Ahad, 16 Ogos 2009

Mereka Yang Berdosa...

Tengah buat preparation untuk program anak-anak usrah.

Pagi tadi saya online dekat nak 3 jam, meneliti satu demi satu setiap website dan blog yang saya temui melalui surfing dan link sahabat-sahabat saya. Pelbagai blog yang ditemui, ada yang berfaedah, tak kurang juga yang tak berapa berfaedah.

Tiada apa yang menarik berlaku hari ini, kecuali ada majlis tahlil di rumah nenek sempena 'Arwah Bulan'. Saya pun tak tahu apa benda 'Arwah Bulan' tu melainkan apa yang saya faham majlis ini diadakan sempena menyambut ketibaan Ramadhan. Itu sahaja.

Ingin saya kongsi satu kisah yang berlaku kepada saya tentang salah seorang anak usrah saya. Nama terpaksa dirahsiakan. Begini kisahnya.

Satu hari, saya duduk minum dengan beberapa orang anak usrah saya. Sekali-sekala keluar minum dengan mereka boleh juga merehatkan minda, selain itu boleh juga menyelami jiwa mereka lebih dalam dan berkongsi rasa. Kami berbincang pelbagai perkara, tak kurang juga ada yang menceritakan masalah peribadi mereka dan saya memberi nasihat dan panduan kepada mereka agar mereka tidak larut dalam masalah yang kadang-kadang membawa mereka hanyut dari realiti iman dan taqwa kepada Allah.

Tiba-tiba, lalu seorang kurang siuman di meja kami. Kelihatannya orang gila itu bercakap seorang diri, dan berpakaian comot dan selekeh.

Saya memberi sedikit tazkirah kepada anak usrah saya mengenai orang kurang siuman tersebut. Saya katakan bahawa orang kurang siuman terlepas dari beban syarak dan apa sahaja perbuatannya tidak dikira berdosa, kerana dia hilang akal.

Tiba-tiba salah seorang anak usrah saya melontarkan soalan.

"Bang Asri, mun (kalau) kamek (saya) jadi gila, kitak (awak) masih ngakuk (mengaku) sik (tak) kamek (saya) tok (ni) anak usrah kitak (awak)?"

Saya terkedu. Tak tahu nak jawab apa. Agak lama juga saya terdiam.

"Insya Allah, kitak (awak) masih tetap anak usrah kamek (saya) walaupun kitak (awak) sik (tidak) siuman." Ujar saya dengan lembut dan berhati-hati.

Nampak rupa gayanya anak usrah saya itu berpuas hati dengan jawapan saya.

Saya tidak menjangka bahawa soalan seperti ini boleh keluar dari mulut anak usrah saya. Saya tidak pernah terfikir jika benar anak usrah saya itu gila, masihkah saya mahu mengaku dia anak usrah saya? Namun saya melihat ini adalah hikmah yang perlu saya pelajari yakni berkawanlah walau apa pun orang tersebut kerana Allah, bukan kerana yang lainnya.
Bersama dengan salah seorang daripada anak usrah.

Sepanjang saya aktif dalam usrah, pelabagai karakter, watak dan personaliti manusia yang saya temui. Saya bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya dengan usrah kerana melalui usrah saya berpeluang untuk bergaul dengan pelbagai peringkat manusia. Mentaliti yang menganggap bahawa orang usrah hanya bergaul dengan ustaz dan orang alim sahaja adalah salah pada pandangan saya. Orang usrah adalah dae'i @ pendakwah. Sebagai dae'i hendaklah kita terjun di tengah masyarakat bagi menyampaikan kebaikan dan kebenaran agama Islam yang kita anuti.

Kalau tidak silap saya, saya sudah mempunyai 3 kumpulan usrah dibawah seliaan saya. Namun kesemua anak usrah saya ini telah berpindah ke luar Kuching. Ada yang sambung belajar dan ada yang bekerja. Saya tidak nafikan, ada juga di antara anak usrah saya yang 'tak menjadi', maksudnya oleh kerana ada antara mereka ini jauh dari usrah, mereka mengalami kejutan budaya lalu meninggalkan nilai-nilai Islami yang pernah mereka pelajari semasa aktif dalam usrah dahulu.

Saya tidak menyalahkan mereka dalam hal ini. Kekuatan rohani adalah berbeza mengikut diri masing-masing. Ada yang maintain imannya, ada yang kalah dalam perjuangan menentang bujukan nafsu dunia. Saya pernah berasa sedih dan kecewa apabila mendapat tahu ada segelintir anak usrah saya menjauhkan diri dari usrah kerana terikut dengan pujukan kawan mereka di luar usrah. Mereka sudah pandai ke disko dan pub, berkepit dengan perempuan dan sebagainya. Yang lebih menyedihkan, ada pula yang berani berciuman dengan perempuan di dalam pub. Info ini saya dapat dari kawan saya yang 'sama nakal' satu ketika dahulu namun masih belum menemui 'jalan pulang' dan masih aktif di disko-disko.

Boleh dikatakan setiap disko di Kuching, saya mempunyai informer yang terdiri daripada kawan-kawan saya. Mereka inilah yang sering mengkhabarkan berita kepada saya jika ada di antara orang yang saya kenali masuk disko dan sebagainya.

Saya tidak pernah menyuruh mereka menjadi informer saya, tetapi mereka sendiri yang mahu memberitahu kepada saya walaupun saya tidak bertanya kepada mereka mengenai perkara itu. Mereka sendiri yang mahu bercerita.

