Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Khamis, 8 April 2010
Supermarket Berhantu!
Orang JB terutama yang di sebelah Tampoi, Skudai, Kulai etc tentunya mengenali Kemayan City. Kemayan City adalah sebuah kompleks yang terbengkalai mangsa kegawatan ekonomi tahun 1998. Ianya dikenali ramai kerana gahnya semasa pelancarannya dahulu juga jalan Overheadnya yang menjadi tempat U-turn ke Skudai atau Tampoi. Tak taulah status jalan tersebut samada diiktiraf atau tidak tetapi memang jem di situ terutama semasa waktu petang.
Tetapi kini Kemayan City menjadi tempat yang misteri dan dipercayai menjadi port Mat gian. Namun ada juga yang mengatakan Kemayan City berhantu terutama oleh warga Singapura seperti yang diceritakan oleh Ustaz JAIJ, Ustaz Hanafiah Abdul Razak.
JOHOR BAHRU: Mall berpuaka! Itulah gelaran diberi kepada kompleks beli-belah terbengkalai Kemayan City di Tampoi apabila beberapa keluarga rakyat Singapura terjebak membeli-belah di situ sebelum pulang ke negara asal mereka dengan membawa daun kering atau barangan dibeli lenyap begitu saja.
Cerita pelik dan menyeramkan berkaitan aktiviti paranormal di kompleks Kemayan City bukan lagi asing di kalangan masyarakat bandar raya ini, malah misteri alam ghaib di pusat beli-belah terbengkalai lebih 10 tahun lalu itu menjadi buah mulut penduduk Singapura.
Bagaikan badi kepada warga Singapura, cerita menggerunkan di Kemayan City dikatakan popular kalangan warga republik berkenaan yang mendakwa mengalami peristiwa dianggap susah diterima akal seperti berbelanja dan makan di pusat beli-belah yang sebenarnya tidak pernah beroperasi selepas projek itu terhenti pada 1998.
Kejadian menyeramkan di pusat beli-belah berkenaan pernah dialami sekeluarga rakyat Singapura dari kawasan perumahan di Woodland pada Jun tahun lalu.
Semuanya bermula apabila keluarga terbabit dikatakan mengunjungi pusat beli-belah terbengkalai terletak di tepi Jalan Johor Bahru-Air Hitam pada satu malam, ketika mereka dalam perjalanan pulang menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.
Sebaik tiba di Kilometer 13 Jalan Johor Bahru-Air Hitam menghala pusat bandar raya kira-kira jam 9 malam, keluarga terbabit tertarik ke arah bangunan di sebelah kiri jalan berkenaan yang bergemerlapan dengan lampu aneka warna dan meriah dengan kunjungan orang ramai.
Tarikan itu menyebabkan keluarga terbabit membuat keputusan singgah dan mendapati kemeriahan itu adalah majlis pembukaan pusat beli-belah yang diadakan secara besar-besaran.
Menyangkakan Kemayan City dipulih dan memulakan operasinya, keluarga berkenaan tidak melepaskan peluang singgah memandangkan malam masih awal.
Selepas berada lebih setengah jam di situ, keluarga berkenaan beredar kerana mempunyai satu lagi destinasi yang perlu singgah sebelum balik ke Singapura.
Mereka menuju rumah saudara di Kampung Pasir yang terletak tidak jauh dari pusat beli-belah berkenaan.
Ketika berada di rumah saudara, seorang ahli keluarga terbabit bercerita mengenai kehebatan majlis pembukaan Kemayan City ketika singgah di situ.
Sungguh mengejutkan apabila keluarga malang itu mendapat berita daripada saudara mereka bahawa bangunan yang didakwa beroperasi sebenarnya masih terbengkalai sehingga kini, bahkan semakin usang.
Pengalaman yang ditempuhi keluarga terbabit diceritakan sendiri mangsa kepada pegawai di Unit Falaq Syarie Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak.
Menurut Hanafiah, beliau dihampiri mangsa ketika menyampaikan kuliah agama bulanan di kawasan perumahan berkenaan, beberapa hari selepas kejadian menyeramkan itu.
“Lelaki itu sering mengikuti kuliah agama saya dan pada satu hari dia bertanyakan kepada saya apakah yang berlaku di Kemayan City kerana ada ahli keluarganya mendakwa berbelanja di pusat beli-belah itu.
“Namun, semua barangan dibeli itu termasuk pakaian, didapati hilang sebaik mereka tiba di rumah dan keadaan itu menimbulkan gangguan emosi kepada keluarga berkenaan selepas melalui detik dianggap pelik dan menyeramkan itu,” katanya. Menurut Hanafiah, beliau turut pernah diajukan soalan yang meminta penjelasan berhubung alam ghaib oleh orang ramai yang mengikuti kuliah agamanya di negara republik itu, terutama berkaitan kejadian aneh di Kemayan City.
“Dari segi pandangan Islam, kejadian dialami segelintir pihak di bangunan terbengkalai itu angkara syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk memperdaya dan menyesatkan umat Nabi Adam.
“Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Adzkar menerangkan beberapa jenis syaitan termasuk bernama Zalanbur berkeliaran di bandar untuk melalai dan melekakan manusia termasuk mendalangi kejadian individu yang pernah tersesat ke bangunan terbengkalai Kemayan City itu” katanya. Katanya, dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad ada menerangkan bahawa rumah atau bangunan yang dibiarkan kosong dan kotor untuk satu tempoh lama akan menjadi kediaman syaitan kerana lumrah makhluk yang dilaknat Allah itu menyukai benda kotor dan busuk.
“Namun, umat manusia amat bertuah kerana dikurniakan hadiah yang tidak ternilai oleh Allah iaitu al-Quran mengandungi ayat yang boleh dijadikan pendinding dari diganggu mahkluk halus seperti jin dan syaitan iaitu ayat Kursi” katanya.
Sumber: www.isuhangat.net
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan