Isnin, 27 April 2009

Jin Dari Mukah?

Amat menghairankan, dalam semenjak dua ini semakin ramai yang minta untuk diruqyah. Kadang-kadang saya dengan sahabat saya , Wan Sudirman terpaksa banyak 'mencuri' masa untuk pergi meruqyah atas permintaan orang ramai. Apa yang nyata, kami tidak pernah promote diri mengenai rawatan kami. Semuanya melalui cerita dari mulut ke mulut.

Semalam, ada request untuk ruqyah di Taman Sukma. Seorang pelajar perempuan di Politeknik Mukah, terpaksa pulang ke Kuching kerana kerasukan di kampus tempat dia belajar. Pada mulanya keluarganya meminta untuk dirawat pada Isnin malam Selasa, namun saya minta untuk diawalkan semalam kerana malam Selasa adalah malam usrah, tidak boleh diganggu.

Ringkas cerita, saya dan Wan berangkat ke Taman Sukma jam 9:15 malam. Cuaca malam agak buruk, tiada bintang di langit dan awan berkumpul menunjukkan hari mungkin akan hujan. Namun, kepanasan malam masih terasa sehingga menimbulkan kurang selesa.

Dada saya berdebar sebaik sampai di rumah pesakit. Ini seolah-olah memberi petunjuk yang mungkin saya dan Wan akan 'bertempur' dengan jin yang boleh tahan 'lihainya'. Sebelum merawat, saya pegang kata-kata seorang guru ruqyah, Ust Umar, yang mana beliau berpesan, sebelum meruqyah, hendaklah bersolat hajat, mohon izin dan perkenan Allah untuk menggunakan ayat suci Al-Quran dalam merawat. Ini telah saya buat selepas solat Isya.

Seperti biasa, sesi interview dibuat. Ibu pesakit mengatakan, semasa anaknya kerasukan, anaknya melukis gambar lembaga perempuan, yang berselindung di sebalik bukit. Berambut panjang dan bertaring. Ada 3 lembaga semuanya, saya dan Wan ada melihat gambar tersebut.

Difahamkan, bukan anaknya saja yang kerasukan. Ada kira-kira 15 orang pelajar yang kerasukan setelah pulang dari pantai di Mukah. Ibu pesakit menceritakan, ada seorang pelajar yang beragama Kristian. Pelajar Kristian tersebut telah di 'exorcist' oleh si paderi dari pukul 10:00 malam sampai 6:00 pagi. Si paderi angkat tangan tanda mengalah kerana sukar untuk menewaskan jin dalam jasad pelajar tersebut.

Saya pernah diberitahu oleh orang Mukah, di pantai tersebut orang Melanau selalu mengadakan Pesta Kaul, semenjak ratusan tahun yang lampau. Pesta Kaul adalah perayaan tradisi orang Melanau yang bertujuan untuk memuja dan menyembah semangat laut yang digelar 'Ipok-Ipok'. Satu permainan yang dipanggil Tibow, iaitu sejenis buaian besar yang diperbuat dari rotan besar dibentuk dalam bentuk gelungan. Pemain akan melompat ke buaian tersebut dari perancah buluh tinggi yang telah disediakan. Pemain akan berayun-ayun pada gelungan rotan tersebut dengan ayunan yang laju dan tinggi sambil melagukan bacaan jampi dan mantera untuk memuja 'Ipok-Ipok'. Semakin lama semakin ramai yang akan melompat ke gelungan rotan tersebut sambil berayun deras. Namun, acara Pesta Kaul telah bertukar ke acara keramaian yang biasa, amalan memuja laut telah dibuang setelah kedatangan Islam di Mukah. Hanya Melanau Likow sahaja yang masih mengadakan Pesta Kaul asli.

Saya merasakan mungkin jin dari Pesta Kaul itulah yang mempengaruhi si pesakit tadi. Saya bertanya dengan rakan sepejabat yang berbangsa Melanau Islam dan berasal dari Igan, Mukah, dan dia berstuju dengan pendapat saya. Ini tidak mustahil kerana masih ada orang tua berbangsa Melanau yang berfahaman animisme, malahan amalan 'berbayoh' iaitu berpawang masih ada di kalangan orang Melanau Likow.

Setelah sesi penerangan ruqyah, saya memulakan rawatan dengan muqaddimah dan Ruqyah Jibril 1 dan 2. Pesakit mula menunjukkan reaksi, dengan jelingan yang tajam dan marah.

Saya : Siapa ni? Asal dari mana?
Pesakit : Aku Puteri. Dari gunung Santubong.
Saya : Eh, apasal Puteri Gunung Santubong nak pegi jauh-jauh sampai ke Mukah? Apa tujuan masuk dalam jasad budak ni?
Pesakit : Aku nak berkawan
Wan : Jin tak boleh berkawan dengan manusia. Baliklah ke tempat asal kamu. Kamu ada agama?
Pesakit : (geleng).
Saya : Saya tawarkan Islam kepada kamu. Mahu?
Pesakit : (geleng). Aku nak berkawan dengan dia!
Saya : Kalau degil, saya bakar kamu dengan ayat-ayat Allah dengan izin Allah!
Pesakit : (meraung). Aku nak berkawan dengan dia!
Wan Sudirman : Jangan buat pasal. Nak kena bakar ke?

Saya mula menyerang dengan ayat dari surah Yassin (hazihi jahannamul lati...) dan tiup ke muka pesakit dari tapak tangan saya. Pesakit mula meraung dan menangis.

"Jangan sakiti aku! Jangan sakiti aku!"

Saya teruskan dengan teknik hirisan di beberapa bahagian badan. Wan Sudirman menyambung bacaan ruqyah. Rontaan pesakit semakin kuat. Keluarga pesakit terpaksa menahan si pesakit.

Terlintas di fikiran saya untuk menggunakan teknik baling yang diajar oleh Ust Majid dalam buku beliau [Berdialog Dengan Jin:Diari Seorang Perawat, Terima Kasih Ust Majid
;-) ]. Dengan hati yang pasrah kepada Allah, saya membaca ayat Al-Furqan:23, hembus dengan kencang di telapak tangan lalu baling ke arah pesakit sambil bertakbir. Pesakit meronta dan tersentak-sentak kesakitan. Masya Allah! Tergamam juga saya kerana inilah 1st time saya gunakan teknik ini. Alhamdulillah, menjadi juga teknik ini dengan izin Allah.

Wan Sudirman juga menggunakan teknik yang sama. Seterusnya, saya gunakan teknik rotan. Setelah membaca ayat ruqyah dan hembus pada rotan, saya pukul pesakit dengan kadar yang lembut. Rontaan pesakit semakin kuat, jin akhirnya minta dikasihani. Kami dakwah jin tersebut kepada Islam dan akhirnya dia masuk Islam.

Azan dilaungkan. Jin menangis teresak-esak dan saya tarik keluar ikut kaki. Serentak selepas saya 'buang' jin melalui tingkap rumah, kilat menyambar dan guruh pun berdentum. Sekali lagi saya terkejut, adakah ini kebetulan?

Dialog disambung. Didapati ada 2 lagi jin yang masih terdapat dalam tubuh pesakit. Jin ini merupakan dayang kepada Puteri tadi. Seekor bernama Tanjung, seorang lagi bernama Sari. Setelah dipujuk dan diruqyah oleh Wan Sudirman, akhirnya kedua-dua jin tersebut masuk Islam dan setuju untuk keluar.

Semasa menarik dua jin tersebut keluar dari tubuh pesakit, sekali lagi kilat menyambar dan guruh berdentum. Saya beristighfar di dalam hati dan terkejut. Apa makna semua ini?

Keluarga pesakit bertanya kepada saya dan Wan, apa maksud dentuman guruh dan pancaran kilat semasa proses menarik jin keluar dari tubuh anak mereka. Saya hanya diam sahaja, Wan Sudirman menjawab mungkin pengaruh alam sahaja, atau kebetulan sahaja. saya berpendapat itu adalah jawapan berhikmah yang dapat diberikan oleh sahabat saya itu.

Setelah pesakit sedar, seperti biasa, kami menerangkan kaedah-kaedah mendinding diri, cara hidup Islam yang sebenar dan lain-lain. Ada juga sesi soal jawab dari keluarga pesakit yang ingin tahu tentang alam ghaib dan lain-lain. Sempat juga saya menegur tuan rumah agar membuang azimat yang berupa minyak dalam botol kecil dan terdapat jarum di dalamnya. Kononnya untuk menjaga rumah. Saya nasihatkan agar mereka membuang azimat tersebut, khuatir syirik kepada Allah.

Saya dan Wan pulang selepas itu. Hujan pun berhenti, dan kami pulang dengan doa dan harapan mudahan pesakit disembuhkan Allah.

Pagi tadi, Wan sms saya. Wan mimpi perempuan duduk atas bahunya. Lain pula halnya dengan saya. Pagi tadi selepas Subuh, bapa saya mengadu mendengar suara saya memanggilnya semasa sedang tidur.

Mudahan Allah melindungi kita semua, amin...

2 ulasan:

  1. salam..ngutik da jak lok..uhuhuhu..mn kmk sikpat tdo gik pasya..pa sambung cita ktk ya..seronok juak mek baca..

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah semoga memberi manfaat kepada ummah, kalo perlu bahan serta rujukan tambahan, kelak share, in sha Allah

    BalasPadam