Pandang dan Lihat, Dengar dan Berilah Perhatian, Tafsir dan Fikirkan, Faham dan Amalkan, Semoga Anda Zauq Dalam Kebahagiaan...
Selasa, 19 Mei 2009
Histeria...
Malam tadi usrah berjalan seperti biasa, tadabbur Quran, perbincangan dan lain-lain. Hujan turun dengan lebatnya di bumi Kuching, yang hadir usrah cuma saya, Hairi, Razak, Pejai dan Rahimi. Belum habis tadabbur, murabbi kami, Ust Soleh Hamden menerima panggilan dari rumah kebajikan tempat beliau bekerja sebagai penguasa. Rupa-rupanya ada kejadian histeria menimpa penghuni rumah kebajikan tersebut.
Usrah terpaksa ditangguhkan lebih awal, namun sempat juga menghabiskan tafsir surah al-Insan on time. Ust Soleh mengajak saya untuk menemani beliau ke rumah kebajikan tersebut, Razak juga ikut sama. Yang lain semuanya pulang ke rumah masing-masing.
Setibanya di sana, penghuni yang terkena histeria dikumpulkan di surau. Dua orang telah settle awal oleh warden yang bertugas, tinggal 3 orang yang agak 'degil' jinnya. Saya merawat seorang perempuan, seperti biasa menggunakan teknik hiris dan pukul belakang. Ust Soleh yang merupakan anak murid Dato Haron Din semasa beliau belajar di UKM menggunakan teknik Darussyifa untuk merawat seorang perempuan lagi. Kedengaran suara ust Soleh menggertak jin tersebut agar meninggalkan badan si pesakit.
Saya membaca ruqyah dan alhamdulillah, jin dapat dikeluarkan dengan kaedah tarik. Saya menyambung ruqyah untuk pesakit yang seterusnya. Pada mulanya si pesakit tidak bertindak ganas, tetapi setelah dibacakan ruqyah, si pesakit mula meronta-ronta dan menjerit. Penghuni-penghuni lain ketakutan mendengar si pesakit menjerit. Walaupun bacaan ruqyah telah saya lafazkan dengan cermat, namun jin yang merasuk enggan bekerjasama malahan melawan saya. Tempat saya diambil oleh ust Soleh kemudiannya (setelah pesakit yang beliau rawat sebelumnya pulih sepenuhnya), beliau menggunakan beberapa kaedah rawatan dari Darussyifa untuk memulihkan si pesakit. Ibu jari pesakit dipicit, dan beliau membaca Lau anzalna sampai akhir. Si pesakit meronta dan mula mencarut. Saya cadangkan kepada ust Soleh agar guna kaedah pukul, ust Soleh pun izinkan dan saya menggulung sejadah lalu memukul belakang pesakit diiringi dengan bacaan ruqyah. Saya dan ust Soleh bergiliran mebaca ayat-ayat ruqyah, namun jin tersebut masih degil untuk keluar.Teknik hiris sudah, pukul dengan sejadah pun sudah, namun pesakit masih belum pulih. Masya Allahu kana...
Tidak lama kemudian, ust Umar Fathullah Harun pula datang. Beliau merupakan anak Kiyai Fathullah Harun dan merupakan guru ruqyah kepada graduan pelajar Indonesia di IAIN Sunan Ampel. Ust Umar juga merupakan rakan baik ust Soleh. Saya dan ust Soleh memberi laluan kepada ust Umar untuk merawat.
Kaedah ust Umar lebih banyak ke diplomasi dan rundingan. Selain ayat-ayat ruqyah, beliau bacakan ayat-ayat azab untuk memberi peringatan kepada jin. Kelihatan si pesakit mengalirkan air mata, seolah-olah faham dan takut dengan apa yang dikhutbahkan oleh ust Umar.
Namun, dasar jin degil. Jin tersebut masih berdegil enggan keluar. Ust Umar menggunakan teknik yang terakhir (rasanya, mungkin ust Umar ada teknik lain yang hanya digunakan ketika kes berat berlaku...). Beliau membaca Hizib Bahar dan cuba menarik dari dahi si pesakit, kelihatan si pesakit menggeliat, tapi jin masih tetap tidak mahu keluar dari jasad si pesakit.
Pendek cerita, datang pula ust Hasim Man al Hafiz, perawat tersohor untuk umat Islam di Kuching. Ust Hashim Man memang terkenal kerana selain menjadi Imam Besar di Masjid At Taqwa Kpg Gita, beliau juga selalu merawat orang yang terkena gangguan makhluk halus. Saya juga pernah menerima rawatan dari beliau. Ust Hashim Man juga rakan baik kepada ust Soleh dan Ust Umar.
Ust Hashim Man menggunakan kaedah dari jarak jauh, diiringi dengan bacaan ayat Quran dan gerak nafas. Beliau juga merenjis air ruqyah kepada si pesakit. Pada ketika ini, si pesakit mula kelihatan lemah walaupun jin belum keluar sepenuhnya dari jasad si pesakit.
Si pesakit masih menjerit dan mencarut kepada orang di sekelilingnya, termasuklah saya. Sampaikan janggut ust Hashim Man pun dikutuk dan dihina oleh jin tersebut dengan mengatakan janggut ust Hashim Man buruk! Masya Allah.
Malam semakin larut, hujan masih rintik-rintik di luar surau. Si pesakit mula lemah. Ust Hashim Man menamatkan rawatan dengan menyuruh si pesakit dihantar ke bilik dengan bantuan kawan-kawannya. Walaupun pesakit masih belum pulih, namun sudah ada tanda-tanda yang pesakit akan sembuh, insya Allah.
Apa yang menarik malam tadi ialah, saya berpeluang melihat dengan mata saya sendiri, tiga guru utama dalam rawatan Islam bergabung tenaga untuk merawat penghuni yang histeria tersebut. Pelbagai kaedah dan teknik yang saya lihat. Ust Soleh dengan kaedah Darussyifa, Ust Umar dengan kaedah Ruqyah Syar'iyyah nya, dan ust Hashim Man pula dengan kaedah yang beliau pelajari semasa belajar di sekolah pondok dahulu. Saya berasa bertuah kerana jarang-jarang saya berpeluang untuk melihat tiga guru yang mahir dalam hal ehwal gangguan makhluk halus ini bergabung tenaga dan doa melakukan rawatan secara bersama. Secara tidak langsung saya telah belajar pelbagai teknik dari 3 guru yang berlainan.
Ironinya juga, ini kes saya yang pertama membabitkan histeria. Sebelum ini saya tidak pernah merawat orang yang terkena histeria. Semasa menghantar ust Soleh pulang ke rumah, sempat juga saya 'merisik ilmu' dengan ust Soleh mengenai kaedah-kaedah Darussyifa. Beliau mengajar kaedah menggunakan bawang putih atau lada hitam bagi mengesan gangguan pada badan pesakit. Alhamdulillah, bertambah lagi satu ilmu baru.
Wallahu 'alam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
assalamualaikum saudara...
BalasPadambgaimna sy menghubungi kamu,ada benda penting utk sy sampaikn...
waalaikum salam, boleh telefon saya di no 016 8576778
Padam