Ahad, 21 Disember 2008

Cerita 2 Hari

20 Disember 2008

Wan Sudirman mengambil saya di rumah seawal 7:30 a.m, dalam hujan renyai-renyai lebat itu kami menuju pula ke rumah Jalot untuk turun sama ke Rajah Court bagi menghadiri Seminar Pengubatan Islam anjuran Darussyifa Cawangan Sarawak. Apa yang menarik adalah pembentangan akan dibuat oleh Tuan Guru Dato Haron Din sendiri.

Hujan lebat tidak menghalang ramai peserta untuk menghadiri seminar tersebut. Tuan Guru tiba di Rajah Court kira-kira jam 8:45 pagi. Setelah doa dan ucapan alu-aluan, Tuan Guru membentangkan kertas kerja beliau. Setiap peserta seminar ada diberi nota dan kertas kerja sebagai rujukan bagi memahami dan mengetahui dengan lebih dalam mengenai ilmu, konsep, prinsip dan kaedah-kaedah dalam rawatan Islam.

Pembentangan berjalan dengan baik dan lancar. Tuan Guru amat bijak menarik perhatian peserta seminar, pelbagai ilmu dicurahkan. Tidak kurang juga Tuan Guru berkongsi pengalaman-pengalaman beliau sepanjang 39 tahun sebagai perawat Islam. Tuan Guru juga bijak berjenaka sehingga menyebabkan sesi pembentangan tidak bosan dan hambar.

Ramai juga orang yang dikenal yang saya jumpa di seminar ini. Di antaranya ialah 2 orang bekas peserta kursus urut tradisional Melayu yang pernah saya hadiri tahun beberapa ketika dahulu, orang Kpg Gersik. Selain itu, Ust Shahkri, Encik Anis juga ada terlibat dalam seminar ini. Ust Shahkri menerima ijazah perubatan Islam dalam seminar ini kerana beliau dan beberapa pelatih Darussyifa yang lain telah setahun mengikuti pengajian Darussyifa di bawah asuhan Ust Akram. Selepas seminar di adakan sesi soal jawab, konvokesyen pelatih Darussyifa, sesi bergambar dengan Tuan Guru dan juga sesi rawatan oleh perawat Darussyifa.

Setiap peserta seminar menerima sijil penyertaan dari Darsussyifa. Saya, Jalot dan Wan Sudirman juga membeli buku tulisan Tuan Guru Haron Din bertajuk Ikhtiar Penyembuhan Penyakit yang menghimpunkan pelbagai doa mustajab dan ayat-ayat Quran untuk rawatan dan hajat. Hati terasa berbunga apabila dapat mencium tangan Tuan Guru dan beliau juga sudi menandatangan buku yang kami beli. Bergambar dengan Tuan Guru merupakan pengalamam yang tidak dapat saya lupakan. Sungguh indah sekali.

21 Disember 2008

Kenduri kahwin di rumah Bahtiar. Ramai sahabat dan kawan-kawan yang datang. Walaupun hujan, majlis tetap berlangsung dengan meriah. Gurau-senda, berseloroh dan usik-mengusik memang biasa dalam majlis seperti ini. Lebih teruk lagi bagi yang belum berkahwin seperti saya. Maklumlah, ramai dah sahabat yang kahwin, jodoh saya masih belum sampai. Hmmm, sabar itu lebih baik.

Saya datang ke majlis tersebut dengan Azman. Aied, Kerol, Jalot, Pejai, Sopt, Migie dan lain-lain telah tiba lebih awal. Cikgu Bol dan Ust Sarbini pun hadir sama. Kami berbual macam-macam perkara dan bergurau senda. Begitulah indahnya persahabatan, yang mungkin sukar diperolehi dari hubungan yang ikhlas.

Di sebelah petang saya menghabiskan masa dengan tidur. Sebelum Maghrib saya keluar menuju ke The Spring bagi meninjau buku-buku baru di MPH. Selesai solat MAghrib di surau The Spring saya ke airport bagi mengambil Halik yang tiba dari Bintulu. Selepas itu saya dan Halik ke SCR bagi menikmati makan malam.

Saya menghantar Halik ke Li Wah Hotel, tempat penginapan yang lazim disinggahi oleh Halik jika dia ke Kuching.

Hujan turun lagi. Kancil saya membelah laju jalanraya Kuching yang basah dek hujan semenjak siang tadi.

Hujan, lambang tangisan hari yang Allah lukiskan dalam potret alam. Kuching seolah-olah 'menangis' menurut tafsiran saya, seolah-olah faham dan turut sama dengan 'tangisan' hati saya.

Dia sahaja yang mendengar 'tangisan' hati saya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan