Pagi ini, usai solat Subuh jemaah di Surau Darul Husnul Khatimah, seperti biasa ada kuliah subuh yang disampaikan oleh Ust Soleh Hamden. Ust Soleh selalu menyampaikan kuliah Subuh setiap pagi Sabtu, manakala kuliah Maghrib pula disampaikan oleh ustaz-ustaz yang lain yang tinggal di kawasan perumahan Tmn Anib dan Tmn Selasih yang berdekatan.
Ust Soleh menyampaikan isi kitab Tanbihul Ghafilin, sebuah kitab tasauf yang menarik. Penyampaian ust Soleh memang ringkas, simple namun padat. Beliau lebih gemar memberi ceramah atau kuliah dalam suasana santai dan bersahaja, namun memberi impak kepada pendengar. Tidak seperti sesetengah ustaz (tidak semua) yang kadang-kadang emosional dalam berceramah, sehingga sampai satu peringkat mencaci dan menghina orang lain, malahan ada juga yang membuat fitnah dan menyampaikan fakta yang tidak betul dalam ceramah.
Tajuk hari ini ialah tentang sifat sombong. Apa yang dimaksudkan sombong menurut Abul Laits As-Samarqandi dalam kitab tersebut ialah merasa lebih atau besar diri dari orang lain, merendah-rendahkan orang lain dan sifat ini biasanya nampak dari segi percakapan dan tingkah laku individu. Banyak poin-poin yang menarik dan berguna serta mudah difahami dalam kitab tersebut disampaikan oleh ust Soleh dengan baik dan berkesan.
Allah paling benci kepada orang miskin yang sombong. Menurut huraian ust Soleh, kalau orang kaya bersikap sombong, itu biasa kita lihat. Tapi kalau orang miskin yang sombong, maka itu luar biasa. Ini kerana amat tidak mengena kalau orang yang miskin bersikap sombong. Sepatutnya kerana dia miskin, dia kena tawadhu' dan jangan bersikap dalam bahasa kasarnya, 'bodoh sombong'.
Teringat saya dengan seorang kawan yang sama menuntut di Politeknik dulu. Aziz Sanusi namanya, merupakan di antara kawan saya yg paling rapat semasa belajar. Aziz berasal dari Kampung Mang, Samarahan. Aziz bukanlah orang senang, bapanya cuma seorang tukang di JKR (kalau tidak silap saya) dan ibunya seorang suri rumah. Aziz adalah orang kampung yang tipikal dan biasa, tapi pandai menyesuaikan diri dengan semua orang termasuklah dengan orang bandar yang lain. Dia sangat peramah dan sangat suka berkawan. Saya sangat senang berkawan dengan Aziz.
Ada satu peristiwa yang masih terpahat di ingatan saya, semasa saya dan Norman (kawan sama Politekniknik juga) berziarah Raya di rumah Aziz. On the way ke rumah tersebut, saya call handphone Aziz, memaklumkan kedatangan kami berdua yang nak berziarah. Kebetulan pula Aziz baru pulang dari kebun menolong bapanya, dia bergegas membersihkan diri untuk menyambut kami.
Di rumah Aziz, kami disambut mesra oleh keluarganya. Kami berbual mesra sambil makan kuih raya. Apa yang menarik, kami juga dihidang makan tengahari di rumahnya. Kami dihidangkan dengan nasi, ikan masak gulai, ulam-ulaman dan bermacam jenis masakan kampung. Saya dan Norman makan dengan berselera sekali.
Selesai makan, dihidang lagi dengan kuih raya. Perut dah senak dengan barang makan, tapi saya makan juga kerana nak menghormati tuan rumah. Norman pun dah nampak termengah-mengah nak habiskan kuih tersebut.
Sebelum pulang, sempat juga Aziz dan ayahnya memberi buah tangan yang merupakan limau yang mereka tanam sendiri. Saya berasa terharu dengan keluhuran hati budi Aziz dan keluarganya yang melayan kami dengan baik sekali.
Saya mendapat banyak pengajaran dari kunjungan ke rumah Aziz. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, ia tidak menghalang Aziz dan keluraganya untuk melayan tetamu dengan baik dan cemerlang. Mereka berusaha untuk membuat yang terbaik agar tetamu merasa selesa semasa berkunjung ke rumah. Saya juga mendapat tahu dari ust Soleh (yang merupakan anak jati Muara Tuang, Kota Samarahan) bahawa memang perangai orang kampung yang gemar menjamu dan bersedekah walaupun dalam keadaan yang kekurangan. Mereka (orang kampung) percaya bahawa dengan bersedekah atau memuliakan tetamu akan menyebabkan rezeki menjadi berkah dan Allah akan melipatgandakan nikmat ke atas mereka yang gemar bersedekah. Bakhil dan tamak adalah aib bagi orang Samarahan, ini yang saya dapat tahu dari ust Soleh.
Saya berusaha untuk 'implement' perkara baik dari orang kampung ini dalam hidup saya...
Mudahan hidayah Allah melimpah ke dalam hati kita semua. Amin...
Salam ziarah. Blog dan posting yang menarik.
BalasPadamView Profile: Rantong™