Selasa, 16 Februari 2010

Makluman...

Makluman untuk semua pembaca blog, buat masa ini saya mungkin lambat untuk meng'update' dan membuat entry baru untuk blog saya. Banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama kepada anda semua namun saya terpaksa 'berehat' seketika untuk menyelesaikan beberapa urusan penting, yang mana insya Allah akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat, dengan izin Allah.

Banyak peristiwa dan kisah yang berlaku dalam masa terdekat ini yang ingin saya kongsikan dengan anda semua, namun kesempatan untuk menulis itu terbatas, ditambah pula dengan PC yang condemn (CPU tak dapat start), kesibukan aktivit luar, kerja dan lain-lain hingga menggugat masa rehat saya menyebabkan blog ini terbengkalai buat seketika.

Malam ini sepatutnya saya menghadiri program Tafaqquh Fid Dien di Hikmah Pusat Petra Jaya yang akan disampaikan oleh ust Baharudin Mansor, namun terpaksa saya lupakan hajat saya untuk menghadiri program tersebut kerana menerima jemputan dari abg Abdul Rahman Hassan untuk meraikan program di surau Kpg Gersik dan mendengar ceramah di kampung tersebut. Selepas Isyak, ada 'operasi' di kampung Pulo. Seperti biasa, partner saya, Wan Sudirman ikut serta menemani saya.

Kepada para mua'llij, banyak kisah ruqyah yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Pelbagai pengalaman baru yang saya temui sepanjang menjalankan aktiviti merawat di sekitar Kuching baru-baru ini. Pernah saya diminta untuk menyelesaikan satu kes mistik di Desa Wira, dan kes ini merupakn kes baru bagi saya kerana saya belum punya ilmu dan pengalaman untuk mengatasi masalah kes ini. Namun atas bantuan ustaz Fakhruddin dari PRAINS dan ustaz Majid dari AKRINE, beliau sudi mengajar bagaimana untuk mengatasi kes tersebut. Tapi nak kata bukan rezeki, saya tidak berpeluang mengaplikasikan ilmu yang diajar oleh ustaz Fakhruddin kerana kes tersebut telah diambil alih oleh ustaz Hashim Man. Namun saya tidak kecewa, mungkin bukan rezeki saya dan Wan Sudirman untuk menggunakan ilmu tersebut buat masa ini.

Kepada peminat blog yang lain, ada banyak juga kisah kehidupan yang ingin saya kongsikan dengan kalian. Kisah yang sarat dengan pengajaran dan keinsafan, yang berlaku ke atas diri saya dan juga mereka yang ada di sekitar saya seperti rakan-rakan dan saudara-mara saya. Pelbagai hikmah berjaya dicungkil di sebalik peristiwa yang berlaku. Saya yakin ini merupakan didikan adari Allah ke atas diri saya dan menjadi keinginan saya berkongsi dan menyebarkan pengajaran ini kepada kalian supaya dapat diambil manfaatnya.

Saya pada ketika ini juga sedang 'menenangkan' diri dengan cara lebih menumpukan kehidupan rohaniah yang lebih teratur, insya Allah. Hal ini kerana saya perlu menyediakan diri dari segi rohani, mental dan fizikal untuk berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang lebih besar di masa hadapan, yang saya jangka akan berlaku ke atas diri saya tidak lama lagi.

Pada ketika ini juga saya mengambil kesempatan memohon doa dari kalian semua supaya perancangan dan pelan saya berjalan lancar. Doa dari kalian amat saya harapkan dan saya juga menghargai sokongan dari anda semua. Saya yakin kalian lebih mustajab doanya berbanding saya yang masih banyak menanggung dosa dan bertatih dalam usaha menuju Allah. Sokongan dan doa dari kalian amat saya hargai.

Syukran...

Sabtu, 6 Februari 2010

Misteri Batu Katak

Sesiapa yang biasa travelling dengan menggunakan jalan darat untuk ke Miri dan Bintulu di Sarawak ini, pasti akan lalu di sebuah tempat yang terkenal di kalangan kaki ekor. Tempat yang saya maksudkan ialah Batu Katak yang terletak di jalan Sibu - Bintulu, terletak sebuah tempat sembahan kaum Cina atau dalam nama lainnya, tokong.

Perjalanan ke Bintulu bulan Januari yang lepas memberi kesempatan kepada saya untuk merakam gambar dan meninjau kemisterian Batu Katak ini dengan lebih dekat bersama dengan rakan sepejabat saya, Harun. Sebelum ini, saya memang dah maklum dengan kewujudan batu ini kerana kerap berulang-alik dari Kuching ke Sibu, Bintulu, Miri dan Lawas. Pertama kali melihat batu ini telah menimbulkan tanda tanya dalam diri saya, apa yang ganjil dan misterinya batu ini. Rupa-rupanya batu ini adalah tumpuan kaki ekor untuk 'berdoa' supaya nombor yang mereka pertaruhkan di kedai nombor ekor boleh 'naik' dan menang hadiah.

Dari cerita lisan orang persekitaran dan juga info dari Harun sendiri, saya mendapat tahu bagaimana asal mulanya Batu Katak ini.

Dikisahkan, satu jalanraya bertar akan dibina dari Bintulu hingga ke Sibu, namun di tengah laluan jalan tersebut terdapat sebongkah batu yang amat besar. Batu tersebut hendak dipecahkan dengan menggunakan bulldozer, namun bulldozer pula meragam tidak mahu bergerak. Jentolak digunakan, juga tak berhasil. Malah pekerja-pekerja pula diganggu oleh entiti ghaib yang tidak diketahui dari mana datangnya. Pihak kontraktor mengambil keputusan untuk meletupkan batu tersebut dengan menggunakan dynamite. Maka diupahlah pakar bom batu untuk mengambil alih tugas memecahkan batu tersebut. Lubang pada batu besar tersebut pun ditebuk, dan dimasukkan dynamite di dalamnya. Pada saat hendak diletupkan, dynamite tersebut tidak meletup. Digantikan dengan dynamite yang lain, pun masih gagal untuk meletupkan batu tersebut. Akhirnya, pihak kontraktor meninggalkan batu tersebut dan lencongan jalan raya dibuat bagi meneruskan projek tersebut.

Belum lama selepas itu, datanglah seorang cina pergi ke Batu Katak ini setelah mendengar kemisterian batu tersebut. Si cina tersebut melakukan pemujaan dan meminta kepada si penunggu batu agar memberinya nombor ekor yang boleh menang 1st prize. Singkat cerita, si cina tersebut menang nombor ekor dan menjadi kaya tidak lama selepas itu. Sebagai tanda terima kasih, lelaki cina tersebut membina tokong untuk batu tersebut dan sejak hari itu ramailah yang datang untuk memuja dan meminta nombor ekor.

Selain itu, banyak juga kisah misteri yang menyelubungi batu ini seperti ada orang mendakwa diganggu perempuan berbaju putih dan lembaga menakutkan ketika lalu di hadapan tokong ini pada waktu malam. Tokong ini amat mudah ditemui kerana ia terletak di tepi jalan besar menuju ke Bintulu. Saya sendiri merasa kurang selesa ketika berada di situ semasa hendak merakam gambar Batu Katak tersebut.

Pengajaran yang kita dapat dari kisah Batu Katak ini ialah, nilai harga diri manusia boleh jatuh dan hina hanya kerana wang dan kemaruk harta. Ini jelas apabila ada yang buat kerja bodoh dengan menyembah batu dan meminta harta kepada benda majazi (tidak bernyawa. Aqidah yang benarlah yang dapat meningkatkan darjat kita di mata makhluk Allah, bukan dengan menyembah batu dan seumpamanya. Saya berasa sedih, kesal dan marah apabila masih wujud tempat-tempat syirik seperti ini di negara Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara. Apa yang saya khuatirkan, ada pula kelak orang Melayu beragama Islam datang ke tokong ini untuk berhajat dan meminta nombor ekor. Ini tidak mustahil kerana kalau harta dan wang telah mengaburi mata, aqidah pun boleh dijual untuk kepuasan nafsu.

Kalaulah saya ada kuasa sebagai pemimpin, kemungkinan besar saya akan arahkan supaya Batu Katak ini dihancurkan.

Batu Katak

Entah apa la maksud tulisan tu yek?

Harun, jangan nak buat kerja mintak nombor kat batu tu! hehehe



Kata orang batu ini mendapat namanya kerana kalau lihat dari jauh, nampak macam seekor katak.
AMARAN : BERJUDI HARAM DI SISI AGAMA ISLAM!