Pada pandangan saya, setiap manusia pernah melalui zaman 'gelap'. Begitu juga saya. Saya pernah 'nakal' namun segala puji bagi Allah kerana menemukan saya ke 'jalan pulang'. Masih ada lagi di antara kawan saya yang masih tertinggal di belakang walaupun saya pernah berusaha untuk mengajak mereka untuk 'pulang' tetapi mereka sendiri yang tidak mahu.

Saya melihat orang yang berdosa dengan perasaan kasihan, bukan dengan perasaan benci dan jelek. Kasihan kerana mereka terjerumus ke lembah kejahilan tanpa mereka sedari, kasihan kerana mereka tertipu dengan nikmat duniawi yang bersifat sementara, kasihan kerana mereka tidak punya kekuatan untuk kembali kepada fitrah yang suci.

Walaupun saya aktif dalam usrah, saya masih anggap 'mereka yang tertinggal' itu kawan saya. Kami masih berkawan baik. Kami masih keluar minum sama di Benteng Satok, port yang biasa tempat kami singgah untuk melepak dan mengisi perut yang kelaparan. Ada masanya kami keluar main futsal bersama. Selepas pulang main futsal, kami akan singgah di Benteng Satok untuk makan mi kolok dan ice lemon tea, menu kegemaran saya.

Sekarang saya dah jarang main futsal, berlatih silat pun dah tak datang. Perut pun dah naik.
Dari Kiri: Ustaz Sophian, Ustaz Tarmigi dan saya.

Teringat saya satu peristiwa, salah seorang daripada kawn saya menelefon saya dari Niah, Miri. Dia mengadu fikirannya berkecamuk, dan apa yang memeranjatkan saya, pada ketika itu dia hendak bunuh diri. Kawan saya ni ada skandal dengan seorang perempuan di Niah, dan dalam masa yang sama dia sering bertengkar dengan kekasihnya di Kuching, sehingga membawa kepada putus hubungan. Saya pujuk dia supaya jangan ambil tindakan bodoh itu. Agak lama juga saya online dengan dia, memujuk dan memberi nasihat kepada dia supaya jangan bunuh diri. Alhamdulillah akhirnya dia berubah fikiran. Dia kembali tenang dan saya nasihatkan dia supaya banyak-banyak bersabar.

Lain pula dengan kisah seorang lagi kawan saya yang ada skandal dengan bini orang. Saya marah dia kerana mengacau rumah tangga orang. Dia kata bukan salah dia, tapi bini orang tu yang nak kat dia. Saya nasihati kawan saya itu agar tinggalkan perempuan tersebut kerana khuatir keadaan akan menjadi susah jika suami perempuan itu tahu. Kawan saya akur dengan nasihat saya dan kini dia dah bertunang dengan kekasihnya yang baru.

Selain dari cerita di atas, ada banyak lagi dan 1001 macam kisah dan masalah orang yang saya temui. Saya pernah handle kes budak berzina, mengandung anak luar nikah, kes mabuk cinta sampai buang keluarga, kes masalah dalam sekolah dan pelajaran, kes pondan dan tomboy, arak, disko, dadah, kes lesbian dan gay, kes murtad dan lain-lain. Kalau nak cerita dalam blog ni memang tak muat. Apa yang nyata, saya melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan mata hati saya. Saya mengambil pengajaran dari setiap kejadian yang berlaku dan saya anggap ia sebagai 'guru dalam hidup' saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya dengan peristiwa-peristiwa ini, walaupun ia tidak berlaku ke atas diri saya, namun saya dapat ambil pengajaran dari kisah orang lain.

Allah mengajar saya melalui orang-orang yang merasakan diri mereka berdosa.

Dan saya juga orang yang berdosa... Astaghfirullah...

3 ulasan:

  1. alhamdullilah bg mereka yg menemui jalan pulang..hmm..cita la sigek2 cita2 yg penah ktk setelkan..pake tatapan dan pengajaran bah..

    BalasPadam
  2. thanks bang asri..crita ktk tok wpun x dcrita detail setiap satu kes ada isi tersirat menyedarkan kmk..
    lmk xkenak usrah kmk tok..
    sedikit sebyk menyedrkn kmk..
    terlalu alpa dgn hal2 dunia..terkureng hal2 akhirat..

    BalasPadam
  3. Sharifah Luyah27 Ogos 2009 12:54 PG

    Salam....Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tak bergelora... Setiap insan ada ceritanya yang tersendiri dlm kehidupan ini... Buruk atau baiknya seseorang itu, hanya Allah yang berhak utk menghakiminya... Siapalah kita utk menghakimi org lain sdgkn kita cuma insan biasa yg sama kejadiannya di sisi Allah SWT... Yg membezakan kita di mata Allah hanyalah amalan (ibadat pd Allah) n 'HATI' yang suci sesama umat di muka bumi ini... Kita jgn sentiasa merasa bahawa diri kita adalah yg lebih baik dr orang lain n bangga diri yg teramat berbanding individu lain.... Sentiasa sucikan hati n berusaha utk berprasangka baik pd orng lain biar siapapun mereka dlm masyarakat.. Sama2lah kita ubat n didik hati kita utk tidak memandang rendah pd org lain yg serba kekurangan berbanding diri kita, biar dr aspek rohani mahupun jasmani... Akhir kata, semoga kita semua akan beroleh tempat yang terbaik di sisi Allah di akhirat nanti..... Wallahhualam..... Wassalam...

    BalasPadam