Rabu, 28 Oktober 2009

Ramah Tamah Aidilfitri SPNB...

Baru sekarang nak upload gambar. Sorry kerana lambat. Berikut merupakan gambar family SPNB sempena Ramah Tamah minggu lepas.
Tuan Wenndy sibuk mengatur bebudak Project Implementation



Geng Project Implementation


SPNB Big Family

Bebudak perempuan, pantang tengok kamera, gerenti nak bergambar. Posing maut...

Saya, Azry dan Radzi

Peserta Manhunt 2009 SPNB Sarawak.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Sihir atau Jin Mengikut Pulang?

Kali ini saya merawat ditemani oleh seorang lagi kawan saya, Saiful. Saiful adalah rakan sepejabat saya. Sudah lama Saiful ingin mengikut dan melihat saya merawat, alhamdulillah pada malam tersebut dia dapat ikut sesi rawatan yang saya buat.

Lokasi rumah pesakit adalah di kampung Pulo. Kami tiba kira-kira jam 9:30 mlm, disambut oleh abang ipar kepada si pesakit. Ketika masuk ke rumah pesakit, saya terlihat sudah ramai ahli keluarga yang menunggu kedatangan kami. Kmai disambut dengan ramah dan ceria. Saya melihat pesakit juga masih mampu tersenyum walaupun terbaring tidak dapat bergerak di atas katil.

Saya dimaklumkan bahawa pesakit terkena demam campak pada bulan Ramadhan yang lepas. Demam campak tersebut melarat ke demam yang teruk sehingga pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital pada hari Raya pertama. Timbul pula sakit lain iaitu tidak dapat buang air kecil dan kaki pesakit menjadi kaku hingga menyebabakan dia tidak dapat berjalan. Doktor memaklumkan yang pesakit mungkin mengalami jangkitan virus pada saraf kesan daripada demam campak tersebut.

Saya memulakan ruqyah seperti biasa dengan muqaddimah dan ayat-ayat Quran yang lain. Tangan diletakkan di dahi pesakit, dan saya menyuruh pesakit beristighfar di dalam hati dengan tenang dan khusyuk. Saya juga melakukan Inzar (amaran) kepada jin yang mungkin ada di tubuh pesakit. Pesakit mula memberi reaksi berupa pergerakan kedua-dua belah kaki tanpa henti. Bila ditanya pesakit mengatakan kaki tersebut bergerak sendiri, bukan atas kehendak pesakit.

Saya meneruskan bacaan ruqyah dengan beberapa ayat pembakar jin. Pada ketika iilah pesakit mengatakan ada rasa seperti sesuatu bergerak di belakang badan, seperti cacing merayap dari arah belakang hingga ke tangan. Saya tukar kaedah ke kaedah rotan, dan kaki sebelah kiri pesakit pula bergerak tanpa henti.

Salah seorang ahli keluarga pesakit mula bercerita iaitu sebelum sakit, ada seorang anak buah pesakit terkena demam campak. Semasa demam, budak ini melihat yang si pesakit mempunyai sayap di belakangnya. Dalam masa yang sama, ada juga ahli keluarga yang lain melihat lembaga bersayap di luar rumah pada waktu malam.

Saya membaca Bismillah 6 dan menghembus ke arah pesakit dengan niat membakar jin. Pesakit mengadu belakang badannya menjadi panas. Pesakit juga mula menangis dan ketakutan. Saya hiris belakang pesakit dengan ayat Quran seperti yang saya pelajari sebelum ini. Seterusnya saya buat kaedah tarik pula untuk membuang unsur-unsur jahat dalam badan pesakit.

Setelah selesai, saya meminta Wan Sudirman pula mengambil alih. Wan menggunakan kaedah Bismillah 6 juga, namun dengan caranya tersendiri. Wan menggunakan kaedah pancaran ayat Quran, saya agak mungkin beliau menggunakan kaedah nazoriah Ayatul Kursi.

Setelah itu kami bergabung untuk meruqyah, saya ruyah di bahagian atas badan manakala Wan pula dari pinggang ke kaki. Setelah beberapa ketika, kami menghentikan sesi rawatan dan membuat air penawar.

Usai rawatan, tuan rumah menghidangkan jamuan ringkas untuk kami. Kami mengambil kesempatan untuk memberi tips-tips pendinding kepada keluarga pesakit dan juga pesakit. Di samping itu kami juga menjelaskan betapa pentingnya doa dan pergantungan hati kepada Allah Taala apabila ditimpa musibah. Ini lazim kami lakukan kerana rawatan Islam ini kami jadikan sebagai wadah untuk berdakwah kepada masyarakat, khususnya umat Islam di sekitar Kuching.

Saya sempat juga menasihatkan suami pesakit agar banyak bersedekah untuk mempercepatkan kesembuhan. Selain itu, saya sarankan mereka untuk membuat solat Hajat juga agar pesakit dapat kembali normal seperti sediakala.

Kami pulang tidak lama selepas itu, alhamdulillah...

Mati Tengah Jalan...

Semalam hujan turun dengan lebat. Saya buat site visit untuk defect liabilty period bagi 6 buah rumah. Yang sakitnya, 2 buah rumah di area Bako dan Rampangi manakala selebihnya di area Siburan. Umpama jarak antara tempat-tempat tersebut seperti dari utara turun ke selatan. Jauh.

Saya pulang ke ofis dengan rasa keletihan. Namun usai solat Asar, saya menyambung kerja-kerja yang tertangguh. Memo, update claim kontraktor dan lain-lain. Pening kepala bila melihat semua kerja masih tidak dapat disempurnakan kerana ada antara kontraktor belum menghantar beberapa dokumen yang perlu dilampirkan bersama. Memo tidak boleh diberikan kepada bos untuk ditandatangani jika lampiran tidak lengkap.

Saya bercadang untuk stay back di ofis untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh, namun tidak jadi kerana teringat ada majlis tahlil hari ke tujuh untuk Allahyarham Pakcik Razali. Pelawaan Sir Habeeb untuk menemaninya pergi beli barang anak pun terpaksa saya tolak kerana hendak menghadiri majlis tersebut.

Saya bergegas pulang selepas menutup komputer. Radzi dan Azry menemani Sir Habeeb untuk beli barang. Semua staf ofis telah pulang, hanya tinggal saya seorang di ofis. Dan pada ketika itulah...

Saya menutup lampu dan pintu ofis dengan tenang, dalam keadaan hari sudah gelap. Saya 'denyutkan' hati saya dengan zikir untuk menenangkan jiwa dan batin saya, dan membuang jauh-jauh fikiran yang tidak baik tentang cerita-cerita yang biasa didengar di ofis. Saya melangkah keluar dari ofis menuju ke lif, setelah menutup daun pintu ofis dalam keadaan 'kesejukan'...

Saya menyeberang sungai seperti biasa menggunakan penambang. Setelah menghidupkan kereta, saya memecut kereta untuk pulang. Saya melihat jarum minyak kereta dah menunjukkan E. Saya pun fikir untuk singgah ke Petronas di sebelah Choice Supermall untuk mengisi minyak dan withdraw duit.

Saya biasa menggunakan shortcut semasa pulang, dan jalan pintas yang biasa digunakan ialah Jalan Bukit Siol. Difahamkan jalan ini agak 'keras' sedikit, ada dakwaan mengatakan pocong pernah ditemui di sebuah rumah terbiar yang terletak di tepi jalan. Jalan ini agak sunyi, dengan pokok tua dan hutan yang boleh dikatakan tebal. Di belakang hutan terletak Masja, sebuah bangunan kerajaan negeri dan juga terdapat sebuah kawasan perumahan terpencil. Salah seorang sahabat baik saya tinggal di perumahan ini, dan beliau menceritakan banyak juga kejadian aneh dan misteri di kawasan tersebut.

Saya memandu kereta seperti biasa. Tiba-tiba kereta saya mati di tengah jalan. Saya start enjin kereta berkali-kali namun gagal. Masya Allah, minyak dah kering rupanya. Saya menolak kereta dengan terkial-kial seorang diri dan meletakkannya di tepi jalan seberang Masjid Jamek. dalam keadaan penat, basah oleh hujan dan kebingungan, datanglah seorang hamba Allah menawarkan pertolongan. Saya katakan kepadanya, yang kereta saya habis minyak, dan saya menolak pertolongan hamba Allah tadi dengan baik. Saya call abang saya dan memintanya menghantar minyak.

Semasa menunggu, saya mencapai tasbih yang tergantung di cermin pandang belakang dan mula berzikir. Dalam keadaan susah begini, saya lebih gemar membaca Tasbih Nabi Yunus kerana di antara fadhilat zikir tersebut ialah ia dapat menghilangkan duka dan penderitaan, memudahkan kerja, diampuni Allah dan juga mampu menyelesaikan masalah.Ini saya dapat tahu daripada beberapa orang ustaz yang saya kenali.

Hampir setengah jam menunggu, azan maghrib dari Masjid Jamek berkumandang. Kemudian abang saya tiba dengan sebotol minyak petrol di tangan. Saya tersenyum dan ketawa apabila dia menyoal saya masalah kereta, saya katakan saya tidak apa-apa dan ok sahaja. Setelah selesai, kami pulang ke rumah masing-masing.

Setibanya di rumah, saya segera membersihkan diri dan bersolat Maghrib. Kemudian saya ke rumah Pakcik Razali untuk bertahlil.

Ada undangan untuk merawat selepas Isyak di kampung Pulo. Saya pergi bersama Wan Sudirman dan Saiful.

Cerita merawat ini akan saya ceritakan dalam posting yang akan datang. Insya Allah...

Must Watch!



Nak tengok! Hehehe...

Rabu, 21 Oktober 2009

Menemui Jalan Pulang...


Pengalaman adalah guru terbaik kehidupan. Demikianlah yang saya dengar dan pelajari dari orang-orang tua. Benar, pengalaman dapat mendidik kita menjadi lebih cermat, berhati-hati dan menghargai kehidupan.

Manusia yang tidak mengambil ibrah (pengajaran) dari pengalaman hidup adalah orang yang rugi. Mendidik hati hendaklah juga dengan melihat apa yang ada dan berlaku di sekeliling kita. Hidayah Allah menjadikan jalan hidup lebih terang dan terpandu ke syurga yang abadi. Dengan pengalaman juga boleh mendatangkan hidayah jika Allah menghendaki.

Saya bukanlah asal orang yang baik. Saya sendiri pernah melalui 'zaman gelap' dalam kehidupan. Zaman gelap yang dilalui terjadi kerana bujukan nafsu dan bisikan syaitan, tidak ketinggalan juga dari pengaruh rakan-rakan. Saya percaya dalam diri manusia ada 'good and evil side'. Segala-galanya ada unsur yang saling bertentangan, ada syurga dan neraka, perempuan dan lelaki, baik dan jahat dan seterusnya. Ini adalah sunnah alam. Memang terjadi semenjak azali dan dicipta Allah.

Namun alhamdulillah Allah mencampakkan hidayah dan kasih sayangNya ke dalam hati sehingga menampakkan saya jalan pulang. Saya pulang dan kembali kepada fitrah yang hakiki. Bukanlah maksud saya bermegah diri mengatakan saya dah jadi budak baik atau alim, namun saya ingin mengatakan bahawa ada proses hijrah berlaku semasa hidayah bertandang ke lubuk hati saya. Saya merasa terusik dengan bisikan Allah ke dalam hati saya, sehingga menimbulkan azam dalam diri saya untuk berubah dan berhijrah ke alam hidup yang lebih hakiki dan sejati. Hidup dalam iman dan pengabdian yang mutlak, hanya untuk Allah yang Hakiki.

Saya tidak mahu berkongsi apa cerita 'zaman gelap' saya di posting ini. Saya berpendapat zaman itu sudah berlalu, dan biarlah ia menjadi kenangan dan pengajaran. Benda yang tidak baik, buat apa nak dibanggakan. Apa yang penting ialah proses penghijrahan itu yang perlu diceritakan.

Proses menemui jalan pulang dalam hidup saya tidaklah serumit cerita orang lain. Allah berkehendak memanggil saya 'pulang' ke pangkuan kasih sayangnya hanya melalui bisikan hati sahaja. Kadang-kadang, bila saya mengenang kisah ini, terasa sebak di dada kerana saya melihat hikmah dari kejadian ini ialah lambang kasih sayang dan belas ihsan Tuhan kepada diri saya.

Pernah satu ketika, saya menunaikan umrah tahun 2003 dengan ibu bapa saya, saya berkesempatan untuk melakukan tawaf sunat selepas solat Maghrib di Masjidil Haram. Saya pergi dekat dengan dinding Kaabah, dan melekapkan wajah dan dada saya ke dinding Kaabah tersebut. Wangi Kiswah bangunan suci itu menenangkan fikiran saya. Saya berdoa dan bermunajat kepada Alllah, mengakui semua kesalahan dan dosa saya. Tiba-tiba secara automatik, tergambar dalam fikiran saya semua dosa-dosa yang pernah saya buat, bagaikan tayangan filem di skrin wayang. Saya menangis semahu-mahunya kerana malu dan merasa bersalah yang amat sangat. Saya melafazkan taubat di Baitullah yang mulia itu, dan memohon belas taufik dan hidayahNya.

Kisah yang sama berlaku kepada sahabat saya, iaitu ketika sahabat saya berdoa dekat dengan Baitullah, dia juga melihat dan terbayang dengan dosa-dosanya yang lalu. Dia insaf dan menangis. Namun sungguh, bertaubat di depan Baitullah merupakan satu pengalaman yang indah dan syahdu. Allah saja yang tahu bagaimana perasaan saya dengan sahabat saya itu.

Rakan-rakan usrah saya, juga pernah melalui proses menemui jalan pulang. Kalau dulu mat rempit, sekarang dah jadi ustaz. Ada juga yang kaki minum arak dan hisap gam, sekarang dah kerja bagus dan aktif dalam usrah dan halaqah. Kalau dulu kaki pukul, sekarang dah jadi seorang dai'e yang baik dan penyayang. Boleh dikatakan kebanyakan rakan-rakan usrah saya bekas 'budak nakal' juga. Namun mereka semua berubah kerana hidayah Allah.

Saya gemar berkongsi cerita dengan orang yang pernah melalui jalan pulang. Kisah-kisah seperti ini menarik dan memberi pengajaran bagi sesiapa yang mendengarnya. Malahan tidaklah melampau kalau saya mengatakan dengan mendengar cerita-cerita seperti ini boleh melembutkan hati dan menimbulkan keinsafan dalam jiwa. Kisah orang yang pernah bermaksiat, lalu bertaubat dan insaf adalah cerita kegemaran saya, kerana saya faham, pernah merasai dan saya sendiri pernah melalui kehidupan sedemikian.

Proses hijrah diri memerlukan kekuatan, dan paling penting hidayah Allah. Ada orang kata, hidayah Allah belum sampai. Macam mana nak berubah? Saya katakan, hidayah ada di luar sana. Kita kena cari, bukan hidayah yang cari kita. Jika kita mencari, insya Allah, Allah pasti memandu kita ke arah hidayah.

Teringat kata-kata ustaz Soleh dalam usrah beliau,

"Kalau nak jadi baik, mulakanlah dengan mendirikan solat. Kalau nak ajak orang lain jadi baik, didiklah dia dengan solat. Mulakan segalanya dengan solat. Paling penting, kita sebagai dai'e, hendaklah mendoakan hidayah kepada mereka dan juga kita sendiri agar sentiasa berada dalam cahaya taufik dan petunjuk Allah."

Insaf adalah perkataan yang mudah dilafazkan, namun susah nak buat. Kekuatan hati untuk berubah itu penting. Sebagai dai'e, kita dilarang memandang ahli maksiat sebagai kaum berdosa yang confirm masuk neraka. Hidayah adalah milik Allah, Dia berkehendak mencampakkan hidayah ke hati manusia mana yang Dia mahu. Entah hari ini dia ahli maksiat, mungkin esok dia jadi seorang alim dan warak, dengan asbab hidayah Allah.

Telah banyak saya dengar dari mulut ahli maksiat, yang merupakan kawan saya sendiri,

"Aku maok (mahu) nak berubah, Asri. Tapi aku sik (tak) kuat. Giney (macam mana) oh?."

"Aku ingin nak belajar sembahyang, Asri. Tapi aku malu..."

Lafaz seperti ini menunjukkan ada cahaya hidayah dalam diri hamba Allah tersebut. Saya yakin. Cuma mungkin cahaya itu 'malap' kerana tidak dibimbing. Kalau betul bimbing, insya Allah dia akan menemui jalan pulang.

Saya sendiri masih menjalani proses pembaikan diri. Hidup bagi saya adalah untuk pengabdian mutlak kepada Allah Azzawajalla, dan taubat serta solat adalah metode atau kaedah paling ampuh untuk melahirkan rasa ta'abud (kehambaan) kepada Allah.

Bertaubat adalah jalan yang saya tempuhi ketika ini. Penebusan dosa saya jadikan sebagai rutin bagi mencuci dosa-dosa lalu yang pernah saya perbuat.

Entah sampai bila saya akan menanggung beban dosa ini. Rasa bersalah masih menghantui diri saya. Semoga Allah mengampuni dan merahmati saya dan kita semua.

Astaghfirullah...

Sabtu, 17 Oktober 2009

Pergi Tak Kembali...

"Pakcik Razali Yaman engkau meninggal, pagi tadi.." Panggilan dari ayah tengahari semalam menyentap tangkai jantung saya. Meninggal? Innalillah...

Jumaat semalam tidak banyak task yang hendak dibuat. Kebanyakan tugasan telah saya siapkan lebih awal pada hari sebelumnya. Pagi itu saya lebih kepada mengemaskini mana-mana kerja yang saya fikir perlu disiapkan, tetapi tidaklah terlalu urgent.

Saya segera meminta izin Tuan Wenndy untuk keluar awal tengahari tersebut. Kereta saya parking di seberang, saya melangkah laju ke waterfront dan menunggu penambang di bawah terik matahari. Saya menyeringai menahan panas namun saya sabarkan hati kerana mengenang hendak menziarahi jenazah allahyarham.

Pakcik Razali adalah ayah kepada kawan saya, Abdul Aziz yang juga merupakan jiran sekampung. Aziz rakan seperguruan saya semasa menuntut ilmu persilatan Helang Putih Perkasa semasa zaman persekolahan dulu. Kami sangat minat bersilat dan sering berlatih bersama. Namun umur Aziz tidak panjang apabila dia meninggal dunia akibat lemas kira-kira 6 tahun yang lepas.

Saya difahamkan Pakcik Razali meninggal akibat kanser yang dideritainya. Saya sudah maklum dengan berita tersebut, dan ayah saya sering juga mengingatkan saya untuk menziarahi pakcik Razali semasa beliau sedang sakit. Namun saya tidak berkesempatan kerana kesibukan tugas yang tak pernah habis. Saya menyesal kerana tidak menziarahi beliau semasa beliau hidup. Tetapi semuanya sudah terlambat..

Setelah sampai ke seberang dengan menggunakan penambang, saya balik ke rumah terlebih dahulu untuk bersiap solat Jumaat dan menjamah sedikit makanan. Ayah memaklumkan kepada saya yang jenazah telah dihantar ke Masjid Darul Ibadah Semariang Batu untuk disolatkan selepas solat Jumaat.

