Selasa, 19 Oktober 2010

Pergi Tak Kembali...

Allah mengatur alam dengan cara yang paling indah sekali. Segala-galanya dalam keadan yang tersusun dan harmoni. Allah ciptakan lelaki, maka lawan jantinanya ialah perempuan. Ada gelap dan cahaya, ada lembap dan kering, ada langit dan bumi, dan ada hidup dan mati...

Sebelum saya memulakan penulisan ini, marilah kita bersama-sama beristighfar dengan hati yang tulus dan ikhlas, serta tenangkan fikiran anda semua, bukalah pintu hati anda semua bagi menyelami maksud dan makna di sebalik entry kali ini.

Tengahari tadi, saya dan beberapa rakan ofis, Tuan Wenndy, Airwan, Azry dan Faizul pergi ke Jln Hj Taha untuk makan tengahari di restoran Satay Ceko, yang terkenal dengan keenakan sate dan ayam penyetnya. Asal mula cadangan ialah nak tapau, tapi akhirnya kami duduk dan makan di restoran tersebut, bagi menikmati suasana makan tengahari di luar ofis. Lama juga tak makan tengahari kat luar ofis. Selalunya kami bungkus makanan dan makan di pantry sahaja.

Keenakan ayam penyet yang menjadi menu utama kami tengahari tadi memang tak dapat dinafikan lagi. Sambil makan, kami bersembang pelbagai perkara. Topik perbualan lebih kepada hal kerja, keluarga dan lain-lain. Saya gemarkan suasana seperti ini kerana selain meringankan beban di kepala disebabkan kerja ofis, suasana ini juga mampu menumbuhkan kasih sayang serta mengeratkan lagi hubungan sesama rakan sepejabat.

Usai makan, kami pulang ke ofis, itupun setelah singgah sebentar di Hopoh kerana Tuan Wenndy hendak membeli majalah. Sampai sahaja kami di ofis, saya melihat rakan sepejabat, Aziza berdiri di depan pintu pejabat bos sambil menangis. Aziza meminta izin dari bos untuk pulang. Saya yang sedikit penasaran, bertanya kepada Aziza mengapa dia menangis.

Dia hanya berjalan tanpa menjawab soalan saya...

Aziza merupakan di antara rakan sepejabat yang rapat dengan saya. Suaminya juga rakan baik saya, yang saya kenal baik semenjak di bangku sekolah lagi. Berpewatakan ceria, Aziza sering juga membuatkan suasana ofis menjadi 'kamboh @ gamat' dengan keletah cerianya. Aziza selalu juga berkongsi dan bertukar pendapat dengan saya mengenai beberapa perkara, hal ini kerana Aziza adalah seorang yang berfikiran terbuka dan mudah untuk diajak berbincang.

Satu tabiat Aziza yang sampai sekarang saya masih tak paham ialah kegemarannya yang pelik iaitu suka makan ais batu, sehingga kadang-kadang kalau dia mengunyah ais batu di pantry, saya boleh mendengar dari tempat saya. Pernah juga saya berseloroh dengan dia, mungkin ada jin ais dalam badannya. Dia hanya ketawa mendengar gurauan saya.

Hari ini adalah pertama kali saya melihat Aziza menangis, menyebabkan saya ingin tahu apa puncanya dia bersedih. Saya menghantar BBm kepadanya untuk bertanyakan keadaannya. Aziza menjawab bahawa Nek Usu kesayangannya meninggal dunia, baru sebentar tadi.

Saya terkedu...

Sunnatullah...


Kematian adalah sesuatu yang pasti, yang tidak akan dapat dielak oleh semua ciptaan Allah dimuka bumi ini. Yang muda akan tua, yang sihat akan sakit, dan yang hidup pasti mati. Inilah yang dipanggil sunnatullah, peraturan yang telah Allah atur semenjak azali lagi.

Peristiwa kehilangan orang kesayangan ini pernah saya alami beberapa tahun yang lalu. Saya sendiri, semasa kematian nenda kesayangan, Hjh Seniah merupakan salah satu dugaan hebat dalam hidup saya. Nenda Hjh Seniah merupakan nenek sebelah bapa, berketurunan Jawa Betawi. Nenda Hjh Seniah yang mesra dipanggil Nek Yah sangat rapat dengan cucu-cucunya. Saya merupakan di antara cucu yang paling rapat dengan beliau. Dengan Nek Yah lah, saya mula belajar untuk mengenal solat, huruf-huruf Quran dan ilmu agama. Nek Yah seorang yang sangat warak, dan sangat patuh kepada ajaran agama.

Nek Yah seorang yang sangat lemah lembut. Beliau tidak pernah mencubit atau memarahi cucunya, apa lagi merotan. Cara beliau menegur penuh dengan kasih sayang. Hanya dengan sedikit teguran lembut, mampu membuatkan cucu-cucu malah anak-anaknya menjadi 'cair' dan malu untuk mengulang kesalahan yang sama. Berbeza dengan suaminya, Nenda Hj Basir @ Nek Ncek, sosok tegap berbangsa Minang ini cukup tegas dan 'garang' dengan kami. Kalau bermain waktu sembahyang, alamat berbiratlah belakang badan kena libasan maut tali pinggangnya. Datuk saya ini, cukup pantang kalau mendengar anak-anaknya mengomel @ komplen tentang makanan, alamat kena herdiklah mereka dengan suaranya seperti godzilla tengah kelaparan.Oleh itu, time makan semua anak-anaknya kena senyap. Kalau boleh bunyi jarum jatuh pun boleh dengar. Itulah cerita yang pernah saya dengar dari Wa Bujang,pak long saya merangkap abang kepada ayah saya.

Dua personaliti yang berbeza inilah menjadi sebab untk kebahagian keluarga kami sehingga ke anak cucu. Saya bersyukur dan berbangga dengan datuk dan nenek saya.

Kembali kepada cerita Aziza, Nek Usunya tinggal di rumah pusaka di Jalan Hj Taha, bersebelahan dengan sekolah Chung Hwa. Ketika cuti sekolah, Aziza dan sepupunya akan 'berambeh' (menginap) di rumah Nek Usunya dan bermain masak-masak di situ. Dengan menggunakan peralatan dan permainan biasa, mereka akan bermain di rumah tersebut dalam suasana riang gembira. Ketika air pasang, Aziza dan sepupunya akan bermain air sehingga kotor baju.

Tidak jauh dari rumah Nek Usunya, terdapat sebuah kedai buku. Ketika hendak menyeberang jalan raya, Aziza dan sepupunya akan bergandingan untuk ke kedai buku tersebut, dengan diperhatikan oleh Nek Usunya dari beranda rumah tersebut bagi memastikan cucu-cucu kesayangannya selamat sampai ke seberang jalan.

Namun kini rumah itu sudah tiada lagi disebabkan pembesaran jalan dan pembangunan kawasan Jln Hj Taha. Walaupun demikian, saya yakin kenangan indah tersebut masih terpahat kukuh di dalam minda dan jiwa Aziza dan sepupu-sepupunya...

Kehilangan Nek Usu amat terasa di jiwa Aziza. Saya tahu kerana saya sendiri pernah mengalami apa yang dialami oleh Aziza.

Kenangan bermain dengan sepupu di kawasan rumah nenek di Kpg Stapok, akan tetap saya kenang sampai bila-bila. Agak terpencil dari rumah kampung yang lain, rumah nenek yang sederhana besar itu terletak di tepi hutan dan hanya sebatang jalan yang lalu di kawasan tersebut. Di tepi rumah nenek terdapat kawasan tanah lapang yang besar dan kami kerap bermain bola di situ. Selain itu, kami juga sering barmain police and thief, kayu tiga, main gagak dan lain-lain permainan yang biasa dimain oleh rakan yang sebaya dengan kami pada ketika itu.

Peristiwa dikejar angsa semasa pulang mengaji dari rumah Pak Liman juga masih segar dalam ingatan saya. Kadang-kadang, saya selalu juga tersenyum seorang diri apabila mengenang peristiwa lucu tersebut.

Kehilangan Nek Yah benar-benar menyedihkan saya. Pada ketika itu, saya dalam perjalanan ke Sarikei untuk lawatan tapak. Ketika itu, Nek Yah telah admit di Hopsital Umum Sarawak. Menyangkakan bahawa mungkin Nek Yah akan pulih, saya meneruskan hasrat saya untuk traveling walaupun pada mulanya saya dinasihatkan oleh boss saya untuk emergency leave. Saya enggan mengambil emergency leave kerana menyangkakan bahawa Nek Yah tidak menghidap penyakit kronik, hanya sakit biasa sahaja, itulah tanggapan saya pada masa tersebut.

Namun ketika sampai di Siburan untuk mengisi minyak, ternyata sangkaan saya meleset. Nek Yah meninggal dunia, demikian yang saya dengar setelah menerima panggilan dari Abg Ziezie. Saya rasakan dunia nak gelap. Dengan perasaan yang ditahan-tahan, saya meminta Faizul, teman saya ketika itu untuk menghantar saya kembali ke hospital di Kuching.

Sebaik saya menatap wajah Nek Yah yang kaku, saya meraung sepenuh hati. Saya menyesal kerana tidak bersamanya ketika Nek Yah menghembuskan nafas terakhir. Nenek kesayangan saya telah pergi. Namun menangis air mata darah sekalipun dah tak berguna. Nek Yah telah kembali menghadap Penciptanya.

Sukar juga hendak menerima hakikat kehilangan Nek Yah pada ketika itu. Ayah dan mak berada di Australia semasa Nek Yah meninggal dunia. Sebaik menerima berita buruk itu, ayah dan mak segera bergegas pulang. Ayah paling sedih kerana tidak bersama Nek Yah semasa Nek Yah sakit. Pada ketika itu ayah mengikut mak untuk menghadiri acara kemuncak perhimpunan jururawat sedunia di Australia.

Sepanjang 100 hari kematian Nek Yah, alunan bacaan Quran tidak pernah putus di rumah Kpg Stapok. Kami amat terasa akan kehilangan Nek Yah.

Takdir amat ganjil sifatnya. Sebagai hamba, kita kena belajar untuk menerima takdir. Allah mempunyai hak ke atas para hambaNya, untuk mencorak takdir yang bagaimana yang Dia mahu. Kita hanya mampu pasrah dan berserah dengan ketentuan Allah, hendak melawan, dosalah jawabnya. Namun yakinlah bahawa setiap takdir mempunyai rahsia tersirat yang hanya Allah lebih mengetahui, kerana fikiran kita terlalu dangkal untuk memahami dan mengerti intipati takdir.

Walau apapun, takdir Allah bukanlah bertujuan untuk menzalimi manusia, sebaliknya ia adalah untuk kebaikan dan manfaat kepada manusia itu sendiri.

Belajarlah untuk memahami dan menerima takdir, walaupun ia hakikat yang sukar difahami dan amat pahit untuk ditelan...

p/s: Maaf, mungkin entry kali ini agak emosional sedikit. Namun tujuannya tidak lain, hanya untuk berbagi rasa dan perasaan bersama. Sila komen untuk entry kali ini. Syukran...

Selasa, 12 Oktober 2010

Sakit Rohani...


Sakit jasad @ badan ramai yang sedar, namun sakit rohani, jarang-jarang manusia sedar. Termasuklah saya sendiri...

Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. Setiap hari kita berdepan dengan pelbagai ragam manusia yang kadang-kadang susah untuk difikirkan malahan sofistikated untuk dicerna oleh akal fikiran kita. Lantas, ada sesetengah orang enggan terlalu memikirkan permasalahan dan tidak mengambil ibrah yang berlaku di sekelilingnya sehingga menyebabkan ia rugi kerana setiap peristiwa mengandungi hikmah yang telah ditakdirkan Allah untuk mengajar manusia mengenai hakikat kehidupan.

Satu pagi semasa dalam perjalanan kerja, saya memarkirkan kereta di Hills Shopping Mall, bangunan baru yang terletak tidak jauh dari pejabat saya. Setelah parkir di sana, saya hanya perlu berjalan kaki kira-kira 5 minit untuk ke bangunan Sommerset Gateway, di mana terletaknya pejabat SPNB. Saya, Azry, Saiful dan Radzi sering juga memarkir kereta di sana kerana bayaran untuk sekali masuk hanya rm 1 berbanding dengan tempat biasa sebelumnya yang mencecah rm 5 untuk satu hari. Lebih jimat dan hemat.

Semasa berjalan kaki ke pejabat, saya terjumpa seorang lelaki Cina yang kerjanya menghantar suratkhabar ke pejabat-pejabat di bangunan Sommerset. Kami sama-sama menunggu lif, dan sebaik dia melihat saya, dia melemparkan senyuman manis kepada saya. Saya membalas senyumannya kembali. Ternyata saya melihat,ada keikhlasan di sebalik senyum lelaki Cina tersebut. Raut wajahnya nampak tenang, mungkin mood atau perasaanya gembira pada pagi itu.

Lelaki Cina itu berhenti di tingkat 4, manakala saya pula berhenti di tingkat 19. Dalam benak fikiran saya, masih terbayang-bayang wajah lelaki Cina tadi. Apa yang menyebabkan wajahnya nampak tenang? Adakah dia gembira dengan pekerjaanya sebagai penghantar suratkhabar? Atau isterinya baru melahirkan anak? Atau baru menang loteri? Entahlah...

Saya memandang peristiwa tadi sebagai satu bentuk pengajaran ke atas diri saya. Saya akui, kadang-kadang timbul perasaan atau mood malas nak datang ke ofis, disebabkan kerja yang berlambak dan tidak pernah putus. Kita berasa lebih senang untuk duduk di rumah menghabiskan masa bersama dengan keluarga, dan dalam masa yang sama, wang sentiasa mengalir masuk ke dalam akaun kita. Kita berasa enggan untuk bekerja tetapi dalam masa yang sama kita mahu duit masuk. Kita merasa berat hati untuk pergi ke tempat kerja kerana jemu dan muak dengan tugasan yang diberikan, ditambah lagi dengan politik ofis yang bukan calang-calang 'bisanya', sehinggakan ada rakan sepejabat main tikam dari belakang tanpa kita sedari.

Kita lebih senang untuk menghabiskan masa begitu sahaja, bermain dan membuat perkara yang kita suka setiap hari tanpa perlu bimbang dengan tugasan dan kerja. Saya yakin, semua orang mengimpikan hidup bebas, tidak tunduk dan bekerja di bawah orang lain. Namun zaman ini menuntut kita untuk bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup, walau dengan apa cara sekalipun, ikhlas atau tidak, kita terpaksa bekerja untuk terus hidup di bumi Allah yang luas ini.

Natijahnya, ramai yang jadi sakit rohani. Yang kaya bertambah kaya, si miskin merempat dan melarat. Kezaliman dan penindasan berlaku secara halus dalam pejabat. Rasuah dan penyelewengan berlaku secara berleluasa. Pihak atasan menindas orang bawahan. Sang ketua a.k.a bos merasa besar, takbur, sombong dan ujub diri. Semua keputusannya wajib ditaati. Idea dan buah fikirannya lebih untuk kepentingan diri sendiri, sama ada untuk keuntungan material mahupun nama.

Manakala orang bawahan pula, lantaran tidak puas kerana penindasan dikenakan ke atas dirinya, menjadi tidak redha dengan takdir dan kehidupannya. Kutuk-mengutuk, caci-mencaci menjadi 'nyanyian' lidahnya saban hari bagi meluahkan apa yang terbuku di hati. Orang atasan dikutuk dan diumpat, konon bagi menyatakan ketidakpuasan hatinya, sedang dalam tidak sedar dia telah melakukan dosa mengumpat.

Belum lagi cerita kawan makan kawan, tikam-menikam dari belakang. Di depan nampak baik, tapi di belakang ia khianat terhadap kawannya. Inilah politik ofis yang berlaku di mana-mana. Golongan agama juga tidak terlepas dari gejala politik ofis ini. Selagi bernama manusia, selagi itu dosa wujud...

Keadaan ini berterusan lagi dan lagi, di mana-mana sahaja, ada dan akan sentiasa ada apa yang dipanggil politik ofis. Keadaan seperti ini amat menyedihkan saya, dan boleh menyebabkan motivasi untuk bekerja menurun dan merudum. Sifat ikhlas bkerja boleh hilang, amanah boleh jadi khianat, dan seterusnya...

Lalu lahirlah manusia yang bekerja hanya untuk makan gaji, bukannya kerana menunai amanah. Datang kerja pukul 8, balik pukul 5. Cukup bulan ambil gaji. Kerja dilaksanakan tanpa sifat ikhlas. Kasih sayang dalam ofis telah hilang, hinggakan wujud suasana kaku, sejuk, jumud dan menyeramkan dalam pejabat, sampai-sampai menyebabkan pekerja tidak betah duduk lama dalam pejabat.

Keadaan ini berlaku terus-menerus di semua tempat, sehingga memaksa saya berfikir, apakah punca masalah ini semua. Meletak jawatan bukanlah satu penyelesaian yang baik, kerana jika kita resign pun, belum tentu tempat kerja baru itu lebih baik dari tempat kerja lama.

Apa tips untuk mengatasi semua ini? Saya ada beberapa tips @ petua yang saya amalkan untuk dikongsi dengan pembaca semua. Mungkin tips ini tidaklah dapat menyelesaikan masalah penyakit rohani @ politik pejabat seratus peratus, namun saya berpendapat ia sedikit sebanyak boleh menaikkan semangat kerja kita ketika hendak pergi ke pejabat kelak. At least taklah down sangat mood nak turun kerja, kan?

1. Selepas solat Subuh, ciumlah bau-bauan yang harum dan wangi. Ini boleh menaikkan mood dan menguatkan semangat.

2. Berwiridlah dan berzikirlah selepas solat Subuh, jangan sesekali tinggal wirid. Kalau kesuntukan masa, bacalah wirid yang ringkas. Wirid juga boleh dibaca ketika memandu kereta ke tempat kerja.

3. Mendengar muzik dalam kereta, saya cadangkan dengar nyanyian selawat dan Asmaul Husna.

4. Apabila sampai ke ofis, sebaik melangkah ke pintu pejabat, bacalah Bismillah.

5. Lemparkan senyuman kepada semua rakan dalam pejabat, walaupun mood anda kurang baik pada hari itu. Ingat, anda akan dapat apa yang anda beri. Jika anda memberi kebaikan kepada orang lain, insya Allah anda akan dapat balasan baik juga.

6. Pedulikan apa orang lain kata tentang diri anda. Kalau orang puji, ucap terima kasih dan pujilah Allah. Kalau orang kutuk, persetankan mereka!

7. Ini paling penting dan paling berat nak dibuat, MAAFKAN MEREKA YANG PERNAH MENYAKITI HATI ANDA. (semoga Allah permudahkan saya memaafkan orang yang menyakiti hati saya...)

8. Berakhlak baiklah sesama rakan sepejabat. Bertuturlah dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.

9. Kepada ketua-ketua unit atau jabatan, kalau nak suruh orang bawahan buat kerja, suruhlah dengan tingkah laku dan akhlak yang baik. Jangan memerintah dengan suara yang keras. Walaupun anda seorang ketua, anak buah anda berhak mendapat layanan baik seperti anda juag. Mereka adalah manusia, bukan hamba abdi atau binatang.

10. Jangan khianat. Tunaikanlah amanah yang diberikan dengan baik.

11. Persetankan orang yang cuba menjatuhkan anda. Allah adalah sebaik-baik tempat sandaran, bukan boss dan lain-lainnya.

12. Jika ada pengampu di ofis anda, biarlah dia hanya sekadar seorang kawan. Jangan kongsi rahsia anda dengannya.

13. Simpan dan tutup aib kawan-kawan anda. Jangan sebarkan. Jika anda melihat rakan anda melakukan kesalahan, tegurlah dengan hikmah. Ajak dia duduk bersama dan jauh dari orang lain. Jangan tegur kesalahan rakan anda di depan staf-staf pejabat yang lain.

14. Banyakkan berdoa. Jika anda rasa anda ada buat kesalahan dengan rakan sepejabat, mintalah maaf kepadanya. Turunkan ego anda. Anda tidak akan terhina kerana meminta maaf.

Wallahu 'alam...

(Suatu ketika, saya melihat seorang lelaki gila sewaktu berjalan di India Street. Semasa saya sedang mencari barang, di celah-celah orang ramai itu, saya terlihat orang gila tersebut menyanyi, berteriak dan bercakap seorang diri. Orang ramai tidak mempedulikan orang gila tersebut. Ye la... orang gila, apa yang specialnya?

Terfikir dalam benak fikiran saya, alangkah bahagianya orang gila ini, dia tidak perlu bekerja, kehidupan dan rezekinya dijamin Allah, cukup dengan belas ihsan orang ramai, dia tidak perlu stress memikirkan urusan kerja di pejabat, dia tidak berhasad dengki dengan orang, dan orang juga tidak mempedulikannya, dia tidak perlu menanggung dosa, disebabkan dirinya yang kurang siuman, syarak telah menetapkan dia terlepas dari perintah agama. Dia hidup dalam dunianya sendiri, ketawa seorang diri, menangis seorang diri... ternyata, orang gila juga memiliki kebahagiaannya yang tersendiri...)

Renunglah dengan matahati anda...

Isnin, 11 Oktober 2010

Sakit...

Lama juga tak update blog. Entry paling last ialah Ramadhan lepas. Itupun kisah 2 orang budak mati bunuh diri pasal nak jadi dewa. Apa kejadah...

Maaf banyak-banyak kepada pengunjung blog saya kerana lama tak update cerita. Sebenarnya banyak juga yang nak diceritakan, tapi mood nak menulis belum ada. Bila dah ada mood, alih-alih komputer pulak buat hal, nak sign ini tak dapat, check email pun sama jugak. Frust tak payah cerita lah. Beginilah jadinya bila menangguhkan kerja. KIta tak dapat jangka apa yang berlaku. Semuanya kehendak dan takdir Allah.

Tajuk di atas nak saya sentuh kali ini kerana saya mendengar berita kurang baik dari sahabat baik saya, Anan. Malam tadi saya berBB Messenger (ehem... dah pakai BlackBerry ye..) dengan Anan.

Anan : E, ko(engkau) kat sine (mana)?

Saya : Aku dari masjid Gita, ngagak (jumpa) ust Hashiman. Nak balit (balik) dah tok (ni). Kenak (kenapa)?

Anan : Sikda papa (takde apa2). Nanyak jak (saja nak bertanya).

Saya : Ko (kau) kat sine (di mana)?

Anan : Aku kat spital (hospital)...

Saya : Apahal?

Anan : Bapakku admit. Nya (dia) test MRI isok (esok). Aku berambeh (tidur @ menginap) di sitok (di sini)...

Terkejut juga saya mendengar berita ayah Anan admit hospital. Risau juga saya mendengarnya kerana ayah Anan yang mesra dipanggil pakcik Zen itu sebenarnya seorang yang ceria. Dulu ketika beliau masih sihat, saya sering ke rumah Anan dan melepak di sana. Pakcik Zen seorang yang mesra. Kalau saya datang ke rumah Anan, beliau selalu bersembang dengan saya. Lumrah orang tua, bila bersembang dengan orang muda gerenti sarat dengan kata-kata nasihat yang berguna. Pakcik Zen sering juga bertanya khabar keluarga saya dan memberi kata-kata nasihat untuk bekalan saya di masa hadapan. Selain itu beliau selalu juga berkongsi pengalaman kerjanya ketika muda-muda dulu. Seronok juga mendengar cerita beliau.

Dari dalam kereta yang dipandu oleh Wan Sudirman, sehinggalah ke rumah, saya masih berBB dengan Anan. Saya berjumpa dengan ust Hashiman minta dirawat kerana saya hampir pengsan dalam bilik mandi ketika mandi dan hendak berwudhu' untuk solat Maghrib. Solat pun susah nak disempurnakan, berikutan saya merasakan dada tiba-tiba menjadi sempit dan nafas sesak.

Saya sudahi solat Maghrib dalam kepayahan. Kemudian saya capai buku ruqyah dan membacanya dengan lafaz jahar. Ketika sampai kepada ayat "yursalu 'ala kuma syuwa zumminnari wa nuhasun dan seterusnya dalam surah Ar-Rahman, sakit dada semakin sempit. Saya gagahkan juga untuk menghabiskan bacaan ruqyah tersebut. Masuk ayat "Lau anzalna..." mata jadi berpinar. Saya tetap teruskan bacaan sehingga habis.

Saya ke dapur mencari air zam-zam. Setelah berdoa dan minum, barulah rasa sakit itu hilang.

Khuatir mungkin serangan ghaib, saya menelefon Wan Sudirman untuk menemani saya berjumpa dengan ust Hashiman. Kami Isyak di Gita dan sesi rawatan bermula usai solat Ba'da Isyak. Hasil cerapan ust Hashiman, alhamdulillah tiada gangguan ghaib, cuma darah tinggi.

Beliau menasihatkan saya supaya menjaga pemakanan dan banyakkan bersenam. Namun sempat juga beliau 'membuang' penyakit dari badan saya dan memasang pendinding.

Lega hati bila tiada serangan ghaib. Ye la, bingung juga bila tiba-tiba rasa nak pitam dalam bilik air. Entah-entah serangan jin, nak lagi waktu Maghrib...

Sakit tidak mengenal usia. Sakit boleh jadi ringan atau berat. Siang tadi di pejabat, Harun (staf SPNB) pun dah jatuh sakit dan demam, mungkin kerana keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Tambah lagi kurang tidur dan makan tidak menentu, ini juga boleh menyumbang kepada sakit demam dan sebagainya.

Saya lihat ramai juga yang demam. Musim demam kot...

Salah satu petua yang masih saya pegang hingga kini bagi mengekalkan kesihatan badan ialah sentiasa membiasakan diri dengan makan madu. Ini menjadi amalan saya sejak dulu lagi. Namun, ada orang tua berkata, kalau setakat makan ubat, tapi tak berpantang pun tak jadi juga. Makanya, dalam pada kita makan ubat, hendaklah juga berpantang supaya memperolehi tahap kesihatan yang optimum.

Meminum air suam juga satu petua yang baik. Minum air boleh menyingkirkan toksin dalam badan dengan berkesan. Selain itu air boleh menurunkan suhu badan dan menyegarkan saraf. Orang Cina selalu membawa air suam botol besar dan ini amat menghairankan saya. Saya bertanya dengan seorang Cina tua tentang mengapa orang Cina suka bawa air dalam botol besar. Cina tua itu mengatakan air suam boleh dikatakan sebagai ibu segala ubat. Dengan meminum air kita boleh menghindarkan pelbagai jenis penyakit. Tubuh manusia sendiri terdiri daripada 70 lebih persen air dan jika kita kekurangan air, ia boleh menyebabkan organ badan gagal berfungsi dengan baik. Ada satu pepatah Cina yang berbunyi " Dont Drink When You're Thirsty..." Saya termangu apabila mendengar pepatah tersebut. Kalau dah haus, mesti la kita kena minum. Tapi ini tak, jangan minum ketika kamu haus. Namun setelah diberi penerangan oleh kawan cina saya, barulah saya faham apa maksud pepatah tersebut.

Maksud pepatah tersebut ialah, kita tidak boleh membiarkan badan kita dalam keadaan haus. Jangan dah haus baru nak minum, kita kena sentiasa minum bagi menghindarkan rasa haus. Minum ketika haus yang teramat sangat tidak baik untuk kesihatan.

Hmmm... menarik juga nasihat orang Cina ni ye...

Seperti kata ustaz Soleh, setiap orang ada petua sendiri untuk mengekalkan kesihatan badan. Ada yang minum air suam waktu pagi sebelum gosok gigi. Ini dikatakan baik untuk perut. Tok nenek kita dulu ada satu petua menggigit hujung kain basahan mandi diiringi dengan selawat Nabi bagi menguatkan gigi. Pelbagai jenis petua orang zaman dulu-dulu boleh kita amalkan menurut pandangan saya amat baik untuk kesihatan kita di zaman moden ini, selagi ia tidak bercanggah dengan syarak.

Kontrol Makan...

Lunch tengahari tadi saya makan setengah pinggan nasi dan sedikit lauk. Diet (kononnya...). Khuatir juga bila mendengar kata-kata ust Hashiman malam tadi. Saya akui, saya memang kuat makan. Lebih-lebih lagi bila bertemu dengan makanan pedas dan berminyak. Laksa Sarawak, asam pedas dan ayam penyet adalah di antara menu kegemaran saya. Mi goreng dengan ayam goreng adalah menu utama saya waktu pagi. Selalunya selesai makan saya sudahi dengan air kopi panas atau tongkat ali. Huh, mana tak naik kolestrol. Makan macam 'Urang Rangkak' kata orang Sarawak.

Pernah sekali saya kenduri di rumah kawan saya. Menu 'nasi pengilan' hari itu ialah kari kambing. Saya pun makanlah dengan seleranya, kari kambing memang favourite saya. Tapi sudahnya kepala saya pening dan darah naik. Saya pergi ke farmasi untuk membeli paracetamol dan singgah ke masjid untuk tidur sekejap. Kalau nak drive sampai ke rumah memang tak dapat, kepala dah rasa berat macam batu.

Sejak hari itu saya 'jerak' (serik) makan kambing dalam kuantiti yang banyak. Kalau nak makan pun sikit-sikit sahaja.

Wallahu 'alam...

(akan bersambung, insya Allah...)