Semalam merupakan hari yang agak sibuk bagi saya, tak lah sibuk sangat sebenarnya. Cuma banyak masa terbuang begitu sahaja. Di sebelah petangnya saya sibuk kerana mengemas rumah dan mengambil orang tua di airport yang akan tiba dari KL. Asalnya flight ketibaan pukul 4:30 ptg, tiba-tiba delay sehingga ke pukul 6:30 ptg. Bererti saya dan adik saya, Adie terpaksa bawa bekal ke airport untuk berbuka puasa.
Saya membawa bekal air zam zam dan kurma ajwah. Kami 2 beradik bergegas ke airport dan menunggu ketibaan flight dari KL. Tepat jam 6:30 ptg, ibu dan ayah keluar dari arrival hall. Kami bergegas ke kereta sambil membawa barang. Sempat juga saya berpesan dengan Jalot dan Radzi supaya memaklumkan kepada saya jika azan Maghrib sudah dikumandangkan.
Lebih kurang 10 minit kemudian, azan Maghrib kedengaran di corong radio kereta. Jalot dan Radzi pun call ke handset saya bagi memaklumkan dah masuk waktu berbuka. Saya berbuka sambil driving, tangan kanan mencicipi kurma, manakala tangan kiri pula mengawal stereng. Inilah kali pertama dalam hidup saya berbuka sambil driving!
Setelah berbuka sekadar melepas syarat di dalam kereta, kami sekeluarga singgah di Masjid Darul Barakah di BDC bagi menunaikan solat Maghrib. Seusai solat Maghrib, sempat pula saya, ayah dan adik duduk bersila sambil makan kuih yang dihidangkan oleh pihak masjid sebelumnya. Ada seorang jemaah mempelawa kami makan berat, iaitu makan nasi dan lauk yang dihidangkan secara buffet, tapi kami menolak dengan baik kerana telah bercadang untuk makan luar bersama keluarga.
Kami singgah makan di SCR Batu 3. Banyak juga menu dipesan, dan kesemuanya habis licin disapu.
Tengah driving on the way balik, barulah saya teringat yang malam ini adalah malam Nuzul Al-Quran. Ustaz Hashim Man telah membuat iklan di Masjid At Taqwa di Gita pada malam sebelumnya yang ada ceramah berkenaan malam Nuzul Al-Quran akan diadakan di masjid tersebut. Terlepas lah nampak rupa gayanya, manakan tidak, jam sudah menunjukkan 8:00 malam, tak sempat nak singgah ke masjid untuk mendengar ceramah.
Kami sekeluarga tiba di rumah 10 minit kemudiannya. Saya bercadang hendak solat Isyak di rumah sahaja, kemudian tarawih di Masjid Jamek. Namun rancangan saya terbantut disebabkan hujan lebat dan angin kuat yang melanda Kuching tidak lama selepas itu. Keadaan ini agak berbahaya pada pandangan saya kerana pokok-pokok di tepi jalan Petra Jaya, khususnya jalan menuju ke Masjid Jamek mudah tumbang dan dahannya kadang-kadang sekah dan menimpa jalanraya. Saya akhirnya bertarawih di rumah sahaja.
Saya tutup tarawih dengan bacaan Quran sejuzuk. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan kepada saya untuk membaca sejuzuk walaupun ketinggalan 1-2 juzuk. Namun saya mendisiplinkan diri saya setiap malam agar tetap istiqamah dan cuba membaca sejuzuk Quran setiap malam sepanjang Ramadhan ini.
Pagi tadi, selepas meeting, saya berbual dengan Zul Hatta. Zul Hatta mengatakan yang dia hairan melihat angin ribut malam tadi. Agak pelik dan menyeramkan, tidak seperti ribut seperti yang biasa dilihat. Saya mengiakan apa yang Hatta ceritakan, kerana saya juga merasa pelik dengan suasana malam tadi. Angin bertiup kuat dan kadangkala kedengaran siulan angin di luar rumah.
Nuzul Quran adalah malam wahyu pertama turun dari langit. Peristiwa malam tadi mungkin mengandungi mesej dari Penguasa Alam bagi sesiapa yang mahu memikirkannya...
Wallahu 'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan