Khamis, 23 April 2009

Jin Pokok Tua...

Semalam saya dan Wan Sudirman pergi merawat seorang pesakit yang diganggu jin di tempat kerja. Kami bertolak ke rumah pesakit yang terletak di Tman Alamanda (kalau tak silap saya) yang terletak di area Taman Malihah, Matang. Temujanji dengan Bang Mael sebagai orang tengah adalah selepas ISyak di depan 7 Eleven Matang Jaya. Bg Mael merupakan kawan kepada Abg Abd Rahman Hassan.

Setelah sampai, sesi soal jawab diadakan. Pesakit mengatakan dia membawa pulang sepotong kayu dari pokok tua yang ditebang pada 2-3 hari yang lepas. Pokok tua itu terletak dalam kawasan sebuah kilang tidak jauh dari jambatan Tabuan, Kuching. Kejadian aneh mula berlaku apabila pesakit didatangi 3 sosok lembaga (perempuan) yang mahukan kayu tersebut dihantar kembali dan lembaga (jin) tersebut mendakwa ingin bersahabat dengan si pesakit.

Walaupun kayu tersebut telah dihantar kembali ke tempat asal, gangguan masih berlaku. Jin ingin bersahabat dengan pesakit, walaupun pesakit menolak. Ini menyebabkan si pesakit kerasukan, sehingga satu peringkat si pesakit menyembah pokok tua tersebut malah menciumnya. Si pesakit juga dikatakan hendak menyediakan 'sajian' kepada pokok tua tersebut yang berupa sirih pinang, rokok daun dan lain-lain.

Setelah saya dan Wan menyelidik, kami membuat kesimpulan ada gangguan jin terhadap si pesakit. Saya mulakan ruqyah dengan muqaddimah dan Doa Ruqyah Jibril. Belum habis bacaan, si pesakit telah meronta-ronta dan saya pula nyaris hendak ditumbuk. Syukurlah Allah melindungi saya dan tumbukan tersebut dapat dielak. Rontaan dan teriakan pesakit menjadi semakin kuat dan ganas, sehinggakan antara 3 -4 orang bertubuh besar dan dewasa terpaksa menahan si pesakit.

Rundingan dengan jin pun dimulakan, namun jin enggan berunding malah membentak-bentak kami dengan mengatakan 'Jangan kacau aku! Jangan Kacau aku! Aku nak berkawan dengan dia!'. Saya meneruskan bacaan ayat suci Al-Quran dan doa-doa ruqyah yang lain dengan tujuan untuk melemahkan si jin tersebut.

Si pesakit menjerit, menghentak-hentakkan diri malah menggeleng-geleng kepalanya dengan kuat. Saya amat khuatir dengan tindakan jin tersebut kerana ini mungkin akan memudaratkan tubuh pesakit. Saya mula 'menyerang' jin dengan bacaan sepotong ayat dari surah Yassin dengan niat untuk membakarnya, dan dihembus ke muka. Si jin berteriak kesakitan dan kepanasan. Selain itu saya juga 'menghiris' beberapa kawasan pada badan si pesakit dengan niat untuk menyakiti jin (teknik ini saya perolehi dari buku karangan Dato' Ismail Kamus). Semuanya dengan izin Allah.

Berdasarkan dialog, si jin berada di kawasan kepala, tidak beragama, berumur seratus tahun. Saya dan Wan mendakwahi si jin kepada Islam. Setelah beberapa lama berunding, akhirnya ia bersetuju memeluk Islam dan diberi nama Iskandar. Saya menyuruh Iskandar bersumpah untuk tidak mengganggu lagi dan keluar dari jasad si pesakit. Saya juga menasihati Iskandar agar pergi ke Masjid Gita, Masjid Jamek atau jika ia mempunyai keupayaan untuk terbang, pergi ke Makkah untuk belajar agama dengan jin-jin Islam yang lainnya mengenai agama Islam. Azan dikumandangkan, sepotong ayat ruqyah dibaca dan saya 'tarik' keluar jin tersebut keluar dari jasad si pesakit dan alhamdulillah, pesakit pengsan sekejap dan selang beberapa minit, si pesakit pun sedar.

Selesai sesi rawatan, saya dan Wan mengambil kesempatan untuk menyampaikan dakwah mengenai aqidah dan cara hidup Islam kepada hadirin yang hadir. Beberapa tips pendiding dan zikir amalan turut diajar sebagai bekalan kepada mereka yang hadir, dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah dan mendinding diri dari gangguan syaitan.

Semoga Allah menerima amalan baik kami, amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan