Jumaat, 5 Disember 2008

Hari Yang Mencapekkan...

Bermulanya pagi hari ini dengan acara saya menghantar mak dengan adik saya ke kedai roti mereka yang baru dibuka minggu ini. Kedai roti ini terletak di Kota Samarahan tidak jauh dari Unimas. Madu Bakery, itulah nama kedai yang saya maksudkan.

Pertama kali saya melihat kedai tersebut, membuatkan perasaan teruja untuk berbisnes. Saya masih terpengaruh dengan buku RAHSIA BISNES ORANG CINA tulisan Ann Wan Seng. Buku tersebut benar-benar memberi kesan dan membuka minda saya mengenai dunia bisnes. Bisnes adalah satu seni, ia bukan sekadar satu aktiviti perniagaan di antara tauke dengan pelanggan yang mengutamakan keuntungan tetapi ia lebih kepada hubungan sosial sesama manusia. Bisnes mendidik manusia bagaimana untuk bersosial, mengambil berat, seni bercakap dan berunding, amal kebajikan dan macam-macam lagi.

Saya tidak dapat lama di kedai. Setelah melihat keadaan dalam kedai, saya memecut Kancil saya ke site yang terletak di Sadong Jaya. Bos saya dah telefon mengatakan dia sedang menunggu saya untuk mebuka pintu ofis. Syukurlah ada feri, ini menjimatkan masa dan minyak untuk pergi ke site.

Selepas solat Jumaat dan menyelesaikan kerja-kerja di site ofis, saya mengambil emak dan adik saya di kedai dan menghantar mereka pulang. Selepas Asar ada majlis Makan Hol untuk arwah Wa Mat, sudah masuk setahun Wa Mat meninggal dunia. Saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana terpaksa ke HQ Muhandis untuk submit resignation letter.

Saya terpaksa meletak jawatan atas nasihat mak dan ayah saya. Saya akur dengan kehendak mereka dan saya yakin inilah keputusan yang terbaik. Saya bekerja dengan emak saya membantu menjalankan operasi kedai sementara menunggu offer dari SPNB. Hal rezeki, saya serahkan kepada Allah. Dia lebih Mengetahui.

Semasa menyerahkan surat tersebut kepada Hj Bujang (ketua HR Muhandis), nampak kesedihan di muka beliau. Beliau bertanya sebab saya berhenti kerja, saya kemukakan alsan saya untuk membantu perniagaan keluarga. Saya enggan memberitahu mengenai SPNB khuatir beliau terasa hati. Hj Bujang berusaha untuk berunding meminta saya untuk stay di Muhandis, namun say telah memberi kata putus bahawa saya nekad untuk berhenti. Akhirnya beliau mengalah dan mengatakan notis hanya berkuatkuasa selama sebulan, bukan 2 minggu seperti yang saya pinta dalam surat tersebut. Saya akur.

Terasa kasihan juga melihat riak muka Hj Bujang tadi. :-(

Beliau minta saya mencari pengganti tempat saya kelak, seboleh-bolehnya Melayu dan beragama Islam. Saya katakan kepada beliau saya akan berusaha untuk mecari.

Sampai di rumah saya singgah ke rumah Wa Bibah, sekadar nak menunjuk muka untuk majlis tahlil. Selepas makan saya balik, bersihkan diri dan menunaikan solat Maghrib.

Ada cerita gembira malam ini. Sahabat baik saya, Bahtiar bin Mahidin telah pun selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Marzatul Zanina bt Zabidi. Saya berasa amat gembira dengan hari bahagia sahabat saya ini dan mendoakan semoga mereka bahagi hingga ke hujung hayat. Saya menelefon Bahtiar untuk menyampaikan ucapan tahniah dan tumpang gembira dengan hari bahagianya. Macam biasa, Iman lontarkan soalan nakal dan pedih kepada saya,

"Bang Asri, kitak bila gik?"

Hmmm, soalan yang paling susah saya nak jawab. Bukan tak nak kahwin, tapi masalahnya saya dah single. Kekasih pun takde. Nak kahwin macam mana?

Saya pasrah dengan takdir yang Allah tentukan ke atas diri saya. Berkahwin adalah fitrah, saya memang ingin nak kahwin, tapi mungkin jodoh belum sampai. Serah saja pada Allah.

Saya pernah berdoa berkenaan jodoh saya semasa mengerjakan haji pada tahun 2006. Saya berdoa di setiap tempat mustajab yang saya kunjungi. Di Multazam, Taman Raudhah, Pintu Kaabah, di Arafah, Mina dan lain-lain. Saya amat yakin Allah akan ketemukan jodoh saya satu hari kelak, Insya Allah.

Permudahkanlah Wahai Dzat Yang Maha Mendengar Munajat Hamba-HambaNya...
Perkenankanlah doa-doa yang telah kulantunkan di RumahMu Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan sekalaian hajat hamba-hambaMu.

Aku yakin pada janjiMu, Wahai Allah...
Aku amat yakin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan