Sabtu, 3 November 2012

Indahnya Perubatan Islam, Pustaka Negeri Sarawak, Kuching.

Syukur alhamdulillah, pada 13hb Oktober yang lepas, saya dan beberapa orang sahabat telah berpeluang untuk menghadiri seminar "Indahnya Perubatan Islam" bertempat di Pustaka Negeri Sarawak oleh ustaz Sharhan Shafie. Seminar ini adalah anjuran Darussakinah dan Sinar Zamdurrani dalam rangka program kembara dakwah negeri Sarawak.

Setelah sekian lama menunggu guru-guru besar ilmu perawatan Islam dari semenanjung untuk datang ke Sarawak, akhirnya Allah memilih ustaz Sharhan untuk datang dan memncurahkan ilmu beliau kepada penduduk Bumi Kenyalang yang amat memerlukan ilmu ini secara langsung dari batang tubuh yang empunya ilmu itu sendiri. Jika selama ini penduduk Sarawak hanya berkesempatan melihat ustaz dari jauh iaitu menonton televisyen dan mempelajari tips dari sebalik kaca tv, kini kesemua peserta seminar bertuah kerana mendapat ijazah langsung secara talaqi beberapa ayat ruqyah untuk rawatan penyakit zahir dan batin daripada ustaz Sharhan sendiri.

Seminar yang berlangsung selama sehari itu teramat padat sehinggakan ustaz tak menang tangan untuk menjawab soalan yang banyak diutarakan oleh para peserta. Namun ustaz tetap tidak lupa untuk menurunkan ilmu beliau iaitu asas kepada makhluk halus dan alam ghaib, ciri-ciri bomoh dan pawang, asas perubatan Islam, ayat-ayat ruqyah untuk penyakit zahir dan batin, doa untuk anak, ayat untuk penyakit jiwa seperti pemarah dan lain-lain, dan di hujung seminar setelah memberi dan mengajar teknik merawat pesakit histeria, ustaz telah mendapat permintaan pesakit dari Miri untuk dibuang susuknya. Pesakit ini yang dari lagak rupanya mungkin seorang bekas pondan, mengaku telah memasang susuk dengan tujuan untuk kecantikan dan menarik pasangan. Ustaz bersetuju untuk merawat dan pesakit tersebut juga bersetuju untuk dirawat di hadapan peserta seminar sebagai demo untuk membuang susuk.

Sebelum merawat, ustaz melakukan amalan-amalan iaitu zikir dengan tujuan untuk mengeluarkan susuk tersebut. Kami dimaklumkan bahawa ustaz akan melakukan beberapa amalan rohani untuk memudahkan proses mengeluarkan susuk, mungkin juga bertujuan untuk 'menawar' kekuatan jin pada susuk tersebut agar mudah dikeluarkan. Kami melihat si pesakit meletakkan hidung dan mulutnya pada bibir pinggan yang diisi air zam zam. Setelah itu ustaz menepuk-nepuk kepala pesakit sambil menuangkan air zam zam dan membacakan ayat-ayat ruqyah. Dengan izin Allah, susuk tersebut keluar melalui batuk si pesakit dan susuk tersebut merupakan sejenis susuk jarum emas. Susuk itu kemudiannya ditunjukkan kepada semua peserta seminar.

Ustaz Sharhan juga menunjukkan kepada kami demo untuk melemahkan pesakit histeria dan mengijazahkan ayatnya. Selain itu, ada juga beberapa peserta seminar telah diperiksa oleh ustaz dan didapati ada gangguan jin dalam tubuh mereka. Mereka mengakui mereka mengalami gangguan dan sering sakit-sakit. Ketika ayat ruqyah dibacakan, 4 daripada 5 peserta seminar tersebut kerasukan. Ada antaranya yang bertutur dalam bahasa Siam sedangkan peserta tersebut berbangsa Melayu dan tidak pernah belajar bahasa Siam.

Di akhir seminar pada sebelah petangnya ada sesi soal jawab. Inilah sesi yang ditunggu-tunggu dan ustaz menerima banyak soalan seputar makhluk halus dan sihir. Ustaz berusaha untuk menjawab kesemua soalan namun masa tidak mengizinkan kerana beliau terpaksa bergegas untuk bersiap bagi mengisi kuliah Maghrib di Masjid At Taqwa kpg Gita dan merawat pesakit selepas Isyak di lokasi yang sama.

Kami dipesan oleh ustaz Sharhan agar mengamalkan ayat-ayat yang diijazahkan dan merawat orang ramai dengan seikhlas hati tanpa mengenakan caj atau mengharapkan upah. Ayat yang diijazahkan itu selain daripada ayat-ayat rawatan, ada juga ayat pendinding yang bertujuan untuk pelindung diri. Ayat-ayat ini hendaklah diusahakan membacanya setiap kali selesai solat fardhu.

Saya secara peribadi amat berpuas hati dengan seminar ini. Walaupun saya sendiri pernah belajar dan merawat orang, namun banyak juga ilmu baru yang saya perolehi daripada ustaz Sharhan. Ilmu itu bagai lautan luas yang tidak bertepi. Kita fikir yang diri kita sudah berilmu atau cukup ilmu, tetapi jika kita buka minda dan hati kita nescaya kita akan dapati bahawa ada banyak lagi benda yang perlu dipelajari di dunia ini.

Saya juga sudah menggunakan ayat-ayat ruqyah yang diajar dalam seminar tersebut dalam sesi rawatan untuk pesakit saya. Alhamdulillah, berkat ilmu dari ustaz Sharhan dan izin Allah, pesakit tersebut sembuh.

Wallahu 'alam.