Rabu, 25 November 2009

Fitnah..

Tadi, semasa pulang dari kerja, saya terdengar ada cerita yang kurang sedap didengar.

Ada seseorang bercerita sesuatu yang buruk tentang saya di belakang, tanpa pengetahuan saya.

Semalam saya post cerita tentang kawan saya yang ditikam dari belakang, hari ini giliran cerita tentang diri saya pula ynag difitnah.

Masya Allah, benarlah kata bijak pandai, kejahatan dan dosa yang berpunca dari lisan itu menjalar seperti api membakar hutan kering.

Saya hanya mampu mengeluh berat apabila mendengar cerita itu. Sedih tak payah cakaplah. Dan semasa Maghrib-Isyak tadi, ada majlis tahlil untuk arwah Wa Mat, saya disuruh mengimamkan solat dan mengetuai bacaan tahlil. Saya buat dengan hati gelisah dan fikiran yang kurang fokus. Semuanya gara-gara cerita petang tadi.

Saya hanya mampu berdoa di dalam hati dan ketika tahlil tadi semoga api fitnah ini terpadam dan terbang dibawa angin. Saya mohon kepada Allah semoga Dia menghilangkan segera bencana fitnah yang menimpa diri saya dalam kadar secepat yang mungkin.

Saya berharap agar Allah meneguhkan iman saya, menetapkan pendirian saya dan menguatkan rohani saya agar tabah dan sabar dengan ujian ini.

Sejukkanlah hati ini, Wahai Zat Yang Bersemayam Di Atas Arasy Yang Mulia...

Selasa, 24 November 2009

Dengki...



Malam tadi ada syura khas. Usrah ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. Usai usrah, saya telefon Radzi untuk mengajak keluar minum, namun panggilan saya tidak disahut. Dah tidur agaknya. Saya batalkan niat saya dan terus balik ke rumah.

Semasa membuka sebuah laman sosial yang terkenal. Terjumpa komen dari seorang kawan, yang meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sekumpulan orang. Saya kenal baik dengan kawan saya ini. Saya berasa tidak sedap hati apabila kawan saya ini meluahkan perasaan marahnya dalam ruangan tersebut, kerana saya kenal dia sebagai seorang yang baik hati dan berjiwa halus. Mungkin ada beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati hingga menyebabkan dia meluahkan perasaan marah dalam ruangan tersebut.

Pagi esoknya, selesai solat Subuh, saya membaca Ratib Al-Attas, dan ketika ratib dibacakan, fikiran saya kembali kepada hal kawan saya malam tadi. Saya masih hairan, apa yang dimarahkan sangat kawan saya itu. Selepas bacaan ratib, saya membaca dan menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada kawan saya tersebut dengan niat agar dilembutkan hatinya dan dibuka pintu hatinya supaya memaafkan orang yang membuat salah tersebut.

Saya berjumpa dengan kawan saya itu, yang saya terpaksa rahsiakan identitinya. Mulanya saya panggil dia untuk berbincang sekejap di pejabat, namun pertemuan tersebut tidak dapat lama kerana saya ada temujanji dengan Y.B bagi sesi temuramah bersama Audit Negara. Saya berpesan kepada kawan saya itu agar makan tengahari bersama. Dia mengangguk tanda setuju.

Kami lunch bersama tengahari tersebut di sebuah restoran. Sambil makan, kami berbual.

Biar saya panggil dia Hamba Allah (H.A). Saya ingin bercakap dan ingin tahu apa yang menyebabkan kawan saya itu marah sangat. Ini adalah pertama kali saya melihat dia marah. Jarang saya melihat dia marah, kalau dah marah, memang penyebab bagi marah tersebut besar. Saya cuba slow talk dan berunding dengan dia.

Saya memulakan muqaddimah dengan straight, maksudnya, tanpa bahasa yang berbunga. Saya rasa kawan saya ni dah maklum dengan perangai saya, iaitu saya lebih straight to the point. Sebab itu saya terus tanya dia apa yang menyebabkan dia marah sangat. Dia pun memulakan cerita.

Semuanya berpunca dari kawan-kawannya di luar yang menceritakan keburukan dan menikamnya dari belakang. Oooo, ini kes kena tikam kawan la ni, detik saya di dalam hati. Perkara ini dah banyak kali saya jumpa. Saya sendiri pun pernah kena. Namun saya terus mendengar cerita kawan saya tersebut sampai habis dengan tenang dan tertib.

Tergambar kemarahan dan kekecewaan di wajah kawan saya itu. Dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

"Aku sik (tak) jaik (jahat) ngan (dengan) sidak (mereka), Asri. Kenak (kenapa) sidak (mereka) molah (buat) aku kedak (macam) tok (ni)?"

Saya terdiam dan berfikir. Kemudian saya bersuara.

"H.A, ko (kau) tauk (tahu) kenak (kenapa) sidak (mereka) molah (buat) kedak (macam) ya (tu) ngan (dengan) kau?"

H.A menggeleng.

Saya memberi jawapan,

"Kerana sidaknya (mereka) dengki ngan (dengan) kau..."

H.A bertanya,

"Kenak (kenapa)?"

Saya menjelaskan apa yang terfikir dalam minda saya kepada H.A. Biasanya kes tikam belakang berlaku kerana dengki.

"Allah dah berik kau macam-macam nikmat, H.A. Nikmat yang ada pada dirik (diri) kau ya (itu) lah yang menyebabkan sidak (mereka) dengki gilak (sangat) ngan (dengan) kau"

Saya melontarkan segala buah fikiran kepada kawan saya tersebut. Amat menyedihkan, kasihan juga bila melihat kawan saya ini yang ditikam dari belakang tanpa dia sedari. Perasaan dikhianat oleh kawan memang pedih untuk diterima.

Saya menyabarkan H.A dan menasihatinya supaya memaafkan saja kawannya itu. Sebaik-baik sifat ialah sifat pemaaf. Saya akui, bukanlah senang nak memaafkan orang yang dah tikam kita. Namun itulah yang saya pelajari dari tok guru saya bagaimana nak memupuk sifat mahmudah (terpuji) dalam jiwa kita. Luka di hati memang bolah bawa sampai mati kalau tak silap kena gayanya.

Kita hidup di kalangan manusia yang mempunyai pelbagai watak. Egois, hipokrit, antagonis bercampur baur dengan sifat-sifat mulia yang lainnya seperti rendah hati, ikhlas, pemurah dan lain-lain. Adat berkawan, memang ada yang akan bertemu dengan watak pendengki. Apa yang ada pada kita, kalau boleh semua nak didengkikan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada apda diri mereka. Apabila kita diberi nikmat oleh Allah berupa kelebihan rezeki, ada pula yang cuba nak menutup periuk nasi kita. Kalau kita da pengaruh di kalangan kawan-kawan, ada pula individu busuk hati yang cuba memburukkan kita dengan cara menyebarkan fitnah.

Ini semua lumrah dan hakikat hidup di dunia yang terpaksa ditelan manusia. Dunia adalah zalim, namun dunia juga indah jika kita bijak dalam menyikapinya. Kita tidak dapat memuaskan hati semua orang, kerana kita juga manusia yang terhad kekuatan dan kudratnya. Sebab itu saya tidak hairan, jika 100 kebaikan yang kita buat, tetapi 1 kejahatan yang kita perbuat, orang lebih suka melihat 1 kejahatan tersebut daripada 100 kebaikan yang telah kita perbuat. Dalam ertikata lain, 1 kejahatan dapat menghapuskan 100 kebaikan kita di mata manusia.

Namun lain pula nilaian di mata Allah. Bagi kebaikan yang dilakukan, jika dibuat dengan ikhlas, akan mengundang rahmat dan redha Allah. Inilah janji Allah.

Saya merenung masalah kawan saya itu dengan matahati. Kenapa manusia mesti berdengki sesama sendiri? Kalau tak puas hati, bukankah lebih elok jika dibawa berbincang. Bukankah dengan cara itu masalah dapat diselesaikan dengan cara matang?

Kawan saya terus menerus meluahkan rasa hatinya. Kekecewaan jelas terpampang di wajahnya. Riak mukanya juga keruh, menggambarkan kesedihan dan kemarahan. Saya cuba untuk memujuk dan menyejukkan hatinya. Saya katakan kepadanya, dia mempunyai nikmat yang banyak anugerah dari Allah. Itulah penyebab utama agaknya kenapa kawan-kawannya menikam dia dari belakang. Wajahnya berubah dan kembali redup. Saya berdoa mudahan dia terkesan dengan kata-kata saya. KAwan saya ini juga jenis orang cepat 'sejuk'. Marahnya tidak lama. Itu yang saya dapat tahu tentang dia.

Saya kenal kawan saya ini sebagai seorang yang berjiwa halus, suka menolong, gemar berkawan dengan sesiapa sahaja, peramah namun terselit sedikit sifat malu, dan agak 'gila-gila' sedikit (sama lebih kurang macam saya). Berperangai 'gila-gila' bukanlah maksudnya jadi gila, namun kerana suka bergurau dan mengusik orang itu yang dikatakan 'gila-gila' sedikit. Beberapa persamaan sifat dalam dirinya itu yang menyebabkan saya selesa berkawan dengan dia.

Bila berlaku masalah seperti ini, saya terpanggil untuk membantunya, paling kurang menjadi pendengar, berkongsi rasa dan memberi sedikit nasihat. Selebihnya, Allah Musta'an. Biarlah Allah menentukan.

Selesai sesi slow-talk, kami berangkat pulang. Waktu pejabat untuk sesi petang dah bermula. Saya memandu kereta terus ke pejabat.

Kena tikam dari belakang memang menyakitkan, lebih-lebih lagi dari kawan sendiri.

Kepada Allah saya berserah diri...

Sabtu, 21 November 2009

Kumpulan Cari Hantu Yang Perangai Macam Hantu

Saya melayari sebuah halaman blog @ web, yang merupakan sebuah kumpulan pemburu (bukan perawat Islam) hantu. Kumpulan ini masih baru di negara kita, dan pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah misteri massa kini.

Hasil pemerhatian saya, dari artikel sehinggalah ke video-video mereka, kumpulan ini disertai oleh sekumpulan anak muda yang begitu 'eager' (ingin sangat) nak tahu tentang alam ghaib, seperti hantu, jin, tempat berpuaka dan sebagainya. Aktiviti yang sering mereka adakan ialah mencari spot-spot panas di seluruh negara untuk mencari hantu. Di mana sahaja mereka dengar ada tempat berpuaka, mereka akan ke sana dan membuat penyiasatan menggunakan peralatan moden dan canggih untuk mengesan keberadaan hantu dan jin.

Pelbagai devices yang digunakan, contohnya kamera video, heat detector dan lain-lain. Berdasarkan pemerhatian saya, kumpulan ini cuba menyiasat kewujudan hantu dengan penjelasan logik dan saintifik, sepertimana kumpulan pencari hantu yang terkenal di negara satu ketika dulu, tapi sekarang dah tak famous lagi. Saya rasa anda tahu kumpulan mana yang saya maksudkan.

Kewujudan dan kehadiran hantu dikesan dengan devices yang moden dan canggih. Suhu disukat, gambar dan video diambil. Maka terhasillah beberapa objek yang dikatakan orbs, casper dan lain-lainnya yang dikatakan hantu. Ramai juga ahli yang menyertai kumpulan ini, kebanyakannya anak muda.

Saya berpendapat, adalah baik untuk mempelajari alam ghaib untuk meningkatkan iman, ini jelas kerana dalam surah Al-Baqarah pada ayat pertama ada menyebut tentang beriman dengan alam ghaib, dan perkara pertama yang disebut adalah beriman kepada perkara ghaib. Jin termasuk dalam perkara ghaib. Bermakna, mempelajari alam jin bermaksud kita mengimani alam ghaib sesuai dengan kehendak syariat.

Namun apa yang saya kesalkan ialah peribadi dan ketrampilan kumpulan ini yang lebih kepada fesyen gothic (kalau boleh saya katakan seperti itu). Disebabkan ahlinya ramai anak muda, saya melihat dari video mereka,semasa ditinggalkan seorang diri seperti tempat berpuaka dan sebagainya, mereka kelihatan bermain-main, menari-nari dan sebagainya dengan aksi yang tidak senonoh. Mereka seolah-olah nak menunjukkan bahawa mereka tidak takut dengan hantu, tidak takut ditinggalkan bersendirian dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan mereka ini tidak menghormati, dalam ertikata menjaga adab sopan dengan 'entiti' di sekitar mereka. Bukanlah maksud saya untuk menyuruh mereka menjadi takut dengan hantu, namun umpama masuk ke rumah orang, kenalah beradab. Begitu jugalah apabila 'deal' dengan alam lain, kena juga ada adabnya. Apa yang saya pelajari dalam ilmu rawatan Islam, jika ditakdirkan kita 'termasuk' ke dalam alam jin, kita hendaklah menjaga adab sepertimana sesama manusia. Jangan cabul, jaga tingkahlaku dan perbuatan. Hatta semasa merawat pun, kena ada diplomasi, jangan sembarangan 'pukul' dan 'tikam' ikut suka hati kita. Kalau boleh berunding, kita buat cara berunding. Tidak bermakna kita manusia, yang memiliki darjat lebih tinggi dari jin sewenang-wenangnya kita bersikap kurang ajar di alam mereka. Nak belajar tentang 'mereka', kena buat cara belajar. Jangan bermain-main.

Saya kesal dengan sikap ahli kumpulan ini. Mereka seolah-olah mempermainkan alam jin, yang pada pandangan saya memiliki hak untuk 'dihormati' (dalam ertikata hak mereka sebagai jin. Hak manusia sebagai manusia, hak jin sebagai jin. Kalau jin tak kacau kita, maka kita jangan kacau jin. Itu hak mereka. Lainlah kalau mereka mengacau.

Mungkin mereka beranggapan, dengan cara menari-nari apabila ditinggalkan bersendirian, mereka seolah-olah menunjukkan yang mereka pemberani dan tidak takut. Malah mungkin mereka fikir yang jin takut dengan mereka, kerana sifat pemberani yang mereka miliki.

Malah ada pula mereka mendakwa, sepanjang kumpulan ini wujud, belum ada kes rasuk dan histeria yang dialami oleh ahli kumpulan ini. Mereka mendakwa semuanya selamat.

Ingin saya beri amaran kepada mereka di sini, ANDA BELUM BERTEMU BUKU DENGAN RUAS!


Tidak nampak jin tidak bermakna jin tidak ada atau jin takut dengan anda. Boleh jadi jin tidak mahu menampakkan diri mereka kerana belum masanya lagi untuk jin 'mengenakan' anda. Kalau dah 'terkena', nahaslah, anda tanggunglah sendiri.

Atau boleh jadi jin tengok anda sendiri dah berperangai macam jin, maka, dah takde sebab mereka nak kacau anda lagi.

Ingat, alam ghaib bukan boleh buat main-main. Kalau dah 'mengacau' alam mereka, susah nak patah balik. Inilah yang dialami oleh perawat Islam seperti saya.

Teringat pesan ustaz Suwandi (salah seorang guru ruqyah saya).

"Anta sik (tak) dapat nak patah balit (balik), anta dah ngaco (mengacau) alam sidak (mereka). Ya (itu) lah risiko yang terpaksa anta tanggung sebagai mu'allij..."

Saya terkesima...

Khamis, 19 November 2009

Al-Fatihah...

Sedang saya asyik surfnet sebentar tadi, Azman, sahabat baik saya menelefon dengan membawa berita buruk.

"Hj Chee ninggal (meninggal), malam tadik (tadi)"

Saya terkejut, "Tuan Guru Hj Chee maksud kau kah?" Saya bertanya untuk kepastian.

"Aok (ya), Hj Chee Bako bah." Azman menjawab.

Saya beristirja'. Saya benar-benar terkejut kerana Tuan Guru Hj Chee sihat orangnya. Beliau merupakan pengasas dan Guru Utama bagi Perguruan Seni Silat Warisan Kibau, di antara perguruan dan silat tertua di Sarawak. Silat ini berasal dari Kalimantan, Indonesia.

Tuan Guru Hj Chee bin Hj Gintal, atau lebih mesra dengan panggilan Hj Chee Bako merupakan guru silat yang tersohor dan terkenal di Sarawak. Beliau juga merupakan ahli bagi Dewan Pendekar dan di antara guru tua yang amat dihormati oleh pesilat seluruh Sarawak. Pemergian beliau ke hadhrat Ilahi merupakan kehilangan besar bagi Rumpun Silat Sarawak, badan silat yang bertanggungjawab untuk seluruh perguruan silat di Sarawak.

Semua orang kenal dengan Hj Chee. Kehebatan beliau dalam ilmu persilatan memang telah ramai diketahui orang. Beliau juga mahir dalam ilmu perubatan dan kebatinan. Namun kehebatan itu tidak sampai menjadikan beliau sombong, sebaliknya beliau seorang yang sangat rendah hati, tawadhu', mesra dengan orang lain hatta dengan anak muridnya sendiri mahupun dari perguruan lain.

Saya masih ingat, satu ketika saya keluar dari sebuah surau setelah selesai menunaikan solat Asar, saya melihat beliau berjalan seorang diri selepas solat. Saya menyapa beliau, bersalam dan mencium tangan beliau sebagai tanda hormat anak murid kepada guru.

"Dari siney (mana) tek (tadi), jang?" Hj Chee bertanya dengan senyuman manis di wajahnya.

"Pulang kerja tek (tadi), tuan guru. Singgah sembahyang lok (dulu)." Saya menjawab dengan sopan.

Keramahan beliau amat menyenangkan hati sesiapa sahaja yang pernah bergaul dengan beliau. Perguruan silat beliau banyak bertebaran di kampung-kampung sekitar Kuching, khususnya di Bako dan Santubong. Silat Kibau adalah silat yang masih mengekalkan keaslian dalam permainannya. Saya sangat tertarik dengan permainan Silat Kibau namun tidak berpeluang mempelajarinya.

Ada banyak cerita tentang kehebatan Hj Chee namun saya tidak bercadang untuk menceritakannya dalam posting kali ini. Mungkin saya akan menceritakannya dalam posting yang akan datang.

Terasa kesedihan di hati saya apabila mendapat tahu TG Hj Chee meninggal dunia, walaupun saya bukanlah anak murid beliau. Tidak lupa juga, TG Hj Chee merupakan sahabat baik bagi guru utama perguruan saya, Tuan Guru Imam Hj Zainuddin bin Hj Adenan, guru tua dan pengasas Seni Silat Betawi Sarawak. Masih terbayang di mata saya kemanisan senyuman Hj Chee dan keramahan beliau dalam mengajar dan bergaul dengan pesilat muda seperti saya.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas Allahyarham Tuan Guru Hj Chee bin Hj Gintal, Guru Tua dan Pengasas Seni Silat Warisan Kibau Sarawak.

Al-Fatihah...

TG Hj Chee memakai baju biru dan ikat pinggang merah, dokumentari silat yang famous satu ketika dulu.

Isnin, 16 November 2009

Jalan Tasauf...


Ilahi, kasihanilah hamba...

Tasauf merupakan salah satu cabang asas dalam tradisi keilmuan Islam. Ia tidak dapat dipisahkan, maknanya, setiap Muslim dikehendaki mendalami tasauf dalam ertikata untuk mencapai kemuncak Mukmin Sejati dalam kehidupan kerana saya berpendapat tasauf adalah pelengkap bagi hidup Mukmin.

Saya amat meminati tasauf. Ia sesuatu yang indah. Saya masih ingat pertama kali saya mengenali tasauf ialah tentang hakikat ketuhanan dan sifat kehambaan. Kita hanya tahu, sembahyang adalah sembahyang, tiada roh. Namun apabila saya mempelajari tasauf, rupanya sembahyang itu memiliki rohnya sendiri. Dengan roh itu, ia boleh menyampaikan kita kepada Hadrat Allah yang Maha Mulia.

Sifat kehambaan adalah sifat pertama yang perlu dipelajari oleh kita. Ini boleh diketahui dengan cara mengenali siapa diri kita yang sebenarnya, dalam ertikata lain, untuk mengenal Tuhan, kita kena kenal diri kita dulu. Saya tidak bercadang untuk membincangkan hal ini kerana saya berpendapat eloklah pembaca mencari guru yang arif bagi mendalami dan mempelajari sendiri makna ma'rifatullah (mengenal Allah).

Tasauf bukanlah falsafah yang baru. Ia telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi. Tasauf telah melalui zaman-zaman yang penuh liku dan cabaran. Tasauf juga pernah mengalami zaman naik turunnya. Tasauf jugalah yang pernah membawa kegemilangan kepada dunia Islam seperti perkembangan ilmu kimia, fizik, kedoktoran dan lain-lain. Dalam masa yang sama, tasauf jugalah menjadi penyebab kepada kejatuhan Islam itu sendiri. Namun ingin saya tegaskan ialah, hanya tasauf sesatlah yang membawa kepada kejatuhan Islam, bukan tasauf yang tulen.

Tasauf telah melalui zaman perubahan, sesuai dengan edaran zaman. Apa yang menyedihkan saya ialah, apabila tasauf kini mula dicemari dengan falsafah yang karut-marut sehingga hilang keasliannya. Ada pula konsep 'Manunggaling Kawula Gusti' dari Tanah Jawa, diasaskan oleh Syeikh Siti Jenar @ Datuk Lemah Abang, iaitu satu bentuk fahaman tasauf sesat yang dipengaruhi oleh falsafah Hindu-Buddha. Konsep ini mengajar satu bentuk fahaman beribadah sehingga mencapai zauq dan bersatu dengan Allah, atau dalam bahasa mudahnya, menjadi Allah! Benar-benar menyesatkan.

Saya mendalami tasauf dengan berguru beberapa orang guru, sehingga membawa saya kepada tariqat. Pertama kali saya menjadi ahli tariqat ialah pada tahun 2003 (kalau tidak silap saya), dengan mengambil talqin dan bai'ah tariqat Qadiriah wan Naqsyabandiah. Saya ditalqin oleh wakil talqin, Ustaz Materang Isa untuk kawasan Kuching. Dengan tariqat ini, saya mempelajari beberapa ilmu tasauf dengan kaedah-kaedah zikirnya sekali. Melalui tariqat ini jugalah saya memahami bagaimana untuk berzikir secara khafi atau sirr. Dua kaedah zikir yang lazim digunakan dalam majlis zikir di zawiyah mereka.

Seterusnya saya belajar pula dengan guru-guru tasauf yang lain. Saya turut menerima amalan Hizib Bahar dan Ratib Al-Attas dari ust Umar Fathullah Harun, Wirdul Latif dan Ratib Al-Haddad diijazahkan oleh Habib Mohsen dari Yaman (keturunan Imam Abdullah Al-Haddad).

Tidak dinafikan, setiap hizib dan zikir yang diamalkan mempunyai khasiat dan kelebihan tertentu. Namun bagi ahli tasauf, khasiat bukanlah matlamat, apa yang penting, zikir itu tadi hanyalah wadah atau penyampai kepada Allah. Tidak lebih dari itu. Yang penting, redha dan rahmat Allah.

Ini yang saya pelajari, iaitu, dalam beramal, jangan berharap kepada khasiat. Harap hanya cinta dan kasih sayang Allah. Inilah doktrin cinta sepertimana yang diajar oleh Rabiatul Adawiyah dan Abu Yazid Al Busthami.

Cinta Ilahi memang asyik, bagi orang yang mengerti akan roh tasauf...

Tips Hidup Tenang...


Ya Ilahi! Engkaulah maksud dan tujuan kehidupanku...

InsyaAllah sedikit peringatan, marilah kita sama-sama amalkan 7 sunnah Rasulullah ini :-

1. Tahajud. Kerama kemuliaan seseorang manusia itu terletak pada tahajudnya
2. Membaca Al-Quran sebelum terbit matahari
3. Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu Subuh
4. Jaga Solat Dhuha kerana kunci rezeki ada pada Solat Dhuha
5. Jaga sedekah setiap hari
6. Jaga wudhu’ terus menerus kerana Allah sayang hamba-Nya yang dalam keadaan berwudhu
7. Amalkan Istighfar setiap saat

Dipetik dari:http://usrah.kakiblog.com/

Ahad, 15 November 2009

Hospital...

Hari ini saya ditimpa ujian berbentuk sakit pinggang dan tulang belakang. Makanya, saya menghantar sms kepada Tuan Wenndy dan Big Boss untuk memaklumkan ketidakhadiran saya ke tempat kerja pada hari ini, dalam ertiakata lain, MC.

Saya dah lama sakit pinggang, kesan daripada kecederaan semasa latihan silat beberapa tahun yang lalu. Namun ia hilang selepas diurut, dan sakit kembali apabila tersalah cara mengangkat barang berat. Sabtu lepas, saya bermain badminton dengan rakan-rakan ofis, dengan warm-up yang sekejap, natijahnya, pinggang saya tergeliat semasa bermain.

Setelah diurut, rasa sakit masih ada. Saya mengambil keputusan untuk ke hospital ditemani oleh kedua ibu bapa saya. Sebelumnya saya ke Poliklinik Jalan Masjid, di sana saya dinasihatkan untuk mengambil terapi fisio dan dibekalkan ubat.

Semasa di hospital, saya segera ke kaunter pendaftarann untuk membuat temujanji. Pada ketika itulah, masuk 3 orang yang saya kenal untuk membuat temujanji juga. Orang tersebut ialah keluarga pesakit yang pernah saya dan Wan Sudirman ruqyah dahulu (rujuk cerita pesakit mati separuh badan di Kampung Pulo).

"Kitak (awak = bahasa sopan untuk Melayu Sarawak) kenak (kenapa) di sitok (di sini) ustaz?" suami pesakit bertanya kepada saya.

"Kamek (saya = bahasa sopan untuk Melayu Sarawak) terselauk (terseliuh) pinggang, main badminton ari (hari) Sabtu ya (itu) tek (tadi)". Saya menjawab dengan ramah.

"Giney (macam mana) kitak (awak) tek (tadi)? Dah bagus?". Saya mengambil kesempatan untuk bertanya perkembangan kesihatan si pesakit selepas diruqyah.

"Alhamdulillah, syukur ustaz. Dah bait (baik) juak (juga) tok (ni). Ya lah (itulah) nak molah (buat) rawatan fisio gik (lagi), terima kasih ustaz." Jawab pesakit.

Syukur pada Allah, ada perkembangan positif selepas diruqyah oleh kami beberapa minggu yang lepas. Saya mendoakan semoga si pesakit sembuh sepenuhnya.

Saya menunggu giliran untuk dipanggil untuk rawatan. Sambil itu, saya merenung diri saya yang sedang menahan sakit, dah lama juga saya tidak ditimpa sakit. Orang beriman paling suka apabila ditimpa kesakitan kerana mereka beranggapan bahawa sakit boleh menghilangkan dosa dan menaikkan darjat di sisi Allah jika bersabar dan redha dengan ketentuan.

Tidak lama selepas itu, nama saya dipanggil. Saya dirawat oleh seorang pakar fisioterapi. Setelah didiagnos, pakar tersebut mengatakan bahawa badan saya tidak sekata dan seimbang, dalam ertikata lain, senget. Baru sekarang saya menyedari yang badan saya senget selama ini :-D. Pakar tersebut mengajar saya beberapa kaedah senaman untuk menyeimbangkan kembali postur badan saya, dan saya dinasihatkan untuk melakukannya sendiri di rumah. Dengan bantuan pakar, saya diajar untuk meregangkan badan dan mengatur alignment badan dengan sempurna. Ada juga ketikanya badan saya seperti dilipat-lipat, sehingga saya menyeringai kesakitan.

Hasil diagnosa mengatakan bahawa saya mengalami masalah otot yang mengeras di sebelah pinggang kanan. Saya bertanya adakah ia berkaitan dengan tulang? Pakar tersebut mengatakan tidak tetapi jika tidak ditangani lebih awal ia boleh memberi kesan mudarat kepada tulang dalam jangka masa yang lama. Pakar tersebut menasihatkan saya agar warm-up dengan betul sebelum melakukan apa jua jenis sukan bagi mengelakkan kecederaan otot berlaku lagi.

Saya akur dengan nasihat pakar tersebut. Nampak rupa gayanya kena hati-hatilah bila nak bersukan kelak. Apa-apa pun, sukan tetap sukan. Cuma kena lebih teliti dan berhati-hati.

Tolong doakan kesembuhan untuk saya...

Selasa, 10 November 2009

Ulasan Mengenai Posting "Apa Dalam Botol?"

Nampaknya hits traffic saya pada hari ini adalah yang terbanyak dan paling ramai sepanjang sejarah blog saya diwujudkan. 120 orang, satu angka yang mengejutkan!

Mengenai apa yang saya post dalam blog sebelum ini, apa yang dapat saya jelaskan ialah, ia menggunakan kaedah tarik dan 'pembersihan' dari jarak jauh. Ini saya lakukan ke atas sebuah pejabat yang dikatakan sering diganggu oleh makhluk halus. Terus terang, ini adalah kali pertama saya buat kaedah jarak jauh kerana selama ini saya mempelajari cara ini melalui teori sahaja. Baru malam tadi saya cuba mengaplikasinya dalam bentuk amali. Selebihnya saya berserah dengan izin dan kehendak Allah.

Gangguan yang sering dialami oleh staf ofis tersebut ialah, melihat lembaga hitam di bahagian pantry dan perempuan berambut panjang duduk di kerusi. Berdasarkan komen oleh pembaca dan perawat Islam, boleh dikatakan apa yang nampak dalam botol tersebut adalah tepat.

Namun, kaedah ini akan diulang dan dibuat lagi pada masa akan datang, mungkin di tempat lain pula.

Wallahu 'alam.

Isnin, 9 November 2009

Apa Dalam Botol?




Sesiapa dapat tengok apa yang ada dalam botol ni, sila komen...
Kepada perawat Islam atau yang sewaktu dengannya, sila beri pandangan anda. Syukran!

Sabtu, 7 November 2009

Kuliah Subuh dan Sukan...

Seawal jam 4:58 pagi, saya bangun dan bersiap-siap untuk solat Subuh. Oleh kerana azan belum kedengaran, saya melakukan solat Tahajud 2 rakaat tanpa witir, kerana witir telah saya buat selesai solat Isyak malam tadi.

Saya bergegas ke Masjid At-Taqwa kampung Gita untuk solat Subuh di sana. Ramai juga jemaah yang datang, dan kira-kira 10 minit kemudian iqamat pun dikumandangkan. Dalam sejuk dan dingin pagi itu jemaah At-Taqwa menyembah Tuhan Seru Sekalian Alam dengan jiwa yang khusyuk dan tenang.

Kuliah subuh pagi ini disampaikan oleh Ustaz Khalidi Hj Ibrahim, Penolong Pegawai Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak (JAIS). Tajuk yang diberikan amat menarik perhatian saya, iaitu Salafi, Wahabi dan Bid'ah. Ustaz Khalidi menggunakan Power Point dan skrin layar untuk menyampaikan isi ceramah beliau, dan kesemua point-point yang disampaikan diambil dari sebuah kitab yang masyhur dan muktabar, dikarang oleh Imam Syeikh Abu Muhammad Az-Zahrah, seorang ulama Mesir yang terkenal dan disegani.

Ustaz Khalidi menyampaikan hujah beliau dengan menarik dan jelas. Kesemua jemaah tertarik dengan kupasan beliau yang mendalam. Hasil dari kuliah tersebut, barulah saya mendapat gambaran yang jelas, apa beza Wahabi dengan Salafi. Isu-isu bid'ah yang diuar-uarkan oleh pihak Wahabi bukanlah isu yang perlu didebatkan, atau diperbesarkan kerana ia hanyalah isu kecil. Isu kecil ini sering menjadi punca mengapa umat Islam zaman ini berpecah-belah, dan ini mengundang kepada kerapuhan kesatuan umat dan seterusnya memudahkan orang kafir menakluk pemikiran umat Islam. Terasa sedih juga bila umat Islam menjadi lemah dan berpecah belah disebabkan oleh isu yang remeh-temeh.

Habis kuliah, saya pergi membeli makanan untuk sarapan di rumah. Ketika ini mak dan ayah berada di China, makan angin. Tinggallah saya dengan adik saya, Adie di rumah. Sesampainya di rumah saya makan sarapan sementara Adie pula masih 'belayar di lautan mimpi' selepas solat Subuh pagi tadi.