Usai solat Jumaat, sembahyang jenazah dimulakan. Rupanya ada satu lagi jenazah yang disolatkan di samping pakcik Razali. Difahamkan jenazah yang satu lagi adalah orang dari Tanah Merah, Kota Samarahan. Seluruh jemaah berkumpul dan menyolatkan kedua-dua jenazah tersebut.

Saya ikut sama mengaminkan bacaan doa oleh imam masjid. Kami sama-sama mengangkat keranda jenazah dan meletakkannya di beranda masjid sementara menunggu lubang kubur selesai digali. Jalot turut serta sama mengiringi jenazah pakcik Razali dan kami sama-sama menaiki kereta pergi ke kubur Semariang untuk upacara pengebumian.

Di kubur sudah ramai yang menunggu, termasuklah ayah saya. Crew television juga ada sama untuk ambil video kerana pakcik Razali merupakan Pengarah Filem Negara bagi negeri Sarawak. Ramai staf dari Filem Negara datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau.

Langit mendung dengan hitam pekat awan menyelubungi Petra Jaya tengahari tersebut, menandakan hari hendak hujan. Angin pula bertiup dengan kencangnya membawa awan dari laut menuju ke daratan. Puncak Santubong dan Serapi hilang dilitupi awan hitam. Semasa jenazah diturunkan ke liang lahad, serentak dengan itu guntur berdentum dan hujan pun turun dengan lebatnya. Mujurlah kanopi telah disediakan lebih awal dan kami sempat berteduh di bawah kanopi tersebut.

Talkin dibacakan, pengunjung mendengar dengan khusyuk dan tenang. Kemudian bacaan tahlil dilantunkan bersama-sama oleh semua pengunjung. Gemuruh bacaaan ayat suci dan doa bergema di tanah perkuburan tersebut. Kelihatan keluarga Allahyarham mengesat air mata meredhai pemergian pakcik Razali ke alam baqa.

Pakcik Razali berkahwin dengan Makcik Lucy, seorang yang berketurunan Cina memeluk Islam. Kelihatan keluarga makcik Lucy yang berbangsa Cina turut ada di tanah perkuburan tersebut untuk memberi penghormatan terakhir. Mereka juga turut bersedih kerana ada di antara mereka mengesat air mata tanda menangis.

Usai talkin, masing-masing meletakkan kepalan kecil tanah di atas kuburan sebagai penghormatan. Saya memberi sedikit kepalan tanah kepada keluarga Cina tersebut, dan mereka melakukannya. Malangnya, ada seorang perempuan tua melarang ibu mertua pakcik Razali melakukan perkara sedemikian,kononnya mungkin kerana mereka non-Muslim, mereka tidak boleh berbuat demikian.

Namun orang tau tersebut berkeras nak buat juga, dan dia dapat melakukannya diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Saya kesal dengan tindakan perempuan tua Melayu tersebut kerana perbuatan melarang tersebut akan memberi kesan dan anggapan negatif terhadap orang kita.

Meletakkan kepalan tanah atas kubur bukannya ada kaitan dengan aqidah, apa yang menjadi salah jika perempuan Cina tersebut melakukannya?

Satu lagi yang saya kesalkan, dan dalam masa yang sama menimbulkan kemarahan saya ialah semasa menyiram air mawar. Mereka (orang kampung, yang tiada kaitan kekeluargaan pun dengan pakcik Razali) pula yang melebih-lebih menyiram air mawar, sedangkan keluarga Cina tersebut tidak diberi peluang melakukannya. Saya marah benar dengan mereka namun saya pendamkan sahaja di dalam hati. Apa yang saya lihat, kaum perempuan yang melebih-lebih (saya yakin mereka tiada kaitan kekeluargaan dengan pakcik Razali kerana mereka semua boleh jadi staf di pejabat sahaja) semasa menyiram air mawar tersebut. Apa yang buat saya makin marah (dan lucu dalam masa yang sama) sempat pula seorang perempuan posing dan 'control ayu' semasa menyiram air mawar apabila video diambil. Masya Allah, atas kubur pun sempat nak posing lagi!

Saya dan Jalot berkomentar berkenaan perkara ini semasa di dalam kereta.

"Apa salah mun (kalau) sidak (mereka) nyuruh (suruh) dak Cina ya (itu) nyiram (menyiram) sekali. Ney (mana) lah tauk (tahu) dengan sebab ya (itu) daknya (mereka) mok (mahu) masuk Islam." Jalot bersuara.

Saya hanya mengeluh dan enggan mengulas lanjut. Orang Melayu, mentaliti masih di takuk lama. Masih berfikiran jumud, jahil hukum dan enggan belajar. Bila ditegur oleh orang muda, marah. Kononnya dia dulu makan asam garam dari kita. Tidak hairanlah bangsa dan agama lain mudah memberi 'bad impression' kepada kita.

Kami meninggalkan tanah perkuburan Semariang dengan hati yang insaf...

Selasa, 13 Oktober 2009

Takdir Yang Ganjil..

Saya merenung jauh hari ini, bermula dari pergi ke tempat kerja, sampai balik rumah. Banyak perkara yang difikirkan...

Masa depan...
Masalah orang...
Tanggungjawab...
Keluarga...
Dakwah...
Dll...

Ada amanah besar yang saya terima, kadang-kadang tak tertanggung oleh jiwa saya. Alhamdulillah, syukurlah ada rakan-rakan yang memahami dan sudi berkongsi rasa dengan saya. Tidaklah berserabut sangat fikiran saya.

Kadang-kadang saya terfikir, mengapa Allah menentukan takdir seseorang hambaNya dengan ganjil. Sukar saya nak gambarkan atau terangkan dalam posting kali ini kerana pelbagai perkara berlaku di depan mata saya yang saya lihat ganjil benar rupanya. Takpelah, biarlah saya sendiri yang memikirkannya. Kalau saya cerita dalam ni pun mungkin ramai yang lagi keliru.

Namun apa yang saya cuba utarakan di sini ialah bagaimana untuk menyikapi takdir apabila ia berlaku ke atas diri kita. Selalu orang berpesan, "Sabar, mungkin ada hikmah di sebaliknya..." Ini adalah nasihat tipikal yang selalu kita dengar. Tapi pernahkah kita memikirkan solusi dan merenungi isi tersirat di sebalik takdir tersebut?

Saya tidak pernah menyesali takdir hidup saya. Saya adalah saya yang memang Allah takdirkan sejak azali lagi. Saya bersyukur dengan apa yang ada pada diri saya. Keluarga yang aman dan bahagia, sahabat-sahabat yang sentiasa ada di sisi, rakan-rakan sepejabat yang baik hati, dan guru-guru yang sentiasa membimbing.

Saya aman dan senang dengan kehidupan saya sekarang ini. Walau ada gelora masalah yang melanda, namun alhamdulillah Allah memberi kekuatan kepada saya untuk menghadapinya. Dan yang lebih menariknya, ramai kawan-kawan saya yang membantu dan menyokong saya.

Saya berasa insaf dengan diri saya. Allah memberikan pelbagai nikmat dan limpah kurniaNya kepada saya. Saya bersyukur namun saya sedar syukur saya ini tidaklah dapat menyamai nikmatNya yang luas bak saujana mata memandang.

Sepulang dari kerja, Sir Habeeb mengajak saya dan Harun pergi ke BDC untuk mencari ubat anaknya. Kami ke sana dengan menggunakan Hilux ofis. Pelbagai perkara disembangkan, banyak kepada hal kehidupan dan masalah semasa. Satu yang saya suka tentang Sir Habeeb ini ialah beliau seorang yang open minded. Setiap kali saya duduk dengan beliau, banyak perkara baru yang saya pelajari. Kelebihan Sir Habeeb ialah beliau mempunyai pengetahuan tentang personaliti dan karakter manusia. Sir Habeeb mempunyai karisma dan auranya tersendiri di kalangan anak-anak buah beliau. Paintball adalah kegemaran beliau. Kami sepejabat sering main paintball hujung minggu jika ada kelapangan, dan beliaulah yang menjadi ketua mengatur program paintball. Duduk dengan Sir Habeeb bererti mendapat ilmu baru, dan beliau juga gemar bergurau dengan kawan-kawan sepejabat.Kadang-kadang saya selalu juga meluangkan masa dengan Sir Habeeb untuk berbincang pelbagai perkara.

Sir Habeeb sebaya dengan abang saya, mungkin tua sedikit. Beliau merupakan Senior Executive atau second bos di SPNB Sarawak. Dalam ofis, selain keupayaan beliau memimpin staf, beliau juga bijak dalam pergaulan. Sepanjang saya di SPNB, Sir Habeeb banyak mendidik dan mengajar saya. Alhamdulillah, dengan apa yang saya pelajari dari beliau saya dapat manfaatkan dalam kerja saya.

Tuan Wenndy pula adalah ketua bagi Project Implementation Section. Tuan Wenndy juga adalah jiran saya, sama seperti Sir Habeeb. Berbeza dengan Sir Habeeb, Tuan Wenndy mempunyai karismanya tersendiri di kalangan anak-anak buah beliau. Tuan Wenndy minat fotografi. Beliau juga banyak pengetahuan umum sehinggakan sesiapa pun mampu dan boleh duduk bersembang dengan beliau. Tuan Wenndy suka bergurau, sehinggakan jika beliau tiada di ofis kerana keluar traveling atau lainnya, ofis akan terasa sunyi. Selain itu, saya dapati Tuan Wenndy bijak dalam menyelesai masalah dan seorang pendengar yang baik. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana bekerja di bawah beliau dan saya juga sering meminta pendapat dan buah fikiran daripada beliau, baik hal kerja mahupun masalah peribadi.

Saya bersyukur kerana bertemu dengan rakan-rakan ofis yang baik hati di SPNB. Alhamdulillah, inilah takdir yang Allah tentukan ke atas diri saya. Setiap staf di SPNB mempunyai personaliti dan karakter yang berbeza dan perbezaan ini meningkatkan keupayaan saya dalam mempelajari sifat manusia.

Takdir Allah memang ganjil, namun ada hikmah yang indah di sebaliknya...

Dari Kiri : Azry, Saiful, Sir Habeeb dan Radzi.

Tuan Wenndy yang baik hati..

Airwan, ustaz dari Igan...


Aziza yang sentiasa ceria... errr,Dalam gambar ni dia nampak moody sikit..


Sabariah, kopi dia sedappp...


Nisa yang sentiasa happy dan tersenyum...


Faizul yang berdedikasi...


Amy (berdiri) dan Sheken (duduk)...

Khamis, 8 Oktober 2009

Pening Lagi...

Semalam merupakan hari yang teramat SAKIT. Dengan mujahadah puasanya, karenah kontraktor dan pemohon program Rumah Mesra Rakyat yang cerewet dan pelbagai perangai yang entah saya sendiri pun tak faham. Namun semua itu saya hadapi dengan tenang dan lapang dada.

Tengahari semalam juga saya membuat site visit di Kpg Sungai Tekoyong, sebuah kampung yang terletak nun di tebing kuala Sungai Santubong. Ini adalah kali pertama saya ke kampung tersebut yang jauhnya dari bandar Kuching kira-kira 32 km perjalanan. Cadangnya saya hendak bawa Saiful sebagai driver, tapi big bos tak izinkan dan menyuruh saya pergi seorang diri. Maka memandulah saya ke kampung tersebut dengan Kembara ofis seorang diri, tanpa ditemani sesiapa pun.

Setibanya di kampung Sungai Tekoyong, melilau saya mencari tapak projek tersebut. Pusing punya pusing terlajak pula ke Kampung Santubong.Aiseh, ini sudah jauh ni. Saya lalu sebuah sekolah rendah dan melihat murid-murid sekolah baru selesai sesi persekolahan, dan kesemua mereka berpakaian raya. Ada program ramah tamah di sekolah agaknya. Seronok pula melihat mereka melaram dengan pakaian raya yang berwarna warni.

Selepas puas pusing hampir 2 buah kampung, barulah saya terjumpa dengan tapak projek tersebut. Walaupun sesat sebelumnya, hati saya puas kerana sempat juga melihat keindahan kampung Sungai Tekoyong yang cantik dan permai, kerana lokasinya yang terletak di bahagian kuala sungai dan mengunjur ke laut nan luas.

Saya segera membuat site investigation dan mengambil gambar. Alhamdulillah, nampak rupa gayanya tuan rumah puas hati dengan workmanship kontraktor yang dilantik dan insya Allah handing over rumah akan dibuat dalam tempoh seminggu akan datang. Kontraktor yang dilantik juga merupakan kontraktor yang mempunyai background company yang baik dan cemerlang. Kerja-kerja pembinaan berjalan dengan baik dan lancar, malah ahead of schedule. Workmanship dan kualiti juga baik. Syukurlah, tuan rumah tak banyak complaint, maka ini memudahkan kerja saya untuk buat serahan tapak.

Saya pulang ke ofis tidak lama selepas itu. Pada ketika itulah saya mula terasa pening kepala dan tegang urat di bahagian tengkuk. Mungkin keadaan yang panas ditambah lagi dengan keadaan saya yang berpuasa menjadi faktor kepala terasa pening.

Sampai di ofis, saya solat Zuhur dan berehat sebentar. Saiful mengajak saya ke Jln Sekama untuk repair rim kereta Zulhatta. Saya bersetuju dan kami memecut ke Jln Sekama untuk cari kedai repair rim. Sekali lagi kami melilau mencari kedai tersebut, dan menambahkan lagi pening kepala saya.

Jam 2:30, kami pulang ke ofis. Saya segera menyiapkan segala kerja yang tertangguh. Komputer pula buat hal. Masya Allah, dugaan..dugaan. Saya menggunakan komputer Harun untuk menyiapkan kerja saya.

Saya pulang petang semalam dalam keadaan berhujan. Ini menyebabkan saya semakin pening. Usai berbuka dan solat Maghrib, saya telan 2 pain killer dan tidur sebentar. Cadangnya bangun bila masuk waktu Isyak, namun saya terlajak tidur sampai jam 1:40 pagi. Missed call dekat nak 11 panggilan. Teringat pula saya appointment saya dengan Faizul nak pergi dengar talk Elken, aiseh... astaghfirullah... kesian pulak saya mengenangkan Faizul. Saya rasa memang Faizul tertunggu-tunggu kehadiran saya. Saya segera menghantar sms kepada Faizul dan meminta maaf kerana tidak datang ke talk tersebut.

Saya segera bersolat Isyak dan berqiamullail. Kemudian makan mi segera kerana kelaparan. Kemudian sambung tidur balik... Dah namanya kaki tidur!

Ke Klinik...8/10/2009

Paginya saya ke ofis seperti biasa, walaupun kepala masih pening-pening sedikit. Saya kembali menyambung kerja-kerja yang tertangguh. Namun pening kembali menyerang jam 10:30 pagi, menyebabkan saya terpaksa ke klinik dengan ditemani oleh Radzi.

Setelah check, alhamdulillah tekanan darah normal. Khuatir juga saya jika darah tinggi menyerang lagi. Namun komen doktor ialah mungkin pening tersebut disebabkan oleh angin atau panas dalam badan.

Kembali di ofis, saya minta Faizul urut saya dengan urutan guasa, urut guna tanduk kerbau produk Elken. Alhamdulillah, pening pun berkurangan. Tengahari waktu lunch dapat juga main pingpong dengan bos. Tapi kalah... Heheheehe...

Tadi saya menerima panggilan untuk merawat student UITM yang kerasukan. Saya dan Wan Sudirman segera bergegas ke rumah pesakit yang terletak di Taman Hussein selepas solat Isyak.

Pesakit merupakan seorang lelaki, kelihatan seperti kelelahan dan meracau. Pesakit juga mengadu dadanya sakit. Saya segera membacakan ruqyah. Pesakit mula respon, tetapi jin di dalam badan pesakit tidak dapat berdialog.

Saya ambil jalan pintas dengan cara menghiris dan kaedah tarik. Dada pesakit terangkat semasa ditarik dan seterusnya muntah. Saya sambung bacaan ruqyah dan picit ibu jari kaki dan saya minta Wan Sudirman untuk menghiris dada pesakit sekali lagi. Pesakit menggeliat dengan kuatnya dan muntah lagi. Beberapa minit selepas itu pesakit mula sedar dan saya bimbing pesakit membaca syahadah dan selawat.

Kami rehatkan pesakit dan menghentikan rawatan. Wan Sudirman membuat air penawar dan setelah itu kami bersembang dengan orang tua pesakit. Melalui cerita mulut si bapa, pesakit tersebut merupakan pelajar cemerlang di UITM dan merasa stress kerana peperiksaan akhir semakin dekat. Pesakit dilanda kemurungan kerana terpaksa bersaing dengan sepupunya yang juga student UITM. Pada ketika kemurungan itulah pesakit dirasuk jin, sehingga hilang kesedaran diri. Adik pesakit juga memaklumkan kepada saya dan Wan Sudirman bahawa malam sebelumnya si pesakit kerasukan di kampusnya. Mujurlah ada juga student yang pandai dalam merawat dan menolong memulihkan si pesakit.

Saya membuat kesimpulan bahawa stress yang tidak terkawal dan kemurungan boleh menyebabkan kerasukan jin. Ini juga pernah disebut oleh Syeikh Wahid Abdus Salam Bali dalam buku beliau yang orang yang banyak berkhayal juga berpotensi untuk dirasuki jin kerana pada ketika itu jiwa dan fikirannya kosong.

Wallahu 'alam...

Selasa, 6 Oktober 2009

Payah...

Perkataan yang sering dikeluh dalam hidup, susah dan payah. Berlaku apabila dugaan datang menimpa. Fitrah insan, berkeluh-kesah dan tak pernah puas dengan apa yang ada. Teringat dengan kata-kata seorang guru sufi, dunia umpama air laut, semakin diminum semakin menambah haus. Bila diuji terasa jiwa memberontak, hati gundah-gulana, dada terasa sesak dan marah yang tidak terkawal.

Dalam ilmu tasauf, hati yang tidak tenteram menggambarkan cara hidup dan personaliti seseorang. Ini dapat dilihat melalui roman muka seseorang. Contohnya, wajah orang alim dengan peminum arak atau pembuat maksiat, tentulah jauh bezanya kerana cara hidup yang tidak sama.

Payah, satu perkataan yang dah sinonim dalam hidup kita, akan saya huraikan dalam posting blog kali ini ialah mengenai apa yang saya lihat dan teliti di sekeliling saya. Saya telah mengalami situasi 'payah' itu semenjak pulang dari ofis tadi.

Kepayahan kena 'bom' bos masa meeting kerana tak prepare sebaiknya mengenai info tugasan saya...

Kepayahan kena balik berhujan kerana parking kereta kat kampung Boyan, kena jalan kaki dari ofis dan menyeberang sungai Sarawak...

Kepayahan mengunyah makan menemani mak dengan ayah waktu berbuka. Kunyah nasi, sakit. Sumbat ayam panggang dalam mulut, sakit. Minum air bandung, sakit. Berulam, pun sakit.

Kepayahan membaca bacaan dalam solat masa kat surau tadi. Entah betul ke tak tajwid dan makhraj, dek disebabkan lidah yang 'bermasalah'.

Mana tak sakitnya, hujung lidah kena ulser! Dah 4-5 hari dah wei! Sakitnya tak terkata. Nak bercakap payah, nak solat pun payah...

