Sabtu, 4 April 2009

Mukah nan Indah...

Out station kali ini menuju ke Mukah dan Saratok. Perjalanan bermula pada hari Selasa yang lepas, saya dan Faizul mula bergerak meninggalkan bandar Kuching yang bertuah untuk menjalankan tugas lawatan tapak projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi kawasan-kawasan yang terbabit.

Ringkas cerita, kami sampai di simpang Sibu-Mukah pada jam 8:03 mlm. Apa yang mengejutkan dan memeranjatkan saya, perjalanan menuju ke Mukah dari simpang tersebut amat mencabar kerana jalan rosak dan pembinaan belum sempurna. Dalam ertikata lain, jalan tersebut penuh dengan lubang dan jalan pecah, sehingga mengambil masa kira-kira 1 jam lebih untuk ke bandar Mukah.

Namun ketensionan saya berbaloi sebaik tiba di bandar Mukah. Kali terakhir saya ke bandar ini adalah apda tahun 2005, itupun semasa perasmian pecah tanah untuk projek jalanraya Simpang Matadeng semasa saya bekerja di Naim Cendera dahulu. Naim Cendera merupakan kontraktor utama untuk projek jalan raya ini.

Bandar Mukah lebih maju sekarang. Banyak bangunan-bangunan baru yang tersusun rapi dan indah. Cahaya lampu menjadikan bandar ini nampak cantik dan berseri-seri di malam hari. Walaupun tiada bangunan pencakar langit, Mukah nampak lebih moden berbanding dahulu dan juga bandar-bandar lain yang sama saiz dengan bandar ini. Bangunan paling tinggi di sini ialah Menara Pehin Seri yang menempatkan jabatan-jabatan kerajaan.

Kami menginap di Hotel Kingwood, sebuah hotel moden yang bertaraf 3 bintang. Kemudian saya dan Faizul makan malam bersama Sopet yang menunggu semenjak dia habis usrah selepas Isyak. Saya telah memaklumkan kedatangan saya ke Mukah lebih awal kepada Sopet supaya dapat berjumpa dan bersembang.

Keesokkan harinya, tugas pertama yang perlu dilaksanakan ialah menemuramah pemohon RMR di Igan dan Oya. Perjalanan ke Igan dari bandar Mukah mengambil masa kira-kira setengah jam. Kami berkesempatan untuk makan tengah hari di rumah Nek Usu Munah (nenek saudara kepada isteri Faizul), menikmati makanan tradisional masyarakat Melanau seperti umai, pipuh, kerisek kelapa goreng dicampur dalam nasi, ikan panggang segar dan lain-lain. Apa yang istimewanya ialah kami berkesempatan merasa sirap pisang buatan sendiri, home made syrup. Sangat sedap dan menyegarkan.

Mukah, Igan dan Oya serta kawasan sekitarnya merupakan kawasan terbesar bagi masyarakat Melanau. Kebanyakannya beragama Islam, kecuali area Dalat yang masih lagi berfahaman Likow (animisme dan adat turun temurun). Apa yang uniknya ialah rumah masyarakat Melanau, walaupun hampir serupa dengan rumah tradisional orang Melayu namun ada sedikit perbezaan. Saya perasan yang rumah orang Melanau mempunyai ruang yang besar dan memanjang ke belakang. Ada orang kata kadang-kadang dalam sebuah rumah orang Melanau mempunyai 11 buah bilik. Amat memeranjatkan! Malahan saya melihat rumah ini memiliki ruang tamu yang luas dan besar, silap-silap anak cucu boleh main futsal dalam rumah.

Masyarakat Melanau terkenal dengan sopan santun dan budi bahasa yang baik. Tutur kata mereka lembut dan memiliki intonasi yang berbeza. Walaupun orang Melanau fasih berbahasa Melayu Sarawak, namun perbezaannya terletak pada intonasi perbualan. Bagi orang yang biasa bergaul, perbualan antara Melayu Sarawak dan Melanau dapat dibezakan walaupun mereka menggunakan satu bahasa yang sama.

Mukah memang indah, malam kedua berada di Mukah saya ambil kesempatan bersiar-siar dengan Sopet sambil menunggang motorsikal. Angin malam sangat sejuk dan langit pun kelihatan indah. Kemudian Sopet mengajak saya makan malam di sebuah gerai di kawasan pasar, menunya, ikan pari panggang bersambal. Kami makan dengan berselera sekali. Ternyata ikan segar di Mukah memang sedap!

Saya tidak akan melupakan kenangan indah di Mukah. Difahamkan pada penghujung bulan ini satu pesta tradisi masyarakat Melanau, Pesta Kaul akan diadakan di Mukah. Jika ada rezeki insya Allah saya akan datang lagi ke bandar ini.

Mukah memang indah!

1 ulasan: