Selasa, 18 Ogos 2009

Misteri Bukit Siol...

Malam ini staf SPNB mengadakan jamuan makan malam di Top Spot sempena meraikan kedatangan Datin Noor Haliza(isteri kepada Dato' Amin, bekas MD SPNB) yang datang ke Kuching atas urusan bisnes. Beliau datang dengan seorang staf beliau (yang saya tidak ketahui namanya). Datin sangat mesra dengan kami. Ini adalah kali pertama saya berjumpa dan beramah mesra dengan Datin.

Sambil makan, pelbagai perkara disembangkan. Gurau dan usik-mengusik jangan ceritalah, staf SPNB memang kaki usik. Dalam istilah bahasa Sarawaknya 'Pengepak @ Penyelak'. Kehadiran Wenndy (Senior Executive) kami yang memang pakar dalam 'pak-mengepak' juga menggamatkan suasana. Sir Habeeb, orang nombor 2 SPNB juga sama. Saya, Harun, Azry dan Saiful memang tidak kering gusi ketawa dengan cerita lawak yang disembangkan. Di meja sebelah, Radzi, Shimani, Amy dan suami, Nisa dan Eva pula dengan topik mereka tersendiri. Kelihatan Radzi pula melayan dan bersembang dengan Datin. Entah topik apa yang mereka sembangkan. Nisa, Shimani dan Eva pula sibuk menggambar diri sendiri dengan telefon bimbit. Perempuan... susah nak cakap...

Suasana dinner di Top Spot sangat meriah dan kami 'kemengahan' menghabiskan makanan yang dipesan oleh Shimani dan Nisa, 'pakar makanan' dalam ofis. Dalam masa yang sama, 'mengah' kerana banyak ketawa. Harun dan Wenndy buka cerita tentang bagaimana virus H1N1 merebak. Kemudian topik beralih pula ke kisah Istana Al-Hambra, Andalusia, kegemilangan ilmuan Islam dan lain-lain. Dalam pada gelak ketawa, sempat juga bersembang tentang perkara yang ilmiah.

Selesai makan, kami pulang dengan hati yang puas. Saya, Saiful, Sir Habeeb, Harun dan Azry pulang dengan menggunakan Hilux ofis. Wenndy dan Eva dengan kereta sendiri. Radzi menghantar Datin dan yang lain-lain. Kami mengucapkan terima kasih kepada Datin kerana sudi makan malam bersama kami.

Setelah sampai di Petra Jaya, Radzi menelefon saya. Rupa-rupanya Datin nak minum kopi, lalu mengajak kami sekali. Saya serahkan HP kepada Sir Habeeb, dan dia mengatakan kami semua hendak pulang, dan menolak pelawaan tersebut dengan baik.

Kami melalui sebuah bukit di Petra Jaya, yang dipanggil Bukit Siol. Bukit ini terletak tidak jauh dari Masjid Jamek Negeri Sarawak. Bukit ini ada kisahnya sendiri...

Sir Habeeb membuka cerita, yang dia selalu berjoging seorang diri di bawah bukit tersebut. Kadang-kadang Sir Habeeb mendaki bukit tersebut untuk melihat pemandangan dari atas. Sir Habeeb mengatakan semasa dia berada di atas, terasa satu perasaan pelik apabila dia melihat ke bawah. Suasana juga menjadi pelik, oleh kerana tidak sedap hati, Sir Habeeb pun turun dari bukit tersebut.

Di masa yang lain, Sir Habeeb pernah terjumpa ular dan biawak yang bersaiz besar. Saya agak, mungkin ada ular sebenar, tidak mustahil juga ular jelmaan jin.

Saya sendiri pernah mengalami peristiwa misteri di Bukit Siol. Suatu petang saya dan kawan-kawan mendaki bukit tersebut. Semasa di atas bukit, saya melontar batu sambil bersembang dengan kawan-kawan saya. Dalam masa yang sama, hari dah senja. Kelihatan langit berwarna kuning merah. Saya pun pulang dan apabila sampai di rumah, saya berasa kurang selesa dan kepanasan.

Pada sebelah malamnya, saya bermimpi (atau sedar?) melihat makhluk berbulu dan berbadan besar masuk ke dalam bilik saya. Makhluk tersebut memeluk saya dengan kuat sehingga saya tidak dapat bernafas. Saya bertakbir sekuat hati dan makhluk tersebut hilang dengan sendirinya.

Gangguan berterusan selama beberapa hari dan saya meminta nasihat daripada kawan saya yang belajar di Univerisiti Madinah yang kebetulan cuti pada ketika itu.

Beliau menasihatkan saya supaya mengamalkan Wirid Al-Ma'thurat untuk beberapa hari. Alhamdulillah gangguan tersebut hilang setelah saya mengamalkan wirid tersebut.


Di bawah bukit ini ada sebuah tasik. Anak buah kepada pemilik blog SIMAAS, Wan Sudirman lemas dan meninggal dunia di tasik tersebut. Kami (saya dan Wan Sudirman) amati tasik dan taman tersebut 'tidak berapa elok' untuk dibuat sebagai tempat rekreasi. Kerana masih banyak cerita misteri menyelubungi tasik dan taman tersebut.

Wallahu 'alam...

2 ulasan:

  1. Rumah saudara saya terletak berdekatan dgn kaki bukit tersebut pernah bercerita kpd saya dimana beliau pernah terserampak dgn beberapa ekor kerbau yg besar semasa balik kerja tengah malam,wallahu'alam..

    Sebenarnya byk juga cerita yg saya dgr termasuklah pekerja2 dan kakitangan dbku sendiri,pengantin2 yg selalu bergambar dikaki bukit dan sebagainya.

    BalasPadam
  2. Dari ape yang saya tahu. di atas tasik tersebut ada satu perkampung jin kafir. begitu juga di beberapa tempat di kawasan bukit siol kandis.


    RajaGempur

    BalasPadam