Semalam saya Taraweh di Masjid Taman Sukma. Saya ada temujanji dengan keluarga pesakit di taman perumahan tersebut. Seronok juga taraweh di sana, imamnya juga haffiz dan bacaan imam tersebut mendayu dan lancar.
Selesai solat taraweh, saya menunggu Shamsul untuk menemani saya meruqyah. Wan Sudirman tidak dapat ikut serta seperti biasa kerana ada urusan peribadi. Shamsul merupakan kawan saya semasa sama menuntut di Politeknik. Shamsul bekerja di Sarawak Energy dan dia juga mempunyai minat yang sama dalam bidang rawatan Islam. Malahan Shamsul pernah juga merawat pesakit kerasukan sebelum ini.
Saya jarang bersama Shamsul kerana kami terputus hubungan kerana dia berpindah dan bekerja di Mukah dan Oya selepas tamat pengajian di Politeknik. Sekaran dia telah dipindah ke Kuching dan tinggal bersama isterinya di sini.
Kami mencari rumah pesakit. Lorong ke rumah pesakit agak jauh ke dalam taman tersebut. Saya berdoa di dalam hati agar seboleh-bolehnya tidak ramai orang di rumah tersebut. Satu perangai saya ialah saya agak janggal apabila merawat pesakit dalam keadaan diperhatikan oleh orang yang terlalu ramai. Ini kerana orang memerhatikan saya seolah-olah ingin tahu dan mengharap sesuatu di luar jangkaan daripada saya, sedangkan kudrat dan keupayaan saya terbatas.
Saya bersembang dengan keluarga pesakit, menanyakan apa simptom-simptomnya dan petanda yang lain. Si suami mengatakan isterinya jatuh sakit pada hari ke dua Ramadhan, terbaring di katil dan menatap dengan pandangan yang kosong. Kadang-kadang si pesakit merapu dan bercakap yang bukan-bukan. Keluarga pesakit juga telah membawa ke hospital, dan doktor mengatakan darah tinggi. Selain itu mereka juga menggunkan khidmat seorang bomoh di Batu 12 yang dikenali sebagai Mbah, hmmm, saya kenal dengan Mbah tersebut. Mbah menggunakan kaedah menurun dalam perubatannya. Mbah mengatakan si pesakit terkena gangguan jin @ hantu.
Saya memulakan ruqyah seperti biasa. Saya tidak menggunakan kaedah rotan kerana saya terlupa membawa rotan tersebut semasa turun dari rumah tadi. Semasa proses ruqyah, pesakit hanya melihat siling dengan pandangan yang 'sejuk' dan kosong, seolah-olah tiada perasaan. Saya sambung dengan azan, kaedah hiris di perut dan sendi lutut, tepuk belakang dan tarik. Masih tiada respon. Saya bacakan juga Hizib Bahar ke ubun-ubun pesakit dan tarik, tiada respon juga.
Saya tutup sesi rawatan. Saya ruqyah pula limau dan air yang disediakan lebih awal. Tiba-tiba ayah pesakit memanggil saya (semasa itu saya di ruang tamu, manakala pesakit pula di dalam bilik) dan mengatakan sebelah kiri mata anaknya tidak dapat dibuka. Seolah-olah melekat. Saya guna kaedah tarik dan alhamdulillah mata pesakit kembali normal dengan izin Allah.
Setalah menerangkan kepada keluarga pesakit tentang penggunaan limau dan air penawar, kami bersembang lagi dengan keluarga pesakit tersebut. Banyak soalan ditanyakan kepada saya, lebih kepada hukum penggunaan azimat dan tangkal. Mujurlah dan segala puji bagi Allah saya sudah bersedia awal dengan soalan-soalan tersebut.Salah seorang anak pesakit menanyakan apa hukum menggunakan minyak pendiding rumah yang diberikan bomoh. Saya menerangkan dan menjawab soalah tersebut dengan berhati-hati dan alhamdulillah mereka menerimanya dengan lapang dada. Saya menasihati mereka supaya membuang minyak tersebut kerana khuatir jatuh syirik kepada Allah.
Saya dan Shamsul pulang setelah itu dan keluarga pesakit mengucapkn terima kasih kepada kami. Kami beredar meninggalkan Taman Sukma kira-kira jam 11:15 malam.
I'tikaf di Masjid...
Saya menerima sms dari Bahtiar tidak lama selepas itu, mengajak saya i'tikaf di Masjid Bahagian Kuching. Saya segera berkemas dan menyediakan apa yang patut. Aied dan Afdhal turut bersama kami. Bahtiar menjemput saya di rumah dengan keretanya dan kami bergerak menuju ke masjid. Sopet dan Pejai pula menelefon dan mengajak kami minum dan makan dahulu di Jalan Haji Taha. Setelah tiba di tempat makan, kami memesan nasi ayam penyet dan minuman. Sopet baru tiba dari Mukah petang tersebut dan pelbagai perkara dibincangkan, lebih kepada aktiviti dakwah dan usrah.
Jam 1:30 pagi, kami meninggalkan tempat makan dan pergi ke masjid. Sopet dan Pejai tidak dapat join sama kerana ada urusan peribadi. Kami bertiga terus ke masjid dan menyiapkan diri untuk i'tikaf. Setelah berwudhu', kami solat sunat terlebih dahulu dan kemudiannya tidur.
Ada juga ikhwah lain i'tikaf sama di masjid tersebut seperti Akhie Naza, Akhie Delek, Akhie Abd Rahman dan lain-lain.
Saya terbangun jam 3:30 pagi, lalu bersiap untuk qiamullail. Saya, Aied dan Bahtiar qiamullail berasingan, manakala Afdhal pula masih enak hanyut dibuai mimpi. Afdhal adalah anak usrah kami. Tak sampai hati pula nak bangunkan dia, mungkin keletihan agaknya.
Usai qiamullail, kami ke Planet Sambal, restoran 24 jam untuk bersahur. Bihun goreng dan teh lemon ais menjadi menu sahur saya pagi tadi.
Tepat jam 5:15 pagi, kami ke Masjid At-Taqwa Gita untuk solat Subuh. Selepas itu kami pulang terus kerana Bahtiar bekerja pada hari ini.
Saya menyambung 'perjuangan' setelah tiba di rumah, kerana kurang tidur. Setelah bangun saya bersiap untuk pergi ke Boulevard dengan Aied selepas ini, nak beli barang sikit.
Wallahu 'alam.
sy nk tanya adakah cara mbah tersebut tidak bercanggah dengan islam? adakah minyak pendiding diri yang diberi boleh digunakan?
BalasPadam