Ahad, 21 Disember 2008

Cerita 2 Hari

20 Disember 2008

Wan Sudirman mengambil saya di rumah seawal 7:30 a.m, dalam hujan renyai-renyai lebat itu kami menuju pula ke rumah Jalot untuk turun sama ke Rajah Court bagi menghadiri Seminar Pengubatan Islam anjuran Darussyifa Cawangan Sarawak. Apa yang menarik adalah pembentangan akan dibuat oleh Tuan Guru Dato Haron Din sendiri.

Hujan lebat tidak menghalang ramai peserta untuk menghadiri seminar tersebut. Tuan Guru tiba di Rajah Court kira-kira jam 8:45 pagi. Setelah doa dan ucapan alu-aluan, Tuan Guru membentangkan kertas kerja beliau. Setiap peserta seminar ada diberi nota dan kertas kerja sebagai rujukan bagi memahami dan mengetahui dengan lebih dalam mengenai ilmu, konsep, prinsip dan kaedah-kaedah dalam rawatan Islam.

Pembentangan berjalan dengan baik dan lancar. Tuan Guru amat bijak menarik perhatian peserta seminar, pelbagai ilmu dicurahkan. Tidak kurang juga Tuan Guru berkongsi pengalaman-pengalaman beliau sepanjang 39 tahun sebagai perawat Islam. Tuan Guru juga bijak berjenaka sehingga menyebabkan sesi pembentangan tidak bosan dan hambar.

Ramai juga orang yang dikenal yang saya jumpa di seminar ini. Di antaranya ialah 2 orang bekas peserta kursus urut tradisional Melayu yang pernah saya hadiri tahun beberapa ketika dahulu, orang Kpg Gersik. Selain itu, Ust Shahkri, Encik Anis juga ada terlibat dalam seminar ini. Ust Shahkri menerima ijazah perubatan Islam dalam seminar ini kerana beliau dan beberapa pelatih Darussyifa yang lain telah setahun mengikuti pengajian Darussyifa di bawah asuhan Ust Akram. Selepas seminar di adakan sesi soal jawab, konvokesyen pelatih Darussyifa, sesi bergambar dengan Tuan Guru dan juga sesi rawatan oleh perawat Darussyifa.

Setiap peserta seminar menerima sijil penyertaan dari Darsussyifa. Saya, Jalot dan Wan Sudirman juga membeli buku tulisan Tuan Guru Haron Din bertajuk Ikhtiar Penyembuhan Penyakit yang menghimpunkan pelbagai doa mustajab dan ayat-ayat Quran untuk rawatan dan hajat. Hati terasa berbunga apabila dapat mencium tangan Tuan Guru dan beliau juga sudi menandatangan buku yang kami beli. Bergambar dengan Tuan Guru merupakan pengalamam yang tidak dapat saya lupakan. Sungguh indah sekali.

21 Disember 2008

Kenduri kahwin di rumah Bahtiar. Ramai sahabat dan kawan-kawan yang datang. Walaupun hujan, majlis tetap berlangsung dengan meriah. Gurau-senda, berseloroh dan usik-mengusik memang biasa dalam majlis seperti ini. Lebih teruk lagi bagi yang belum berkahwin seperti saya. Maklumlah, ramai dah sahabat yang kahwin, jodoh saya masih belum sampai. Hmmm, sabar itu lebih baik.

Saya datang ke majlis tersebut dengan Azman. Aied, Kerol, Jalot, Pejai, Sopt, Migie dan lain-lain telah tiba lebih awal. Cikgu Bol dan Ust Sarbini pun hadir sama. Kami berbual macam-macam perkara dan bergurau senda. Begitulah indahnya persahabatan, yang mungkin sukar diperolehi dari hubungan yang ikhlas.

Di sebelah petang saya menghabiskan masa dengan tidur. Sebelum Maghrib saya keluar menuju ke The Spring bagi meninjau buku-buku baru di MPH. Selesai solat MAghrib di surau The Spring saya ke airport bagi mengambil Halik yang tiba dari Bintulu. Selepas itu saya dan Halik ke SCR bagi menikmati makan malam.

Saya menghantar Halik ke Li Wah Hotel, tempat penginapan yang lazim disinggahi oleh Halik jika dia ke Kuching.

Hujan turun lagi. Kancil saya membelah laju jalanraya Kuching yang basah dek hujan semenjak siang tadi.

Hujan, lambang tangisan hari yang Allah lukiskan dalam potret alam. Kuching seolah-olah 'menangis' menurut tafsiran saya, seolah-olah faham dan turut sama dengan 'tangisan' hati saya.

Dia sahaja yang mendengar 'tangisan' hati saya...

Rabu, 17 Disember 2008

Antara Silat Dengan Pengapit

Pagi, 8:30 a.m

Di feri Muara Tuang, saya terjumpa Yon, partner seperguruan silat dengan saya. Dia sedang dalam perjalanan ke SMK Asajaya untuk kerja. Yon bekerja sebagai seorang guru di sekolah tersebut. Walaupun musim cuti sekolah, Yon diarahkan hadir pada hari ini sebagai giliran untuk kerja-kerja am di pejabat sekolah.

Sementara menunggu feri sampai ke seberang, kami berbual-bual mengenai banyak perkara. Selalunya kami berbual tentang silat, hal-hal perguruan Betawi, bisnes dan lain-lain. Yon memaklumkan kepada saya ada pertandingan silat seni di Masjid Jamek pada 27hb ini, dan ada persembahan silat di Dewan Rumpun Silat Sarawak pada 10hb Januari dengan disaksikan oleh Tun Rahman. Yon mengajak saya untuk menyertai pertandingan dan persembahan tersebut.

"Tapi kamek dah lamak sik turun gelanggang, Yon. Keras dah badan tok. Dapat ndak kah main bunga agik." Ujar saya.

"Kamek pun sama juak. Perut dah nait, terpaksa start jogging tok. Cikgu Ali nyuruh kamek main bunga solo. Kamek kira nak nyuruh kitak main. Dapat sik?" Yon menyoal saya.

Saya terdiam. Saya tidak dapat memberi kata putus terlebih dahulu. Dah lama saya tidak berlatih silat. Kalau turun ke gelanggang pun sekadar melihat pelajar lain praktis. Entahlah, semenjak mula kerja di Muhandis, tidak banyak masa dapat diluangkan untuk aktiviti luar seperti silat. Memang padanlah badan naik mendadak. Jarang bersukan.

Saya katakan kepada Yon saya akan beri kata putus dalam beberapa hari lagi. Bersilat memang kegemaran saya semenjak kecil. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah ia baik untuk kesihatan kerana silat juga merupakan satu bentuk senaman. Silat adalah kebanggan saya, kerana sebagai Melayu beragama Islam, saya berpendapat wajib bagi saya memelihara warisan bangsa seperti silat ini.

Saya mula mempelajari silat semenjak tingkatan 2. Bermula dengan Silat Helang Putih Perkasa, saya mula belajar untuk berpencak di bawah asuhan Cikgu Hussein. Cikgu Hussein memang pandai mengajar. Kelas silat yang diadakan beliau mendapat sambutan ramai. Beliau bijak menyampaikan ilmu sehinggakan semua murid berasa seronok belajar silat dengan beliau.

Seterusnya, semasa di Kolej Abdillah, saya mempelajari Seni Silat Banteng Betawi dengan Cikgu Rodian. Beliau merupakan Guru Utama perguruan ini. Saya amat suka dengan bunga dan pukulan dalm Silat Banteng Betawi kerana amat cantik dan unik. Teringat saya dengan komen Allahyarham Aziz (kawan saya yang sama belajar silat Helang Putih Perkasa. Aziz meninggal dunia kerana lemas di air terjun Sebat, di Sematan). Aziz mengatakan bahawa saya lebih sesuai bermain silat Banteng Betawi kerana sesuai dengan 'pembawaan' dan postur tubuh saya.

Ketika di Politeknik pula, saya belajar silat Gayung Fatani Kelantan, tetapi tidak lama. Dan lebih teruk lagi, saya dah tak ingat lagi corak permainan silat tersebut. Sijil memang ada. Tapi kalau disuruh bermain memang fail.

Pengakhiran kembara saya dalam mendalami ilmu silat ialah Seni Silat Betawi, yang diasaskan oleh Ayahanda Tuan Guru Imam Hj Zainuddin bin hj Adenan. Di gelanggang ini saya diasuh oleh cikgu Ali, iaitu anak kepada Tuan Guru Imam Zainuddin. Di gelanggang inilah saya bertemu dengan Yon, partner keras saya dalam perguruan ini.

Habis cerita tentang silat, sekarang saya ceritakan pula tentang panggilan telefon dari Iswandy, kawan sama sekolah saya di Kolej Abdillah.Iswandy berhajat meminta saya menjadi pengapitnya di hari perkahwinan 29hb kelak. Sebenarnya saya dah malas nak jadi pengapit, maklumlah, asyik jadi pengapit orang lain saja. Kadang-kadang terfikir juga bila lagi saya nak 'diapit'.

Tapi bila mengenangkan kawan, saya akur juga. Saya didik hati dengan mengikhlaskan niat untuk membantu Iswandy. Iswandy berasa gembira dengan kesanggupan saya.

Mudahan Allah memberi 'berita baik' kepada saya dalam masa terdekat ini. Amin...





Jumaat, 5 Disember 2008

Hari Yang Mencapekkan...

Bermulanya pagi hari ini dengan acara saya menghantar mak dengan adik saya ke kedai roti mereka yang baru dibuka minggu ini. Kedai roti ini terletak di Kota Samarahan tidak jauh dari Unimas. Madu Bakery, itulah nama kedai yang saya maksudkan.

Pertama kali saya melihat kedai tersebut, membuatkan perasaan teruja untuk berbisnes. Saya masih terpengaruh dengan buku RAHSIA BISNES ORANG CINA tulisan Ann Wan Seng. Buku tersebut benar-benar memberi kesan dan membuka minda saya mengenai dunia bisnes. Bisnes adalah satu seni, ia bukan sekadar satu aktiviti perniagaan di antara tauke dengan pelanggan yang mengutamakan keuntungan tetapi ia lebih kepada hubungan sosial sesama manusia. Bisnes mendidik manusia bagaimana untuk bersosial, mengambil berat, seni bercakap dan berunding, amal kebajikan dan macam-macam lagi.

Saya tidak dapat lama di kedai. Setelah melihat keadaan dalam kedai, saya memecut Kancil saya ke site yang terletak di Sadong Jaya. Bos saya dah telefon mengatakan dia sedang menunggu saya untuk mebuka pintu ofis. Syukurlah ada feri, ini menjimatkan masa dan minyak untuk pergi ke site.

Selepas solat Jumaat dan menyelesaikan kerja-kerja di site ofis, saya mengambil emak dan adik saya di kedai dan menghantar mereka pulang. Selepas Asar ada majlis Makan Hol untuk arwah Wa Mat, sudah masuk setahun Wa Mat meninggal dunia. Saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana terpaksa ke HQ Muhandis untuk submit resignation letter.

Saya terpaksa meletak jawatan atas nasihat mak dan ayah saya. Saya akur dengan kehendak mereka dan saya yakin inilah keputusan yang terbaik. Saya bekerja dengan emak saya membantu menjalankan operasi kedai sementara menunggu offer dari SPNB. Hal rezeki, saya serahkan kepada Allah. Dia lebih Mengetahui.

Semasa menyerahkan surat tersebut kepada Hj Bujang (ketua HR Muhandis), nampak kesedihan di muka beliau. Beliau bertanya sebab saya berhenti kerja, saya kemukakan alsan saya untuk membantu perniagaan keluarga. Saya enggan memberitahu mengenai SPNB khuatir beliau terasa hati. Hj Bujang berusaha untuk berunding meminta saya untuk stay di Muhandis, namun say telah memberi kata putus bahawa saya nekad untuk berhenti. Akhirnya beliau mengalah dan mengatakan notis hanya berkuatkuasa selama sebulan, bukan 2 minggu seperti yang saya pinta dalam surat tersebut. Saya akur.

Terasa kasihan juga melihat riak muka Hj Bujang tadi. :-(

Beliau minta saya mencari pengganti tempat saya kelak, seboleh-bolehnya Melayu dan beragama Islam. Saya katakan kepada beliau saya akan berusaha untuk mecari.

Sampai di rumah saya singgah ke rumah Wa Bibah, sekadar nak menunjuk muka untuk majlis tahlil. Selepas makan saya balik, bersihkan diri dan menunaikan solat Maghrib.

Ada cerita gembira malam ini. Sahabat baik saya, Bahtiar bin Mahidin telah pun selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Marzatul Zanina bt Zabidi. Saya berasa amat gembira dengan hari bahagia sahabat saya ini dan mendoakan semoga mereka bahagi hingga ke hujung hayat. Saya menelefon Bahtiar untuk menyampaikan ucapan tahniah dan tumpang gembira dengan hari bahagianya. Macam biasa, Iman lontarkan soalan nakal dan pedih kepada saya,

"Bang Asri, kitak bila gik?"

Hmmm, soalan yang paling susah saya nak jawab. Bukan tak nak kahwin, tapi masalahnya saya dah single. Kekasih pun takde. Nak kahwin macam mana?

Saya pasrah dengan takdir yang Allah tentukan ke atas diri saya. Berkahwin adalah fitrah, saya memang ingin nak kahwin, tapi mungkin jodoh belum sampai. Serah saja pada Allah.

Saya pernah berdoa berkenaan jodoh saya semasa mengerjakan haji pada tahun 2006. Saya berdoa di setiap tempat mustajab yang saya kunjungi. Di Multazam, Taman Raudhah, Pintu Kaabah, di Arafah, Mina dan lain-lain. Saya amat yakin Allah akan ketemukan jodoh saya satu hari kelak, Insya Allah.

Permudahkanlah Wahai Dzat Yang Maha Mendengar Munajat Hamba-HambaNya...
Perkenankanlah doa-doa yang telah kulantunkan di RumahMu Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan sekalaian hajat hamba-hambaMu.

Aku yakin pada janjiMu, Wahai Allah...
Aku amat yakin...

Khamis, 4 Disember 2008

Iklan Jap....

Kepada sesiapa yang berminat nak tempah GAMBIR SARAWAK ASLI, sila email saya di ajeri_80@yahoo.com.my.

Harga: RM 20 untuk sekeping.
RM 15 sekeping jika beli lebih dari 10 keping.

Sila sertakan nama, no. telefon, jumlah tempahan dan alamat di email tersebut.

Terima Kasih.

Rabu, 3 Disember 2008

Sakit Perut Weh...

Tadi saya dan sahabat saya Jalot menunaikan solat Isyak di Masjid At Taqwa Kpg Gita. Cadangnya sebelum itu hendak mendengar kuliah Maghrib Ust Azmi di Surau Kpg Tupong, tapi oleh kerana masa tidak mengizinkan, kami sembahyang di Kpg Gita sahaja. Lagipun kami perlu berjumpa dengan ust Ishak untuk submit borang kursus pengubatan Islam anjuran Darussyifa Sarawak.

Selesai menghantar borang di rumah ustaz, saya dan Jalot singgah di 84 Cafe untuk menjamu selera. Saya minum air kedondong manakala Jalot pula air teh halia. Memang sedap, masam dan manis bergabung rasa. Tambahan pula minuman sejuk, amat segar dan memuaskan.

Saya makan lamb shoulder, Jalot pula makan spaghetti. Tengah menjamu selera, Ainol pula datang untuk berjumpa dengan abang iparnya. Kami bersembang seketika.

Apabila sampai di rumah, tiba-tiba perut saya memulas. Apalagi, ke 'bank' lah jawabnya. Sekarang ni masa tengah menaip pun masih lagi terasa memulas. Mungkin kerana air kedondong tadi yang terlalu masam. Perut manusia kadang-kadang mudah memulas apabila terkena minuman atau makanan masam.

Insya Allah, esok elok lah perut ni. Mudahan laa...

Selasa, 2 Disember 2008

Tika Bulan Tersenyum...




Pagi tadi seusai solat Subuh, ibu saya bertanyakan kepada saya sama ada saya ada melihat atau tidak 'bulan tersenyum' di langit malam tadi. Saya agak terkejut dengan pertanyaan tersebut kerana saya sangkakan hanya saya dan kawan saya, Halik yang perasan dengan fenomena tersebut semasa berada di airport malam tadi.

Malam tadi, saya singgah di Petronas Jln Hui Sing untuk menunaikan solat Maghrib sebelum ke airport untuk mengambil Halik yang akan tiba dari Bintulu. Sesampai sahaja saya di airport, semasa saya keluar dari kereta, saya memandang ke langit secara spontan. Saya terkejut apabila melihat bulan tersenyum di langit. Bulan sabit dalam kedudukan melintang manakala 2 butir bintang di atas bulan tersebut seolah-olah membentuk mata. Bulan sabit itu pula seperti bibir yang mengukir senyum.

Saya sms Iko dan Azman. Azman tidak menjawab sms saya, manakala Iko yang pd ketika itu berada di Satok mengatakan dia juga perasan dengan kejadian tersebut.

Apabila Halik tiba, dia juga perasan dengan fenomena tersebut semasa keluar dari kapalterbang. Kami benar-benar berasa takjub dengan kejadian tersebut. Ia seolah-olah langit sedang tersenyum kepada penduduk di dunia.

Semasa di tempat kerja, kebanyakan pekerja di site juga perasan dan melihat kejadian tersebut. Saya sms dengan beberapa orang kawan saya mengenai kejadian malam tadi, ada yang melihat, ada yang tidak perasan atau melihat kejadian tersebut. Yang lebih menarik lagi, fenomena tersebut mendapat liputan meluas di media massa dan elektronik.

Utusan Malaysia, Berita Harian dan Buletin Utama ada memaparkan 'bulan tersenyum' tersebut.
Begitulah kuasa Allah. Dia menampakkan kebesaranNya di dada langit untuk hamba-hambaNya yang mahu berfikir.





















Isnin, 1 Disember 2008

Attitude Bisnes Orang Kita...

Hari ini saya menguruskan sesuatu urusan yang perlu diselesaikan. Dalam masa yang sama berlaku suatu peristiwa yang memberi kesan kepada saya mengenai attitude bisnes di kalangan orang kita.

Tujuan saya mendedahkan cerita ini bukanlah untuk menghukum semua bangsa Melayu tidak beradab ketika berbisnes, hanya sebilangan sahaja orang Melayu yang mungkin baru 'bertatih' dalam dunia bisnes ini yang tidak tahu adab sopan dan cuai dalam urusan bisnes. Ini memberi kesan kepada ahli bisnes berbangsa Melayu yang lain.

Pagi tadi saya singgah di sebuah kedai telekomunikasi di RPR 2, Petra Jaya untuk membeli top-up. Saya ternampak satu kotak yang mengandungi brosur mengenai bisnes e-dagang. Brosur tersebut merupakan iklan mengenai satu bisnes yang tengah hangat dan top sekarang ini. Saya sudah maklum mengenai bisnes ini kerana saya juga merupakan ahli kepada rangkaian bisnes MLM yang berkenaan.

Setelah mengambil sehelai, saya sms kepada nombor telefon yang tertera untuk mendapat maklumat mengenai bila syarikat tersebut akan menganjurkan talk bisnes di Kuching. Individu tersebut menjawab buat masa ini belum ada talk dan dia menanyakan siapa upline saya dan datang dari group mana. Saya mengatakan bahawa saya pada ketika ini bergerak secara solo dan bertujuan untuk mencari group yang lain yang mana saya dapat bekerjasama untuk menjalankan bisnes ini.

Sedang saya bersms dengan individu tersebut, saya membuat panggilan kepada kawan saya mengenai satu urusan. Selesai bercakap, masuk satu message makluman yang ada panggilan dibuat semasa saya sedang on the line. Nombor yang tertera adalah nombor individu yang disebutkan tadi.

Saya menyambung sms dengan individu tersebut dan memaklumkan mengenai kesediaan saya untuk bergabung dengan group mereka dalam menjalankan bisnes. Dengan tidak disangka-sangka dia mengatakan dia tidak berminat untuk berurusan dengan saya dan menuduh saya tidak telus. Saya berasa amat terkejut dan marah dengan dakwaan itu lalu saya marah si individu tersebut dengan mengatakan "Aoklah kitak urang ajak telus, mek urang tok sik telus".

Sms diam seketika. Kemudian dia menghantar lagi satu sms dan meminta izin untuk menanyakan satu soalan. Saya kata "Silakan". Dia bertanya kenapa dia tidak dapat membuat panggilan ke handphone saya, saya katakan saya sedang berbual di talian sebelum itu. Sebab itu bila dia call saya talian tersebut sibuk. Dari situ saya dapat kesimpulan bahawa dia menuduh saya tidak telus kerana line phone saya tidak dapat dihubungi. Dia menyangka bahawa saya cuba avoid diri saya dari panggilan yang dibuat oleh individu tersebut. Saya katakan kepada individu tersebut saya sudah tidak berminat lagi untuk berurusan dengan dia disebabkan attitude dia yang tidak beradab dalam berurusan dengan saya.

Dia meminta maaf.

Saya maafkan perbuatan individu tersebut. Hal ini demikian kerana saya mengenang dia juga orang Islam seperti saya. Tapi apa yang saya kesalkan apabila dia menuduh saya tidak telus tanpa usul periksa. Inikah cara orang profesional berbisnes? Adakah individu tersebut hanya berminat untuk berurusan jika orang yang ingin berurusan dengannya dapat memberi untung kepadanya? Bagaimana pula dengan orang yang ingin belajar bisnes tetapi tidak dapat jadi downline kerana masalah kewangan? Adakah orang seperti ini tidak layak mendapat layanan yang adil dan sewajarnya?

Lihat apa yang terjadi apabila tidak profesional dalam berbisnes. Orang hilang minat dan akibatnya dia kehilangan seorang pelanggan yang berpotensi untuk memberi untung kepadanya. Kita kena tahu dalam bisnes bukan hanya bercakap tentang untung, tetapi juga tentang kebajikan dan adab sopan. Bangsa Cina maju dalam bisnes bukan kerana mereka bijak menipu atau berbohong, tetapi kerana layanan mereka kepada pelanggan amat baik dan memuaskan. Ini menyebabkan pelanggan sentiasa datang ke kedai mereka setiap hari. Bangsa Cina sangat profesional dalam berniaga.

Saya bukanlah racist. Saya tidak nafikan ramai juga bangsa Melayu yang bijak berniaga dan pandai melayan pelanggan. Tapi ini adalah hakikat yang berlaku kepada bangsa Melayu. Hanya mahu untung tetapi tidak memberi servis yang terbaik kepada pelanggan. Sepengetahuan saya, dalam bisnes mesti ada win-win situation. Tauke untung, pelanggan pun puas hati.

Kaitan ulasan saya ini dengan peristiwa yang berlaku kepada diri saya seperti di atas amat relevan. Saya umpamakan diri saya sebagai pelanggan manakala si individu tadi sebagai tauke. Disebabkan tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan kepada saya, menyebabkan saya hilang minat dan terus tidak mahu berurusan bisnes lagi dengan individu tersebut. Natijahnya, siapa yang rugi? Anda fikirlah sendiri.

Nasihat saya, sebagai peringatan kepada diri saya sendiri dan juga kepada anda semua., berakhlak mulialah kepada sesama insan. Dalam bisnes, semua orang mahukan keuntungan. Memang benar, bisnes mesti untung, tapi janganlah sampai mengabaikan adab sopan dan profesionalism dalam berurusan.

Wallahu 'alam.