dan disiplin diri nak membaca sejuzuk Quran pada malam ini membuatkan saya melupakan saja niat dan keinginan tersebut.

Antara lepak sampai larut malam dengan baca Quran, mana lebih utama? Demikian bisik hati saya.

Saya berfikir, sekarang ini dalam bulan Ramadhan, yang datang bertandang hanya setahun sekali, bukankah lebih baik jika dimanfaatkan dengan ibadat sunat dan tilawatil Quran?

Saya memarahi diri saya sendiri, kalau nak lepak sampai akhir malam, buat bulan lain, jangan dalam bulan Ramadhan.

Sampai di rumah, saya segera mencapai mushaf dan membaca sejuzuk Quran. Alhamdulillah, Allah permudahkan saya untuk membaca Quran malam ini, walaupun batuk masih menggangu sedikit.

Banyak perkara yang mengganggu fikiran saya dalam seminggu ini. Pelbagai masalah yang datang menerpa, kadang-kadang sakit kepala dibuatnya. Masalah tempat kerja, di luar tempat kerja dan lain-lain. Saya renung seolah-olah semakin akhir Ramadhan semakin kuat ujian dari Allah.

Sedih hati jangan kiralah, Allah saja yang tahu. Saya jarang mencurah masalah dengan kawan-kawan. Saya lebih cenderung memendamkan masalah di dalam hati dan cuba selesaikan dengan cara sendiri. Doa adalah senjata saya, zikir dan Quran adalah penyejuk hati saya. Ini saya pegang sejak dahulu lagi jika saya berhadapan dengan masalah.

Pesan Prof Dr. 'Aidh Al-Qarni dalam kitabnya La Tahzan "Banyakkanlah menyeru nama Allah dan berzikirlah, nescaya hatimu akan tenang dan gembira."

Kadang-kadang tertekan juga rasa jiwa jika orang mengadu masalahnya kepada kita, tetapi tidak ada orang yang sudi mendengar masalah kita. Terasa seolah-olah tiada keadilan untuk saya. Lagi sakit hati ketika kita sedang berhadapan dengan masalah, orang di sekeliling kita oleh buat selamba malah mengejek dan mengusik kita. Masya Allah! Marahnya saya sampai naik ke kepala. Namun saya didik hati saya untuk bersabar dan jadilah orang yang ikhlas dalam memberi dengan tidak mengharapkan balasan. Cukuplah Allah sebaik-baik Pemberi Balasan.

Kalau orang lain bersandar kepada harta, pangkat, kemuliaan, pujian dari makhluk sebagai kayu ukur kemuliaan diri mereka, maka saya cukup dengan Allah tempat untuk bergantung dan bersandar demi kemuliaan diri saya.

Bukan mereka yang memberi rezeki kepada saya, tetapi Allah yang memberi rezeki kepada saya.

Pedulikan mereka semua! Yang penting perjalanan saya sebagai salik menuju Allah harus diteruskan! Pedulikan cemuhan dan hinaan orang yang ada di sekeliling. Apa yang penting, Allah bersemayam di lubuk hati saya. Dialah pembimbing dan arah tujuan hidup saya...

Wallahu 'alam...

Isnin, 7 September 2009

Malam Ketika Wahyu Diturunkan...

Semalam merupakan hari yang agak sibuk bagi saya, tak lah sibuk sangat sebenarnya. Cuma banyak masa terbuang begitu sahaja. Di sebelah petangnya saya sibuk kerana mengemas rumah dan mengambil orang tua di airport yang akan tiba dari KL. Asalnya flight ketibaan pukul 4:30 ptg, tiba-tiba delay sehingga ke pukul 6:30 ptg. Bererti saya dan adik saya, Adie terpaksa bawa bekal ke airport untuk berbuka puasa.

Saya membawa bekal air zam zam dan kurma ajwah. Kami 2 beradik bergegas ke airport dan menunggu ketibaan flight dari KL. Tepat jam 6:30 ptg, ibu dan ayah keluar dari arrival hall. Kami bergegas ke kereta sambil membawa barang. Sempat juga saya berpesan dengan Jalot dan Radzi supaya memaklumkan kepada saya jika azan Maghrib sudah dikumandangkan.

Lebih kurang 10 minit kemudian, azan Maghrib kedengaran di corong radio kereta. Jalot dan Radzi pun call ke handset saya bagi memaklumkan dah masuk waktu berbuka. Saya berbuka sambil driving, tangan kanan mencicipi kurma, manakala tangan kiri pula mengawal stereng. Inilah kali pertama dalam hidup saya berbuka sambil driving!

Setelah berbuka sekadar melepas syarat di dalam kereta, kami sekeluarga singgah di Masjid Darul Barakah di BDC bagi menunaikan solat Maghrib. Seusai solat Maghrib, sempat pula saya, ayah dan adik duduk bersila sambil makan kuih yang dihidangkan oleh pihak masjid sebelumnya. Ada seorang jemaah mempelawa kami makan berat, iaitu makan nasi dan lauk yang dihidangkan secara buffet, tapi kami menolak dengan baik kerana telah bercadang untuk makan luar bersama keluarga.

Kami singgah makan di SCR Batu 3. Banyak juga menu dipesan, dan kesemuanya habis licin disapu.

Tengah driving on the way balik, barulah saya teringat yang malam ini adalah malam Nuzul Al-Quran. Ustaz Hashim Man telah membuat iklan di Masjid At Taqwa di Gita pada malam sebelumnya yang ada ceramah berkenaan malam Nuzul Al-Quran akan diadakan di masjid tersebut. Terlepas lah nampak rupa gayanya, manakan tidak, jam sudah menunjukkan 8:00 malam, tak sempat nak singgah ke masjid untuk mendengar ceramah.

Kami sekeluarga tiba di rumah 10 minit kemudiannya. Saya bercadang hendak solat Isyak di rumah sahaja, kemudian tarawih di Masjid Jamek. Namun rancangan saya terbantut disebabkan hujan lebat dan angin kuat yang melanda Kuching tidak lama selepas itu. Keadaan ini agak berbahaya pada pandangan saya kerana pokok-pokok di tepi jalan Petra Jaya, khususnya jalan menuju ke Masjid Jamek mudah tumbang dan dahannya kadang-kadang sekah dan menimpa jalanraya. Saya akhirnya bertarawih di rumah sahaja.

Saya tutup tarawih dengan bacaan Quran sejuzuk. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan kepada saya untuk membaca sejuzuk walaupun ketinggalan 1-2 juzuk. Namun saya mendisiplinkan diri saya setiap malam agar tetap istiqamah dan cuba membaca sejuzuk Quran setiap malam sepanjang Ramadhan ini.

Pagi tadi, selepas meeting, saya berbual dengan Zul Hatta. Zul Hatta mengatakan yang dia hairan melihat angin ribut malam tadi. Agak pelik dan menyeramkan, tidak seperti ribut seperti yang biasa dilihat. Saya mengiakan apa yang Hatta ceritakan, kerana saya juga merasa pelik dengan suasana malam tadi. Angin bertiup kuat dan kadangkala kedengaran siulan angin di luar rumah.

Nuzul Quran adalah malam wahyu pertama turun dari langit. Peristiwa malam tadi mungkin mengandungi mesej dari Penguasa Alam bagi sesiapa yang mahu memikirkannya...

Wallahu 'alam

Khamis, 3 September 2009

Ruqyah Ramadhan...

Hari ini ibu dan ayah saya ke KL, maka saya dari ofis terus menghantar mereka ke airport. Rancangannya ayah menjemput saya di ofis, kemudian saya menghantar mereka terus ke airport.

Sementara menunggu mereka datang, saya duduk di ruang tamu ofis sambil menonton tv. Datang pula Radzi ke ofis selepas menemani boss mengambil laptop di Wisma Saberkas. Radzi menemani saya menunggu sambil bersembang.

Tepat jam 5 ptg, ayah sampai dan menjemput saya. Saya dan Radzi menutup ofis dan pulang. Destinasi kami sekeluarga petang itu ialah ke Kota Sentosa atau lebih dikenali di kalangan warga Kuching sebagai Pasar Batu 7. Kami bersungkei (berbuka puasa) di sebuah restoran mamak terkenal di situ. Bryani ayam goreng dan teh halia panas, memang menyelerakan.

Saya dan adik saya, Adie memecut pulang setelah menghantar ibu dan ayah ke airport. Sempat juga kami menunaikan solat Maghrib di surau airport. Saya bergegas pulang kerana nak bertarawih.

Sesampainya di rumah, saya solat Isyak di rumah. Kemudian saya memecut kereta Vios ayah ke Masjid Jamek untuk bersolat tarawih. Seronok juga mendengar imam hafiz membaca sejuzuk Quran ketika tarawih. Suara imam hafiz itu amat merdu dan sebutannya jelas. Saya juga mengikuti bacaan imam melalui skrin layar yang menayangkan Al-Quran di hadapan jemaah.

Selesai tarawih, saya bergegas ke Semariang Batu. Ada temujanji dengan pesakit yang terkena gangguan jin. Temujanji ini telah diatur oleh Bg Abdul Rahman Hassan, dan si pesakit juga merupakan kawan baik beliau.

Simptom gangguan diceritakan satu-persatu oleh si pesakit. Pesakit telah menghidap sakit ini lebih dari 20 tahun. Pelbagai perawat Islam dijumpai termasuklah bomoh dan dukun. Kalau dulu gangguan teruk, kini gangguan tersebut telah beransur sembuh namun masih ada lagi jin dalam tubuh pesakit.

Saya menggunakan teknik ruqyah seperti biasa, cuma kali ini saya tambah penggunaan kaedah Teknik Rotan Objek (TRO) seperti yang saya pelajari dari ust Majid. Ketika TRO dijalankan, tiada reaksi dari pesakit. Pesakit cuma mengadu muntah, meremang bulu roma dan pening. Saya syak jin masih ada dalam badan.

Saya guna kaedah hiris pada leher pesakit dan kaedah tarik-buang. Saya baca ayat ruqyah pada ubun-ubunnya dan hembus dengan niat membakar dan menyakiti jin dalam tubuh. Pada ketika inilah saya melihat sesuatu yang tidak disangka-sangka oleh saya...

Saya melihat wap putih @ asap keluar dari hidung dan mulut pesakit...

Saya sudahi rawatan selepas itu. Saya, Wan Sudirman dan Bg Man menerangkan serba sedikit tentang ruqyah dan aqidah Islami kepada keluarga pesakit. Ini biasa kami lakukan kerana dakwah perlu disampaikan kepada pesakit agar aqidah menjadi lebih mantap dan kuat bagi berhadapan dengan ujian berupa sakit disebabkan gangguan makhluk halus ini.

Saya pulang dengan batuk yang menjadi-jadi. Ketika merawat tadi pun saya diserang batuk, dan sedikit sebanyak mengganggu bacaan ruqyah saya.

Ishfi antasy syafi, Ya Allah...

Selasa, 1 September 2009

Gemuruh Tasbih Ramadhan...

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian. Mohon maaf kerana lama tak update blog. Selain belum ada mood, keadaan kesihatan yang tak seberapa juga mempengaruhi saya untuk lambat menulis.

Setelah 3 hari bercuti (kalau boleh dikatakan cuti, Sabtu dan Ahad sibuk dengan program remaja di HIKMAH Petra Jaya, Isnin pula sibuk dengan urusan peribadi yang belum selesai dan berbuka puasa bersama ATS ESQ). Saya tidak banyak masa untuk diri saya sendiri sepanjang 3 hari bercuti. Keletihan dan kecapekan, itu yang dapat saya katakan.

Pulang dari berbuka puasa dengan para ATS ESQ malam tadi, saya batuk tidak berhenti-henti. Dada terasa sesak, dan sukar bernafas. Sudah sebulan lebih saya menghidap batuk ini, semenjak demam selepas pulang dari menjadi ATS ESQ di Riverside. Rasanya sudah 2 botol ubat batuk saya minum, namun hanya lega seketika. Batuk saya belum sembuh sepenuhnya.

Setiap kali makan ubat, saya tidak lupa membaca Bismillah 6. Amalan ini saya dapat dari ustaz saya, iaitu adab dan doa makan ubat. Saya tambahi juga dengan Selawat Syifa dan mohon semoga Allah sembuhkan sakit saya.

Batuk ini agak mengganggu saya, dan paling saya khuatir ialah ketika sembahyang jemaah. Bila saya batuk tanpa henti, khuatir juga mengganggu kekhusyukan jemaah lain. Sebab itu saya tahan batuk ketika sembahyang jemaah. Natijahnya dada saya terasa sakit dan sukar bernafas. Rasa macam nak putus nyawa.

Terfikir juga, mungkin begini agaknya rasa orang nak putus nyawa. Wallahu 'alam...

Sebentar tadi saya tarawih di Surau Telekom yang terletak tidak jauh dari Taman Sukma. Saya juga sudah berjanji dengan rakan sepejabat saya, Airwan untuk solat tarawih bersama di sana. Namun ketika masuk ke surau, jemaah sudah mula solat Isyak. Saya tidak menemui Airwan dan saya solat di saf belakang.

Tengah-tengah solat, mata pula tiba-tiba terasa mengantuk, sendi terasa sakit dan badan terasa lemah sekali. Seusai solat Isyak, ada tazkirah disampaikan oleh imam. Namun suara imam tidak kedengaran dengan jelas kerana mungkin masalah PA system, atau imam bercakap dengan suara yang kecil agaknya.

Solat tarawih dimulakan. Badan saya terasa penat dan lelah sekali. Dada pula terasa menyesak, saya hairan. Apa agaknya terjadi dengan saya? Nak kata salah makan ketika berbuka tadi, mustahil. Saya rasa tidak ada yang tak kena dengan makanan tadi.

Gemuruh tasbih memenuhi ruang masjid, sekurang-kurangnya menyejukkan jiwa dan hati saya, melegakan fikiran saya. Cadangnya nak habiskan sampai 20 rakaat, namun kerana mata yang mengantuk melampau sangat, saya ambil keputusan untuk buat 8 rakaat sahaja dan tutup dengan 3 rakaat witir.

Saya agak mungkin badan saya kekurangan air, kerana sebelum pulang kerja saya sempat main ping pong dengan rakan ofis. Main dengan penuh perasaan, sampai berpeluh-peluh. Tak sedar pula sedang berpuasa.

Selesai witir, saya bergegas pulang. Di tempat letak kereta, saya terjumpa Zia, rakan sekelas saya di Swinburne. Kami sempat bersembang seketika.

On the way pulang, saya singgah ke kedai untuk membeli 100 Plus dan Coke. Saya minum habis 2 tin. Barulah terasa bertenaga semula.

Sampai di rumah, saya menghabiskan bacaan Quran untuk juzuk ke 11. Termengah-mengah juga saya membaca Quran, kerana diganggu batuk yang bertalu-talu. Mungkin kerana minuman tin yang sejuk tadi telah menyebabkan batuk datang mengganggu. Saya ke dapur dan mencari madu. Saya telan madu dengan wajah berkerut menahan kemanisan 'melampau' madu tersebut.

Saya anggap sakit ini kaffarah ke atas diri saya yang banyak menanggung dosa. Teringat kata-kata seorang guru sufi, sakit adalah kaffarah, meningkatkan darjat di sisi Tuhan, menyucikan hati, mendidik diri menjadi redha dan sabar. Oleh itu jangan mengeluh, banyakkan menyebut nama Allah dan istighfar. Ini yang pernah saya pelajari satu ketika dahulu.

Entah bila diri ini akan bersih dari dosa...

Ya Ilahi, Wa Maliki, Anta ta'lam kaifahali... anta ta'lam kaifahali... Laila ha illa llah, Muhammadur Rasullullah...