Jam 9:15 pagi, saya mengambil Azry di rumah. Sebelum itu saya singgah ke rumah Sir Habeeb untuk mengambil raket badminton sepertimana dipesan oleh Radzi. Saya dan Azry menggunakan jalan tol untuk ke Arena Sukan, Simpang Tiga. Ofis mengadakan aktiviti sukan iaitu bermain badminton pada hari ini.Sampai di sana, kelihatan Faizul dah sampai dahulu. Kami ke kaunter untuk mendaftar dan membayar sewa gelanggang.

Kira-kira jam 10:15, barulah ramai staf SPNB yang datang dan bermain. Alhamdulillah, tercapai juga matlamat dan niat untuk main badminton dengan staf. Tujuan saya menganjurkan aktiviti seperti ini bukan sekadar hanya untuk mengeluarkan peluh dan menyihatkan badan, tetapi untuk merapatkan silaturrahim sesama staf agar hubungan akan menjadi lebih akrab dan rapat. Selain itu, ia juga bertujuan untuk 'release tension' selepas 5 hari bekerja bertungkus lumus di ofis.

Kalau minggu lepas main futsal, minggu ni main badminton, minggu depan main apa agaknya?


Gaya dah ada dah...


Semput...

Smash,pok.Jangan sik smash!


Tuan Wenndy, dengan gaya servisnya yang tersendiri...


Jejaka SPNB, tetap bergaya walaupun keletihan...


Tetap senyum dengan muka berpeluh... :-)

Khamis, 5 November 2009

Al-Kisah...

Releks jap.

Bahlul, si tolol yang bijaksana, sering menyembunyikan kecendekiaannya di balik tabir kegilaan. Dengan itu, ia dapat keluar masuk istana Harun Al-Rasyid dengan bebasnya. Sang Raja pun amat menghargai bimbingannya.

Suatu hari, Bahlul masuk ke istana dan menemukan singgasana Raja kosong. Dengan enteng, ia langsung mendudukinya. Menempati tahta Raja termasuk ke dalam kejahatan berat dan boleh dihukum mati. Para pengawal menangkap Bahlul, menyeretnya turun dari tahta, dan memukulinya. Mendengar teriakan Bahlul yang kesakitan, Raja segera menghampirinya.



Bahlul masih menangis keras ketika Raja menanyakan sebab keributan ini kepada para pengawal. Raja berkata kepada yang memukuli Bahlul, “Kasihan! Orang ini gila. Mana ada orang waras yang berani menduduki singgasana Raja?” Ia lalu berpaling ke arah Bahlul, “Sudahlah, tak usah menangis. Jangan kuatir, cepat hapus air matamu.” Bahlul menjawab, “Wahai Raja, bukan pukulan mereka yang membuatku menangis. Aku menangis karena kasihan terhadapmu!”

“Kau mengasihaniku?” Harun mengherdik, “Mengapa engkau harus menangisiku?” Bahlul menjawab, “Wahai Raja, aku cuma duduk di tahtamu sekali tapi mereka telah memukuliku dengan begitu keras. Apalagi kau, kau telah menduduki tahtamu selama dua puluh tahun. Pukulan seperti apa yang akan kau terima? Aku menangis karena memikirkan nasibmu yang malang…

Siapakah Si Bahlul sebenarnya ?

Dipetik dari: http://perawat-islam.blogspot.com/

Ahad, 1 November 2009

Guru Quran Menjadi Bomoh...

Petang semalam saya ke Pasir Pandak, cadangnya nak main paintball dengan bebudak ofis. Di sana saya lihat Tuan Wenndy sudah sampai dengan kamera tersedia di tangan, manakala Sir Abeb dan Azry sudah masuk ke medan perang untuk berjihad.

Kelihatan ramai orang di padang permainan tersebut. Saya dan Tuan Wenndy hanya melihat mereka bermain, dan saya melupakan hasrat saya untuk menyarung baju perang untuk 'berperang' dalam hutan tersebut. Dengar cerita 'marker' (senapang) juga dah tak ada yang kosong kerana group dari XFab dah booking semua untuk main. Jadi saya dan Tuan Wenndy hanya memerhati mereka bermain dari jauh.

Di situ juga saya bertemu dengan Aman, rakan saya semasa sama-sama menjaga projek di Bintulu. Aman juga tidak main, hanya melihat saja. Aman datang dengan kawan-kawan dan keluarganya. Pelbagai perkara yang kami sembangkan, dan kami bercadang untuk join "Big Game' minggu depan untuk pertandingan paintball. Saya mengiakan dengan lafaz Insya Allah, entah dapat join atau tidak saya pun belum tahu.

Ziarah Ke Stapok


Sebelah malamnya, usai solat Maghrib, kami sekeluarga berziarah ke rumah auntie Nani. Kami mendapat berita yang auntie Nani berubat dengan seorang guru Quran (perempuan) berkenaan dengan gangguan di dalam rumah. Kadang-kadang auntie Nani juga kerap mengalami sakit-sakit di beberapa bahagian badannya walaupun selalu berubat di klinik.

Saya tidaklah mengesyaki apa-apa mengenai penyakit yang dihidapi oleh makcik saya itu, namun saya menjadi hairan apabila guru mengaji saya itu (saya bahasakan dia guru sahaja) tiba-tiba pandai mengubat dan scan orang sakit. Guru tersebut terjumpa dengan auntie Nani semasa majlis tahlil baru-baru ini, sambil memegang tangan auntie Nani, guru mengatakan yang auntie Nani diganggu jin dan makhluk halus di rumah nenek, tingkat atas, bilik hujung sekali. Bilik tersebut pernah digunakan sebagai bilik tidur oleh Pak Su saya sebelum beliau berpindah kerja ke Miri. Kini bilik tersebut dibiarkan kosong tak terurus. Malahan keseluruhan tingkat atas rumah tersebut tidak terurus kerana auntie Nani dan keluarganya hanya tinggal di tingkat bawah rumah sahaja.

Mengikut kata guru tersebut, roh auntie Nani diikat pada dinding bilik dan dipukul dengan parang ilang peninggalan datuk saya. Saya ingat parang tersebut sudah hilang, rupanya masih ada di simpan di tingkat atas rumah. Pendek cerita, maka diadakanlah upacara menghalau hantu dari bilik tersebut dengan diketuai oleh guru tersebut. Kaedahnya, hanya bacaan ayat Quran dan lain-lain. Namun perlu ada disediakan pulut kuning, kain kuning, sirih dan rokok daun.

Saya bertanya dengan auntie Nani, bagaimana guru mengaji saya itu tiba-tiba pandai mengubat? Auntie Nani menceritakan, guru saya itu pernah menghidap kanser payu dara (pada ketika itu, saya dan keluarga tinggal di Miri). Doktor mengatakan yang guru tidak ada harapan untuk sembuh, dan menghitung hari untuk ajal. Guru mengaji saya itu enggan berputus asa, lalu dia mengamalkan tahajud setiap malam dan sentiasa bertasbih. Berkat amalan yang istiqamah tersebut, secara ajaibnya, kanser payu daranya sembuh dengan izin Allah.

Ketika guru hendak berangkat menunaikan haji, pada satu ketika guru 'diserapi' oleh makhluk halus (jin) semasa sedang beramal. Sejak itulah guru mengaji saya itu pandai mengubat.

Semasa upacara dijalankan di rumah nenek, saya diceritakan oleh auntie Nani yang guru dimasuki oleh roh yang menggelarkan dirinya Puteri. Suara guru tiba-tiba berubah, kadang-kadang menangis, kadang-kadang menjerit. Saya berpendapat guru mengamalkan cara perubatan Tanasukh Arwah, atau pemanggilan roh-roh yang jelas haram dalam perubatan Islam. Bila guru sedar, tiba-tiba guru meminta maaf kepada auntie Nani sambil berkata;

"Bukan akak ya (tu) tek (tadi), Ni. Akak sik (tak)sedar!"

Saya beristighfar sambil menghela nafas panjang apabila mendengar cerita auntie Nani. Sedih apabila mendapat tahu guru yang mengenalkan saya dengan huruf-huruf Quran sehingga saya lancar dan khatam kitab suci tersebut, bertukar menjadi bomoh dan mengamalkan kaedah perubatan yang menyimpang dari ajaran Islam. Sedangkan saya sendiri belajar ilmu rawatan Islam untuk menentang segala bentuk kesyirikan dan khurafat dalam perubatan Melayu, khususnya kaum bomoh, dukun dan pawang. Kini saya sendiri terpaksa berdepan dengan guru saya sendiri yang pernah mengajar Quran kepada saya, yang telah bertukar menjadi syirik.

Saya sedih setelah auntie Nani menyudahkan ceritanya. Saya termenung panjang, bagaimana nak selesaikan masalah ini. Guru tersebut adalah guru mengaji saya, bagaimana saya hendak berhadapan dengannya?

Aqidah tidak pilih bulu. Soal aqidah bukanlah hal main-main. Saya mungkin terpaksa bertegas walaupun dengan guru saya sendiri.

Doakan kekuatan untuk saya...
Bomoh sedang menurun. Sekadar gambar hiasan.

Tiada Yang Menarik... Hanya Secebis Kisah...

Malam semalam saya dan Jalot pergi ke Masjid Wan Alwi, Tabuan Jaya. Jalot memaklumkan kepada saya syeikh dari Yaman, iaitu keturunan Imam Abdullah Al Haddad ada di sana bagi menyambut Haul Imam Abdullah Al Haddad. Kalau tidak silap saya, syeikh tersebut bernama Habib Muhsin.

Kami sampai ketika Ratib Al Haddad selesai dibacakan. Terasa rugi juga kerana tidak ikut serta dalam majlis zikir tersebut kerana kami lambat turun dari rumah dan singgah solat Maghrib di surau Petronas dekat tol Zaidi Adruce. Saya juga mendapat tahu yang Wirdul Latif telah pun dibacakan sebelum waktu Maghrib masuk. Maknanya says terlepas untuk berzikir bersama jemaah bagi kedua-dua zikir tersebut.

Kami diberikan buku zikir oleh 2 jemaah yang bertugas di masjid tersebut. Ia diberi percuma. Saya lihat di dalam buku kecil tersebut ada Ratib Al-Haddad dan Wirdul Latif. Saya pernah mengamalkan Ratib Al Haddad ini selepas diberi oleh Ust Umar, cuma saya jarang amalkan. Saya lebih mengamalkan Al-Ma'thurat dan Hizib Bahar dari Tariqat Syaziliah.

Usai solat isyak, kami mendengar tausyiah dan manaqib Imam Abdullah. Banyak pengajaran dan ilmu yang dicurahkan oleh para habib pada malam tersebut. Ada juga habib-habib yang datang dari Indonesia yang mencurahkan ilmu mereka kepada kami. Apa yang menggembirakan saya, kami semua para jemaah telah diijazahkan secara langsung untuk amalan zikir Ratib Imam Abdullah Al Haddad dan Wirdul Latif dari Habib Muhsin sendiri.

Alhamdulillah...

Habib Muhsin

Tausyiah sedang disampaikan oleh seorang Habib dari Indonesia.

Jalot tengah khusyuk berdoa, atau tertido?