Jumaat, 23 Oktober 2009

Sihir atau Jin Mengikut Pulang?

Kali ini saya merawat ditemani oleh seorang lagi kawan saya, Saiful. Saiful adalah rakan sepejabat saya. Sudah lama Saiful ingin mengikut dan melihat saya merawat, alhamdulillah pada malam tersebut dia dapat ikut sesi rawatan yang saya buat.

Lokasi rumah pesakit adalah di kampung Pulo. Kami tiba kira-kira jam 9:30 mlm, disambut oleh abang ipar kepada si pesakit. Ketika masuk ke rumah pesakit, saya terlihat sudah ramai ahli keluarga yang menunggu kedatangan kami. Kmai disambut dengan ramah dan ceria. Saya melihat pesakit juga masih mampu tersenyum walaupun terbaring tidak dapat bergerak di atas katil.

Saya dimaklumkan bahawa pesakit terkena demam campak pada bulan Ramadhan yang lepas. Demam campak tersebut melarat ke demam yang teruk sehingga pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital pada hari Raya pertama. Timbul pula sakit lain iaitu tidak dapat buang air kecil dan kaki pesakit menjadi kaku hingga menyebabakan dia tidak dapat berjalan. Doktor memaklumkan yang pesakit mungkin mengalami jangkitan virus pada saraf kesan daripada demam campak tersebut.

Saya memulakan ruqyah seperti biasa dengan muqaddimah dan ayat-ayat Quran yang lain. Tangan diletakkan di dahi pesakit, dan saya menyuruh pesakit beristighfar di dalam hati dengan tenang dan khusyuk. Saya juga melakukan Inzar (amaran) kepada jin yang mungkin ada di tubuh pesakit. Pesakit mula memberi reaksi berupa pergerakan kedua-dua belah kaki tanpa henti. Bila ditanya pesakit mengatakan kaki tersebut bergerak sendiri, bukan atas kehendak pesakit.

Saya meneruskan bacaan ruqyah dengan beberapa ayat pembakar jin. Pada ketika iilah pesakit mengatakan ada rasa seperti sesuatu bergerak di belakang badan, seperti cacing merayap dari arah belakang hingga ke tangan. Saya tukar kaedah ke kaedah rotan, dan kaki sebelah kiri pesakit pula bergerak tanpa henti.

Salah seorang ahli keluarga pesakit mula bercerita iaitu sebelum sakit, ada seorang anak buah pesakit terkena demam campak. Semasa demam, budak ini melihat yang si pesakit mempunyai sayap di belakangnya. Dalam masa yang sama, ada juga ahli keluarga yang lain melihat lembaga bersayap di luar rumah pada waktu malam.

Saya membaca Bismillah 6 dan menghembus ke arah pesakit dengan niat membakar jin. Pesakit mengadu belakang badannya menjadi panas. Pesakit juga mula menangis dan ketakutan. Saya hiris belakang pesakit dengan ayat Quran seperti yang saya pelajari sebelum ini. Seterusnya saya buat kaedah tarik pula untuk membuang unsur-unsur jahat dalam badan pesakit.

Setelah selesai, saya meminta Wan Sudirman pula mengambil alih. Wan menggunakan kaedah Bismillah 6 juga, namun dengan caranya tersendiri. Wan menggunakan kaedah pancaran ayat Quran, saya agak mungkin beliau menggunakan kaedah nazoriah Ayatul Kursi.

Setelah itu kami bergabung untuk meruqyah, saya ruyah di bahagian atas badan manakala Wan pula dari pinggang ke kaki. Setelah beberapa ketika, kami menghentikan sesi rawatan dan membuat air penawar.

Usai rawatan, tuan rumah menghidangkan jamuan ringkas untuk kami. Kami mengambil kesempatan untuk memberi tips-tips pendinding kepada keluarga pesakit dan juga pesakit. Di samping itu kami juga menjelaskan betapa pentingnya doa dan pergantungan hati kepada Allah Taala apabila ditimpa musibah. Ini lazim kami lakukan kerana rawatan Islam ini kami jadikan sebagai wadah untuk berdakwah kepada masyarakat, khususnya umat Islam di sekitar Kuching.

Saya sempat juga menasihatkan suami pesakit agar banyak bersedekah untuk mempercepatkan kesembuhan. Selain itu, saya sarankan mereka untuk membuat solat Hajat juga agar pesakit dapat kembali normal seperti sediakala.

Kami pulang tidak lama selepas itu, alhamdulillah...

1 ulasan:

  1. Mcm mane inzar yang saudara buat... sy ingin tahu... ni phone no 0109388225 n email hafnanhassan@gmail.com

    BalasPadam