Hujan lebat petang semalam sedikit sebanyak meresahkan hati saya di ofis, memikirkan bagaimana nak balik kerana saya terpaksa berjalan kaki dan menyeberangi Sungai Sarawak untuk ke Kampung Boyan, tempat di mana kereta saya parking. Saya lebih cenderung untuk parking di kampung Boyan kerana ia memudahkan saya dan tidak pening kepala terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar sewa parking di Taman Letak Kereta bersebelahan dengan Sommerset Gatewway, bangunan di mana ofis SPNB berada. Di samping itu dapat juga menikmati keindahan bandaraya Kuching, khususnya Golden Triangle waktu pergi dan pulang dari kerja dengan berjalan kaki, selain bersenam secara tidak langsung.
Selesai menyiapkan kerja di meja, jam 5:15 petang saya ke pantry, membancuh kopi panas untuk menghangatkan badan dan menghilangkan gelisah, gelisah kerana hujan, dan beberapa perkara lain yang sejak minggu lepas menghantui kepala dan menyesakkan jiwa saya. Solat Asar telah dilaksanakan lebih awal secara berjemaah dengan Tuan Wenndy, Zulhatta dan Airwan.
Saya duduk di meja pantry sambil menghirup kopi panas, dengan fikiran yang menerawang jauh.
"Giney (macamana) aku nak balit (balik) tok (ni)?" Saya bergumam seorang diri.
"Mun (kalau) hujan masih agik (lagi) lepas maghrib tok (ni), tempoh (redah) ajak (saja) lah..." Saya membuat keputusan tekad meredah hujan kalau cuaca masih 'menggila' di luar sana.
Khayalan saya 'dimatikan' dengan kedatangan Radzi ke pantry. Kami berbual seketika dan saya meninjau-ninjau si Azry kalau-kalau dia juga ke pantry untuk menyertai perbualan kami. Mungkin Azry ada idea untuk membantu saya. Nampaknya Azry dah pulang dulu, mungkin kerana dia pergi menjemput tunangnya pulang dari kerja. Maklumlah, orang dah bakal nak jadi pengantin baru. Zulhatta pun dah 'ghaib' lebih awal, nak bermain dengan anak agaknya, kerana isterinya baru selamat melahirkan anak lelaki minggu lepas. Mohd. Khalish, begitulah nama anaknya yang baru lahir. Alhamdulillah, Tabarakkallah, tahniah Zulhatta!
Perbualan dengan Radzi tidak lama, kerana selepas itu kelihatan Tuan Wenndy, Sir Habeeb dan Hartini keluar dari bilik mesyuarat. Para Senior Executive SPNB Sarawak mengadakan mesyuarat khas yang saya sendiri tidak tahu apa agendanya. Mungkin tentang kebajikan staf ofis atau isu-isu berbangkit yang lain. Dalam pada itu fikiran saya masih bertumpu dengan hujan lebat di luar, berdoa di dalam hati agar Allah memerintahkan hambaNya yang bernama HUJAN itu ditangguh seketika bagi membolehkan saya pulang.
"Pulang ngan (dengan) aku jak (saja)" Radzi menawarkan diri untuk menolong.
Saya masih berfikir.Bukan tak sudi, tapi saya enggan menyusahkan kawan kerana terpaksa berpusing jauh untuk menghantar saya ke Kampung Boyan.
"Hujan lebat ya (tu). Kelak aku ngantar (hantar) kau jak." Radzi terus menasihatkan saya agar pulang bersamanya.
Akhirnya saya bersetuju... Namun terpaksa dibatalkan apabila Sir Habeeb bertanya kepada saya yang tiba-tiba muncul dari belakang pantry.
"Giney (macam mana) kitak (awak) pulang, Asri? Ari (hari) ujan (hujan) lebat ya (tu)."
Sudah. Saya dalam dilema. Antara tawaran Radzi dengan Sir Habeeb, mana satu yang patut saya penuhi? Kalau saya menolak ajakan Radzi, khuatir pulak kawan saya ni kecil hati. Kalau saya tak penuhi ajakan Sir Habeeb, dia orang atasan saya. Takut pula dikata tak sudi. Kalau Tuan Wenndy pun offer pertolongan jugak, lagi pening agaknya. Beliau ketua jabatan saya. Tak elok juga kalau saya menolak tawaran pertolongan dari beliau. Itu belum termasuk Azry dengan Aziza lagi. Mereka berdua pun selalu juga offer saya untuk menumpang kereta kalau hari hujan petang-petang begini.
Saya bersyukur kerana mempunyai rakan sepejabat yang baik hati dan ikhlas menolong seperti mereka. Entahlah, ada banyak hikmah yang saya perolehi sepanjang saya berada di SPNB. Allah banyak mengajar pelbagai perkara dan sifat manusia kepada saya di sini. Mereka memahami situasi dan segera menghulur pertolongan jika mampu. Bukan hanya kepada saya tetapi juga kepada staf ofis yang lain. Semangat kekeluargaan terserlah di pejabat SPNB ini.
Akhirnya saya menerima tawaran Sir Habeeb dan menolak ajakan Radzi dengan baik. Ini kerana saya berpendapat Sir Habeeb adalah ketua kami dan saya agak perlu saya menerima ajakan beliau sebagai tanda hormat kepada beliau. Perkara ini saya pelajari melalui tulisan Tuan Guru Dato Haron Din, iaitu beliau menukilkan dalam buku beliau bahawa jika ada orang yang menawarkan pertolongan di saat kita memerlukan pertolongan, walaupun pada ketika itu kita tidak meminta pertolongan orang tersebut, terimalah dengan ikhlas sebagai tanda hormat. Begitu juga dalam adab bertamu di rumah orang atau makan bersama, jika orang menyuakan atau menghidangkan makanan kepada kita,ambillah dan makan walaupun pada ketika itu kita kenyang sebagai tanda sudi dan menghormati orang tersebut. Radzi menerima baik jawapan saya.
Saya pulang dengan Sir Habeeb petang tersebut dan meredah hujan dengan Hilux pejabat. Beliau menghantar saya ke Kampung Boyan namun sempat juga beliau mengajak saya singgah di Permaidani Kampung, tempat makan dan minum di Boyan. Kami singgah untuk minum dan berbual pelbagai perkara, lebih khusus menjurus kepada hal-hal kehidupan dan latarbelakang masing-masing. Kami berpisah ketika azan Maghrib dikumandangkan.
Ruqyah di Taman Sukma.
Selesai Maghrib, saya berwirid dan berzikir seperti biasa. Kemudian saya bergegas menjemput Wan Sudirman di rumahnya kerana kami telah berjanji untuk solat Isyak di Taman Sukma dan sekaligus berjumpa dengan Bg Man untuk memenuhi jemputan kawan beliau yang minta dirawat. Namun oleh kerana hari telah lewat dan azan Isyak telah berkumandang, kami singgah di Surau Darul Husnul Khatimah Semerah Padi dan bersolat di sana. Kemudiannya kami berjumpa dengan Bg Man di surau Taman Sukma selepas itu.
Pesakit berasal dari Bintulu. Beliau seorang isteri yang mempunyai karier dan kerjaya yang cemerlang. Masalah si pesakit ialah, pesakit mengesyaki yang dirinya dikenakan penunduk oleh suaminya. Menurut pesakit, suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan kesemua perbelanjaan rumah ditanggung oleh pesakit. Pesakit tidak puas hati dengan suaminya tentang perbelanjaan hidup, namun setiap kali pesakit hendak menyuarakan rasa tidak puas hatinya depan suami, mulutnya akan terkunci dan lemah. Akhirnya dia kalah dan menurut sahaja kehendak suami. Dalam istilah kasarnya, jadi bodoh.
Rawatan dibuat di rumah kakak si pesakit. Pada ketika itu suami pesakit tiada bersama kami. Suami pesakit berada di tempat lain.
Kami memulakan ruqyah dengan memberikan pesakit meminum air penawar. Saya mulakan bacaan doa dan ayat-ayat ruqyah sambil memegang kepala pesakit. Pada ketika surah Al-Baqarah dibacakan, pesakit mula menangis dan berteriak. Sesi soal jawab pun dimulakan, namun jin dalam badan enggan bercakap. Saya guna kaedah rotan dan hiris. Pesakit tersentak kesakitan. Saya guna juga kaedah baling, namun jin masih enggan bercakap. Jin masih tetap bertahan untuk enggan bercakap dan memberitahu siapa dirinya yang sebenar.
Saya sedarkan pesakit dari kerasukan. Saya suruh dia berehat sekejap, dan ketika itulah pesakit menangis lagi dan mengadu tangan kirinya tidak dapat bergerak, atau rasa numb (sebal). Saya bacakan ayat Bismillahi Masya Allah sampai habis, hembus pada jari telunjuk dan tekan keseluruhan tangan tersebut. Pesakit menyeringai menahan kesakitan dan mengadu jari saya terasa tajam dan panas, padahal saya hanya tekan dengan lembut sahaja. Wallahu 'alam.
Seterusnya Wan Sudirman pula mengambil alih. Wan menggunakan kaedah yang biasa digunakannya, kaedah pancaran dan bacaan Ayat Muqata'at. Wan juga cuba berdialog dengan jin namun tiada jawapan. Akhirnya Wan menekan dengan lebut tangan si pesakit diiringi dengan bacaan ruqyah dan pesakit menangis lagi. Wan menutup rawatan dengan kaedah tarik dan alhamdulillah rasa sakit pada tangan si pesakit beransur hilang.
Kami menawar barangan yang disediakan seperti air dan limau nipis untuk dibuat minuman dan mandian rawatan selepas itu. Kemudiannya kami dihidangkan makan oleh tuan rumah yang merupakan bisnes katering, sambil menjawab beberapa persoalan yang ditanya oleh pesakit dan keluarganya.
Kami pulang selepas itu kira-kira jam 10:40 malam. Saya doakan mudahan pesakit tersebut sembuh sepenuhnya dengan izin Allah.
korang dr group ruqyah mn eyh??? :-) best la~
BalasPadam