Pagi tadi saya solat Subuh di Surau Darul Husnul Khatimah, cadangan sebelumnya saya nak ke Masjid At-Taqwa Kpg Gita kerana ada kuliah Subuh di sana. Tapi oleh kerana saya terbangun ketika azan tengah dikumandangkan, tak sempat pula nak ke Gita, lalu saya sembahyang di surau kampung sahaja.
Selesai wirid dan doa, saya memecut Kancil buruk saya membelah sejuk pagi di Petra Jaya untuk ke Masjid At-Taqwa Kpg Gita. Sesampainya saya di sana, ceramah baru dimulakan, Alhamdulillah! Saya sempat dan tidak miss banyak poin untuk ceramah tersebut.
Saya ikuti ceramah dengan hati tenang dan khusyuk, walaupun ada juga seorang dua jemaah yang tersandar berdengkur di dinding masjid dek kerana mengantuk yang amat sangat. Tidur akhir agaknya, atau mereka berqiamullail malam tadi, sebab itulah mengantuk ketika mendengar ceramah, hati saya berbisik. Kasihan, letih benar orang tua ni.
Ustaz Hassan Basri menyampaikan ceramah tentang azab dan gambaran neraka, dengan menggunakan kitab yang tidak sempat saya 'curi tengok' pada kulit kitab tersebut.
Terasa juga kengerian dan kedahsyatan neraka sepanjang saya mendengar ceramah tersebut, ust Hassan memang bijak menyampaikan isi kandungan kitab. Diterangkan tentang tingkatan neraka, jenis-jenis azab dan lain-lainnya. Meremang bulu roma bila membayangkan neraka seperti yang diceritakan.
Ada satu part ust Hassan menitiskan air mata, di mana diceritakan ahli neraka melihat Jibril melawat neraka. Mereka ahli neraka berkirim salam kepada Rasulullah melalui Jibril dengan harapan Rasulullah berkenan untuk memberi syafaat kepada mereka, lantaran tidak tertanggung azab neraka yang dialami oleh mereka. Saya turut merasa sebak apabila mendengar bahagian cerita tersebut.
Selesai ceramah jam 7:00 pagi, saya bergegas ke kereta. Cadangnya nak beli minyak kereta dan 'reload' telefon. Tiba-tiba handphone saya berdering. Jalot rupanya, dia mengajak saya untuk minum pagi bersama di Bismi Cafe, Matang. Kami turut terserempak dengan ust Sarbini dan ust Azman Zen, sempat pula kami berbual seketika.
Selepas membeli minyak dan 'top-up' handphone, saya dan Jalot menuju ke Matang Jaya. Kami minum pagi bersama, teh halia, roti kosong dan roti telur. Sedap dan menyelerakan, Bismi Cafe memang tempat makan yang terkenal di Matang Jaya. Ramai jemaah dari surau berdekatan akan singgah breakfast sambil bersembang di situ selepas solat Subuh. Kedai makan ini akan bertambah ramai terutama sekali hari minggu.
Banyak perkara yang saya dan Jalot bincangkan, termasuklah tentang kursus ESQ yang bakal diadakan di Four Points Sheraton Hotel pada hujung bulan ini. Saya dan Jalot akan menghadiri kursus ATS (Alumni Technical Support) bagi melicinkan dan membantu perjalanan kursus tersebut kelak.
Selepas breakfast, saya dan Jalot berpisah. Saya memperoleh banyak hikmah pagi ini, yang saya rasa amat baik untuk dijadikan pengajaran dalam hidup.
Demikianlah kitabkehidupan, banyak yang kita pelajari jika kita melihat dengan mata hati yang suci dan terbuka.
Wahai Naunganku Yang Maha Tinggi, kasihanilah aku yang menumpang teduh di dataran dunia yang luas ini. Luruskanlah hatiku ke arah kebaikan, dan Kau palingkanlah hatiku dari kejahatan. Amin...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan