Isnin, 25 Mei 2009

Menyingkap Misteri Keramat Orang Melayu...


Seperti yang pernah dijanjikan pada posting blog yang lepas, kali ini saya akan menceritakan tentang Datuk Keramat di kalangan orang Melayu, manakala di kalangan orang Cina pula ia dikenali sebagai Datuk Kong.

Mistik dan misteri tidak pernah mengenal bangsa, agama dan ras. Bagi menghurai misteri alam ghaib, memang tidak akan pernah habis malah selepas satu, akan datang satu lagi ilmu tentang keghaiban yang manusia akan ketahui. Islam mensahihkan alam ghaib namun ini perlu dipandu dengan akal yang sihat dan hati yang beriman.

Kalau sebelum ini saya sering menulis tentang pengalaman peribadi seharian dan juga pengalaman ruqyah, kali ini saya ingin membuat sedikit kelainan mengenai alam misteri. Mungkin ada sesetengah orang akan mencemikkan muka kerana apa yang bakal saya ceritakan ini lebih kepada info kepercayaan atau 'keimanan' agama Tao, iaitu bangsa Cina. Apa yang nyata, ini hanyalah sekadar info dan ilmu yang saya berpendapat wajar untuk kita ketahui bagi menjadi khazanah ilmu di dada kita.

Datuk Kong, menurut sebutan orang Cina adalah merupakan 'Local Deity' atau 'Dewa Kawasan' bagi sesuatu tempat. Boleh juga ia dipanggil 'Earth Deity' atau 'Dewa Bumi'. Apa yang nyata, ia merujuk kepada personaliti yang sama, iaitu Datuk Kong @ Datuk Keramat.


Datuk Kong merupakan dewa pangkat @ peringkat rendah dalam hirierki dewa-dewi masyarakat Cina.Info yang saya dapat dari dokumentari National Geographic di Astro, dewa-dewi terbahagi kepada Yin dan Yang (panas dan sejuk). Bagi pangkat Yang, para dewa-dewi ini diam di alam atas @ langit, dan Datuk Kong merupakan dewa pangkat Yang terendah kerana dewa ini diam di bumi. Berbeza pula dengan pangkat Yin, dewa-dewi ini lebih kepada alam rendah @ dingin, iaitu kegelapan dan kengerian alam neraka di dasar bumi. Ini merujuk kepada dewa neraka bernama Yuen Lo @ Raja Yama, dan ada 2 pengawal neraka yang terkenal dalam agama Tao yang dipanggil 'Good Brothers' atau The White and Black Guards.Dalam bahasa Cina pengawal ini dipanggil Tua Di Ya Pek, pengawal ini berpakaian hitam dan putih, dan berlidah terjelir panjang.

Hasil pergaulan saya dengan masyarakat Cina, saya dimaklumkan bahawa Datuk Kong merupakan seorang dewa yang baik hati, penjaga bagi sesuatu tempat seperti kampung, hutan, sungai, gunung, kawasan lapang dan lain-lain.Datuk Kong juga dikatakan merupakan tokoh masyarakat setempat yang mungkin terdiri dari alim ulama, kiyai, panglima, tok bomoh, dukun dan lain-lain. Apabila mereka meninggal dunia maka kuburan mereka ini menjadi 'tokong' dan berhala mereka pun dibina untuk disembah. Dewa ini juga dikatakan akan melindungi penduduk kampung jika sentiasa disembah dan diberi sajian. Datuk Kong ini juga dikatakan dapat memberi kekayaan kepada sesiapa yang rajin membaca zikir atau mantranya berulang kali (seperti bertasbih) dan sesiapa yang rajin memuji-muji Datuk Kong akan diluaskan rezekinya, dilepaskan dari segala bentuk kesulitan dan lain-lainnya. Datuk Kong juga akan menunaikan hajat kepada sesiapa sahaja yang berdoa kepadanya. Dalam sesetengah upacara Datuk Kong akan dipanggil oleh bomoh Cina dengan cara menurun untuk berkomunikasi dengan penganut-penganutnya.

Di Kuching, ada satu 'shrine' yang menempatkan Datuk Kong dan patung berhala Datuk Kong ini sama tinggi dan besarnya dengan manusia biasa. Pada asalnya 'shrine ini terletak di bawah 'fly over' menuju ke airport, dan ia dibina oleh sebuah syarikat kontraktor mega, Hock Peng Realty, semasa pembinaan Berhala ini berpakaian Melayu, bersamping, berkopiah haji putih, memegang tongkat dan tasbih. Hidangan sajiannya juga merupakan kuih apam Cina, sirih pinang, rokok daun, buah limau, kain pelikat, songkok dan lain-lain. Setanggi yang digunakan berwarna hitam, dan 'rumah' nya pula senibina Melayu dan berwarna hijau. (???)

Lokasi 'shrine' ini terletak di Jalan Keretapi, Batu 3, Kuching. Paling mudah untuk locate 'shrine' ini ialah ia terletak di Pasar Sungai Maong, berhadapan dengan Sunny Hill College. Usrah kami pernah mengambil gambar patung tersebut, malangnya gambar tersebut telah hilang entah ke mana. Insya Allah, kalau ada kesempatan saya akan ke sana untuk mengambil gambar patung tersebut dan pastekan ke blog ini.

Ada di sesetengah tempat, Datuk Kong Melayu ini berjubah putih dan berserban. Kadang-kadang berhala ini juga akan digandingkan dengan dewa-dewi orang Cina yang lain. Ini pernah saya lihat di sebuah Wat Siam yang terletak di Stephen Yong Road, Batu Kawa, Kuching.

Saya pernah bertanya kepada rakan saya yang berbangsa Cina, mengapa mereka menyembah Datuk Kong berbangsa Melayu? Kawan saya menjawab bahawa Datuk Kong merupakan orang tempatan, yakni orang Melayu, sebab itulah mereka membuat berhala Datuk Kong berbangsa Melayu. Kalau di India, maka berbangsa Indialah Datuk Kongnya, dan jika di Mexico, Datuk Kong Mexicolah yang disembah mereka.

Setelah melakukan penelitian, bacaan dan pemerhatian, saya mendapat kesimpulan bahawa Datuk Kong merupakan PENUNGGU bagi sesuatu kawasan dan merupakan golongan jin yang disebut dalam Al-Quran. Ini jelas apabila Allah berfirman dalam kitabNya bahawa dahulu ada satu kaum yang memberi penghormatan kepada jin atau ketua jin di sesuatu kawasan (gunung, lembah dll) seperti 'tabik datuk anak cucu tumpang lalu' sehingga menyebabkan kaum jin kawasan tersebut 'naik lemak'. Perkara yang sama berlaku kepada Datuk Kong kerana mereka dipuja dan disembah bagi mengelakkan bencana berlaku ke atas mereka. Saya teringat semasa zaman kecil-kecil dahulu apabila hujan panas saya disuruh melafazkan 'Tabik datuk anak cucu tumpang lalu' bagi mengelakkan terkena 'limpasan' atau 'keteguran' oleh makhluk halus oleh orang-orang tua di kampung. Selain itu, menyelitkan rumput di cuping telinga juga dikatakan boleh mengelakkan terkena gangguan semasa hujan panas.

Alhamdulillah, saya perhatikan budak-budak zaman sekarang tidak lagi mempraktikkan perkara tersebut. Mungkin kerana kefahaman terhadap aqidah Islam yang murni sudah mula tumbuh subur di hati masyarakat hari ini.

Tulisan ini hanyalah merupakan info yang saya dapat hasil dari penyelidikan, pemerhatian dan kajian saya terhadap kepercayaan agama lain.Saya tidak bertujuan untuk mengamalkan, jauh sekali menyebarkan agama lain melalui tulisan saya ini. Saya gemar membuat perbandingan agama seperti Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain bagi menambahkan lagi pengetahuan saya mengenai agama-agama yang wujud di dunia ini. Tidak ada yang lebih mulia dari agama Islam yang suci dan murni ini. Kajian terhadap agama juga telah memantapkan iman dan aqidah saya terhadap Islam yang tercinta ini.

Insya Allah, jika ada info dan idea lagi tentang kepercayaan kaum lain, akan saya muatkan dalam blog ini. Saya mengalu-alukan sebarang komen dan kritikan mengenai tulisan ini.

Kepada Allah saya berserah diri. Wallahu 'alam.

[GAMBAR-GAMBAR DI ATAS ADALAH GAMBAR YANG SAYA PEROLEHI DI INTERNET,TIADA KAITAN DENGAN 'SHRINE' DATUK KONG DI KUCHING, SARAWAK. KERAMAT DATUK KONG INI TERLETAK DI PULAU KUSU, SINGAPURA]

8 ulasan:

  1. Good info..from AjeRi
    Halus juak pemerhatian kau jek?

    BalasPadam
  2. bang asri,kmk ingin juak nk nga datuk kong ya..dah dicina nya nama ya duhal..pa jak la nyembah benda ya pake dpt tuah..tulah gik ada..

    BalasPadam
  3. islam tu agama..dan melayu tu bangsa...xdek salahnyeer,,,,,

    BalasPadam
  4. kmk stuju dgn dengan pendapat saudara saudari diatas....tapi bagi kmklah sembah menyembah dalm hal tok rasanya tang pelik jak,kita sebagai hambaNya wajib menyembah yang satu iaitu ALLAH..terpulang kepada individu tersendiri

    BalasPadam
  5. Apa yang sy fikir penting adalah janganlah menaikkan kesangsian penganut agama Islam di Malaysia. Janganlah tulis papan tanda yang sudah diterjemah dalam Bahasa Melayu. Pas tu sembah Dewa dengan Signboard Guna Nama Datuk. Logik ke tidak. Apa kata Islam guna nama Buddha dalam solat kita? Mesti Penganut Budhha marah sebab cara kita buat salah tak spt mereka! Renungkanlah, ini hanya pendapat dan tak salah nak kongsi..

    BalasPadam
  6. Memang benar tanggapan saudara, "Datuk Kong" ni memang penunggu sesuatu kawasan. "Kong" ni maksudnya hanyalah "datuk" dalam bahasa cina, sebagai tanda hormat kepada penunggu atau semangat tersebut. Boleh dikatakan pemujaan datuk kong oleh kaum cina ni macam sembah samseng, kerana datuk kong yang kerapkali disembah adalah penunggu/semangat yang paling kuat di kawasan tersebut, seperti ketua segala penunggu/roh/semangat/jin di sana. Sebab itu apabila kita memuja datuk kong dan memberi macam-macam hantaran baginya, ia seakan-akan membayar "upah perlindungan". Datuk kong ini akan memastikan bahawa para pemujanya tidak akan diganggu makhluk-makhluk halus yang lain.

    BalasPadam
  7. Mun ktk caya or x hak individu. Tapi kmk pernah lihat real depan mata. Datuk Kong tolong org Nya xminta duit atau apa, kedak Islam juak baca bismillah juak.
    Kmk pun nanga.. walaupun kmk xcaya tapi nang berlaku depan mata kmk pun.

    BalasPadam
  8. Memang susah membezakan datuk kong yang dewa, jin, bahkan hantu gentayangan . Makanya ada orang cina tidak sembah datuk kong. Lebih baik sembah dewa besar dari langit. Sebab bila ingin sembah datuk kong. Harus location sama dengan dewa besar dari langit (tai shang lao jun, guan gong, guan yin,etc).

    BalasPadam