Rabu, 21 Oktober 2009

Menemui Jalan Pulang...


Pengalaman adalah guru terbaik kehidupan. Demikianlah yang saya dengar dan pelajari dari orang-orang tua. Benar, pengalaman dapat mendidik kita menjadi lebih cermat, berhati-hati dan menghargai kehidupan.

Manusia yang tidak mengambil ibrah (pengajaran) dari pengalaman hidup adalah orang yang rugi. Mendidik hati hendaklah juga dengan melihat apa yang ada dan berlaku di sekeliling kita. Hidayah Allah menjadikan jalan hidup lebih terang dan terpandu ke syurga yang abadi. Dengan pengalaman juga boleh mendatangkan hidayah jika Allah menghendaki.

Saya bukanlah asal orang yang baik. Saya sendiri pernah melalui 'zaman gelap' dalam kehidupan. Zaman gelap yang dilalui terjadi kerana bujukan nafsu dan bisikan syaitan, tidak ketinggalan juga dari pengaruh rakan-rakan. Saya percaya dalam diri manusia ada 'good and evil side'. Segala-galanya ada unsur yang saling bertentangan, ada syurga dan neraka, perempuan dan lelaki, baik dan jahat dan seterusnya. Ini adalah sunnah alam. Memang terjadi semenjak azali dan dicipta Allah.

Namun alhamdulillah Allah mencampakkan hidayah dan kasih sayangNya ke dalam hati sehingga menampakkan saya jalan pulang. Saya pulang dan kembali kepada fitrah yang hakiki. Bukanlah maksud saya bermegah diri mengatakan saya dah jadi budak baik atau alim, namun saya ingin mengatakan bahawa ada proses hijrah berlaku semasa hidayah bertandang ke lubuk hati saya. Saya merasa terusik dengan bisikan Allah ke dalam hati saya, sehingga menimbulkan azam dalam diri saya untuk berubah dan berhijrah ke alam hidup yang lebih hakiki dan sejati. Hidup dalam iman dan pengabdian yang mutlak, hanya untuk Allah yang Hakiki.

Saya tidak mahu berkongsi apa cerita 'zaman gelap' saya di posting ini. Saya berpendapat zaman itu sudah berlalu, dan biarlah ia menjadi kenangan dan pengajaran. Benda yang tidak baik, buat apa nak dibanggakan. Apa yang penting ialah proses penghijrahan itu yang perlu diceritakan.

Proses menemui jalan pulang dalam hidup saya tidaklah serumit cerita orang lain. Allah berkehendak memanggil saya 'pulang' ke pangkuan kasih sayangnya hanya melalui bisikan hati sahaja. Kadang-kadang, bila saya mengenang kisah ini, terasa sebak di dada kerana saya melihat hikmah dari kejadian ini ialah lambang kasih sayang dan belas ihsan Tuhan kepada diri saya.

Pernah satu ketika, saya menunaikan umrah tahun 2003 dengan ibu bapa saya, saya berkesempatan untuk melakukan tawaf sunat selepas solat Maghrib di Masjidil Haram. Saya pergi dekat dengan dinding Kaabah, dan melekapkan wajah dan dada saya ke dinding Kaabah tersebut. Wangi Kiswah bangunan suci itu menenangkan fikiran saya. Saya berdoa dan bermunajat kepada Alllah, mengakui semua kesalahan dan dosa saya. Tiba-tiba secara automatik, tergambar dalam fikiran saya semua dosa-dosa yang pernah saya buat, bagaikan tayangan filem di skrin wayang. Saya menangis semahu-mahunya kerana malu dan merasa bersalah yang amat sangat. Saya melafazkan taubat di Baitullah yang mulia itu, dan memohon belas taufik dan hidayahNya.

Kisah yang sama berlaku kepada sahabat saya, iaitu ketika sahabat saya berdoa dekat dengan Baitullah, dia juga melihat dan terbayang dengan dosa-dosanya yang lalu. Dia insaf dan menangis. Namun sungguh, bertaubat di depan Baitullah merupakan satu pengalaman yang indah dan syahdu. Allah saja yang tahu bagaimana perasaan saya dengan sahabat saya itu.

Rakan-rakan usrah saya, juga pernah melalui proses menemui jalan pulang. Kalau dulu mat rempit, sekarang dah jadi ustaz. Ada juga yang kaki minum arak dan hisap gam, sekarang dah kerja bagus dan aktif dalam usrah dan halaqah. Kalau dulu kaki pukul, sekarang dah jadi seorang dai'e yang baik dan penyayang. Boleh dikatakan kebanyakan rakan-rakan usrah saya bekas 'budak nakal' juga. Namun mereka semua berubah kerana hidayah Allah.

Saya gemar berkongsi cerita dengan orang yang pernah melalui jalan pulang. Kisah-kisah seperti ini menarik dan memberi pengajaran bagi sesiapa yang mendengarnya. Malahan tidaklah melampau kalau saya mengatakan dengan mendengar cerita-cerita seperti ini boleh melembutkan hati dan menimbulkan keinsafan dalam jiwa. Kisah orang yang pernah bermaksiat, lalu bertaubat dan insaf adalah cerita kegemaran saya, kerana saya faham, pernah merasai dan saya sendiri pernah melalui kehidupan sedemikian.

Proses hijrah diri memerlukan kekuatan, dan paling penting hidayah Allah. Ada orang kata, hidayah Allah belum sampai. Macam mana nak berubah? Saya katakan, hidayah ada di luar sana. Kita kena cari, bukan hidayah yang cari kita. Jika kita mencari, insya Allah, Allah pasti memandu kita ke arah hidayah.

Teringat kata-kata ustaz Soleh dalam usrah beliau,

"Kalau nak jadi baik, mulakanlah dengan mendirikan solat. Kalau nak ajak orang lain jadi baik, didiklah dia dengan solat. Mulakan segalanya dengan solat. Paling penting, kita sebagai dai'e, hendaklah mendoakan hidayah kepada mereka dan juga kita sendiri agar sentiasa berada dalam cahaya taufik dan petunjuk Allah."

Insaf adalah perkataan yang mudah dilafazkan, namun susah nak buat. Kekuatan hati untuk berubah itu penting. Sebagai dai'e, kita dilarang memandang ahli maksiat sebagai kaum berdosa yang confirm masuk neraka. Hidayah adalah milik Allah, Dia berkehendak mencampakkan hidayah ke hati manusia mana yang Dia mahu. Entah hari ini dia ahli maksiat, mungkin esok dia jadi seorang alim dan warak, dengan asbab hidayah Allah.

Telah banyak saya dengar dari mulut ahli maksiat, yang merupakan kawan saya sendiri,

"Aku maok (mahu) nak berubah, Asri. Tapi aku sik (tak) kuat. Giney (macam mana) oh?."

"Aku ingin nak belajar sembahyang, Asri. Tapi aku malu..."

Lafaz seperti ini menunjukkan ada cahaya hidayah dalam diri hamba Allah tersebut. Saya yakin. Cuma mungkin cahaya itu 'malap' kerana tidak dibimbing. Kalau betul bimbing, insya Allah dia akan menemui jalan pulang.

Saya sendiri masih menjalani proses pembaikan diri. Hidup bagi saya adalah untuk pengabdian mutlak kepada Allah Azzawajalla, dan taubat serta solat adalah metode atau kaedah paling ampuh untuk melahirkan rasa ta'abud (kehambaan) kepada Allah.

Bertaubat adalah jalan yang saya tempuhi ketika ini. Penebusan dosa saya jadikan sebagai rutin bagi mencuci dosa-dosa lalu yang pernah saya perbuat.

Entah sampai bila saya akan menanggung beban dosa ini. Rasa bersalah masih menghantui diri saya. Semoga Allah mengampuni dan merahmati saya dan kita semua.

Astaghfirullah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan