Sabtu, tiada apa yang menarik untuk dilakukan, kecuali pergi 'mengembara' ke The Spring bagi mencari buku dan minyak wangi. Di MPH, terjumpa pula dengan Sir Habeeb dan adiknya, Habeeb Aziz. Habeeb Aziz ini saya kenal sejak sekolah kerana dia pernah ikut usrah ustaz Soleh Hamden. Saya 'mengembara' seorang diri di The Spring tanpa teman, tidak seperti yang lain yang ada couple atau kawan, namun saya selesa berjalan seorang diri seperti ini kerana berasa lebih bebas dan tenang. At least untuk hari ini sahaja. Lagipun, saya tak berani nak ajak kawan lain 'mengembara' bersama kerana mungkin mereka juga ada hal peribadi yang perlu diuruskan.
Sabtu malam, saya menghadiri 2 rumah terbuka, satu di Matang Jaya dan satu lagi di rumah sepupu saya, Awin di Batu Kawa. Suasana raya masih nampak meriah walaupun sudah 2 minggu berlalu.
Di Matang Jaya, saya menghadiri rumah terbuka dan doa selamat untuk Izwan Hadi, salah seorang rakan saya di ESQ. Ramai alumni dan ATS hadir untuk memeriahkan majlis. Suasana nampak ceria dan gembira. Selesai Maghrib, ada tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz. Kemudian kami solat Isyak berjemaah dan berdoa.
Acara makan adalah acara kemuncak dalam mana-mana majlis. Demikian jugalah di rumah tersebut. Nasi minyak dan gulai ayam masak kari, daging msak kicap adalah hidangan utama. Saya makan dengan berselera sekali. Kemudian saya beramah mesra dengan tuan rumah dan kawan-kawan yang lain.
Saya terpaksa berpamitan lebih awal dengan tuan rumah kerana hendak ke Batu Kawa. Sebelum berpisah, sempat juga Nazmi, salah seorang ATS ESQ memberi saya hadiah sempena harijadi saya bulan lepas. Terharu juga saya dengan pemberian ikhlas tersebut.
Semasa driving, terlihat pula sepasang kekasih sedang memadu asmara di tepi longkang. Astaghfirullah, tak senonoh betul. Sampai tepi longkang pun boleh buat dating. Saya hanya mampu mengeluh dan berdoa supaya sepasang kekasih tersebut sedar akan kesalahan mereka.
Di Batu Kawa, saya beraya pula dengan saudara-mara sebelah bapa. Rumah Auntie Bedot waktu itu memang meriah. Ramai juga yang datang. Awin tiada di rumah kerana terpaksa ke kampus untuk menghadiri discussion. Irca pula datang lambat kerana overtime kerja di ofis. Saya bersembang dengan Kiky, salah seorang sepupu yang paling rapat dengan saya.
Kedatangan Irca tidak lama selepas itu merancakkan lagi perbualan kami. Ini diikuti pula dengan seorang lagi sepupu saya, Yoyo yang dah menjadi bapa kepada seorang putera. Kami memang rapat sejak kecil. Membesar bersama, bermain bersama dan kami kerap juga bercerita memori lama semasa nenek masih hidup bagi mengenang kisah lalu jika ada kesempatan berkumpul bersama. Sempat juga Kiky bercerita kisah Awin diganggu bunyi aneh pada malam sebelumnya, yang saya rasa insya Allah akan diceritakan dalam posting yang akan datang.
Awin merupakan sepupu saya yang paling kerap diganggu jin, walaupun tidak sampai dirasuk. Saya kerap menasihati Awin agar teguh dan kuat dalam menghadapi gangguan jin dan sentiasa berzikir sebagai pendinding diri. Apa yang saya kagum dengan Awin ialah dia sangat kuat semangat dan tidak pernah mengalah dengan gangguan-gangguan yang berlaku ke atas dirinya.
Ahad, 4 Oktober 2009
Ramah Tamah Aidilfitri di HIKMAH Kuching. Ini turut saya hadiri kerana saya bertugas di bahagian protokol. Saya datang agak lewat, iaitu kira-kira jam 9:30 pagi. Ucapan dari ustaz Soleh telah pun bermula. Ramai ikhwah dan akhawat yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut. Kami beramah mesra dan pelbagai cerita disembangkan. Suasana sungguh indah dan harmoni.
Bersama Ustaz Soleh dan anak beliau, Syahmie.
Menu makanan juga sedap. Kali ini kami menggunakan khidmat katering, kerana sebelum ini selalunya akhawat yang memasak di rumah dan membawanya ke dewan. Diiringi dengan lagu-lagu raya, suasana nampak ceria dan meriah sekali.
Petang pula ada open house raya di Perumahan Kampung Tunku. Masya Allah, makanan sedap banyak sekali dihidangkan. Sekali lagi saya 'berpajuh' (mentekedarah dalam bahasa semenanjung)sampai-sampai senak perut. Huh, nampak rupa gaya naik lagi balik la berat badan ni. Sesi beraya rumah kawan di Perumahan Kampung Tunku
Suasana kemeriahan masih terasa walaupun Aidilfitri dah 2 minggu berlalu.
Petangnya saya pulang dan selesai solat Asar, saya bersembang dengan orang tua saya di luar rumah. Macam-macam perkara diceritakan. Lebih kepada hal-hal kehidupan.
Selesai solat Isyak, saya keluar dengan seorang kawan saya yang saya gelar 'A Good Listener' bagi bercerita tentang perkara-perkara serius. Saya selesa bercerita dan berkongsi masalah dan pendapat dengan kawan saya ini kerana beliau bijak dalam menyampaikan pendapat dan seorang pendengar yang baik. Walaupun ada juga kami berbalah pendapat dan tidak setuju antara satu sama lain dalam sesetengah perkara, namun kami masih lagi saling menghormati kerana akur dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Bersembang dengan kawan saya ini sedikit sebanyak melegakan dan meringankan beban masalah yang sedang saya hadapi ketika ini.
Masalah dunia... Tak pernah habis. Hanya kepada Allah saya berserah.
Wallahu 'alam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan