Tergenang air mata saya semasa mendengar alunan bacaan Quran oleh Ustaz Hashim semasa taraweh sebentar tadi. Tidak terasa yang air mata mengalir membasahi pipi. Sayu rasa hati kerana Ramadhan bakal pergi meninggalkan kita. Masih terasa kurang lengkap persembahan ibadah saya kepada Allah pada Ramadhan tahun ini. Masih banyak kekurangan dan cacat cela. Dosa masih banyak ditanggung di pundak bahu saya, entah bila dosa ini akan 'habis' untuk diampunkan oleh Allah. Namun saya tetap yakin keampunan Allah lebih luas dari dosa-dosa saya.
Saya dapat 'menangkap' getar sayu ustaz Hashim mengalunkan bacaan Quran dalam solat. Saya yakin beliau juga sedih yang Ramadhan akan berakhir tidak lama lagi.
Setiap kali sebelum taraweh dimulakan, ustaz Hashim kerap mengingatkan para jemaah setiap malam agar memanfaatkan waktu yang ada dengan ibadat dan amalan-amalan lainnya. Beliau paling concern bila masuk 10 malam terakhir, berkali-kali beliau mengingatkan agar para jemaah berusaha mencari Lailatul Qadar. Beliau sempat meng'condemn' dengan cara 'halus' berkenaan sesetengah orang yang bila masuk penghujung Ramadhan, mula sibuk dengan persiapan hari raya. Sepatutnya 10 malam terakhir inilah masjid semakin penuh bagi mengejar pahala dan ganjaran Lailatul Qadar.
Sedih bila melihat masjid dan surau mula surut jemaahnya pabila tiba hujung Ramadhan. Hilang meriah dan keindahannya. Suara gemuruh tasbih semakin sedikit, tapi lebih nyaring bunyi dentuman mercun dan bunga api di luar masjid.
Bunyi letupan mercun lebih nyaring dari lantunan selawat di dalam masjid.
Masya Allah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan