Semalam saya bertaraweh di kampung sahaja, iaitu di Surau Darul Husnul Khatimah. Entah kenapa, malam terasa begitu panas hingga menimbulkan kurang selesa kepada saya. Saya bercadang nak buat 8 rakaat sahaja, kerana nak menghabiskan lagi bacaan Quran yang tertinggal jauh dek kerana kesibukan dunia yang tak pernah habis. Penduduk kampung Semerah Padi dan dari taman yang terdekat bersama-sama berjemaah di surau tersebut. Surau kelihatan berseri dan meriah walaupun sudah hampir ke penghujung Ramadhan. Hj Sondong, imam kampung kami hanya menjadi makmum pada malam tersebut. Tempat imam diganti oleh seorang ustaz yang juga penduduk di taman perumahan tempat saya tinggal. Mungkin Hj Sondong keletihan agaknya. Maklumlah, dah berusia.
Selesai 8 rakaat, saya ke saf belakang untuk solat witir. Jalot juga bersama saya, dia turut buat 8 rakaat untuk taraweh. Demikian juga Man Tabligh, saya ingatkan dia buat full, rupanya dia juga buat 8 rakaat. Ada urusan lain agaknya.
Sedang saya dan Jalot khusyuk solat Witir, tiba-tiba terdengar letupan mercun yang kuat dekat dengan surau. Saya terkejut dari solat saya namun saya teruskan sampai habis. Saya yakin jemaah lain juga terkejut dengan bunyi mercun tersebut. Letupan tersebut kedengaran dekat benar dengan dewan solat, mungkin budak-budak nakal melontar mercun ke beranda surau.
Usai solat, saya segera ke belakang surau mencari budak-budak yang buat hal tadi. Saya sangkakan budak tadarus yang main mercun, kelihatan sekumpulan budak berkumpul di beranda surau. Saya menghampiri mereka.
"Sapa (siapa) nikam (lontar) mercun tek (tadi)?". Saya menyoal sambil menahan marah.
"Bukan kamek (kami) bang. Sidak (mereka) nemiak (budak) luar nikam (melontar) tek (tadi). Sidak (mereka) alu (lalu) berekot (lari@melarikan diri) ke luar suro (surau)". Jawab salah seorang daripada mereka.
Saya memberi amaran dan nasihat kepada budak-budak tadarus tadi agar jangan bermain mercun di surau. Saya khuatir jika ada jemaah yang sudah tua dan berpenyakit jantung, apa jadi agaknya jika mereka terkejut ketika tengah khusyuk solat akibat terdengar bunyi letupan mercun yang kuat seperti tadi.
Saya beredar dengan perasaan marah dengan budak-budak nakal yang melontar mercun itu tadi. Dah lah tak teraweh, tadarus pun tidak. Datang ke surau buat kacau pulak. Kalau ikutkan hati, memang saya rotan sorang-sorang bebudak nakal tersebut. Kalau selama ni rotan saya digunakan untuk menyebat jin, sekarang ni nak jugak saya guna untuk menyebat budak-budak nakal. Saya peduli apa mereka anak siapa, anak penghulu ke, anak ketua kaum ke, anak pemanca ke, anak temenggung ke, janji hati saya puas. Nakal tak bertempat.
Saya pergi mendapatkan Jalot. Jalot bertanya siapa punya angkara. Saya menggeleng kepala tanda tidak tahu. Kami kemudiannya bersembang sebentar di beranda surau. Jalot mengajak saya qiamullail di Masjid At Taqwa Gita. Saya setuju namun tidak berjanji akan hadir. Paling-paling saya akan solat Subuh di masjid tersebut kerana saya cenderung berqiamullail seorang diri.
Dalam perjalanan pulang, saya masih memikirkan tentang budak-budak nakal yang main mercun tadi. Beberapa malam ini memang saya perasan ramai budak bermain mercun di halaman surau, tapi kali ini yang paling kuat kerana dilontar ke beranda surau dan mengejutkan banyak jemaah.
Terkenang ketika saya budak dahulu, saya turut sama jadi budak nakal bermain mercun di halaman surau. Sementara menunggu solat taraweh habis, kami budak-budak tadarus bermain di halaman surau Kampung Stapok. Saya di antara budak paling nakal pada ketika membuat tindakan ekstrem. Saya ambil mercun long (mercun bersaiz sederhana, besar sedikit dari mercun padi), mencucuhnya dengan api pelita kemudian lontar dalam beduk surau yang tergantung di beranda. Natijahnya, satu letupan yang 'cantik' dan kuat berlaku sehingga ada jemaah wanita yang melatah dalam solat. Kami bersorak sorai namun tidak lama kemudian lintang-pukang melarikan diri sehingga ada yang melompat dari beranda surau kerana dikejar oleh salah seorang jemaah lelaki. Marah benar pakcik tersebut kepada kami kerana melontar mercun dalam beduk surau. Nasib baik beduk tak pecah.
Saya tersenyum seorang diri mengenangkan peristiwa lama tersebut. Hmmm, apa jadi agaknya jika pakcik tersebut berjaya menangkap saya, agak-agaknya memang dah seliang dua penampar singgah di pipi saya.
Subuh jemaah di Gita
Jalot menjemput saya di rumah tepat saya selesai melaksanakan sahur dan qiamullail. Jalot berqiamullail di Gita, namun balik semula ke rumah kerana bersahur bersama keluarganya. Alang-alang balik, dia terus mengajak saya turun sama untuk solat Subuh di Gita.
Saya melihat jemaah di Gita bertambah ramai dari biasa. Dianggarkan 800 jemaah ikut serta program qiamullail jame'i di masjid tersebut. Seperti biasa, qiamullail diimami oleh Ustaz Hashim Man. Suasana subuh di Gita memang meriah. Seronok benar bersolat di masjid tersebut. Perasaan ini saya kongsi dengan Jalot dan dia juga bersetuju dengan saya.
Kelihatan ramai jemaah berjubah putih, berketayap putih malah anak muda turut memakai serban memenuhi ruang masjid. Saya berpendapat ini pemandangan yang jarang dilihat di mana-mana masjid di sekitar Kuching malah mungkin di seluruh Sarawak. Saya terasa seolah-olah berada di madrasah @ pondok di Kelantan seperti mana yang biasa saya lihat di kaca televisyen dan internet. Anak muda sudah tidak janggal memakai serban malah berbangga dengan pakaian sunnah tersebut. Satu perkembangan yang baik di kalangan remaja Kuching.
Seperti biasa, kuliah Subuh juga menarik perhatian saya. Ia disampaikan oleh seorang jurutera Shell yang juga seorang dae'i dalam haraki. Beliau menyampaikan kuliah mengenai tanggungjawab setiap Muslim yang wajib berjuang dan menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia. Saya meneliti isi kuliah tersebut dan saya meyakini bahawa beliau memang seorang ahli usrah yang aktif dan ini dapat dilihat apabila beliau tahu dan menyebut nama beberapa pertubuhan dakwah yang terkenal di Kuching dan peringkat antarabangsa. Isi kuliah beliau memberi kesan yang mendalam kepada diri saya dan ini menyemarakkan lagi untuk sentiasa bersemangat menyampaikan dakwah dan kebaikan kepada seluruh lingkungan masyarakat. Saya juga berazam untuk mengatur strategi dalam dakwah supaya lebih ampuh dan berkesan khususnya untuk anak-anak usrah saya dan remaja kawasan Kuching khususnya.
Saya pulang dengan hati yang tenang, puas dan tenteram. Banyak pengajaran yang saya perolehi pada hari ini.
Alhamdulillah... hari minggu saya tidak berlalu dengan sia-sia.
Alhamdulillah..
BalasPadamTerasa kepuasan qiamulail pada mlm ya..
Cuma kuliah subuh ajak sik ikut..lepas solat subuh terus balit tkenang ank kecik tggl kat rumah..balit dgn satu semangat yg bru..