Ahad, 15 November 2009

Hospital...

Hari ini saya ditimpa ujian berbentuk sakit pinggang dan tulang belakang. Makanya, saya menghantar sms kepada Tuan Wenndy dan Big Boss untuk memaklumkan ketidakhadiran saya ke tempat kerja pada hari ini, dalam ertiakata lain, MC.

Saya dah lama sakit pinggang, kesan daripada kecederaan semasa latihan silat beberapa tahun yang lalu. Namun ia hilang selepas diurut, dan sakit kembali apabila tersalah cara mengangkat barang berat. Sabtu lepas, saya bermain badminton dengan rakan-rakan ofis, dengan warm-up yang sekejap, natijahnya, pinggang saya tergeliat semasa bermain.

Setelah diurut, rasa sakit masih ada. Saya mengambil keputusan untuk ke hospital ditemani oleh kedua ibu bapa saya. Sebelumnya saya ke Poliklinik Jalan Masjid, di sana saya dinasihatkan untuk mengambil terapi fisio dan dibekalkan ubat.

Semasa di hospital, saya segera ke kaunter pendaftarann untuk membuat temujanji. Pada ketika itulah, masuk 3 orang yang saya kenal untuk membuat temujanji juga. Orang tersebut ialah keluarga pesakit yang pernah saya dan Wan Sudirman ruqyah dahulu (rujuk cerita pesakit mati separuh badan di Kampung Pulo).

"Kitak (awak = bahasa sopan untuk Melayu Sarawak) kenak (kenapa) di sitok (di sini) ustaz?" suami pesakit bertanya kepada saya.

"Kamek (saya = bahasa sopan untuk Melayu Sarawak) terselauk (terseliuh) pinggang, main badminton ari (hari) Sabtu ya (itu) tek (tadi)". Saya menjawab dengan ramah.

"Giney (macam mana) kitak (awak) tek (tadi)? Dah bagus?". Saya mengambil kesempatan untuk bertanya perkembangan kesihatan si pesakit selepas diruqyah.

"Alhamdulillah, syukur ustaz. Dah bait (baik) juak (juga) tok (ni). Ya lah (itulah) nak molah (buat) rawatan fisio gik (lagi), terima kasih ustaz." Jawab pesakit.

Syukur pada Allah, ada perkembangan positif selepas diruqyah oleh kami beberapa minggu yang lepas. Saya mendoakan semoga si pesakit sembuh sepenuhnya.

Saya menunggu giliran untuk dipanggil untuk rawatan. Sambil itu, saya merenung diri saya yang sedang menahan sakit, dah lama juga saya tidak ditimpa sakit. Orang beriman paling suka apabila ditimpa kesakitan kerana mereka beranggapan bahawa sakit boleh menghilangkan dosa dan menaikkan darjat di sisi Allah jika bersabar dan redha dengan ketentuan.

Tidak lama selepas itu, nama saya dipanggil. Saya dirawat oleh seorang pakar fisioterapi. Setelah didiagnos, pakar tersebut mengatakan bahawa badan saya tidak sekata dan seimbang, dalam ertikata lain, senget. Baru sekarang saya menyedari yang badan saya senget selama ini :-D. Pakar tersebut mengajar saya beberapa kaedah senaman untuk menyeimbangkan kembali postur badan saya, dan saya dinasihatkan untuk melakukannya sendiri di rumah. Dengan bantuan pakar, saya diajar untuk meregangkan badan dan mengatur alignment badan dengan sempurna. Ada juga ketikanya badan saya seperti dilipat-lipat, sehingga saya menyeringai kesakitan.

Hasil diagnosa mengatakan bahawa saya mengalami masalah otot yang mengeras di sebelah pinggang kanan. Saya bertanya adakah ia berkaitan dengan tulang? Pakar tersebut mengatakan tidak tetapi jika tidak ditangani lebih awal ia boleh memberi kesan mudarat kepada tulang dalam jangka masa yang lama. Pakar tersebut menasihatkan saya agar warm-up dengan betul sebelum melakukan apa jua jenis sukan bagi mengelakkan kecederaan otot berlaku lagi.

Saya akur dengan nasihat pakar tersebut. Nampak rupa gayanya kena hati-hatilah bila nak bersukan kelak. Apa-apa pun, sukan tetap sukan. Cuma kena lebih teliti dan berhati-hati.

Tolong doakan kesembuhan untuk saya...

1 ulasan:

  1. Terima kasih atas maklumat berguna tersebut,armouris. Semoga dirahmati Allah!

    BalasPadam