Ahad, 31 Mei 2009

Perjalanan Spiritual Dengan ESQ 165...


Jumaat lepas, jam 7:20 pagi, ust Sarbini menelefon saya. Beliau offer satu kuota kosong untuk seminar ESQ 165 yang akan dilangsungkan di Hotel Riverside Majestic pada hari tersebut. Saya bersetuju dengan tawaran tersebut dalam keadaan mamai, kerana saya tidak sihat dan pening sebelah kepala.

Sebetulnya saya hendak mengambil cuti sakit pada hari tersebut. Hari Khamis saya melakukan lawatan tapak dari Bau sampai ke Rampangi, dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Saya dan Harun tidak sempat makan tengahari, lalu kontraktor mengajak kami makan di Bombay Masala, Taman Sukma. Saya order roti daging dan kari kambing. Natijahnya, darah saya naik dan panas dalam badan. Kepala juga pening sebelah.

Pagi Jumaat itu saya bercadang hendak ke klinik, lalu mengambil cuti sakit. Tapi setelah mendengar tawaran ust Sarbini, saya bersetuju untuk mendaftarkan diri terlebih dahulu dan kemudiannya ke klinik. Dalam keadaan badan yang lemah dan kepala pening, saya memecut kereta ke Riverside Majestic. Sesampainya di sana, saya terus disuruh ust Sarbini mengisi borang dan masuk ke dewan kerana acara telah pun bermula. Saya mengatakan saya hendak ke klinik, tapi ust suruh saya masuk sekejap, saya akur.

Intro seminar tersebut sangat menarik, tapi saya kurang memberi tumpuan kerana badan yang tidak sihat, tambahan pula saya khuatir terjumpa dengan staf SPNB atau sesiapa yang mengenali saya, nanti mereka fikir saya escape kerja pula.

Setelah 2 jam, saya keluar dari dewan kerana tidak tahan. Saya meminta izin dengan Hairi yang menjadi fasilitator program untuk balik. Ust Sarbini juga telah saya maklumkan melalui sms.

Setelah ke klinik, saya menjalani pemeriksaan darah. Sempat juga doktor itu 'memarahi' saya kerana bacaan darah saya tinggi kerana kurang bersenam dan tidak menjaga pemakanan. Saya mengakui kesalahan saya.

Pulang dari klinik, saya tidur untuk merehatkan diri sepanjang hari tersebut...

Sabtu, 30hb Mei 2009

Saya hadir ke dewan seminar ESQ tepat jam 7:50 pagi. Hairi menyambut saya dan memberi saya tag nama untuk masuk. Semua urusan pendaftaran telah diatur oleh Hairi.

Saya perhatikan banyak golongan profesional yang menyertai seminar ini. Ada yang berpangkat CEO, manager dan lain2. Di antara organisasi yang menyertai seminar ini ialah Unimas, TEKUN, DBKU dll.

Saya bertemu dengan sahabat saya dari Pejabat Mufti iaitu Ust Syarifudin. Beliaulah yang bersama saya sepanjang seminar tersebut. Beliau datang berseorangan.

Terus terang saya katakan, pada mulanya saya fikir seminar ini sama seperti seminar motivasi yang lainnya. Makanya, terselit sedikit sifat ego dalam hati saya. Saya berfikir mungkin isinya lebih kurang sama dengan seminar motivasi yang pernah saya hadiri. Namun saya ingat pesan ustaz saya supaya jadilah seperti gelas yang kosong apabila menuntut ilmu yang baru, dan tundukkanlah keegoan. Saya didik diri saya ketika itu dengan membuka minda dan hati saya sebaik sahaja seminar bermula.

Seminar dimulakan dengan lafaz bismillah, al-Fatihah dan doa. Sepanjang seminar berlangsung kami menonton slide-slide yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran dan visual-visual yang menarik. Slid-slide ini diiringi pula dengan gemersik muzik Kitaro yang alunannya lembut dan menyentuh jiwa. Kadang-kadang terasa jiwa melayang seperti terbangnya helang di angkasa raya yang luas. Sungguh indah sekali! Perasaan ketika itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Namun ada ketikanya emosi peserta seminar 'dipermainkan'. Contohnya, pada ketika minda dan jiwa melayang, tiba-tiba terpapar visual menakutkan dengan iringan muzik yang menggerunkan, dentuman muzik seram dari speaker dewan tersebut bukan sahaja menggegarkan dewan malah hati dan tangkai jantung peserta yang mendengarnya. Ini disusuli dengan ayat-ayat suci Al-Quran dipaparkan di skrin gergasi di depan dewan, iaitu ayat yang membicarakan tentang kebesaran Allah, Al-Quran, azab dan alam. Kesan daripada itu ramai peserta yang menangis, berteriak menyebut nama Allah dan bertakbir. Saya pun tidak terkecuali. Saya menangis kerana kesemua ayat Quran tersebut memang BENAR, apa yang diajar oleh Rasulullah itu memang BENAR! dan seterusnya.

Keegoan saya runtuh dan luntur, seperti lunturnya kotoran yang melekat di dinding apabila dicurahkan air ke atasnya. Masya Allah, kalau selama ini saya hanya 'melihat' dan mengakui kebenaran Al-Quran itu tanpa merasanya di dalam hati, kali ini saya benar-benar merasa akan kebenaran Al-Quran itu dengan hati dan jiwa saya. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Trainer ESQ, Pak Subhan dan Encik Faizi amat bijak menyampaikan bahan dan berkomunikasi dengan peserta. Jiwa kami terus 'dipermainkan', jauh nun ke lubuk hati, hingga mahu atau tidak, kesemua yang ada di dalam dewan itu mengakui bahawa kita adalah hamba Allah yang hina-dina, yang tidak punya apa-apa. Kesemuanya mengakui dosa dan kesalahan masing-masing.

Sukar untuk saya gambarkan suasana seminar ke dalam bentuk tulisan. Dua hari mengikuti seminar tersebut (sebetulnya 3 hari...) benar-benar memberi kesan kepada saya. Saya berasa rugi kerana tidak mengikuti seminar tersebut semenjak hari pertama lagi. Saya amat berterima kasih kepada ust Sarbini dan sahabat saya Hairi kerana menggalakkan saya untuk menyertai seminar ESQ 165 ini. Ini adalah pengalaman saya yang paling berharga dalam hidup saya.

Ahad, 31hb Mei 2009

Hari terakhir seminar. Sekali lagi jiwa dan minda kami 'dipermainkan'. Sekali lagi kami menangis dan merintih, runtuhlah segala keegoan, kesombongan dan lain-lain sifat mazmumah. Saya amat mengharapkan Allah melimpahkan cahaya kasih dan hidayahNya kepada semua peserta yang ada di dalam dewan.

Banyak ayat-ayat Quran yang dipaparkan pada skrin layar depan dewan disokong oleh para saintis dan bijak pandai barat. Inilah yang mengagumkan saya. Bagaimana mungkin seorang lelaki yang ummiy (tidak padai membaca dan menulis...), yakni Rasulullah,1400tahun yang lalu, dapat membuat penemuan sains yang begitu menakjubkan? Siapa lagi yang mengajarkan baginda penemuan sains yang menakjubkan ini kalau tidak Allah, Pencipta Sekalian Alam?

Ini benar-benar membuatkan saya tersentak dan terkejut. Ia umpama satu tamparan hebat kepada diri saya. Saya dan peserta-peserta lain menangis sepuas-puasnya apabila merasakan dan melihat akan kebesaran ayat-ayat Allah itu. Maha Suci Allah.

Setelah kesemua modul ESQ 165 disampaikan dengan cemerlangnya oleh para trainer, maka tiba lah masa penutupan. Suasana penutupan diadakan dengan penuh ceria dan gembira. Jiwa kami juga disegarkan dengan lantunan nasyid selawat, lagu Ikrar Ksatria 165 dan lain-lain. Penutupan dibuat dengan sharing dan bacaan doa oleh ust Syarifudin dari Pejabat Mufti. Kami pulang dengan membawa sijil, buah tangan, dan beg yang diberi percuma oleh pihak ESQ 165. Selain itu, kenangan sepanjang hari seminar tersebut juga dibawa pulang bersama untuk dikongsi bersama dengan keluarga dan rakan-rakan.

Kalau hendak menulis apa yang saya tempuhi sepanjang seminar ESQ tersebut, rasanya kurang sesuai untuk saya ceritakan di blog ini. Perasaan hanya dapat dirasa, bukan didengar atau dibaca. Malahan mungkin tidak cukup dengan satu posting ini untuk saya ceritakan pengalaman saya mengikuti ESQ.

Saya pulang dengan hati yang puas. Saya parking kereta di depan McDonald, kebetulan terjumpa pula dengan 3 orang sepupu saya, Awin, Kiki dan Irca yang sedang dalam perjalanan untuk menonton wayang. Mereka mengajak saya untk join sekali. Saya menolak dengan baik kerana hendak ke airport untuk menghantar Hairi yang akan berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah. Saya singgah di Masjid Darul Ittihad, kenyalang Park untuk solat Maghrib.

Di airport, saya berjumpa dengan Hairi dan keluarganya. Setelah bersembang dan bersalam serta mengucapkan selamat tinggal kepada Hairi, saya meminta diri. Sebelum itu sempat juga saya meminta sahabat saya itu untuk mendoakan saya apabila tiba di Tanah Suci kelak.

Saya membelah bandaraya Kuching malam tersebut dengan lajunya menggunakan kereta Kancil buruk saya. Saya melihat keindahan Bandaraya Kuching di sebelah malam dengan hati saya, ternyata Kuching masih bandar yang paling indah dalam hidup saya, walaupun bandar ini telah berusia. Kuching masih kekal bandaraya terindah dalam hidup saya.

Sampai di rumah, saya share pengalaman ESQ saya dengan ibu bapa saya. Ibu saya kagum dan setuju bahawa ESQ memang satu kaedah motivasi yang cemerlang. Ibu saya pernah mendengar tentang ESQ, cuma beliau tidak berkesempatan untuk menyertainya.

Seusai membersihkan diri dan solat Isyak, saya dijemput oleh Bahtiar dan Aied untuk minum-minum di Benteng Satok. Dzul pada asalnya yang mengajak kami ke sana, tapi terpaksa dibatalkan saat akhir kerana terpaksa menemani ibunya.

Setelah kami minum, kami bersiar-siar sambil menikmati pemandangan indah bandaraya Kuching. Timbul pula idea nak menonton wayang di Starcineplex, cerita Angel and Demon. Tapi bila kami lihat waktu shownya pukul 12:30 pagi, sedangkan hari masih awal, kami terpaksa membatalkan niat tersebut kerana mata dah mengantuk. Kami pulang tidak lama selepas itu.

Berkenaan dengan ESQ 165, saya amat menggalakkan kepada semua pembaca blog ini untuk menyertainya. Walaupun harganya agak mahal, namun ilmu dan pengalaman yang diperolehi sebenarnya tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Saya yakin anda semua akan berpuas hati, insya Allah.

Terima kasih Ust Sarbini Dahlan, Hairi Jobli serta isteri, Pak Muhammad Subhan dan Encik Faizi Abdul Karim. Semoga Allah merahmati kita semua. Amin...

1 ulasan:

  1. family mek suma da ekot esq ya koh..
    mak kmk dah 3x join.. kmk jak belom join gik.. suma pdh esq ya best.. =)

    BalasPadam