Itulah kepayahan yang saya hadapi kali ini... Luka lidah sikit, mood jadi tak tentu arah. Nak marah pun ada. Baru sikit je Allah tarik nikmat, jadi tak keruan hidup. Insaf weh...

Birthday Bash At Office... Again???

Blur... Pahal nih?

Masih keliru... Pahal bebudak opis ni senyum2 kat aku? Siap ucap tahniah lagi?

Laaa.. Surprise birthday cake rupanya. Alahai, terharu la pulak. Thanks to all SPNB staff. Really appreciate it!

Alhamdulillah, genap 29 tahun umur saya tahun ni.

Bersama Penghulu Project Implementation, Tuan Wenndy (kiri) dan Airwan (kanan).


Sempat pulak budak Radzi ni jadi model kek...


Nisa, nak jadi model cake jugak...

Ahad, 4 Oktober 2009

Rumah Terbuka... Yang Sentiasa Terbuka...

Sabtu, tiada apa yang menarik untuk dilakukan, kecuali pergi 'mengembara' ke The Spring bagi mencari buku dan minyak wangi. Di MPH, terjumpa pula dengan Sir Habeeb dan adiknya, Habeeb Aziz. Habeeb Aziz ini saya kenal sejak sekolah kerana dia pernah ikut usrah ustaz Soleh Hamden. Saya 'mengembara' seorang diri di The Spring tanpa teman, tidak seperti yang lain yang ada couple atau kawan, namun saya selesa berjalan seorang diri seperti ini kerana berasa lebih bebas dan tenang. At least untuk hari ini sahaja. Lagipun, saya tak berani nak ajak kawan lain 'mengembara' bersama kerana mungkin mereka juga ada hal peribadi yang perlu diuruskan.

Sabtu malam, saya menghadiri 2 rumah terbuka, satu di Matang Jaya dan satu lagi di rumah sepupu saya, Awin di Batu Kawa. Suasana raya masih nampak meriah walaupun sudah 2 minggu berlalu.

Di Matang Jaya, saya menghadiri rumah terbuka dan doa selamat untuk Izwan Hadi, salah seorang rakan saya di ESQ. Ramai alumni dan ATS hadir untuk memeriahkan majlis. Suasana nampak ceria dan gembira. Selesai Maghrib, ada tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz. Kemudian kami solat Isyak berjemaah dan berdoa.

Acara makan adalah acara kemuncak dalam mana-mana majlis. Demikian jugalah di rumah tersebut. Nasi minyak dan gulai ayam masak kari, daging msak kicap adalah hidangan utama. Saya makan dengan berselera sekali. Kemudian saya beramah mesra dengan tuan rumah dan kawan-kawan yang lain.

Saya terpaksa berpamitan lebih awal dengan tuan rumah kerana hendak ke Batu Kawa. Sebelum berpisah, sempat juga Nazmi, salah seorang ATS ESQ memberi saya hadiah sempena harijadi saya bulan lepas. Terharu juga saya dengan pemberian ikhlas tersebut.

Semasa driving, terlihat pula sepasang kekasih sedang memadu asmara di tepi longkang. Astaghfirullah, tak senonoh betul. Sampai tepi longkang pun boleh buat dating. Saya hanya mampu mengeluh dan berdoa supaya sepasang kekasih tersebut sedar akan kesalahan mereka.

Di Batu Kawa, saya beraya pula dengan saudara-mara sebelah bapa. Rumah Auntie Bedot waktu itu memang meriah. Ramai juga yang datang. Awin tiada di rumah kerana terpaksa ke kampus untuk menghadiri discussion. Irca pula datang lambat kerana overtime kerja di ofis. Saya bersembang dengan Kiky, salah seorang sepupu yang paling rapat dengan saya.

Kedatangan Irca tidak lama selepas itu merancakkan lagi perbualan kami. Ini diikuti pula dengan seorang lagi sepupu saya, Yoyo yang dah menjadi bapa kepada seorang putera. Kami memang rapat sejak kecil. Membesar bersama, bermain bersama dan kami kerap juga bercerita memori lama semasa nenek masih hidup bagi mengenang kisah lalu jika ada kesempatan berkumpul bersama. Sempat juga Kiky bercerita kisah Awin diganggu bunyi aneh pada malam sebelumnya, yang saya rasa insya Allah akan diceritakan dalam posting yang akan datang.

Awin merupakan sepupu saya yang paling kerap diganggu jin, walaupun tidak sampai dirasuk. Saya kerap menasihati Awin agar teguh dan kuat dalam menghadapi gangguan jin dan sentiasa berzikir sebagai pendinding diri. Apa yang saya kagum dengan Awin ialah dia sangat kuat semangat dan tidak pernah mengalah dengan gangguan-gangguan yang berlaku ke atas dirinya.

Ahad, 4 Oktober 2009

Ramah Tamah Aidilfitri di HIKMAH Kuching. Ini turut saya hadiri kerana saya bertugas di bahagian protokol. Saya datang agak lewat, iaitu kira-kira jam 9:30 pagi. Ucapan dari ustaz Soleh telah pun bermula. Ramai ikhwah dan akhawat yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut. Kami beramah mesra dan pelbagai cerita disembangkan. Suasana sungguh indah dan harmoni.
Bersama Ustaz Soleh dan anak beliau, Syahmie.

Menu makanan juga sedap. Kali ini kami menggunakan khidmat katering, kerana sebelum ini selalunya akhawat yang memasak di rumah dan membawanya ke dewan. Diiringi dengan lagu-lagu raya, suasana nampak ceria dan meriah sekali.

Petang pula ada open house raya di Perumahan Kampung Tunku. Masya Allah, makanan sedap banyak sekali dihidangkan. Sekali lagi saya 'berpajuh' (mentekedarah dalam bahasa semenanjung)sampai-sampai senak perut. Huh, nampak rupa gaya naik lagi balik la berat badan ni. Sesi beraya rumah kawan di Perumahan Kampung Tunku
Suasana kemeriahan masih terasa walaupun Aidilfitri dah 2 minggu berlalu.

Petangnya saya pulang dan selesai solat Asar, saya bersembang dengan orang tua saya di luar rumah. Macam-macam perkara diceritakan. Lebih kepada hal-hal kehidupan.

Selesai solat Isyak, saya keluar dengan seorang kawan saya yang saya gelar 'A Good Listener' bagi bercerita tentang perkara-perkara serius. Saya selesa bercerita dan berkongsi masalah dan pendapat dengan kawan saya ini kerana beliau bijak dalam menyampaikan pendapat dan seorang pendengar yang baik. Walaupun ada juga kami berbalah pendapat dan tidak setuju antara satu sama lain dalam sesetengah perkara, namun kami masih lagi saling menghormati kerana akur dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Bersembang dengan kawan saya ini sedikit sebanyak melegakan dan meringankan beban masalah yang sedang saya hadapi ketika ini.

Masalah dunia... Tak pernah habis. Hanya kepada Allah saya berserah.

Wallahu 'alam...

Jumaat, 2 Oktober 2009

La Tahzan... Jangan Bersedih...

Satu hari, seorang anak usrah mengadu kepada saya masalah yang sedang dialaminya.

"Bg Asri, kenapa Allah menguji manusia? Saya sedih sekarang ni. Orang dah tak sayang saya lagi. Semua orang menyisihkan saya. Masa happy, semua orang ada. Masa saya sedih, saya tinggal sendirian. Takde sorang pun yang menemani saya. Apa salah saya?".

Saya termenung, agak lama juga saya termenung. Macam mana ni? Saya berfikir sedalam-dalamnya untuk memberi jawapan yang paling bijak dan memuaskan hatinya.

"Kenapa awak berfikir begitu?" Saya bertanya bagi mencungkil masalahnya dengan lebih dalam.

Dia termenung, menampakkan riak sedih di raut wajahnya. Saya bersikap tenang dan cuba 'menyejukkan' suasana agar tidak terlalu tegang. Khuatir juga kalau budak ni menangis. Saya pantang sikit menengok orang menangis.

"Entahlah, saya rasa diri saya makin hari rasa tersisih. Saya kesunyian, bang. Best friend saya pun dah tak macam dulu lagi. Kami macam dah tak rapat. Dia pun dah macam dapat kawan baru yang lebih baik dari saya. Saya sedih, bang." Anak usrah saya meluahkan apa yang mendongkol di dadanya.

Saya menghela nafas panjang. Kes kena tinggal kawan la ni. Saya mengurut dagu dan berfikir.

"Andy (bukan nama sebenar), hidup ni ada macam-macam dugaan. Allah dah takdirkan semua dugaan kepada kita. Tujuan dan hikmah takdir kepada kita semua ialah untuk kita selami dan terokai kenapa Allah buat begitu kepada kita. Contohnya, Andy kena tinggal kawan. Andy tentu rasa sedih kan? Sedih tu kan fitrah? Kalau kita sedih ketika diuji maka itu fitrah namanya."

"Allah mahukan kita kembali kepada fitrah. Fitrah yang suci dan kudus. Fitrah ni sangat rapat dengan Zat Ilahi, iaitu Allah. Makanya, bila kita ditimpa musibah dan dugaan, kita kembali kepada Yang Maha Memberi fitrah tersebut."

Andy melihat wajah saya, nampak sedikit aura positif pada roman mukanya.

"Abang lihat, Andy dah banyak nikmat yang Allah bagi. Andy datang dari keluarga orang kaya, mak ayah orang besar dan berkedudukan. Andy juga pandai dan pintar dalam pelajaran. Andy juga ramai kawan, malahan Andy juga banyak peminat di kalangan perempuan. Kalau nak pilih girlfriend boleh main petik jari je."

Andy tersenyum sumbing. Malu agaknya. Alhamdulillah, at least saya saya dapat melegakan perasaan gundah di dalam hatinya.

"Andy, ingatlah. Dalam hidup ni, tak semua kita dapat. Ada sebahagiannya Allah tahan dan simpan untuk kita di akhirat. Dalam 10, mungkin Allah bagi 6 atau 7 sahaja. Selebihnya Allah simpan. Kita jangan sangka yang kita boleh dapat kesemuanya di dunia ni. Cuba Andy lihat, ada orang kaya, harta melimpah ruah, seolah-olah dia berkecukupan dan rezekinya banyak. Tapi, tak ada zuriat walaupun dah bertahun berkahwin. Hiduplah si kaya dalam kesunyian."

"Si miskin pula, walaupun tak banyak harta, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tapi anaknya ramai. Lebih lagi, anak-anaknya pandai belaka dalam pelajaran. hati si miskin tenang dan tenteram, walaupun hidup dalam kemelaratan. Tapi dia punya anak yang berjaya. Dari situasi ni, Andy nampak tak keadilan Allah SWT?"

Andy mengangguk.

"Andy, Allah 'hilangkan' bestfriend Andy tu mungkin untuk Andy luang lebih masa dengan Allah. Ingat Andy, orang yang hatinya sentiasa bersama Allah, tak akan berasa sunyi. Dia sentiasa merasakan ada teman yang setia menemaninya ke mana sahaja dia pergi."

"Kesimpulannya, 'berkawanlah' dengan Allah, berkasih @ bercintalah dengan Allah. Dia tak pernah meninggalkan dan mengecewakan kita. Kita saja yang selalu meninggalkanNya." Saya menutup sesi kaunseling 'tak rasmi' tersebut.

Andy tersenyum tanda faham. Nampaknya dia berpuas hati dengan penerangan saya. Kami berpisah setelah bersalaman.

Saya bukanlah seorang kaunselor, malahan saya tak pernah pun belajar tentang kaunseling. Tetapi bila ramai orang datang minta nasihat dan mengadu masalah, saya kena juga bijak dalam mendengar dan memberi kata-kata nasihat. Ini pada saya agak janggal pada mulanya namun setelah beberapa lama saya semakin biasa dengan keadaan ini. Malahan saya belajar pula sesuatu dari pengalaman dan masalah yang mereka hadapi secara tidak langsung.

Masalah yang dialami Andy itu tadi bukanlah perkara yang jarang kita dengar. Ini berlaku kepada semua remaja. Masalah kawan, girlfriend @ boyfriend, berjauh hati, makan hati dengan perangai kawan, merajuk dan lain-lain, itu semua rencah kehidupan remaja.

Saya yang pernah melalui zaman remaja juga pernah mengalami masalah yang dinyatakan. Makan hati dengan perangai kawan adalah msalah yang paling selalu dialami remaja. Kalau dulu selalu juga makan hati tengok perangai kawan, tapi sekarang saya dah immune dengan semua keadaan tersebut. Cuma masalahnya, sekarang keadaannya terbalik. Ramai orang yang berjauh hati atau makan hati dengan saya, mungkin kerana sikap saya yang 'tiada perasaan' apabila ada segelintir individu yang minta perhatian dari saya, tapi saya buat selamba saja.

Entahlah, saya pun hairan dengan perangai saya sendiri. Mungkin faktor genetik agaknya.

Wallahu 'alam...