Syawal bakal menjelang esok hari. Saya bertaraweh di surau kampung dan cuma buat 8 rakaat sahaja, disebabkan kepenatan terkejar sana-sini beli barang untuk persiapan raya. Servis kereta, ambil kuih, beli barang last minit, beli juadah berbuka dan macam-macam lagi.
Dari solat Jumaat di Masjid Jamek hinggalah servis kereta di Yik Seng Company yang terletak di Rubber Road, menampakkan aliran trafik di jalan raya Kuching benar-benar menyesakkan. Petra Jaya tak payah ceritalah. Jem di sana-sini, ditambah lagi cuaca panas yang membakar, menguji ketahanan seorang hamba bernama Asri untuk berpuasa dan menahan marah melihat gelagat pemandu 'kurang ajar' di jalan raya yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain. Istighfar sahaja menjadi penyejuk hati.
Usai berbuka, saya bersiap untuk solat Maghrib dan seterusnya taraweh. Selesai taraweh saya terus balik dan tidur dek kerana kepenatan dan ke'mengantuk'kan yang amat sangat. Tambahan pula saya bercadang untuk berqiamullail di masjid At-Taqwa kampung Gita pada dinihari kelak.
Jam 11:00 malam, Fadly menelefon mengajak minum di Benteng, Satok. Ismaily turut serta dan baru sampai dari KL di sebelah siangnya. Ramai rakan-rakan usrah yang datang bagi meraikan Ismaily, kecuali Bahtiar. Bahtiar balik ke kampung bininya di Sungai Siput, Perak bagi meraikan Aidilfitri di sana.
Tepat 1:00 pagi, kami bersurai. Saya kembali ke rumah dan menyambung tidur. Jam 2:30 pagi saya bangun, makan ala kadar untuk mengalas perut dan membersihkan diri serta berkemas untuk ke Masjid At Taqwa. Setibanya di sana ramai jemaah sudah siap menunggu ustaz Hashim bagi memulakan acara qiamullail pada dinihari tersebut.
Qiamullail bermula jam 3:00 pagi. Lampu masjid dipadamkan kecuali bahagian beranda. Suasana begitu syahdu sekali, ditambah dengan bacaan Quran oleh ustaz Hashim yang begitu mendayu dan menusuk perasaan. Saya 'terbang' dalam kekhusyukkan solat dan 'mabuk' dalam asmara cinta Ilahi. Munajat dari para pencinta Ilahi di masjid tersebut turut mempengaruhi lingkungan jemaah yang lain. Ini jelas apabila kedengaran ada ramai jemaah menangis teresak-esak dalam solat mereka.
Seterusnya solat sunat tasbih mengambil tempat. Lantunan bacaan tasbih memenuhi ruang dewan masjid yang barokah tersebut. Gemuruh suara jemaah bagaikan dengungan lebah yang menghurung madu untuk dihisap. Hati saya benar-benar asyik dalam solat tasbih, sehinggakan 4 rakaat tasbih tersebut seolah-olah belum cukup untuk saya.
Tiba pula acara bacaan doa munajat. Ustaz Hashim bermunajat kepada Allah sambil diaminkan oleh para jemaah. Ustaz Hashim memang bijak berdoa sehinggakan bait-bait doa yang dilafazkan benar-benar menyentuh hati jemaah. Saya menangis teresak-esak sehingga tidak mempedulikan jemaah di sebelah saya. Esak tangis jemaah semakin kuat apabila ustaz Hashim menyebut bait doa memohon ampun kerana banyak dosa dan kekurangan yang banyak dalam ibadah puasa.
"... Ya Allah sekiranya Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat kami, kami mohon Ya Allah, agar Engkau menerima ibadah puasa kami supaya dapat menjadi benteng kami daripada diazab api neraka di akhirat kelak..." Doa ustaz hashim sambil teresak-esak.
Bait doa di atas menyebabkan saya semakin kuat menangis, kerana saya tidak pasti adakah ada rezeki untuk saya bertemu dengan Ramadhan di tahun yang akan datang. Saya khuatir ibadah Ramadhan saya tahun ini banyak silap dan kekurangannya. Kalimah "amin" semakin kuat, jemaah benar-benar mengharapkan agar doa-doa yang dilafazkan dimakbulkan Allah.
Nilai Seteguk Air Kosong...
Tamat qiamullail, kami bersahur. Makanan sahur telah disediakan oleh pihak jawatankuasa masjid. Terima kasih kepada jawatankuasa masjid kerana menyediakan sahur percuma kepada para jemaah dan menjadi mudah bagi para jemaah tanpa perlu terkejar-kejar pulang ke rumah atau mencari tempat makan untuk bersahur.
Kebiasaan saya selepas makan, saya mesti minum air kosong. Walaupun air manis seperti sirap, teh atau minuman lainnya disediakan, saya mesti menutup makan saya dengan air kosong. Kebtulan pada pagi tersebut, minuman yang disediakan ialah sirap sarsi. Setelah minum, saya mencari air mineral yang lazim disediakan, malangnya air mineral tersebut habis semuanya. Saya ke dapur masjid dan meminta air kosong.
"Pakcik, ada aek (air) kosong sik (tak)?" Saya bertanya.
"Sekda (tak ada) jang, aek (air) kopi ada. Ambik (ambil) jak (saja) sia (tu)." Jawab orang tua tersebut seraya memuncungkan bibirnya ke meja yang berdekatan.
Saya tuang air kopi tersebut dan meneguknya. Manis. Masya Allah, air manis menyebabkan tekak semakin haus. Saya semakin penasaran mencari air kosong.
Cari punya cari, azan pun berkumandang. Saya pasrah, tekak haus, air liur terasa pekat. Rasa tidak sempurna rasanya menutup makan sahur pagi tersebut tanpa air kosong.
Ketika beratur di saf solat, sempat saya berbisik dan bertanya dengan Jalot.
"Ada ko (kau) nemu (jumpa) aek (air) kosong tek (tadi)?"
"Neyda (mana ada). Aku minum aek (air) paet (paip) jak (saja) tek (tadi)." Jawab Jalot sambil tersenyum sumbing.
Demikianlah nilai seteguk air kosong. Amat bernilai dan berharga. Sedap manapun, semanis manapun air minuman yang diciptakan manusia, masih tidak dapat menandingi air kosong ciptaan Allah. Telah nyata air manis ciptaan manusia hanya menambahkan haus, berbeza dengan air kosong yang dianggap tiada nilai oleh manusia ternyata dapat menghilangkan haus dengan izin Allah.
Kalau kita pergi makan di luar, seperti di gerai atau kedai makan, cuba pesan air minuman seperti Tongkat Ali, air sirap dan sebagainya, masing-masing mempunyai harga tersendiri. Misalkata Tongkat Ali RM 2 secawan, teh lemon ais - RM 1.80, sirap - RM 1.20. Kalau kita pesan air kosong, takda harga,tak payah bayar, paling-paling pun RM 0.20. Menunjukkan seolah-olah air kosong tiada nilai. Sedangkan air kosonglah yang dapat menghilangkan haus, bukan air manis.
Mari buka dan lihat dengan mata hati kita. Kita terlepas pandang perkara ini. Inilah yang saya pelajari di Masjid At Taqwa pada sahur dinihari pagi tadi. Peristiwa tersebut mungkin remeh atau kecil bagi sesetengah orang, tetapi besar bagi saya. Allah mengajar saya satu lagi ilmu baru untuk saya kongsi bersama dengan anda semua.
Ternyata, tarbiah Allah kepada saya pagi tadi terkena ke batang hidung saya sendiri.
Astaghfirullah...
Keegoan airmata seorang hamba biasa akhirnya 'tewas' ditangan Ustaz Hashim Man..ketika aku mengikuti qiamulail pimpinannya.
BalasPadamternyata apabila berhadapan dengan Ustaz Hashim memang kamek amat kagum dengan hamba Allah tok.
BalasPadamSubhanallah, 1st time masa pegi Qiamullail apabila dengar sora Ustaz Hashim memang nyuroh datang utk kali ke 2 dan seterusnya sampey nektok masih keep tracking bila ada qiamullail walaupun setiap minggu jak. ya pun tpt lain2.