Aidilfitri sudah 8 hari berlalu. Suasana sambutan raya di Kuching nampak tenang namun meriah. Mungkin kerana ramai di antara warga Kuching yang balik kampung seperti saya juga, beraya di kampung bini. Tahun ni pertama kali saya beraya sebagai suami orang, dan giliran balik kampung untuk beraya jatuh kepada isteri saya. Maklumlah, 'tanaman dah menjadi', kena banyak mengalah dengan bini. Kalau tak, bini bagi muka muncung ke depan. Hehehe...
Beraya di Bintulu... dan Mukah.
Pertama kali beraya sebagai suami orang, dan pertama kali jugalah saya beraya di luar Kuching, jauh dari keluarga. Agak tersentuh juga perasaan saya apabila menelefon ibu tercinta di pagi raya, terdengar beliau teresak-esak di hujung talian. Saya mengakui, saya amat rapat dengan ibu. Walaupun dah bergelar suami, dan tak lama lagi bergelar ayah, saya masih anak ibu. Kasih sayang dan cinta saya kepada ibu tidak pernah berubah.
Seusai sembahyang Aidilfitri, kami bersalam-salaman sesama ahli keluarga dan minum pagi sebelum bertolak ke Mukah. Perjalanan Bintulu-Mukah mengambil masa kira-kira 3 jam dengan menggunakan kereta. Saya memandu dengan kelajuan normal dan berhati-hati kerana isteri sedang mengandung 7 bulan. Sebelum sampai ke simpang Selangau, hujan turun dengan lebatnya. Angin bertiup kencang sehingga menyukarkan pandangan di jalan raya. Saya membaca beberapa potong doa dan ayat Quran memohon perlindungan Allah supaya dilindungi dan dijauhkan daripada malapetaka dan kemalangan. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat di Mukah kira-kira jam 1:30 petang.
Tidak banyak perbezaan beraya di Mukah dan Kuching. Semuanya berbaju Melayu lengkap dengan samping dan songkoknya. Walaupun Mukah adalah 'negeri' orang Melanau, tiada pula saya melihat ada orang beraya dengan menggunakan pakaian tradisonal orang Melanau. Semuanya berbaju Melayu dan berbaju kurung. Bezanya cuma pertuturan mereka. Saya sendiri walaupun belum mahir bercakap Melanau, namun boleh juga faham sedikit-sedikit bila mendengar orang berbual dalam bahasa Melanau.
Ziarah-menziarahi rumah kaum keluarga isteri di Mukah agak meletihkan. Hingga ada saudara mara dan kawan yang perlu diziarahi di kampung Judan, Oya. Walaupun letih, namun saya gembira kerana berpeluang beraya di tempat orang. Orang Melanau peramah-peramah belaka, tidak jauh beza dengan orang Melayu.
Keesokannya ada gathering @ open house Raya untuk keluarga isteri. Seluruh keturunan Allahyarham Hj Johari bin Hj Udin (moyang kepada isteri) dikumpulkan di Dewan Mesra Suarah Mukah. Hampir 500 orang ahli keturunan Hj Johari berjaya dikumpulkan. Pelbagai aktiviti diadakan seperti bacaan Quran, penyerahan hadiah kepada pelajar terbaik SPM, agihan duit raya, pertandingan bayi comel dan macam-macam lagi.
Kami pulang ke Bintulu setelah majlis selesai.
Kembali ke Kuching...
Saya dan isteri pulang beraya di Kuching pada 2hb September 2011, iaitu pada hari raya ke 4. Beraya kali ini saya lebih banyak menerima tetamu daripada berziarah. Ini disebabkan isteri yang sarat mengandung agak sukar untuk berjalan jauh kerana cepat letih dan sakit belakang. Kasihan juga saya melihat si isteri, menyeringai menahan sakit setiap masa. Namun dari raut wajahnya saya dapat melihat ketabahan dan kesabarannya menanggung kepenatan mengandung kerana dia sendiri gembira kerana bakal menimang seorang bayi. Saya sendiri sering memujuknya dengan nasihat bahawa perempuan yang bersabar dalam menanggung sakit ketika mengandung akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan kasih sayang Allah. Di sinilah peri pentingnya peranan suami dalam menyokong emosi dan perasaan isteri yang penat dan letih kerana mengandung. Saya sering mendengar dalam kuliah dan melalui pembacaan, suami hendaklah sentiasa menyokong isteri ketika mengandung. Malah ayah saya sendiri sering menasihati saya supaya bersabar dengan karenah isteri kerana perangai orang mengandung memang agak lain berbanding biasa.
Busung...
Semalam saya menerima panggilan telefon dari Wan. Ada permintaan untuk merawat di Kampung Surabaya Hulu. Kes sihir @ busung. Kasihan saya melihat si pesakit, baru 2 bulan sakit, badannya dah kurus kering. Perutnya membuncit dan lemah tergeletak di atas katil tidak bermaya. Saya dan Wan memulakn proses meruqyah dengan membaca ayat-ayat Pembatal Sihir dan penawar bisa. Pesakit diberi minum air ruqyah terlebih dahulu dan seterusnya diruqyah. Kali ini saya menggunakan kaedah tarik untuk mengeluarkan bisa dan penyakit yang ada dalam perut. Terasa ada sesuatu yang keras dan bergerak ketika saya memegang perut pesakit. Wan juga ada merasakan gerakan dalam perut tersebut.
Saya mengharapkan agar si pesakit memuntahkan bisa atau barang kotor ketika ruqyah dibacakan. Namun tiada apa yang terjadi. Pesakit hanya batuk-batuk dan meludah. Selepas itu, Wan pula menyambung dengan bacaan Asas 30 Darussyifa, di samping mendoakan air untuk dibuat penawar.
Hasil perbualan dengan abang ipar pesakit, pada mulanya pesakit merasakan pusatnya mengeras, seterusnya menjalar sehingga ke perut lalu bisa dan membentuk busung. Rawatan hospital dan specialist telah dibuat, namun doktor mengatakan tiada apa-apa penyakit. Peliknya, si pesakit semakin menderita dari hari ke hari dan tidak dapat menerima makanan dan minuman. Akibatnya, pesakit menjadi kurus kering dengan perut yang membuncit.
Saya secara peribadi ingin mengatakan di sini bahawa ini adalah kes pertama saya merawat melibatkan penyakit busung. Apa yang dibuat malam tadi adalah mengikut apa yang saya ketahui dan pelajari. Mungkin ada ramai perawat di luar sana yang mahir atau khusus dalam merawat busung, dengan kaedah, doa, teknik atau herba tertentu. Saya amat mengalu-alukan para perawat untuk berkongsi ilmu mengenai rawatan khusus untuk penyakit busung dengan menghantar email kepada saya di asfaniaga@gmail.com atau menuliskan kaedah tersebut di ruangan komen yang disediakan.
Wallahu 'alam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan